SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Isnin, Ogos 31, 2015

RISALAH DAKWAH TERBITAN OGOS - PAYAH NAN INDAH

((ولا تهنوا ولاتحزنوا وأنتم الأعلون إن كنتم مؤمنين))
Dan janganlah kamu merasa lemah,dan jangan pula bersedih hati sebab kamu paling tinggi darjatnya.
(( من قال لا إله إلا الله فهو الداعي ))
Sesiapa yang mengucapkan kalimah tiada tuhan selain Allah maka dia adalah seorang daie.

Acapkali kita didengarkan atau dizikirkan dengan bait-bait ayat diatas. Tidak kira dimana kita berada pastinya diulang-ulang. Namun adakah bila tiap kali diulang atau diperdengar kepada kita,kita sudah mampu melaksanakannnya??? Tepuklah dada, tanyalah iman..Payah bukan??
Sahabat-sahabat , ingatlah di setiap kepayahan yang didatangkan kepada kita pasti akan ada keindahan walau sekelumit rasa. Jika ingin dibandingkan kepayahan dakwah baginda Nabi SAW dan para sahabat,apalah sangat kepayahan kita.

Bas mogok dan kita tidak dapat ke kuliah atau ke destinasi pilihan? Maka pilihlah pengangkutan awam yang lain. Payah? Jika kita sudah sampai ke destinasi pilihan,sedikit demi sedikit rasa itu hilang.  Indah bukan! Tidak berniat untuk menjadi menteri pengangkutan, namun ini hanyalah satu perkongsian.

Menghafaz dan mengulang kalam suciNya tidak kira kita sebagai seorang hafiz atau hafizah atau mungkin juga mengulang muqarrar di kuliah.Subhanallah payahnya hanya diri kita dan Allah sahaja yang tahu bukan?

Baca dan sorotilah kisah bagaimana kekasih Allah SWT yakni Nabi Muhammad SAW menerima wahyu Allah seperti dalam kitab-kitab sirah yang telah termaktub, bagaimana nabi terjelepuk jatuh kerana beratnya wahyu kalam Allah SWT. Tetapi,indahnya generasi  hari ini hanya perlu baca,fahami,hafaz dan sampaikan. Payah bahkan susah tetapi Al-quran sentiasa dihati. Indahnya.

Dimarahi sahabat tatkala mengejut bangun subuh. Pedih dan sakit. Rasa bagaikan tiada lagi kejutan subuh untuk esok hari. Justeru, bayangkan bagaimana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat diugut bunuh,diseksa,dipulau tatkala islam ingin disebarkan. Bagaimana kepayahan Bilal Bin Rabah hanya untuk mengatakan lailahaillallah,anak dan isteri nabi Nuh yang tidak mahu bersama dengan jalan Islam,pakcik-pakcik Nabi yang sentiasa memusuhi dan membantutkan perjuangan Islam.

Jika dikenang kembali,indahnya bila melihat sahabat seperjuangan kita sama-sama menunaikan solat subuh berjemaah. Hati bahagia,pahala berganda!

Jom,mulakan langkah! Kerja dakwah,kerja tarbiah memang payah malah boleh dibilang berapa ramai yang mampu menerima. Namun,ingatlah janji Dia Yang Esa. Jika tidak indah didunia mungkin indahnya di syurga.

“PEMIKIRAN WASATIYAH MEMBENTUK TUNJANG UMMAH”

Hasil Karya : Norliana binti Kamal

| Lajnah Dakwah & Tarbiah |

| BKASM sesi 2014/2015 |








Sabtu, Ogos 29, 2015

RISALAH ILMIAH SIRI KEENAM - TUNTUTAN ILMU DAN PERSATUAN


مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَطْلُبُ فِيْهِ عِلْمًا، سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيْقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ

"Barangsiapa menempuh suatu jalan yang padanya dia mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan dia menempuh jalan dari jalan-jalan (menuju) jannah(syurga) . . .”

