SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, September 26, 2015

CERPEN PELANGI SENJA - Hasil Karya Terbaik ( Kedua ) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan


Tik..Tik..Tik.. Kedengaran bunyi air hujan menembusi atap rumah. Hujan renyai yang masih kelihatan di luar tingkap rumah membuatkan Aien Sofea teringat pada kisah yang berlaku 16 tahun lalu.Sekeping gambar ditatapnya setelah sekian lama.

    “Zah,oh Zah!Buka pintu ni.” Bunyi ketukan pintu yang sangat kuat membuatkan Zahirah terjaga dari lenanya.Daun pintu yang diketuk berulang kali memaksa Zahirah membukanya dengan cepat.Dalam hatinya berkata pasti suaminya mahu meminta duit daripadanya untuk melangsaikan hutang-hutang yang ada.

    “Lambat sangat buka pintu ni kenapa?Ingatkan pengsan dalam rumah” Dengan suara yang tinggi Daud memarahi isterinya.“Kenapa ni bang?balik je marah.Cakap elok-elok kan boleh.Anak-anak tengah tidur tu” Zahirah cuba mengawal emosinya.“Aku nak duit.” Daud mula meminta duit daripada isterinya.Bukan kali pertama perkara sebegini berlaku,tapi sudah berkali-kali.“Mana saya ada duit bang.Anak-anak pun makan apa yang ada.Abang pun tak pernah nak bagi duit pada anak bini abang ni.”Zahirah cuba mempertahankan dirinya.

    “Ohh kau dah pandai melawan ya!” Daud mengangkat tangan kanannya mahu menampar isterinya.“Ayah!!” Anak sulungnya menjerit sambil bertindak meluru di hadapan ibunya dengan tujuan cuba melindungi.Amirul Ridzwan berumur 10 tahun pada ketika itu sudah  masak dengan perangai ayahnya yang selalu memukul ibunya apabila pulang ke rumah.Ayahnya seorang penagih dadah.Tujuan pulang ke rumah tentu sahaja ingin meminta duit hasil jualan nasi lemak ibu.Belum pernah lagi ayah bersifat seperti seorang bapa yang bertanggungjawab dan mengasihani anak-anak dan isteri sepertimana orang lain.“Tak pe.Kau tak nak bagi aku duit.Anak kau aku korbankan.Aku nak jual anak perempuan kau ni.” Ayah sudah mula menunjukkan perangai kurang warasnya.

    Aien Sofea yang masih kecil,berumur 6 tahun ketika itu masih tidak memahami apa yang berlaku.Ayah yang seperti singa mencari mangsa untuk membaham menuju ke bilik mencari Aien.”Aien!Ikut ayah!” Tangan Aien ditarik dengan kasar.

    Keadaan yang getir waktu itu memaksa Amirul sebagai abang untuk menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa perlakuan ayahnya.Amirul bertindak menggigit tangan ayahnya lalu pergelangan tangan Aien dilepaskan.”Aduhh!Berani kau Mirul.Jaga kau!.”
    “Aien!cepat lari!” Mendengarkan kata abang kesayangannya,Aien berlari sepantas yang mungkin keluar daripada rumah usangnya.

    Daud yang semakin berang bertindak mengambil pasu bunga di halaman rumah untuk memukul anak sulungnya.Namun,ibunya bertindak terlebih dahulu demi menyelamatkan anaknya.Darah yang banyak telah mengalir keluar daripada kepala Zahirah.Amirul dengan sebak memanggil ibunya,”ibu!!!bangun ibu.!” Air mata dengan derasnya mengalir membasahi pipi Amirul.

    Aien yang tercungap-cungap berlari seketika tadi tersedar bahawa dia telah jauh dari rumahnya.Tiba-tiba matanya dikaburi dengan silauan cahaya lampu.Terdengar suara wanita menjerit “Abang!Brek!!!”.
***
    Bunyi hon kereta  Mercedes Benz telah mematikan lamunan Aien Sofea.Dengan segera gambar tadi diselitkan semula disebalik helaian sebuah buku.Aien menuju ke pintu untuk menyambut papanya pulang dari tempat kerja.”Assalamualaikum.Anak dara papa tak tidur lagi?” Sambil tersenyum Dato’ Mustafa menghulurkan tangan kepada anaknya.“Waalaikumussalam.Belum lagi.Tunggu papa balik la ni.” Aien membalas senyuman papanya sambil mencium tangan papanya.

    Aien Sofea kini telah melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Kuala Lumpur.Seorang gadis manis bertudung dan berperwatakan lembut inilah yang menjadi kebanggaan papa dan mamanya.Aien selalu berdoa agar sentiasa diberikan kebahagiaan dalam keluarga ini.Dan juga…kesabaran dalam mengakhiri penantiannya selama ini.

    “Aien.Abang.Jom makan .Apalagi berdiri di pintu tu” Datin Salwa memanggil suami dan anak tunggalnya untuk makan malam bersama.“Dah sudah makan,kita solat jemaah bersama ya?.” Dato Mustafa memainkan peranan sebagai ketua keluarga.“Baik papa.” Jawab Aien dengan nada gembira dan patuh pada arahan papanya.
***

    Preng.Preng.Preng. Tiga kali handle motor dipulas bagi menarik perhatian Amirul.Amirul  memandang ke belakang.Kelihatan sekumpulan gangster kampung sedang menaiki motorsikal menuju ke arah Amirul.“wah wah Ustaz Amirul.Rajin sekarang pergi kelas agama.Nak masuk Pencetus Ummah ke?.hahaha. Undilah saya PU Amirul” Deris memulakan bahan ejekan.Sengaja mengusik Amirul yang baru sahaja pulang dari kelas agama bersama Ustaz Firman.

    Teringat kembali nasihat Ustaz Firman :
Orang yang bernafsu Ammarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran.Dia berasa seronok melakukan kemungkaran.Bahkan dia mengajak orang lain dengan mempromosikan kemungkaran dan kemaksiatan.
Sepertimana yang telah dirakamkan dalam ayat Allah S.W.T di dalam Surah Yusuf ayat 53 :
“……….sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”

    Amirul menarik nafas dalam-dalam.Senyuman dan salam diberikan kepada mereka sebagai tanda saudara seagama.“Assalamualaikum.Sedap rasanya telinga ni mendengar kalau mulakan pertemuan dengan salam.Betul tak?” Amirul sengaja menguji mereka.“Amboi.Dia mengajar kita pula.Macam kita tak tahu nak sebut salam.” Deris membalas tanda dia terasa dengan kata-kata Amirul.

