SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, Julai 31, 2015

QUDWAH TERAS IKATAN HATI - TINTA JUMAAT SIRI KE-29

          Islam datang sebagai agama kerahmatan dan kecintaan yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia di samping menekankan konsep tauhid ‘ubudiyyah’ sebagai asas pembinaan iman dalam jiwa tiap mukmin. Maka Rasulullah sebagai tokoh peribadi terbaik mencerminkan bahawa kasih sayang adalah penghubung antara insan. Sikap ini mampu menundukkan kebatilan hati-hati yang tegar memusuhi Islam.

Firman Allah dalam Surah An- Nahl ayat 125 :-
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ
هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين

‘’Serulah ke jalan TuhanMu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik Sesungguhnya TuhanMu lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.’’

Amru bin Al-‘Asr adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kecerdasan dan dan kepakaran dalam menyusun strategi  peperangan. Ketika persiapan dilakukan untuk membebaskan Mesir dari cengkaman penjajahan Romawi dan Parsi, munculnya desas-desus bahawa kedatangan Islam akan menjadi sesuatu yang menakutkan. Malah dicanang ke seluruh penduduk Mesir bahawa Islam akan merampas harta sewenangnya, menyerbu dan memperlakukan dengan zalim terhadap wanita.
Saat keberangkatan menuju ke Mesir, berlaku satu peristiwa yang menarik hati. Semua khemah-khemah sudah siap dikemas akan tetapi ada satu yang dibiarkan tetap tegak berdiri. Lebih menghairankan, ianya milik panglima Amr bin Al-‘Asr. Di atas khemah tersebut ada seekor burung dara yang sedang mengeram telurnya menyebabkan beliau tidak tergamak mengganggu ketenangan burung itu. Berita ini tersebar ke seluruh Mesir membuatkan persepsi mereka berubah. Ternyata tentera Islam memasuki Mesir dengan penuh kedamaian malah diberi jaminan keselamatan.
Ini adalah salah satu contoh kecil daripada ajaran Islam. Setelah diamati penyebabnya amatlah sederhana akan tetapi memberi jawapan yang bererti. Kalau kepada burung sahaja panglima tentera Islam punyai sifat belas kasihan, apalagi terhadap manusia. Prinsip inilah yang seharusnya disebarkan. Sikap kasih sayang dan penuh kelembutan menjadi modal untuk berdakwah di lapangan masyarakat tanpa mengenepikan sikap waspada terhadap musuh-musuh Islam.

“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh:
Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Lajnah Kesenian & Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015




Khamis, Julai 30, 2015

IMTIHAN QABUL MAHASISWA/WI BARU SELANGOR SESI 2015/2016


30 Julai 2015 KHAMIS - Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah menyediakan pengangkutan bas untuk mahasiswa dan mahasiswi baru sesi 2015/2016 ke Markaz Lughah Syeikh Zayed Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis. Seramai 154 orang mahsiswa/wi baru selangor iaitu 76 ikhwah dan 80 akhwat telah menghadapi peperiksaan imtihan qobul pada hari ini sebelum bermulanya sesi perkuliahan akan datang. Turut mengiringi Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Mohammad Farid Mohammad Zainal, YDP BKASM Ustaz Anas bin Mohd Bukhari serta wakil AJKT dan adhoc USMB ke markaz al-azhar bagi memantau kelancaran mahasiswa/wi baru yang menduduki imtihan qobul. Semoga semua mahasiswa/wi baru Selangor dan umumnya seluruh mahasiwa/wi Malaysia yang berada di Mesir memperoleh kejayaan yang diinginkan serta berusaha dengan lebih keras untuk menuntut ilmu di Mesir ini. " Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan " Disediakan Oleh : Ustaz Amirul Afif bin Sardine Setiausaha, Urus Setia Mahasiswa Baru, BKASM sesi 2014/2015 #KITAPMRAM #50TAHUNBKASM #BersamaBersatu

Jumaat, Julai 24, 2015

HADIAH DARI TUHAN - TINTA JUMAAT SIRI KE-28


Ada satu kisah teladan buat kalian.
Telah berlaku satu pertengkaran antara si penjual dan si penghidu. Datanglah seorang yang bijaksana untuk membeli ayam panggang. Maka,mengadulah mereka berdua dan akan bersetuju dengan sebarang keputusan yang dilakukan. Sementara menunggu jawapan dari si bijaksana,terlintas dalam fikiran si penghidu, pasti si bijaksana itu akan menyebelahinya dan begitu juga pada lintasan si penjual.