Baru-baru ini, kita telah dibanjiri dengan kedatangan pelajar-pelajar baru yang diumpamakan seperti permata-permata baru yang bakal meraih lautan ilmu di bumi kinanah dan mencurahkan bakti di Malaysia tanah tempat kelahiran. Setelah menempuh ujian demi ujian, halangan serta halangan akhirnya berkat kesungguhan dan keazaman yang tinggi, mereka berjaya sampai dengan aman dan selamat .

Sepertimana yang kita tahu, hadis nabi ada menyatakan : 
طلب العلم فريضة على كل مسلم و مسلمة
“menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap lelaki muslim dan wanita muslim “. Hadis di atas menunjukkan tentang kewajipan menuntut ilmu bagi setiap insan. Kita sebagai azhari dan azhariah khususnya pelajar-pelajar baru yang baru melangkah ke bumi anbia’ perlulah menitikberatkan tentang kepentingan ilmu dan memastikan ilmu yang diambil mestilah daripada sumber yang baik dan benar.

Orang yang berilmu banyak kebaikannya antaranya mendapat kehormatan di sisi Allah dan Rasul-Nya. Seperti yang terdapat dalam surah Al Mujadalah ayat 11:

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ
Ertinya :
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat (Q.s. al-Mujadalah : 11)

Selain itu,antara kebaikan bagi penuntut ilmu adalah ianya merupakan amalan yang dibawa hingga ke liang lahad.Seperti hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu daripada Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, beliau bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ
"Apabila seorang keturunan Adam meninggal dunia maka terputuslah amalnya kecuali dari tiga hal: shadaqah jariyyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau seorang anak shalih yang mendo'akannya." (HR. Muslim )

Betapa besarnya kebaikan yang akan didapatkan oleh orang yang berilmu berupa pahala dan kebaikan-kebaikan yang banyak. Dan pahala tadi akan terus mengalir kepadanya tanpa terputus selama ilmunya disampaikan dari generasi ke generasi.

Kesimpulannya, manfaatkanlah segala masa yang ada dengan menggarap lautan ilmu yang berada di bumi kinanah ini sebaiknya tanpa melupakan kerja-kerja persatuan BKASM yang banyak memberikan pengalaman dan kemahiran yang bermanfaat untuk agama , bangsa dan Negara . Sama-sama kita memperbaharui niat dalam setiap perkara yang dikerjakan agar diri kita dihiasi dengan keredaan daripada ALLAH .

Disediakan oleh :
Nurul 'Adnin binti Mohd Halin
Timbalan Unit Akademik
Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Jumaat, Ogos 28, 2015

Merdekakah kita ? TINTA JUMAAT SIRI KE - 32

Pada 31 Ogos ini kita sebagai rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58. Apabila kita sebut tentang kemerdekaan jelaslah yang dimaksudkan dengan merdeka daripada segi bahasanya adalah kita bebas daripada penjajah kuasa asing yang bermula pada tahun 1511 sehingga 1945. Hakikatnya kita merdeka hanya sekadar jaharnya sahaja, akan tetapi diri dan pemikiran kita dijajah oleh mereka yang tidak ingin untuk Negara kita hidup dengan kehidupan islam yang lebih sempurna.

Firman Allah S.W.T  :
 قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
 (Al-Naml : 34)  

Ertinya : Ratu Balqis berkata : “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah yang mereka akan lakukan.

Begitu juga kita telah hampir untuk memasuki Bulan kemerdekaan, selari dengan cara sambutan kemerdekaan bukan sahaja tidak berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang sanggup mati untuk menghalau penjajah malah tidak bersyukur kepada Allah dengan melakukan maksiat. Akhirnya laungan merdeka menjadi nyanyian yang melalaikan ketika sistem penjajah terus menguasai jiwa dan Negara yang menyaksikan bukan sahaja jenayah bertambah ganas dan parah malah maruah Islam dan umatnya semakin tercalar.Maka, perlulah kita untuk menghayati sambutan kemerdekaan mengikut syariat islam.