    “Baguslah kalau dah tahu.Harap selepas ni dapat diamalkan.Bak kata Ustaz di tv tu apa?renung-renungkan dan selamat beramal” Sambil tersenyum,Amirul beredar dari situ.Dalam diam Deris menyimpan perasaan dendam kepada Amirul akibat perbuatannya sebentar tadi.

    Setibanya Amirul di rumah,dia terpandang akan potret adik perempuan kesayangannya.Amirul sangat gemar melukis semenjak kecil.Sejak terpisah dengan adiknya,Amirul tidak pernah berhenti mencari adiknya yang bernama Aien Sofea.Nama yang sering terungkap di bibirnya suatu ketika dahulu.

    “Aien,abang teringin sangat nak ada tv di rumah kita.Setiap kali nak tengok tv,mesti kita akan ke kedai Pak Man.Jom kita beli tv.Kalau kita beli tv,kita boleh tengok kartun sama-sama”.“Eh Aien mana ada duit sebanyak tu abang.Macam mana nak beli?” Aien berkerut menunjukkan kerisauan pada idea abangnya.“Kita boleh kerja.Sementara ibu menjual nasi lemak di tepi jalan,kita boleh tolong kutip botol untuk dijual.Boleh dapat duit”

    Sejak hari itu,mereka dua beradik sangat gembira walaupun terpaksa mengutip botol di jalanan hanya untuk mendapatkan duit menampung kehidupan seharian.
***
    Ketika Aien sedang khusyuk menelaah buku pelajarannya,pintu biliknya diketuk tanda meminta izin untuk masuk.Dato’ Mustafa dan Datin Salwa menghampiri Aien lalu Datin Salwa memulakan bicara.”Rajinnya anak mama ni”.

    “Yela ma.Exam next week.Aien kenala buat yang terbaik.You know me kan mama papa?”Sambil memegang tangan mamanya Aien menyandar lembut kepalanya ke bahu Datin Salwa.“Papa ada berita gembira nak bagitahu kamu”.“Apa dia pa?” Aien tidak sabar mahu mendengar.“Papa sudah tahu di mana abang kamu berada.Dia masih tinggal di rumah usang yang Aien pernah sebutkan dahulu”.Dengan perasaan yang sangat gembira bercampur sebak,Aien mengucapkan syukur.”Alhamdulillah.Doa Aien selama ini dimakbulkan Allah S.W.T.Aien gembira sangat pa.Aien nak segera ke sana.Boleh tak pa?”

    “Baiklah.Papa izinkan.Tapi dengan syarat,pembantu peribadi papa akan bawa kamu ke sana.Papa sayang kamu.Papa tahu kamu sangat rindu akan abang Mirul kamu.Walaupun kamu ini hanya anak angkat papa,tapi papa dah anggap kamu sebagai anak sendiri.Kamu cahaya buat papa dan mama” “Terima kasih papa mama”.Bermula saat itu,Aien terasa seperti dirinya sudah kembali sempurna.

    “Abang.Tunggu Aien datang ya.” Aien bermonolog sendiri.

***

    Deris yang sebentar tadi telah berjaya meragut bag tangan seorang wanita telah berkumpul bersama rakannya di sebuah pondok lama.”Kaya kita hari ni.Kita dah tak payah nak masuk macam rancangan tv tu. who wants to be a millionare?susah-susah je nak jawab soalan.Kita ni buat kerja macam ni senang-senang je dapat duit.Lumayan pun lumayan.Hahaha.” Ketawa Deris dan rakannya membuatkan Amirul yang kebetulan baru selesai menorah getah telah mendengar perbualan tersebut.
    
Setelah mendengar perbualan mereka,Amirul berniat mahu beredar dari kawasan pondok tersebut sebelum diketahui gangster kampung itu,tetapi malangnya Amirul terpijak ranting kayu kering lalu didengari Deris dan rakannya.Amirul sudah tidak boleh lari lagi.”Hey budak kampung!Apa kau buat kat sini?Kau sengaja mengintip kami ya?”
    “Eh tak.Aku kebetulan lalu kat sini.Tak dengar apa pun.Aku pergi dulu ya”.Amirul mencari helah untuk melepaskan diri.“Nanti Amirul.Kau ingat senang-senang kau nak pergi?Rasa dulu penangan buku lima aku”.Deris memberi ancaman kepada Amirul.

    Berlakulah adegan tumbuk-menumbuk antara mereka.Amirul yang kelihatan lebih hebat dalam seni mempertahankan diri telah dapat mengalahkan rakan Deris.Manakala Deris yang kelihatan takut dengan kehebatan Amirul telah berjaya melarikan diri.

***

    Petang itu kelihatan cuaca amat mendung sekali.Aien tetap dengan azamnya untuk berjumpa abangnya,Amirul.Setelah sampai di kediaman abangnya,memang benarlah bahawa inilah rumah usang yang pernah didiami oleh mereka sekeluarga suatu ketika dahulu.Dengan perasaan sebak di dada,Aien terus masuk ke rumah sambil memanggil abangnya.”Abang! Abang Mirul ! Adik ni bang.Adik dah balik”.Suara Aien bagaikan tersekat di kerongkong akibat menahan kesedihan.Setelah sekian lama penantian,kini dia telah dapat berjumpa sekali lagi dengan abangnya.Rindu.Ya!Sangat rindu.
Ketiadaan abangnya di rumah membuatkan Aien sabar menunggu.Hujan renyai terus membasahi dedaun yang tumbuh meluas di halaman rumah.Aien semakin sebak apabila terlihat begitu banyak potret wajahnya di kamar abangnya.Hatinya berkata,mesti abang yang lukis.ya!Inilah lukisan yang membuatkan hatinya terusik.
    Aien melihat air hujan satu persatu jatuh ke tanah.”Abang,Aien tunggu abang.Cepatlah balik”.Aien mengeluarkan sekeping gambar yang di dalamnya terdapat gambarnya,abang dan ibu.Gambar yang sering dibawa bersama itu jugalah satu-satunya bukti dan kenangan yang ada ketika hari mereka terpisah.
***
    Dalam perjalanan pulang ke rumah,Amirul terasa seperti diekori seseorang.Sekali pandang ke belakang,tiada sesiapa.Pelik juga jerkah hatinya.Amirul meneruskan lagi langkahnya.Kali ini,memang benar ada yang mengekorinya.