   Lalu, si bijaksana berkata bahawa si penghidu harus membayarnya kerana dengan sengaja menghidu aroma tersebut. Tersenyum lebar si penjual menerima keputusan itu. Dalam keadaan masih terkejut dan terkebil-kebil, si penghidu mengeluarkan wang dari sakunya, kelihatan hanya sedikit dan bermulalah menghitung wang dengan bunyi syiling sehingga seperti nilai yang dikehendaki sambil diperhati oleh semua orang. Justeru, berkatalah si bijaksana kepada si penjual ; Adakah anda melihat wang yang dihitung? Jawabnya ; “Benar”. Ditanya lagi, Adakah anda juga mendengar bunyi syiling tersebut? Si penjual berkata; “Ya,benar”. “Baiklah jika begitu,persengketaan antara kalian telah selesai” kata si bijaksana.

  Terkejutlah si penjual kerana hanya dengan begitu, selesailah masalah tersebut. Si bijaksana itu menjelaskan; “ Yang satu dituntut membayar hanya kerana menghidu aroma ayam panggang dan cukuplah yang satu lagi harus puas setelah mendengar bunyi syiling, kerana yang satu hanya makan ayam panggang melalui 'bayangannya' dan maka cukuplah adil jika yang lainnya dibayar lunas dengan 'melihat dan mendengar' wangnya sahaja”.

  Yakinlah! Sering ada solusi pada setiap permasalahan kerana Allah menciptakan penyakit tentu ada ubatnya. Teruslah memotivasikan diri untuk menjadi pemimpin yang bijaksana walau untuk diri sendiri.

Bangkit memujuk diri ;
   "Ketahuilah wahai saudaraku, sungguh anda akan menemui masa-masa yang sulit, masa-masa yang melelahkan dengan pelbagai ujian, padahal anda tengah berjalan di atas jalan kebenaran dan disibukkan dengan pelbagai aktivas dakwah. Apabila anda teguh di atas kebenaran dan sabar menghadapi pelbagai ujian. Nescaya kepedihan akan sirna, kelelahan akan hilang dan yang akan tersisa bagi anda adalah ganjaran dan pahala."


   Ujian itu didikan daripada Allah, mengajar hati untuk terus bersabar dan ikhlas.
   Bicara hanya kepada Allah agar kita terus faham, makna redha tanpa ada batasan.


“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh :

Siti Liya Saffura binti Ismail
Jabatan Fasilitator
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015


Khamis, Julai 23, 2015

FITRAH ‘15 DISAMBUT DENGAN PENUH KEMERIAHAN



FITRAH ‘15 DISAMBUT DENGAN PENUH KEMERIAHAN

17 JULAI 2015,KAHERAH- Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah menganjurkan sebuah program raya yang diberi nama FESTIVAL TARBIAH RAYA HIJRIAH (FITRAH ‘15) yang bertempat di rumah Selangor,Hayyu Asyir,Kaherah. Program ini telah berlangsung selama tiga hari iaitu pada 17 hingga 19 Julai. Antara objektif program ini adalah untuk mengukuhkan kebersamaan di antara ahli BKASM sekaligus menghidupkan kedatangan syawal dengan penerapan nilai islami bersama-sama seluruh ahli BKASM yang berada di Mesir.

                Program ini dirasmikan oleh Ustazah Siti Aisyah Binti Ismail (Penasihat BKASM sesi 2014/2015)  pada malam raya 16 Julai beserta gimik perasmian yang berkonsepkan Retro Raya 60-an & raya di Malaysia dengan bertemakan ‘Ramadan Dirindui Fitrah Dirasai’. Seterusnya pada 1 Syawal bertarikh 17 Julai seluruh anak-anak Selangor bersama-sama seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN)  yang lain telah menunaikan solat sunat hari raya di dataran Hayyu Asyir.

                Pagi syawal pertama, sambutan Aidilfitri diteruskan dengan aktiviti ziarah menziarahi di antara ahli asrama dan ahli rumah sewa. Aktiviti ini telah berjaya menghidupkan suasana raya dan saling maaf bermaafan sesama ahli BKASM. Pada malamnya telah diadakan rewang secara besar –besaran di asrama Selangor Hayyu Asyir untuk persediaan Rumah Terbuka BKASM pada keesokan harinya.