Dalam erti kata lain, sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum :
نحن قوم انبعثنا الله لنخرج الناس من عبادة العباد إلى عبادة الله ,و من جور الأديان  إلى عدل الإسلام ,و من ضيق الدنيا إلى سعة الأخرة
                             Maksudnya : Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.

Antara kemerdekaan yang kita perlu kecapi adalah :-
                           1 ) Memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara daripada menyekutui Allah dari segi penyembahan dan pergantungan hidup.
                           2 )  Memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara daripada menyembah sesama manusia supaya hilangnya sikap manusia yang mempercayai dan mengikut kata-kata dan perbuatan orang berpangkat.
                           3 )Memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara daripada sebarang bentuk kezaliman sistem manusia, perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, marilah bersama-sama bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan pemerintahan Islam agar maruah kita terbela dan nasib kita terjaga. Merdekakan diri dan pemikiran kita daripada penjajahan jahiliah agar kita dapat menjulang kembali kegemilangan sistem islam.


” Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “


Disediakan Oleh :
Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan
Ketua Lajnah Sambutan & Rehlah

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Selasa, Ogos 25, 2015

KEMBARA BALTIM'15 - Hati Dipateri Menyemai Jiwa Rabanni



22 dan 23 Ogos 2015, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dibawah Lajnah Sambutan dan Rehlah telah berjaya menganjurkan jaulah santai ke Baltim, Kafr Syeikh. Program  khusus yang melibatkan mahasiswa Selangor ini diberi nama KEMBARA BALTIM’15, ini kerana Baltim merupakan destinasi yang julung kalinya dipilih sebagai destinasi jaulah santai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir pada kali ini.

Antara objektif yang digariskan pada KEMBARA BALTIM’15  adalah mengukuhkan ukhuwah antara ahli BKASM pada setiap peringkat dan seterusnya menerapkan nilai tarbiyah ruhiyyah dan jasadiyah dalam kalangan ahli selain menanamkan nilai kesatuan islam dalam diri peserta yang menjayakannya.

Seramai  45 orang peserta  telah menyertai jaulah kali ini yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Zahiruddin bin Mohamad Kamal, selaku pengarah KEMBARA BALTIM’15. Sebelum bertolak, peserta menunaikan solat fardhu subuh secara berjemaah di Musolla Darul Ehsan. Perjalanan ke Baltim dengan menaiki sebuah bas  bertolak seawal jam 5 pagi dari kompleks kediaman pelajar Selangor. Perjalanan panjang  yang memakan masa hampir 5 jam ini mejadi lebih meriah dan seronok dengan pengisian ta’aruf dan kuiz yang telah disusun oleh unit pengisian.

Setibanya di Baltim, peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk check in di Villa Qosr An-nur seterusnya membuat persiapan sarapan. Program diteruskan lagi dengan majlis perasmian dan nyanyian lagu tema ‘gemuruh’. Jaulah KEMBARA BALTIM’15 telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua 1 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015, Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari. Setelah selesai perasmian, peserta diberikan peluang  melakukan aktiviti bebas, sementara menunggu aktiviti seterusnya peserta menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar secara berjemaah.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti memasak dan makan yang melibatkan seluruh peserta di lapang yang disediakan. Aktiviti seumpama ini mampu meribatkan lagi ukhuwah diantara ahli BKASM yang terlibat. Para peserta kemudiannya bersiap dan dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk melakukan aktiviti pantai pada kira-kira jam 4 petang. Aktiviti ini dimulakan dengan  sukaneka dan diteruskan dengan mandi pantai sehingga jam 6 petang. KEMBARA BALTIM’15 diteruskan lagi selepas solat jama’ taqdim maghrib dan isya’ dengan pengisian santai ilmiah, pengisian bertajuk “Fiqh Musafir” ini disampaikan oleh ustaz Khairul Amirin bin Khabir yang merupakan mantan AJKT Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2014. Setelah itu, peserta diberikan santapan malam berbentuk BBQ yang disediakan oleh unit masakan dan diteruskan dengan aktiviti bebas.