    Dengan tidak disangka-sangka,satu tumbukantelah terkena pada muka Amirul.”Rasakan!tumbukan aku yang kau inginkan Mirul” Dendam Deris yang selama ini terbuku di hati akhirnya terbalas.”Aku tak akan biarkan kau hidup di dunia ni lagi Mirul.Selamat tinggal”.Deris yang seperti hilang akal telah bertindak melibas Amirul dengan pisau belati yang tajam.Namun,Amirul lebih tangkas menepis.Pergelutan di bawah sentuhan air hujan yang mencucuk membuatkan Amirul tidak dapat melihat dengan jelas.Tiba-tiba satu tikaman telah menerpa ke dada Amirul.

Ya Allah,
Andai takdir Engkau menemukan kami di dunia ini maka pertemukanlah kami dengan rahmat dan kasihMu,
Tetapi sekiranya tidak,maka aku memohon kepadaMu pertemukanlah kami di SyurgaMu.
Adik ………….

***
    Aien masih tetap bersabar menunggu kepulangan abangnya.Harapan untuk menemui abangnya semula tidak pernah padam.

Tik.Tik.Tik.
Adakah hujan renyai ini akan melakarkan pelangi senja yang indah?



-TAMAT-

Hasil Nukilan
Ustazah Nor Jannah binti Omar

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "

Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan 
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Jumaat, September 18, 2015

Aku Masih Di Sini - Hasil Karya Terbaik ( Johan) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan

                                         

       AKU MASIH DI SINI

  Matanya terpanar merenung ke luar tingkap, fikirannya melayang-layang ke langit biru, jiwanya tenang menyelusuri daerah-daerah seni, jasadnya hanyut di lautan pena yang diciptanya. Sesekali jemarinya menari-nari menyelangi penanya memberi isyarat keghairahannnya untuk hanyut meninggalkan norma manusia. Begitulah citra hidup Luqman seorang pemuda berusia 18 tahun yang tinggal bersama ibunya di sebuah kampung yang bernama Kampung Bukit Hijau mengisi lapangan waktunya. Bapanya disayangi Tuhan lebih awal ketika usianya 4 tahun akibat kemalangan jalan raya. Sejak dari kecil aktiviti hariannya hanya dipenuhi dengan aktiviti yang menggembirakan hatinya sahaja seperti membantu ibunya, membaca buku, mendengar muzik, menulis dan mengimarahkan aktiviti-aktiviti masjid. Luqman sememangnya seorang yang gemar menulis puisi, sajak, syair, cerpen bagi menuruti keghairahan hatinya.

  Luqman baru sahaja mengetahui keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) yang didudukinya pada tahun lepas. Dia sedar keputusan peperiksaannya bukanlah seperti yang diinginkan dirinya dan remaja-remaja seusianya. Di mata ‘mazhab pendidikan baru’ yang dianuti oleh majoriti masyarakat setempat dia berada dalam kalangan insan yang tidak mampu bersaing dan perlu dinyah serta dipupuskan segera dari bumi ini. Dia yang sememangnya menyedari akan hakikat dirinya terjun bersama-sama sakinah ke lembah seni pena meninggalkan ‘mazhab pendidikan baru’ yang diterajui jeneral kapitalis.

  Walaupun dari kaca mata pentaksub ‘mazhab pendidikan baru’ dia tidak layak untuk menjadi robot bagi mengisi kekosongan tentera untuk berjuang bersama-sama jeneral kapitalis namun masih ada manusia yang memandangnya dengan penuh nilai kemanusiaan iaitu ibunya Isza dan sahabat karibnya Nasir. Isza seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jeram. Sahabat sekampungnya Nasir pula seorang pemuda yang bekerja di sebuah bengkel membaiki motor sejak berumur 15 tahun. Nasir yang juga mangsa kepada ‘mazhab pendidikan baru’ terpaksa bekerja membanting tulang demi kelangsungan hidupnya akibat pengabaian dan keberantakan perkahwinan ibu dan bapanya. Nasir mempunyai kecenderungan dalam bidang muzik. Jika ada kelapangan waktu Nasir akan mengunjungi Luqman di rumahnya bagi menyumbangkan melodi bagi setiap coretannya yang puitis seterusnya dijadikan sebuah lagu. Selain ibunya Isza, Nasir juga antara teman setia yang membaca setiap karya Luqman sama ada puisi, sajak atau cerpen.

  Luqman merasa gembira dan selesa dengan kehidupannya sehinggalah pada suatu hari ibunya memberikan harapan baru untuk melakukan sesuatu yang akan memberi impak pada citra hidupnya. Ibunya berkias “Loq, di alam yang terbentang di hadapan kita ini, awan-awan yang berarak, sungai-sungai yang mengalir, burung-burung yang terbang tinggi, ayam-ayam berkokok di halaman, puncak gunung mencakar awan, pendek kata dimana-mana pun kita berada akan tebentang penawar bagi hati dan jiwa kita”. Kata-kata ibunya mula dihadam di setiap naik dan turun nafasnya kerana dia sangat memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibunya. Ibunya menyambung lagi “Melalui setiap penulisan loq, ibu dapat menghidu karya-karya loq ada bau-bau campuran dari A.Samad Said, Dato Shahnon Ahmad, buya HAMKA, A.Aziz Deraman, Usman Awang dan lain-lain. Ibu baru terbaca di akhbar utusan rakyat ada menyediakan ruangan khas untuk karya rakyat Malaysia. Karya-karya seperti puisi, pantun, sajak, syair, gurindam dan cerpen akan disiarkan setiap hari. Dengan keupayaan yang ada pada Loq ibu yakin karya Loq mampu menembusi jiwa nurani editor akhbar”. Kata ibunya sambil tersenyum. Senyuman ibunya menjadi penguat bagi luqman untuk menuruti nasihatnya yang tidak pernah menghampakan dan sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukannya. Luqman juga mendapat sokongan dari sahabatnya Nasir setelah dia menceritakan cadangan ibunya kepada Nasir dalam hidupnya cukuplah dua insan ini sebagai pelengkap dirinya selepas Allah dan Rasul. Dia pun mula mengalihkan karya-karyanya dari buku ke dalam komputer milik ibunya untuk memudahkan penghantaran melalui email. Untuk percubaan pertama,dia berhasrat untuk menghantar dua buah karyanya dahulu .Dia menghantar puisinya yang bertajuk ‘sayembara hidup’ dan sebuah cerpen yang bertajuk ‘hamba seni’. ’Hamba seni’ adalah sebuah hikayat ringkas diadaptasi dari hidupnya yang kecewa akan sistem pendidikan sekolah yang tidak bermatlamat melahirkan manusia tapi hanya melahirkan pekerja serta  impiannya untuk berbakti kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara tanpa berbekalkan sijil kecemerlangan akademik. Ceriteranya dipersembahkan dalam bentuk tersirat dan perlambangan. Dia menggunakan nama pena MonoloQue.