                Pada 2 syawal, program FITRAH ’15 semakin meriah dengan majlis Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase. Majlis Rumah Terbuka BKASM dipenuhi dengan kehadiran tetamu - tetamu yang terdiri daripada Pegawai- pegawai Atase Negeri dan KBMK, Yang Di-pertua dan Raisah (BKAN) dan seluruh ahli BKASM yang berada di Mesir. Turut diceriakan dengan celoteh daripada DJ sepanjang majlis dan diteruskan pada sebelah malamnya dengan pertandingan ‘Dur Retro Raya Idaman’.

                Pada 3 syawal diteruskan dengan aktiviti riang raya retro. Aktiviti ikhwah antaranya permainan indoor yang dibuat di imarah Selangor iaitu bingo dan kepong dan aktiviti outdoor pula iaitu permainan kapal terbang kertas, bola cop dan menghias baju raya diadakan di dataran Hayyu Asyir. Manakala aktiviti akhawat pula antaranya ‘explorace’ yang dijalankan di sekitar walidain dan juga persembahan teater  muzikal yang diadakan di sutuh Selangor Darul Ehsan.

                Program FITRAH’15 ditangguhkan dengan ucapan Ustaz Aiman Fitry Bin Zulkifli (Pengarah FITRAH ‘15, Ustaz Anas Bin Mohd Bhukhari (Yang Di-Pertua BKASM sesi 2014/2015) dan seterusnya ucapan  Ustaz Mohammad Farid Bin mohammad Zainal (Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir). Bertambah serinya apabila ucapan Ustaz Mohammad farid diakhiri dengan sebuah sajak yang dideklimasikan oleh beliau sendiri.

                Majlis penutupan FITRAH ’15 turut disajikan dengan pelbagai persembahan menarik dari ahli-ahli BKASM sendiri. Antaranya, dikir barat daripada unit bait muslim Selangor, lakonan santai daripada mahasiswa baru ikhwah dan nasyid daripada kumpulan Sufi’s Rhythm.

                Akhir kata, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang turut hadir dalam menjayakan dan memeriahkan program ini. Bertepatan dengan firman ALLAH s.w.t yang bermaksud: ‘berpegang teguhlah pada tali ALLAH dan janganlah berpecah belah..’ . 

Harapannya, dengan wasilah yang ada ini menjadikan ukhuwah antara seluruh ahli BKASM semakin erat sekaligus mengukuhkan lagi kebersamaan antara ahli BKASM dengan penerapan nilai islami.

" Ramadan dirindui, Fitrah dirasai "
" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh,
NUR ADILAH HUSNA BINTI AHMAD AZMI
Timbalan Setiausaha,
Festival Tarbiah Raya Hijriah (FITRAH’15)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015                                                                                                                                                   
                  


Sabtu, Julai 18, 2015

EDISI KHAS MUSLIMAH : MUSLIMAH & AIDILFITRI

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :


ما تركتُ بعدي فتنةً أضرَّ على الرِّجال من النِّساء

“Tidak lah aku tinggalkan suatu fitnah yang lebih berbahaya bagi laki-laki daripada fitnah wanita.”

Ketika zaman jahiliah,wanita tidak dimuliakan malah martabatnya direndah-rendahkan.Tiada harta yang diwariskan kepada wanita ketika kematian suaminya bahkan wanita menjadi harta yang boleh diwariskan.Apabila datangnya Islam, maka kedudukan wanita diiktiraf bahkan mendapat keistimewaan yang tersendiri. Sebagai seorang muslimah, maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat menjadi seorang wanita Islam yang beriman kerana kedudukannya telah dijamin oleh Allah SWT .
Maksud FirmanNya lagi di dalam surah yang sama ayat ke-35:

“Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim,lelaki dan perempuan yang mukmin,lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan,lelaki dan perempuan yang benar,lelaki dan perempuan yang sabar,lelaki dan perempuan yang khusyuk,lelaki dan perempuan yang bersedekah,lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya,lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama ) Allah,Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”

Di dalam kemeriahan dan kegembiraan kita menyambut ketibaan Syawal yang mulia ini, wanita muslimah mesti menjaga dan memelihara adab-adab yang telah ditentukan oleh syara’ :

MUSLIMAH & ADAB BERMUAMALAH

Dalam Al-Mu’jam Al-Kabir milik Imam Ath-Thabrani, dari Ma’qil bin Yasar berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersbda:

لَأَنْ يُطْعَنُ فِيْ رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيْدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لاَ تَحِلُّ لَهُ
“Andaikata kepala salah seorang dari kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.