Hari kedua KEMBARA BALTIM’15 dimulakan dengan solat Subuh secara berjemaah dan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob selaku Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan sesi 2014/2015 dan para peserta diberikan sedikit taklimat aktiviti untuk hari kedua di Baltim. Bagi mencergaskan suasana pagi hari, para peserta memulakan aktiviti “warming up” dan “trade mark” kumpulan masing-masing sebelum melakukan aktiviti yang agak mencabar iaitu explorace. Setelah selesai beriadah, peserta disajikan dengan santapan pagi dan aktiviti bebas serta membuat persiapan terakhir untuk pulang ke Kaherah. Sebelum berangkat pulang, para peserta sempat bergambar bersama tanda kenang-kenangan dan  rombongan KEMBARA BALTIM’15 bergerak pulang pada jam 11 pagi. Perjalanan pulang ke Kaherah tidak sunyi dengan berlangsungnya majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua 1 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015. Para peserta rombongan tiba dengan selamat di Kaherah pada jam 4 petang

Pihak AJK pelaksana program mengucapkan ribuan terima kasih diatas kerjasama dan keterlibatan mahasiswa dalam menjayakan KEMBARA BALTIM’15 dan diharapkan objektif yang digariskan berjaya tercapai. Semoga ukhuwah yang dibina ini kekal dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

“Hati Dipateri, Membina Generasi Rabbani”
“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
MOHAMMAD AZRI BIN MOHD SHAMSURI
SETIAUSAHA,
KEMBARA BALTIM'15
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2014/2015





Ahad, Ogos 23, 2015

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR - SUSULAN ISU DAKWAAN PENYELEWENGAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH




23 OGOS 2015 - KAHERAH, Mesyuarat Yang Di-Pertua (YDP) Badan Kebajikan Anak Negeri pada hari Sabtu bertarikh 22 Ogos 2015 di Wisma Perak Baitul Ridzuan, Kaherah yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Asri bin Mohd Salim, YDP Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir adalah bertujuan membincangkan tindakan susulan hasil perjumpaan YDP-YDP BKAN bersama pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) pada 17 Julai 2015 bertempat di Asrama Sementara Wilayah Persekutuan yang lepas. Mesyuarat telah mencapai kata sepakat seperti berikut : 1) Merujuk kepada ucapan Yang Mulia Tuan Yang Terutama Dato' Ku Jaafar bin Ku Shaari, Duta Besar Malaysia Ke Mesir dan ditauliah serentak ke Palestin, beliau telah menafikan keterlibatan BKAN dalam isu penyelewengan tersebut dan menyatakan kenyataan tersebut adalah bersifat umum dan tidak membabitkan BKAN. 2) Justeru, BKAN memohon pihak KBMK mengeluarkan satu kenyataan menafikan keterlibatan persatuan-persatuan negeri sekaligus bagi membersihkan BKAN dalam dakwaan penyelewengan ini yang telah tersebar luas dalam media perdana negara dan media akhbar di Mesir samada melalui media rasmi KBMK atau akhbar-akhbar tempatan. 3) BKAN akan terus komited dalam meneruskan pengurusan kebajikan pelajar-pelajar baru ke Mesir dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri. Akhirnya, BKAN amat berbesar hati agar pihak KBMK memandang serius perkara ini. BKAN juga mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian menjemput YDP-YDP BKAN ke majlis pertemuan tersebut sekaligus menafikan keterlibatan BKAN dalam isu yang dinyatakan. MUHAMMAD ‘ASRI BIN MOHD SALIM (YANG DIPERTUA KPIPM) ANAS BIN MOHD BHUKHARI (YANG DIPERTUA BKASM) MOHAMMAD BIN MOHAMAD ZIN (YANG DIPERTUA KPKM) SYAHID SYAMIL BIN RAMLI (YANG DIPERTUA BKMIP) USAMAH BIN ARIS (YANG DIPERTUA BKPJM) AHMAD RABBANI BIN ISMAIL (YANG DIPERTUA BKKIMM) AHMAD WALIYUDDIN BIN JOHARI (YANG DIPERTUA KPT) MOHD JASRY RAIMY BIN JOHARI (YANG DIPERTUA BKPPPM) MUHAMMAD YASIN BIN AWANG (YANG DIPERTUA BKAWM) AHMAD MAHIR BIN C. NASRUDDIN (YANG DIPERTUA KPP) MOHD SHAFIQ BIN MOHD NASER (YANG DIPERTUA MKKK)


" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

#KITAPMRAM
#50TAHUNBKASM
#BersamaBersatu

Khamis, Ogos 20, 2015

JEJAK BALTIM ' 15 - UKHUWAH TERCIPTA MEMORI TERUKIR

17 OGOS 2015, ISNIN – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2014/2015 dibawah kelolaan Lajnah Sambutan & Rehlah telah mengadakan jaulah santai ke Baltim, Kafr Syeikh pada 15 Ogos 2015  bersempena dengan cuti musim panas pada tahun ini. Jaulah santai yang diberi nama JEJAK BALTIM’15 dan bertemakan “Ukhuwah Tercipta, Memori Terukir” ini adalah ilham perbincangan bersama barisan adhoc pelaksana kerana Baltim menjadi destinasi pilihan buat pertama kalinya untuk diadakan jaulah santai.  Jaulah santai JEJAK BALTIM’15 ini adalah khusus bagi mahasiswi Selangor di Perlembahan Nil.

Antara objektif yang dibawa pada jaulah santai JEJAK BALTIM’15 pada kali ini adalah memperkasakan ukhuwah antara sesama ahli selain meneliti kebesaran Ilahi dan mengambil ibrah kesan berkelana dibumiNya. Di samping itu, ianya juga bertujuan menjadikan jaulah sebagai wasilah tarbiah.

Seramai 70 orang mahasiswi dan 4 orang musyrif daripada kalangan mutazawwijin dan musyrif BKASM bersama menjayakan jaulah ke Baltim ini. Jaulah ini diketuai oleh Ustazah Siti Rahmah Binti Ismail sebagai pengarah JEJAK BALTIM’15. Pendaftaran dibuka seawal jam 3.30 pagi dan  seterusnya peserta dibahagikan tempat duduk samada di dalam bas ataupun coaster. Sebuah bas menempatkan seramai 50 orang dan 24 orang  yang berbaki berada di dalam coaster.

Sebelum bermulanya permusafiran ini, peserta menunaikan solat fardhu Subuh secara berjemaah di maktabah. Rombongan bertolak daripada Kaherah pada jam 5 pagi. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam untuk sampai ke destinasi. Peserta diberikan sedikit taklimat tentang tentatif program ketika berada di perjalanan.

Setibanya di Baltim, para peserta  check in di villa Qosru An-Nur untuk menunaikan solat sunat Dhuha, sarapan pagi dan bersiap-siap untuk melakukan aktiviti pantai. Program dimulakan dengan aktiviti ‘warming up’ disusuli dengan nyanyian lagu tema ‘Ku Berlari’ dan taaruf sesama ahli kumpulan, kemudian aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti pantai  dan aktiviti bebas oleh peserta. Setelah selesai aktiviti bebas pantai, para peserta diberi santapan tengahari dan diteruskan dengan  aktiviti santai. Para peserta menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar.

Program diteruskan dengan ucapan penutupan dan penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan oleh Timbalan Yang Dipertua II Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015, Ustazah Siti Nurliana binti Zainudin. Sebelum berangkat pulang, para peserta mengambil gambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan sebelum meninggalkan tanah Baltim, Kafr Syeikh untuk pulang kembali ke Kaherah. Pada kira-kira jam 5.00 petang, peserta jaulah santai JEJAK BALTIM’15 memulakan perjalanan pulang dan semua  peserta selamat tiba di kaherah jam 10.00 malam.