  Usai menghantar karyanya ke Utusan Rakyat penantian menjadi teman setianya sambil meneruskan perjuangan penanya. Penantian itu diiringi pembelian akhbar utusan rakyat hampir setiap hari oleh ibunya. Sebulan berlalu tanpa karyanya bersinggah di akhbar utusan rakyat, terlintas di kepalanya bahwa karyanya mungkin tidak menepati kriteria untuk disiarkan. Dua hari kemudian dia menerima email dari ketua editor akhbar utusan rakyat yang tertulis:

                From:forzamilan82@yahoo.com             
Assalamualaikum, saya Farizal Malik selaku ketua editor di akhbar Utusan Rakyat berbesar hati ingin menawarkan (secara tidak rasmi) kepada tuan untuk menulis cerpen secara tetap dalam majalah bulanan kami ‘Rakyat No.1’. Di samping itu tuan dialu-alukan juga untuk menghantar karya-karya tuan di ruangan karya rakyat secara kerap. Hal ini kerana kami mendapati di dalam karya tuan mempunyai idea yang baru, gaya Bahasa yang cantik dan kesusasteraan yang tinggi. Berkaitan dengan karya tuan yang lalu in sya ALLAH kami akan siarkan dalam minggu ini. Oleh itu,sudilah kiranya tuan memberi maklum balas kepada kami berkaitan persetujuan tuan berkaitan perkara ini. Surat rasmi akan dihantarkepada tuan. Sekian.

  Setelah membaca email itu, dia segera memberitahu ibunya tentang tawaran itu dan bertanyakan pendapat. Ibunya seraya berkata ,“ Buatlah apa sahaja yang membuatkan hidup Loq gembira. Kegembiraan Loq kegembiraan ibu juga, kedukaan Loq kedukaan ibu juga”. Tanpa diduga air mata Luqman menitis membasahi bumi mendengarkan jawapan ibunya. Tidak perlu dibuktikan lagi bahawa ibunya sentiasa berada di sisi walau dalam apa jua keadaan Luqman.  

  Dua hari kemudian ibunya membawa pulang akhbar utusan yang menyiarkan cerpen pertama  Luqman yang berjudul ‘hamba seni’. Keesokan harinya pula sahabatnya Nasir bertandang ke rumah dengan membawa akhbar. Nasir  bertanya kepada Luqman ,“Macam mana lagu kita boleh masuk surat khabar ni?” Mereka pun berketawa tanda gembira. Puisi itu sememangnya sudah dilagukan oleh Nasir.Maka bermulalah kehidupan Luqman sebagai penulis tetap di majalah ‘Rakyat No 1’ dan terus menghantar karyanya di ruangan ‘Karya Rakyat’.

  Empat bulan berlalu karya penulisan Monoloque mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pembaca Utusan Rakyat dan Majalah Rakyat no 1. Di setiap keluaran nama-nama penulis baru meningkat naik seperti Monoloque, Ag Kidal dan Mujahidah Amanina menjadi kegilaan rakyat tempatan. Hal ini dirakamkan oleh pihak utusan rakyat  melaui berita di laman sesawangnya.

                16 september 2002

                KUALA LUMPUR - Menerusi maklum  balas pembaca  yang kami terima dari ruangan komentar, kami mendapati karya 3 orang penulis baru kami sentiasa ditunggu-tunggu dan mendapat respon yang positif. 3 orang penulis tersebut adalah:
1. Monoloque-Muhammad Luqman bin Syamsul Farid
2. Ag kidal-Azri Hafiz bin Amir Jahari
3. Mujahidah Amanina-Sofia Insyirah Binti Muhd As’ad Lutfi

  Disangka panas berpanjangan rupanya gerimis mengundang di tengah hari. Segala kegembiraan yang dinikmati tidak berpanjangan seperti yang diimpikannya apabila musibah menimpa dirinya. Di suatu petang saat Luqman sedang asyik menulis di medan pena, fokusnya dicantas oleh bunyi deringan telefon bimbit dan tertera nama di kaca telefon ‘ibu’  lantas disambutnya. Rupanya panggilan itu  dari seorang polis,”Boleh saya bercakap dengan anak kepada Pn.Isza binti Isman” tanya polis itu. Luqman menjawab “Ya, saya Luqman anaknya.Ada apa ya encik?” Soal luqman kembali kepada polis itu sambil dengupan dada mengencang perang, tangannya membeku sejuk dan badannya menggigil diselimuti angin menunggu jawapan dari polis itu. Polis itu menyambung “bertenang ya encik, tabahkan hati, saya Sub. Inspektor Godin menelefon encik melalui telefon bimbit ibu encik dan kami mencari kad pengenalan diri mangsa serta senarai contact yang paling possible untuk dihubungi di dalam telefon bimbitnya. Jadi kami menemui contact yang tertulis ‘anakanda’. Sebenarnya ada kejadian buruk yang telah menimpa ibu encik, jadi bolehkah encik datang ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang? kami berada di sini, nanti akan saya ceritakan secara terperinci kepada encik apabila encik sudah sampai. ”Jasadnya hampir menyembah bumi selepas mendengar kata-kata polis itu. Namun digagahi juga demi cintanya kepada insan yang paling penting dalam hidupnya.