Eidulfitri sinonim dengan aktiviti ziarah menziarahi sesama sanak saudara, maka di sana terdapat beberapa garis panduan antaranya ketika bersalam-salaman. Muslimah perlu tahu siapakah mahramnya dan siapakah yang bukan mahramnya supaya tiada kesilapan dalam bersalaman. Bukan itu sahaja, malah muamalah di antara muslimah dan muslimin mesti dijaga untuk mengelakkan sebarang fitnah dari berlaku seperti mana yang telah digariskan di dalam nas al-Quran

“Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik.”(QS. Al-Ahzab: 32)

Di samping menjaga muamalat dari sudut perbualan,muslimah perlu menjaga pandangan untuk mengelakkan fitnah yang mendatang.Hal ini bukan sahaja perlu ditikberatkan oleh muslimah sahaja bahkan muslimin juga.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (QS. An-Nuur: 30)

MUSLIMAH & AURAT

Firman Allah swt:
وَقَرْنَ فِي بُيُوْتِكُنَّ وَلاَ تَبَرُّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيّة الأُولَى

Maksudnya: “Hendaklah kalian (para wanita) tetap di rumah kalian dan janganlah kalian bertabarruj dan seperti tabarruj orang-orang jahiliah. (Surah al-Ahzab ayat 33)
Makna tabbaruj seperti yang disebutkan dalam ayat, Ibnu al-Jauzi dalam tafsirnya menyebutkan dua keterangan ulama tentang makna tabarruj

Pertama, Abu ubaidah:
التبرُّج: أن يُبْرِزن محاسنهن
“Tabarruj: wanita menampakkan kecantikannya (di depan lelaki yang bukan mahram).”
Kedua, keterangan az-Zajjaj:
التبرُّج: إِظهار الزِّينة وما يُستدعى به شهوةُ الرجل
“Tabarruj: menampakkan bagian yang indah (aurat) dan segala yang mengundang syahwat lelaki (bukan mahram).”

Tidaklah bermaksud para muslimah tidak boleh berhias ketika menyambut hari raya kerana memakai pakaian yang terbaik adalah satu sunnah,tetapi pakaian tersebut mestila menepati syariat dan bersopan.Selain itu,muslimah mesti berhati-hati dengan fitnah yang dicipta barat melalui media.Keseronokan berhari raya kadang kala menyebabkan para muslimah tanpa segan silu memperlihatkan kecantikannya di dalam media seperti facebook,instagram dan lain-lain
Hal ini tidak boleh dipandang remeh buat semua yang bergelar muslimah,kerana realiti yang berlaku adalah eksploitasi sesetengah pihak terhadap gambar-gambar wanita di dalam media sehingga mencalar maruah mereka.

PERANAN MUSLIMAH

Imam Muslim meriwayatkan dari hadis Abu Sa’id raahimahullah:


واتقوا النساء، فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء.

“takutlah kalian terhadap (fitnah wanita) kerana sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil adalah disebabkan wanita”.

Sebagai kesimpulannya,seorang wanita muslimah mesti memelihara kehormatannya baik dari aspek muamalah dan pergaulannya,dan juga dari aspek berpakaian bukan sahaja di bulan Syawal bahkan di bulan-bulan lain juga, kerana Allah mencintai wanita-wanita yang memelihara kehormatan dirinya.

Benar wanita itu fitnah, tetapi perlu diingat, bahawa wanita itu juga adalah sebaik-baik perhiasan yang Allah ciptakan atas muka bumi ini kerana ketaatannya kepada Allah SWT dan RasulNYA.