Pihak pelaksana program mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh mahasiswi yang menyertai jaulah santai JEJAK BALTIM’15 atas segala kerjasama  dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan jaulah tahunan kali ini. Semoga objektif untuk mengukuhkan ukhuwah antara ahli tercapai dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

" Ukhuwah Tercipta Memori Terukir "

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh:

NORA BINTI NOOR RUSDEEN
SETIAUSAHA,
JEJAK BALTIM’15.
LAJNAH SAMBUTAN & REHLAH,

BKASM 2014/2015.

Ahad, Ogos 16, 2015

IJTIHAD’15 : INJEKSI THAQAFAH SIMULASI WEHDAH

11 OGOS 2015, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)  di bawah program Hari Tautan
Ukhuwah yang dikenali juga sebagai IJTIHAD’15 telah mengadakan program khusus untuk para mahasiswa baru . Program ini berlangsung selama 4 hari iaitu pada 3, 4, 6 dan 8 Ogos 2015 bertempat di Dewan Masjid Tantawi dan Imarah Selangor. Program ini telah melibatkan seramai 153 orang mahasiswa baru.

Antara objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk meribatkan ukhuwah antara mahasiswa baru dengan ahli BKASM. Seterusnya menerapkan nilai tarbiah ruhiyyah dan fikrah islamiah sekaligus menambahkan pengetahuan serta kefahaman tentang kehidupan di Mesir .Selain itu, program ini juga telah memperkenalkan nilai kesatuan Islam bagi  membentuk kematangan mahasiswa agar mampu menggerakkan Islam demi generasi akan datang .

Program ini bermula dengan slot perasmian oleh Ustaz Muhammad Sufi bin Muhammad Yusoff, Penasihat BKASM sesi 2014/2015. Seterusnya program ini diteruskan dengan slot Taklimat Zakat oleh Ustaz Muhammad Farid Bin Muhammad Zainal, Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir.  Program pada hari pertama  berakhir dengan slot Forum BicaraSiswa : “Apa Peranan Kita” yang disampaikan oleh dua orang panelis yang hebat iaitu Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari dan Ustazah Adilah binti Safiuddin. Pelbagai maklumat yang diberikan oleh mereka dan manfaat sebagai seorang mahasiswa yang berjiwa Islam.

Program ini diteruskan lagi pada hari kedua pada jam 9.00 malam dengan slot Diskusi Kitab : “Peranan Pemuda Dalam Membawa Islam”  oleh Ustaz Khairul Faris bin Abd. Aziz, Fasilitator KPKM sesi 2014/2015. Intipati kitab ini menerangkan tentang bagaimana menjadi seorang pemuda yang berthaqafah dan berjiwa seorang daei sebagaimana  yang dikupaskan oleh pengisi dan antara pesanan terakhirnya adalah "jadilah seorang pemuda yang berjiwa Rabbani dan Ansarullah agar Islam terus tertegak di atas muka bumi ini".

Pada malam 6 Ogos 2015, program IJTIHAD’15 diteruskan lagi dengan slot Teknik Muamalat oleh Ustaz Abdul Hadi bin Hidzan dan Ustazah Noor Hidayah binti Mat Toher. Slot ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa bagi  mengenali serba sedikit bahasa ammiyah di Mesir agar memudahkan mereka bermuamalat dengan orang arab di Mesir tambahan juga  menambahkan ilmu pengetahuan  mereka tentang bahasa.

Walaubagaimanapun, program ini tidak hanya diribat melalui slot sahaja malah pihak program telah mengadakan qiamullail agar dapat meribatkan hati dan iman mereka supaya  sentiasa segar. Bangun malam ini bermula pada jam 3 pagi, 8 Ogos 2015. Selepas itu, program ini  diteruskan dengan solat subuh secara berjemaah dan tazkirah oleh para fasilitator. Walhal, mereka juga diberi ruang dan peluang untuk melontarkan idea dan pandangan secara berkumpulan yang dikenali sebagai GKB (gerak kerja berkumpulan).