  Luqman terpaksa meminta bantuan dari sahabatnya Nasir yang sedang bekerja di bengkel kerana kereta milik ibunya adalah satu-satunya kenderaan keluarga yang mereka ada. Di bengkel Nasir menghadapi masalah apabila tuannya pemilik bengkel itu tidak membenarkan kerana banyak kenderaan pelanggan yang perlu diselesaikan hari ini serta mempertikaikan keperluan Nasir pergi ke hospital seraya berkata “bukannya mak kau pun,apa yang kau sibuk-sibuk nak pergi. Malam nanti pun boleh pergi.”Berang dengan ucapan tuannya itu, Nasir terus mencapai helmet dan menghidupkan enjin motor RXZ miliknya seterusnya memecut ke Rumah Loqman  untuk membawa Luqman ke Hospital tanpa memikirkan masa depannya di bengkel itu. Sampai di hospital, Luqman dan Nasir terus menuju ke wad kecemasan.Terpandang oleh mereka dua orang anggota polis dan dua orang biasa bersama mereka lantas memperkenalkan diri serta mendesak tidak keruan untuk mengetahui keadaan Ibunya. Sub.Inspektor Godin Sivarasa dan Detektif Kamil menyapa keduanya dan mempekenalkan Lee Ah Tee dan Zaid serta memberitahu merekalah yang membantu ibunya. Detektif kamil menghela nafas panjang sebelum memberitahu Luqman “Saya harap encik luqman dapat bertenang dan mendengar dengan sabar akan berita ini. Simpati saya dahulukan dengan ucapan Inna LILLAHI wainna ilaihi rojiuun, Allah lebih menyayangi ibu kamu, kita manusia tidak mampu melawan takdirnya. Pn.Isza telah dipanggil ALLAH dan menghembuskan nafasnya yang terakhir sejurus sahaja sampai di Hospital ini.”Kekuatan jasadnya diragut sedikit demi sedikit apabila mendengar kata-kata itu.Air mata loqman semakin deras mengalir sambil menunggu untuk dibenarkan masuk melihat jenazah ibunya. Lee Ah Tee menceritakan kejadian itu,Isza baru sahaja keluar dari sebuah kedai hadiah.Kemudian datang seorang pemuda berhelmet serta merta meragut beg tangan yang disandang di tangannya. Tanpa diduga kurang dari 2 meter dari jarak Isza, kaki pemuda itu tersadung bersilang kakinya sendiri lalu terjatuh menyembah bumi.Isza kemudiannya cuba menerpa untuk mengambil kembali begnya itu. Lalu tanpa berfikir panjang lelaki itu mengeluarkan pisaunya seraya menikam  dan memukul kepala Isza menggunakan helmet. ”kami yang terlihat kejadian itu segera mengejar peragut itu dan bergelut sebelum berjaya menangkap peragut yang sedang meluru ke arah seorang lagi rakannya menunggu untuk melarikan diri. Kami bergelut dan mendapat sidikit luka kecil sahaja. Lelaki itu berjaya kami tangkap tetapi rakannya melarikan diri” kata Zaid yang menyambung cerita Lee Ah Tee. Tangisan Luqman yang teresak-esak semakin jelas suaranya. Nasir di sebelahnya duduk menemani hanya mampu membisukan diri tidak mahu serabutkan keadaan kerana dia memahami emosi sahabatnya tidak stabil untuk ketika ini.

  Sejam kemudian seorang doktor keluar dari bilik pembedahan lalu membenar untuk dilawat jenazah Ibunya. Luqman terus memeluk jenazah ibunya dan dicium wajah ibunya sambil tidak mampu mengungkap apa-apa hanya suara tangisan mampu mengungkap kesedihan. Memahami keadaan sahabatnya Nasir segera membantu segala urusan untuk membawa pulang jenazah ke rumah untuk dikebumikan di kampungnya. Setiap proses pengurusan, perhubungan dan kewangan diurus oleh Nasir. Luqman melibat diri secara langsung untuk memandikan, mengkafan sehingga ke pengebumian jenazah di liang lahad demi untuk menjaga segala aib ibunya dari disingkap. Selesai talkin dan doa dibaca untuk ibunya maka bermulalah kehidupannya sebatang kara tanpa insan teristimewa dalam hidupnya.

  Tiga hari berlalu tanpa Luqman melakukan aktiviti kebiasaannya seperti menulis, membaca, mencari idea dan kesusasteraannya. Dia hanya melakukan perkara wajib seperti solat dan makan itupun sedikit sahaja. Selain dari itu dia hanya banyak termenung dan melayan kesedihan mengenangkan ibunya. Ternyata kematian ibunya membengkak hatinya. Mujurlah ada sahabatnya Nasir yang mengambil berat tentang makan dan minum Luqman.

  Pada suatu pagi, Nasir merasakan ini adalah masanya untuk berbicara dengan Luqman. Dia tidak sanggup melihat sahabatnya dalam keadaan seperti tiada lagi harapan hidup.Nasir tenang menuju ke arah Luqman menarik nafas panjang untuk menyusun kata.”Loq, aku bukanlah ibumu yang mampu memberi semangat kepadamu. Tapi sebagai sahabat aku tidak mahu melihat kau meneruskan hidup seperti ini. Cuba kau bayangkan andainya ibumu melihat kau begini tentu dia akan merasa sedih. Bukankah kau pernah cerita padaku antara nasihat ibumu bahawa dimana-mana pun kita berada akan tebentang penawar bagi hati dan jiwa kita. Jadi tiada sebab untuk kita terus bersedih di alam ini yang terbentang kebahagiaan untuk insan. Ibumu pasti tidak mahu engkau berputus asa dari hidup. Ingatlah siapa yang membela di saat kau dituduh sebagai seorang pemalas? Siapa yang membela tatkala kau dipangil bodoh dan bengap kerana kau gagal dalam peperiksaan? Siapa yang membela kau diwaktu kau digelar budak lembab kerana susah untuk memahami pelajaran? Masih segar di ingatanku bahawa kau berbangga katakan ibumulah yang berada di saat itu menafikan dan sentiasa mempercayaimu. Sejak kecil dia didik kau supaya tidak berputus asa  dengan apa jua yang menimpa kau. Harus kau sedar ibumu sudah meninggal khazanah yang berharga kepada kau iaitu cinta dan kepercayaan kepada kau. Dengan cintanya kau akan sedar bahawa ibumu masih hidup jauh lubuk hatimu dan akan selamanya berada di sisimu walau apa pun yang kau lakukan. Kau harus meneruskan kehidupan dan terus mencari kebahagiaan bukannya terus bersedih. Teruskanlah perjuanganmu di medan penulisan, jangan kau sia-siakan jalan yang terbentang di hadapan. Aku akan sentisa bersama kau seperti mana kau berada bersama aku saat aku merasa putus asa dalam hidup selepas ibu dan bapaku mengabaikan aku. Paling penting ingatlah Allah sentiasa bersama orang yang sabar.”