Marilah sama-sama kita hayati nasihat dari kekasih kita Rasulullah Sallallaahu 'alaihi wa sallam :


اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلْعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ مَا فِي الضِّلْعِ أَعْلَاهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ


“Berniat dan berbuat baiklah kalian kepada para wanita. Karena seorang wanita itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, dan sesungguhnya rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Maka apabila kamu berusaha dengan keras meluruskannya, niscaya kamu akan mematahkannya. Sedangkan bila kamu membiarkannya niscaya akan tetap bengkok. Maka berwasiatlah kalian kepada para istri(dengan wasiat yang baik).” (Muttafaq ‘alaih dari Abu Hurairah)


disediakan oleh :

Ustzah Siti Nurliana binti Zainudin
Timbalam Yang Di-pertua II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

" Ramadan Dirindui Fitrah Dirasai "

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

 BKASM Sesi 2014/2015



Jumaat, Julai 17, 2015

ISU ZAKAT - Pertemuan Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat BKASM Bersama wakil Pelajar Perubatan


ISU ZAKAT - Pertemuan Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat BKASM Bersama wakil Pelajar Perubatan 15 Julai : Rabu - Pertemuan telah diadakan bersama wakil zakat Perubatan Universiti Ain Shams bagi membincangkan permasalahan zakat yang berlaku dikalangan mereka. Berhubung dengan permasalahan yang berlaku, wakil pelajar Pengajian Perubatan berjaya membangunkan dua kertas kerja yang setiap satunya mempunyai tujuan tertentu. 

Kertas kerja pertama berkisar Tuntutan Pembayaran Bantuan Umum Pelajaran(BUP) Diawalkan kepada pelajar perubatan Tahun5 Universiti Ain Shams. Dan yang kedua, Tuntutan Pembayaran Yuran menggunakan nilai matawang USD serta Menaikkan Kos Sara hidup kepada RM12000. Kertas kerja ini berjaya dihantar kepada wakil delegasi Malaysia yang hadir ke Mesir pada bulan Disember tahun lepas bersama- sama kertas kerja dari pelajar Pengajian Islam.
Sehubungan itu,pertemuan dua pihak antara Wakil Jawatankuasa Bertindak Zakat BKASM dengan wakil pelajar Perubatan Universiti Ain Shams berbincang hala tuju permasalahan seterusnya mencari dan merangka gerak kerja yang akan datang bagi melicinkan segala pengurusan di masa akan datang.
Akhirnya, semoga dengan adanya kerjasama antara pelajar Pengajian Islam dan pelajar Pengajian Perubatan dapat membuahkan hasil dan menatijahkan satu keputusan yang efektif dan profesional daripada pihak yang berwajib.

Disediakan Oleh : 
Setiausaha,
Jawatankuasa Bertindak Zakat,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Rabu, Julai 15, 2015

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR



KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR

14 JULAI 2015

ISU DAKWAAN BERLAKU PENIPUAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH

Mesyuarat Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2014/2015 telah mengambil beberapa pertimbangan dalam isu berkenaan dengan dakwaan berlaku penipuan bayaran asrama di Kaherah yang telah tersebar berikutan kenyataan media Kedutaan Besar Malaysia Ke Kaherah dan Palestin bertarikh pada 13 Julai 2015 dan telah mencapai kesepakatan seperti berikut :
1.       Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) menafikan berlaku penipuan sebagaimana yang dilaporkan sepanjang pengurusan BKAN kepada pelajar-pelajar baru ke Mesir setiap tahun. Pengurusan yang dilaksanakan di peringkat BKAN berjalan dengan telus dan dipantau dari semasa ke semasa oleh Yang Dipertua BKAN.­­



2.       BKAN memohon pihak kedutaan agar memberikan penjelasan jelas dan terperinci berkaitan dakwaan yang berlaku. Justeru kenyataan umum yang dikeluarkan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi yang kurang baik kepada BKAN dan telah mewujudkan suasana yang tidak selesa dalam kalangan ahli BKAN terutama di laman-laman sosial.



3.       BKAN bersetuju akan menyusun satu pertemuan khas dengan pihak Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Palestin untuk menuntut penjelasan lanjut berkaitan perkara tersebut.



5    4.       BKAN menasihatkan seluruh ahli agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi di laman-laman sosial dan tidak mengambil tindakan melulu.