Slot diteruskan dengan bersama kepimpinan BKASM bagi memberi penerangan tentang sejarah BKASM dan PMRAM yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hafiz bin Rasimi dan Ustazah Nur Ezzati binti Maher. Tambahan pula, slot ini bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan BKASM sebagai tempat rujukan kepada mahasiswa Selangor .Program ini berakhir dengan slot perasmian penutup oleh Ustaz Muhammad Farid bin Muhammad Zainal, Pegawai Atase Pendidikan Selangor. Antara nasihat yang diberikan oleh beliau agar terus menjaga  kesatuan ini dan pilihlah persatuan yang membawa ke arah kebenaran dan akhirat.  Selepas itu , majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada mahasiswa terbaik dan kumpulan yang terbaik.

Harapan kami dari program IJTIHAD’15, agar para mahasiswa mampu membentuk kematangan diri dari sudut pemikiran dan syahsiah sekaligus menjadi seorang insan yang berjiwa islam agar melahirkan generasi yang rabbani dan ansarullah.
Wallahua’lam.
Sekian .

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

“Injeksi Thaqafah Simulasi Wehdah”

Disediakan oleh,
Azzah Nazihah binti Zakaria
Setiausaha IJTIHAD’ 15
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Sabtu, Ogos 15, 2015

REKREASI SUKAN SUNNAH RENANG


10 dan 13 Ogos 2015 - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015 di bawah kelolaan Lajnah Kesenian dan Sukan telah menjalankan aktiviti Rekreasi Sukan Sunnah Renang yang julung kali diadakan bertempat di Istad Toyota, Abbasiah. Program ini berlangsung pada 10 Ogos 2015 khusus untuk akhawat manakala 13 Ogos 2015 khusus untuk ikhwah. Peserta menuju ke tempat renang menaiki pengangkutan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Antara objektif aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk merapatkan ukhwah sesama ahli BKASM. Disamping memperbaharui medium sukan kepada ahli ia juga bagi membentuk ahli yang aktif dari segi fizikal.

Renang untuk akhawat yang diadakan pada hari Isnin pada jam 9.00 pagi bermula dengan sesi  taklimat ringkas sebelum pengisian sepenuhnya diserahkan kepada tenaga pengajar.  Aktiviti renang yang terdiri daripada 40 orang akhawat ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari.
Manakala renang yang dijalankan untuk ikhwah pada hari Khamis yang lalu bermula jam 3.00 petang sehingga 6.00 petang dihadiri seramai 60 orang peserta. Di hujung pengisian, peserta berkumpul untuk mengambil gambar sebagai kenangan.

Harapan dari pihak penganjur, kami mengharapkan aktiviti yang dilaksanakan dapat membina jati diri ahli dan mengambil manfaat untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Respon yang positif dari ahli yang turut serta mampu menjadi titik tolak agar aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Ucapan ribuan terima kasih atas bantuan dan kerjasama semua dan semoga usaha kita ini diberkati oleh Allah.

" Generasi Harapan Aset Kesatuan "

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "


Disediakan oleh:

UMMI AQILAH NORLIZAM
Timbalan Lajnah Kesenian & Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015





Jumaat, Ogos 14, 2015

HAMPIR TIBA SAATNYA - TINTA JUMAAT SIRI KE - 31

الله غايتنا والرسول قدوتنا والقرأن دسترنا والجهاد سبيلنا والموت في سبيل الله أسمي أمانينا )) ))
“ALLAH matlamat kami, Rasul ikutan kami, al quran pelembagaan kami, jihad jalan kami, mati syahid di jalan Allah cita tertinggi kami”.