  Maka berubahlah wajah Luqman selepas mendengar luahan rasa sahabatnya. Dia mula sedar bahawa ibunya telah mewasiatkan kepadanya beribu-ribu nasihat. Paling penting ibunya telah banyak mengajarkan erti kehidupan sebagai seorang manusia. “Betullah apa dikatakan kau, bersedih bukanlah bukti  kecintaan kepada Ibuku. Terima kasih kerana menyedarkan aku. Aku akan teruskan perjuanganku di medan pena,” kata Luqman kepada sahabatnya itu. Terimbas dia akan nasihat ibunya, “Dalam hidup ini, setiap orang diberi Allah kelebihan dan kekurangan. Janganlah lemah jika Loq tidak Berjaya melakukan sesuatu perkara. Kesusahan dan kesulitan akan mengunjung dalam hidup kita. Pada saat itu bertawakkal kepada Allah dan yakinlah pada diri sendiri. Binalah impian dan berazamlah dengan tekad untuk membuahkan impian itu,walaupun tanpa gulungan sijil. ” Ucap ibunya di saat dirinya kemurungan tatkala menemui kegagalan dalam peperiksaan.

  Pada malam hari,selepas loqman pulang dari solat isya’ terdetik di hatinya untuk mengemas barang tinggalan ibunya untuk disedekahkan sebahagian dan disimpan sebahagian. Luqman terpandang sebuah beg tangan Ibunya yang juga menjadi saksi kejadian yang membawa kepada kematian Ibunya.Dia mendapati ada sekotak hadiah yang masih berbalut cantik dan sekeping kad.Kemudian teringatlah dia akan cerita Lee Ah Tee dan Zaid mengatakan bahawa ibunya diragut setelah keluar dari sebuah kedai hadiah. Kesedihannya pada waktu itu memadamkan lintasan hati untuk mengetahui tujuan Ibunya ke kedai hadiah. Luqman pun membuka kad itu ternyata hadiah dan kad itu untuknya. Dia pun membaca kad itu:
               
Kepada anakandaku Luqman:
                Selamat hari lahir dan tahniah ibu ucapkan kepada loq sempena hari kelahiran yang ke-18. Harapan ibu semoga Loq menjadi anak yang soleh serta taat kepada Allah dan rasul. Ibu juga melahirkan jutaan kebanggaan kepada Loq kerana berjaya menjadi penulis di majalah ‘rakyat no 1’ dan menjadi antara penulis yang mendapat sambutan tulisannya. Ibu juga berbangga kerana menjadi pembaca pertama bagi setiap karya Loq. Hadiah ini adalah simbolik  sokongan Ibu untuk kepada perjuangan pena Loq. Seandainya suatu hari nanti Ibu sudah tiada lagi, pen ini adalah lambang kesetiaan ibu pada perjuangan anakanda, seandainya suatu hari nanti pen ini hilang, tidak akan jatuh sedikit pun kecintaan Ibu bersama-sama perjuangan pena anakanda. Dan seandainya kedua-duanya tiada lagi, abadikanlah kasih sayang dan cinta Ibu sebagai teman hidupmu. Semoga diberkati umurmu wahai anakanda. Terima kasih menerima Isza Bin Isman sebagai ibumu. Terima kasih kerana menerima syamsul farid bin samingan sebagai bapamu. Terima kasih kerana lahir untuk kami kerana kelahiranmu menyerikan hidup kami.
                Ibu sayang padamu akanda
                28 september 2002

   Maka tangisan sekali lagi bercucuran dan kesedihan mengunjung kembali setelah membaca dan melihat kotak hadiah kecil dari Ibunya. Di dalam kotak itu ada sebatang pen yang tertulis ‘Luqman’  disebelah kanan dan ‘Isza’ di sebelah kiri mengelilingi pen itu. Luqman baru menyedari bahawa hari kematian ibunya adalah pada hari lahirnya. Namun jauh di sudut hatinya yakin dan gembira bahawa cinta ibunya akan terus bersama-sama mengiringi impian dan cita-citanya. ”Wahai bonda, tidak akan sekali aku lemah kerana akan kugenggam kata-kata dan nasihatmu serta akan kutanam cintamu di lubuk hati. Akan kuteruskan kehidupanku untuk mencapai cita-cita dan impianku. Akan ku bawa nasihat dan cintamu bersama-sama dalam hidupku” janji loqman di dalam hatinya.”

  Luqman meneruskan perjuangannya di medan pena dengan kembali menghantar penulisannnya ke majalah ‘Rakyat No 1’ dan akhbar Utusan Rakyat. Di samping itu,dia sedang menulis novel pertamanya yang terilham dari kisah hidupnya bersama ibunya. Melalui wahana ini,dia mahu berkongsi dengan masyarakat bagaimana ibunya berjaya menjadikan dirinya seorang manusia yang berimpian bukannya sebuah robot yang sudah diprogramkan tindak tanduknya. Ketua editornya Farizal menyarankan untuk dia menmghantar novelnya di syarikat penerbitan COYG Publication. Ternyata masyarakat mendengar suara Luqman. Ini dibuktikan apabila novel pertamanya berjudul ‘Bonda, aku masih di sini’ mendapat sambutan hangat dan menerima anugerah ‘best seller novel’ pada tahun 2004. Dia sudah menjadi novelis yang menjadi rebutan syarikat-syarikat untuk menerbitkan karyanya.Sekali sekala ada komposer muzik mengunjunginya untuk mendapatkan lirik yang bermakna hasil tulisannya seterusnya menghasilkan lagu. Maka berlegar-legarlah suara penanya dalam industri muzik dengan lagu-lagu seperti sakinah, monggol dah pulang, haprak, apokalips, kias fansuri, di ambang wati, kasih latifah, gemuruh, nurnilam sari, mentera semerah padi dan banyak lagi. Luqman berkongsi makna kehidupan dalam setiap karyanya.