ANAS BIN MOHD BHUKHARI                      
(YANG DIPERTUA BKASM)


MOHAMMAD BIN MOHAMAD ZIN            
(YANG DIPERTUA KPKM)

SYAHID SYAMIL BIN RAMLI                       

(YANG DIPERTUA BKMIP)

USAMAH BIN ARIS                                          
(YANG DIPERTUA BKPJM)

AHMAD RABBANI BIN ISMAIL                    
(YANG DIPERTUA BKKIMM)

AHMAD WALIYUDDIN BIN JOHARI          
(YANG DIPERTUA KPT)

MOHD JASRY RAIMY BIN JOHARI            
(YANG DIPERTUA BKPPPM)

MUHAMMAD ‘ASRI BIN MOHD SALIM    
(YANG DIPERTUA KPIPM)

MUHAMMAD YASIN BIN AWANG              
(YANG DIPERTUA BKAWM)

AHMAD MAHIR BIN C. NASRUDDIN          
(YANG DIPERTUA KPP)

MOHD SHAFIQ BIN MOHD NASER             
(YANG DIPERTUA MKKK)

Selasa, Julai 14, 2015

Kunjungan Rasmi wakil BKASM ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam



SHAH ALAM -13 Julai 2015 (Isnin)- Saudara Muhamad Nazif Bin Shaari ,Timbalan Yang Dipertua 1 yang merupakan wakil rasmi Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah membuat satu kunjungan rasmi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor serta mengadakan pertemuan bersama Yang Berhormat Dr Ahmad Yunus Bin Hairi  Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan.

Turut bersama dalam pertemuan tersebut Saudara Fikhry Hakim bin Fadzilullah wakil rasmi Jawatankuasa Bertindak Zakat BKASM, Saudara Mohd Farhan Bin Mazlan, wakil dari Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Selangor dan Ustaz Noor Najahan Bin Mohamad Salleh selaku Pegawai Dasar Agama Exco Kerajaan Negeri Selangor. 

Pertemuan bermula seawal jam 9.30 pagi yang membincangkan tentang gerak kerja dan permasalahan di peringkat BKASM serta penyelesaian yang boleh diambil tindakan oleh kedua-dua pihak.


Pihak BKASM berharap agar hubungan rasmi ini dapat diteruskan dan dikekalkan demi menjamin kemaslahatan ahli BKASM khususnya dan anak-anak Selangor di Mesir umumnya.
Pihak BKASM juga mengucapkan terima kasih kepada wakil Exco Kerajaan Negeri Selangor Yang Berhomat Dr Ahmad Yunus Bin Hairi atas kerjasama baik yang diberikan.

Semoga Kerajaan Negeri Selangor sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah swt dalam memimpin dan memberi kebajikan kepda seluruh rakyat Selangor.


" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "


Disediakan Oleh ;
Ustazah Siti Nurliana binti Zainuddin
Timbalan Yang DiPertua II,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015


Ahad, Julai 12, 2015

IFTOR JAMAIE 2015 : Bukti Kebersamaan Antara BKAN


Iftor Jamaie 2015 : Bukti Kebersamaan Antara BKAN
HAYYU ‘ASYIR : 11 Julai 2015 :- Suasana Ramadhan 1436H di Mesir terus meriah dengan penganjuran Iftor Jamaie yang dianjurkan bersama seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN), Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia dan Muslim Care Malaysia Society. 
Program yang dimulakan pada 6.15 petang di Dataran Hayyu Asyir dengan slot Sembang Santai bersama Ustaz Muhamad Hakimi Bin Hussin, Mantan AJKT BKASM ini berjaya mengumpulkan hampir 900 orang warga Malaysia yang terdiri daripada mahasiswa/wi dan Pegawai-pegawai Atase Pendidikan Negeri. Dengan kerjasama yang ditunjukkan menggambarkan bukti kebersamaan antara BKAN dalam memberikan khidmat kebajikan kepada ahli. Dalam masa yang sama, BKAN terus berusaha menerapkan aspek takaaful iaitu saling bantu-membantu sesama muslim sesuai dengan tarbiyyah Ramadhan yang menyeru kepada kesamarataan sesama muslim.
Penganjur turut membawakan kepada hadirin yang hadir satu slot Muhadharah Ammah yang bertajuk Kesan Ramadhan Kepada Individu dan Masyarakat bersama Syeikh Dr Ali Abdul Basit Muzid yang merupakan pensyarah dan Ketua Bahagian Hadis Universiti Al-Azhar Bani Suef. Hadirin yang hadir melahirkan rasa berpuas hati dengan pengisian yang disampaikan dengan jelas dan menarik.
“Kami pelaksana program melahirkan rasa bersyukur dengan kelancaran dan keberjayaan program walaupun perancangan dan penyusunan hanya dalam masa singkat sahaja. Kami yakin keberjayaan ini hasil kebersamaan erat antara BKAN-BKAN dalam memimpin kesatuan anak-anak negeri di peringkat masing-masing dan dokongan ahli-ahli BKAN”, ujar Pengarah Ifthor Jamaie 2015, Muhammad Nur Syaza Jamal.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "
" Memurnikan Pemikiran Melesrarikan Kesatuan "