Bila dunia letak di hati, akhirat dipandang sepi.
Ulama di ketepi, yang bukan ahlinya dilambung tinggi.
Yang baik dipandang keji, yang buruk dicari-cari.
Inilah tanda kiamat semakin menghampiri.
         Senario dunia pada era modenisasi,mengikut formula hipotesis sains, “Jika bertambah maju sesebuah negara maka bertambah tinggi keruntuhan akhlaknya”. Hiburan (K POP), fitnah, hutang, korupsi, pemimipin ZALIM dan berbagai bentuk kebejatan akhlak berleluasa.Mungkin bagi mereka perkara biasa! benda kecil! pandang sebelah mata! Neraka hanya sekadar cerita. Dimanakah kita? Moga ALLAH terus pelihara.
           Dunia semakin tua tetapi amalan seperti biasa.Di dalam riwayat Abdullah bin ‘Ash ra pun dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dari hambanya (para ulama) dengan secara langsung. Akan tetapi Allah mencabutnya dengan cara mematikan para ulama, sehingga apabila sudah tidak ada lagi seorang pun yang alim maka banyak orang akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Tatkala para pemimpin (bodoh) itu ditanya, mereka menjawab dengan memberikan fatwa tanpa dilandasi dasar ilmu, mereka menjadi sesat dan menyesatkan.” (HR. Bukhari)
            Baru-baru ini, dunia diseliputi kesedihan dengan kehilangan seorang ulama terkemuka dunia Dr Wahbah Az-Zuhaili Rahimahullah. Antara hasil karya beliau yang dikenali adalah At Tafsir Al Munir. Almarhum banyak mengorbankan hidupnya dalam memperjuangkan agama ALLAH. Bukan sahaja melalui mata pena bahkan lantang bersuara atas isu-isu kezaliman.

            Moga-moga beliau termasuk dikalangan orang-orang yang soleh. Mari kita sama-sama mendoakan beliau dan solat ghaib. Al fatihah….

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh :

Ustazah Norshafikah binti Abd Nasir
Timbalan Lajnah Penempatan & Perumahan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Jumaat, Ogos 07, 2015

HAK VS BATIL - TINTA JUMAAT SIRI KE - 30

Firman Allah SWT :

“Dan janganlah kamu mencampur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula, padahal kamu semua mengetahuinya.” ( surah Al-Baqarah ayat 42 )

Nabi SAW telah mewasiatkan kepada kita semua bahawa selagi manusia berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih tidak akan sesat sampai bila-bila. Sesungguhnya Al-Quran dan Sunnah Nabi itu adalah petunjuk. Dalam Islam semua perbuatan, amalan dan niat mesti dibenarkan syarak dan matlamatnya juga jelas tidak bertentangan dengan syarak. Kita dilarang menggunakan kaedah untuk mencapai sesuatu matlamatnya yang baik tetapi cara dan jalannya haram.Terdapat satu kaedah umum dalam Usul Fiqh  Islam, iaitu menerusi satu pendekatan:

الغاية لا تُبرر الوسيلة
(Matlamat Tidak Menghalalkan Cara)

Ramai yang melaungkan perjuangan di atas nama Islam, hakikatnya seruan Islam mereka itu tersasar jauh dari apa yang diperkatakan. Umat Islam sama ada sedar atau tidak sedar,mereka memusuhi golongan kuffar dengan lisan mereka, namun dalam masa yang sama semua amalan dan perkara yang datang dari barat cepat-cepat diambil dalam kehidupan seharian. Baik dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Baru- baru ini banyak di media mengeluarkan kenyataan tentang seorang menteri berkaitan isu berpelukan dalam bidang perfileman adalah tidak salah menjadi kekesalan. Seolah-olah menganggap bahawa isu ini adalah sebuah isu remeh tanpa memandang kepada hukum asal yang telah termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah. Analoginya ibarat segelas air kosong yang hendak di minum ditambahkan sedikit arak.Walaupun air kosong itu elok namun apabila ditambah dengan   sumber yang kotor maka tetap saja ianya haram.

Umat Islam hari ini amat mudah untuk menghalalkan cara yang haram semata-mata untuk mencapai matlamat yang baik, walaupun jalan dan cara yang digunakan bertentangan dengan syariat, akhlak dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam. Ingatlah bahawa agama ini milik Allah SWT dan Allah Ta’ala sahajalah yang berhak menentukan yang halal dan haram. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Jika Rasulullah SAW sendiri tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT di dalam menegakkan agamaNya, maka sudah semestinyalah kita sebagai umatnya juga wajib berbuat demikian.



" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan oleh :
Nuraishah binti Zainuddin
Timbalan Lajnah Penerangan & Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015