  Di suatu petang, Luqman gembira mengimbau bagaimana dia mendepani citra hidupnya yang berwarna-warni. Dia memegang sebatang pen yang dihadiahkan oleh ibunya sambil menghayati persembahan kumpulan pemuzik jalanan yang ditubuhkan oleh sahabatnya Nasir. Mereka menyanyikan lagu bertajuk ’bonda’ hasil tulisannya di tengah pekan.
                ʆʆ
Mengapa kanta ini masih berkaca
Sedangku telah pun terima di dalam redha segala kepahitan
Pengalaman menjadi penawar mengejar impi ke pintu Syurga
Duhai bonda
Bilakah akan ku kecapi kasturi penebus maruah dan semangat lama
Mengapa sinar neon dan gedung indah kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa sejuta haruman
Kini menjadi penjara jiwa
ku yang merindukan ketenangan
Duhai bonda
Hari-hariku kini berlalu bagaikan bahtera tanpa layar dan kemudi
Bonda
Akhirnya terbongkar jua rahsia
Tangisan dan gurindam
Keramat kasih sayangmu
Bonda,Saat dan pertemuan semula kita kali ini
akan ku abadikan Keramat kasih sayangmu
Oh! bonda
Bonda  ʆʆ


-penaLoque-

Hasil Nukilan
Ustaz Muhammad Fitri bin Sobri

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "

Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan 
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015

Jumaat, September 11, 2015

QUDWAH HASANAH IBRAH BUAT UMMAH - TINTA JUMAAT SIRI KE - 34



QUDWAH HASANAH IBRAH BUAT UMMAH

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah“
(Surah Al-Ahzab : Ayat 21)
     Sirah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW telah berjaya membina satu ketamadunan yang hebat, dan satu faktor yang menjadikan Nabi Muhammad seorang yang berpengaruh adalah kerana akhlak baginda yang mulia.

     Bermula dari akhlak yang mulia ini, akhirnya bagida berjaya membentuk satu tamadun yang dihormati seantero dunia. Maka seharusnya kita mengambil memerhatikan dan mengambil iktibar, bagaimana usaha Nabi Muhammad SAW sehingga berjaya membangunkan satu tamadun yang hebat dalam masa 23 tahun dan mampu bertahan selama 1400 tahun!

     Sebelum baginda diutus sebagai Rasulullah SAW, masyarakat Arab Jahiliyyah hidup dalam keadaan yang porak peranda. Berlaku penindasan dan kezaliman ke atas kaum wanita, berpegang dengan kepercayaan yang mengarut dan banyak lagi.

     Namun, dengan berkat kesabaran Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah, baginda membina satu tamadun yang menakluk 2/3 dunia.

     Namun, kegemilangan ini semestinya menuntut pengorbanan yang besar. Nabi Muhammad SAW  terpaksa menanggung kesakitan dibaling batu, menahan pedihnya perasaan dihina dan pelbagai lagi ujian yang berat.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau mengikut millah mereka“
(Surah Al-Baqarah : Ayat 120)

     Namun, semakin berlalunya zaman, agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW semakin tenggelam dan dipandang sepi. Malah dianggap pelik bagi mereka yang berpegang dan beramal dengan agama ini.

     Masalah sosial seperti kes anak luar nikah, samun, pemimpin yang korup, dan lain-lain, menjadi penyakit yang menyesakkan dada dari hari ke hari.

     Maka ketahuilah wahai kawan, tiada penyelesian lain yang mampu menyelesaikan kebobrokan ini melainkan dengan kembali kepada Islam.

“Islam is the way of life”

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan“

Disediakan oleh :
Nurul Adha bin Sa’abani,
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah,

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015.

Selasa, September 08, 2015

GENERASI BARU JEJAKI SIRAH KE KOTA FAYYOUM

4 September 2015, Fayyoum - Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) di bawah kelolaan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015 telah mengadakan jaulah ke Fayyoum yang diberi nama FAYYOUM DE’ TOUR. Jaulah ini adalah khusus bagi Mahasiswi Baru Selangor Mesir.

 Antara objektif yang dianjurkan oleh USMB kerjasama Lajnah Sambutan & Rehlah bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswi baru di samping menambah thaqafah serta dapat mengambil ibrah berkenaan dengan kisah Qarun di bumi Fayyoum.

 Seramai 79 orang Mahasiswi baru beserta 2 orang musyrif qiadi BKASM dan sepasang mutazawwijin telah menyertai jaulah ke Kota Fayyoum ini.
Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira selama tiga jam lebih untuk sampai ke destinasi. Di awal perjalanan, Unit Pengisian USMB telah mengadakan Kuiz KLIK MINDA di dalam bas untuk menguji tahap thaqafah peserta berkenaan tempat-tempat yang akan di lawati serta mengeratkan ukhuwah di kalangan peserta. Unit Pengisian USMB kerjasama musyrif qiadi BKASM memberikan sedikit taklimat berkenaan dengan tentatif jaulah, keselamatan, pertandingan dan tempat-tempat yang bakal di lawati peserta.

 Tibanya ke destinasi pertama kira-kira jam 9.30 pagi di Tasik Qarun. Para peserta diberi masa selama 30 minit di Tasik Qarun untuk mengambil gambar sempena pertandingan yang telah diadakan oleh Unit Pengisian USMB serta melihat kekufuran Qarun yang telah ditenggelamkan oleh Allah bersama-sama hartanya yang mana tasik Qarun mempunyai keluasan 55000 hektar. Peristiwa ini berlaku disebabkan keingkaran Qarun untuk membayar zakat. Setelah selesai di Tasik Qarun, Para peserta meneruskan perjalanan ke Istana Qarun yang mana bangunan rumah penginapan Qarun hanya tinggal 2 tingkat daripada 6 tingkat yang asal.