Jumaat, Julai 10, 2015

MENJERNIHKAN FIKRAH BUAT UMMAH - Tinta Jumaat siri ke - 27


Menjernih Fikrah Buat Ummah Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya. Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang salah dan tersasar dari matlamat yang diingini. Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah keperluan memahami landasan perjuangan yang benar seterusnya mendapat redha Allah swt Saidina Umar al-Khattab pernah menegaskan (mafhumnya) : “Fahamilah olehmu (akan perkara agama dan urusan kepimpinan atau perjuangan) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin.” Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan nescaya diberi faham tentang agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pertama : Memahami Ghayah (Tujuan) Ghayah adalah tujuan yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu, ghayah atau matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t. Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah s.w.t kerana kelak menjadikan kita terpesong daripada petunjuk-Nya : وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ “Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah s.w.t.” (Al-An'am, ayat: 153) Apabila kita benar-benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t, maka kita mesti menjadi orang yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan. Kedua: Memahami Hadaf Hadaf ialah objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari tujuan yang ingin dicapai. Untuk memastikan matlamat semasa dicapai, kita wajib menghayati objektif yang ingin dicapai dahulu. Jika tidak, ianya akan menjadi sia-sia sahaja. Ketiga : Memahami Manhaj Perjuangan Islam perlu difahami secara jelas sebagaimana jelasnya yang dituntut dalam Al-Quran dan Sunnah. Nafsu dan aqal adalah musuh utama dalam memahami manhaj yang ingin dibawa. Firman Allah : ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ “Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” (Al-Jaatsiyah, Ayat: 18) Suatu jamaah itu mesti ada perlembagaan. Maka dengan berpandukannya kita berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Keempat: Memahami Bi’ah (Realiti) Perjuangan mestilah disampaikan melalui cara yang benar, penampilan dan method (cara) yang tepat dan sesuai. Maka memerlukan kita memahami bi’ah atau realiti yang dihadapi supaya manhaj tersebut dapat disampaikan dengan baik ke setiap hati masyarakat. Kita mestilah terbuka dan berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak. Tidak memahami bi’ah menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula. Kelima: Memahami persediaan Allah berfirman : وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu.” (Al Anfaal, Ayat: 60) Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita. Saidina Umar al Khattab menyatakan (mafhumnya), “Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh).” Dan tidak lupa juga hubungan antara kita dan Allah swt sendiri. يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ. قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا. نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا “Wahai orang yang sedang berselimut! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil, Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu."(Al Muzammil, Ayat: 1 – 5) Sekian. Muhammad Al-Fateh Bin Ahmad Sapian, Ketua Lajnah Kebajikan, BKASM Sesi 2014/2015.

Ahad, Julai 05, 2015

ISU ZAKAT - PERTEMUAN WAKIL AHLI JAWATANKUASA BERTINDAK ZAKAT BERSAMA IBU BAPA

4 Julai - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,Shah Alam : Berhubung permasalahan zakat yang berlaku, maka satu pertemuan yang dirancang oleh Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat bersama ibu bapa pelajar bagi memberi sedikit pendedahan dan penerangan berkaitan permasalahan zakat yang berlaku dikalangan pelajar di Mesir. Hasil daripada perbincangan, beberapa solusi dan kata sepakat berjaya disepakati antara ibu bapa bersama wakil Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat.

Moga dengan adanya kerjasama antara Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat wakil kepada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) bersama ibu bapa pelajar dapat membuahkan hasil yang mengembirakan bagi pelajar yang menuntut di Bumi Kinanah ini. Moga Allah membalas jasa baik kalian yang membantu secara langsung dan tidak langsung. 

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan

 Disediakan Oleh :
 Setiausaha  Ahli Jawatankuasa Bertindak Zakat 
 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir

Jumaat, Julai 03, 2015

ADAKAH AKU MUAZ ATAU MU'AWWIZ ? - Tinta Jumaat siri ke - 26


ADAKAH AKU MUAZ ATAU MU'AWWIZ ?

Semasa peperangan Badar pada 17 Ramadan Tahun ke-2 Hijrah,diceritakan bahawa Abdurrahman bin Auf didatangi dua orang remaja dari kaum ansar, Muaz bin Amr Al-jamuh,  berusia 14 tahun dan Mu'awwiz bin Afra berumur 13 tahun. Kedua- duanya bersenjatakan pedang. Tentera Quraisy seolah olah tidak menghiraukan kehadiran dua remaja itu kerana menganggap kedua duanya tidak berbahaya. Mereka lebih memilih Abdurrahman bin Auf agar ditawan hidup hidup untuk dijadikan tebusan kerana beliau terkenal sebagai saudagar yang kaya.

Dalam kondisi pertempuran, Abdurrahman bin Auf meminta agar remaja tersebut menjauhi medan peperangan kerana memikirkan dirinya yang masih muda.Namun Muaz seraya menjawab bahawa dia telah mendapat izin dari orang tuanya.Dengan pantasnya, Mu'awwiz menyatakan hasrat kedatangannya adalah untuk membunuh musuh Islam iaitu Abu Jahal.

Pada mulanya ,Abdurrahman bin Auf tidak menghiraukan kata-kata dua orang remaja itu .Namun kerna perilakunya yang terus mendesak Abdurrahman agar menunjukkan di mana Abu Jahal,maka akhirnya beliau terpaksa menyetujui permintaan mereka.
“Ibuku berpesan jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari   badannya,” jawab Muaz bersungguh.
“Abu Jahal menghina serta menyakiti Rasulullah, maka aku ingin membunuhnya,” kata Mu'awwiz   pula.

Abdurrahman bin Auf tersenyum mendengar kata-kata dari dua orang remaja yang berani itu.Beliau berjanji akan menunjukkan Abu Jahal apabila berjumpa nanti.Diringkaskan cerita, setibanya terlihat kelibat Abu Jahal, maka Muaz dan Muawwiz terus berlari ke arahnya yang masih berada di atas kuda.Ketika itu Abu Jahal tidak menyedari kedatangan dua remaja tersebut. Muaz tiba terlebih dahulu , namun dia tidak tercapai untuk menebas kaki Abu Jahal tetapi dia telah menebas kaki kanan kuda yang dinaiki Abu Jahal.Seketika kuda tersebut jatuh tersungkur, makaAbu Jahal    juga tersungkur. Abu Jahal sangat marah dan mencuba untuk bangun tetapi dengan cepat Muaz menebas kaki kanan Abu Jahal hingga putus. Muawwiz yang menyusul pula memukul kepala Abu Jahal.

Ikramah, anak kepada Abu Jahal yang turut berada di situ segera menolong dan melindungi bapanya.Dia menyerang Muaz dan menebas tangan kiri remaja itu sehingga hampir putus.Ikramah membiarkan Muaz berusaha untuk lari kerana melihat Mu'awwiz ingin membunuh bapanya.Maka  terjadilah pertempuran antara Ikramah dan Mu'awwiz dan akhirnya remaja ini gugur syahid.

Dalam pada itu,Muaz terus berlari menuju Rasulullah.Namun perjalanannya terganggu kerana tangan kirinya yang terkulai itu.Akhirnya Muaz berhenti seketika dan mengambil keputusan untuk memutuskan tangannya.Tanpa menghiraukan kesakitannya ,Muaz terus berlari hingga bertemu Rasulullah.

Menerusi kisah ini,kita sebagai remaja hari ini yang bakal menjadi penerus perjuangan nabi,perlulah mengambil ibrah sebanyak-banyaknya daripada kisah dua orang remaja tersebut.Medan perjuangan kita dan mereka hari ini cukup berbeza.Namun sejauh manakah kita dapat memposisikan diri kita seperti mereka?.Semoga kita sama-sama dapat merungkai persoalan "Adakah Aku Muaz atau Mu'awwiz?"

 Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “

Disediakan oleh :
Siti Noor Aisyah binti Ismail
Timbalan Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015