Setelah selesai berkenaan dengan kisah tempat Qarun, para peserta meneruskan lagi perjalanan ke Wadi Rayyan yang terdapat padanya Syalalat iaitu tempat tumpuan masyarakat Mesir pada musim panas, dan ianya adalah satu-satunya air terjun yang terdapat di Mesir. Setelah sampai, para peserta menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar serta diberi santapan tengahari seterusnya melihat syalalat yang telah dimaksudkan.

Perjalanan diteruskan lagi ke Kebun Mangga dan Air Sillin. Antara kebun dan pengeluar mangga yang terbesar di Mesir ialah di Kota Fayyoum sendiri. Di situ juga terdapatnya, Air Sillin yang dipercayai mempunyai khasiat  dan kandungan mineral yang tinggi dan baik untuk memulihkan kesihatan. Ramai para peserta mengambil air tersebut untuk dibawa pulang disebabkan khasiatnya. Sebelum berangkat pulang ke Kaherah, para peserta mengambil gambar kenang-kenangan di Air Sillin. Pada kira-kira jam 5.30 petang, peserta jaulah Fayyoum De’ Tour memulakan perjalanan pulang ke Kaherah dan selamat tiba pada jam 9.15 malam.

Pihak pelaksana USMB mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh mahasiswi baru yang menyertai jaulah Fayyoum De’ Tour atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga ukhuwah yang dipupuk ini kekal serta mendapat keredhaan Allah SWT.  

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan” 

 Disediakan oleh:

Nurul Fadiela Binti Ahmad
Setiausaha Jaulah Fayyoum De Tour
Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Jumaat, September 04, 2015

TIKA UJIAN MENYAPA : ANDA YANG MANA ? - TINTA JUMAAT SIRI KE-33

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون
Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud : Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja hanya dengan mengatakan, ‘’Kami telah beriman’’ dan mereka tidak diuji ?
(Surah Al-ankabut, ayat 2)
Berdasarkan petikan kalam ALLAH ini, jelas menunjukkan setiap orang yang beriman dengan ALLAH dan Rasul-Nya akan hadir padanya satu ujian yang sesuai dengan kemampuan dirinya. Di sini, saya ingin berkongsi jenis-jenis manusia tika ujian menyapa dalam perjuangan dan urusan kehidupannya.

JENIS PERTAMA : KAYU RAPUH
Insan yang bersifat seperti kayu yang rapuh, mudah patah apabila ditekan. Biarpun sekecil-kecil masalah atau ujian yang mendatang, menjadi kayu yang mudah rapuh tetap menjadi pilihan. Dia yang mudah mengeluh, merasa tidak berjaya, sering menangis dan minta dikasihani apabila tekanan dan masalah mula menghentak dirinya. Insan bersifat sebegini haruslah melatih diri untuk berfikiran positif , berani dan berjiwa besar dalam menghadapi kenyataan hidup.

JENIS KEDUA : BESI
Insan yang bersifat seperti besi, biasanya mampu bertahan pada awalnya dalam menghadapi tekanan mahupun cabaran. Namun, seperti kebiasaannya sifat besi yang semakin ditekan oleh objek yang besar dan kompleks, ianya mula membengkok dan tidak stabil. Demikian juga keadaan manusia yang kerdil lagi lemah bersifat sebegini, mampu menghadapi tekanan dan cabaran tetapi bukan dalam keadaan yang berturut-turut. Akhirnya, mereka mula menyerah kalah dan berputus asa malahan lari membawa diri jauh dari manusia. Walaubagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka masih mahu mencuba sebelum menyerah. Kurangnya, mereka tidak ‘beristiqamah’ hingga akhirnya.

JENIS KETIGA : KAPAS
Insan yang bersifat seperti besi ini mampu bersikap fleksibel dalam menghadapi ujian mahupun mehnah yang mendatang. Cuba anda menekan sebongkah kapas, apabila ditekan ia akan mengikut tekanan tersebut. Kapas itu sifatnya yang mampu menyesuaikan kondisinya mengikut saat tekanan yang terjadi. Tetapi setelah berlalu, ia akan kembali pada keadaan yang asal dengan cepat. Begitu juga dengan kita insan biasa,hakikatnya mampu menghadapi ujian yang menimpa, dengan syarat kita perlu segera melupakan masa silam(jahil) dan memulakan langkah baru dengan peluang(hidayah) yang ALLAH s.w.t kurniakan sebaiknya.

JENIS KEEMPAT : BOLA PING PONG
Inilah sifat insan yang ideal dan terhebat. Semakin tekanan menghentak diri mereka, semakin mereka bekerja kuat, lebih bermotivasi, kreatif malahan menjadikan tekanan itu sebagai pendorong ke arah merealisikan impian. Cuba perhatikan bola ping pong, saat ia ditekan, ia kembali melantun ke atas. Lagi kuat ditekan, lagi tinggi ia melantun ke atas mungkin mampu mencapai awan. Senyum.

كنتم خير أجرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله
Firman ALLAH yang bermaksud : kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada ALLAH s.w.t.
(Surah Ali-Imran, ayat 110)
Manusia adalah sebaik-baik insan yang dipertanggungjawabkan untuk menyeru manusia yang lain kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Tidak dinafikan, manusia juga adalah selemah-lemah insan. Percayalah, ujian yang datang bukan untuk melemahkan tapi membangkitkan kembali jiwa-jiwa yang mula suram agar terus ‘thabat’ bersama memperjuangkan Agama Islam di atas muka bumi ALLAH ini. Ambillah semangat dari pejuang dan srikandi Islam dan bergerak bersama kesatuan Islam, itulah kekuatan. Umat Islam haruslah saling menguatkan. Wallahu ‘alam.


*SUMBER: HASIL BACAAN MAJALAH ‘NAHDHAH’ BIL KE-4,FEBRUARI 2008
( TERBITAN BADAN ANAK SELANGOR )


 " Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan Oleh :

Nurul Ain Binti Rahmat
Timbalan Setiausaha Agung II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015

Rabu, September 02, 2015

PENA '15 - Bengkel Penulisan dan Penterjemahan - Anjuran bersama Lajnah Penerangan & Penerbitan dan Lajnah Pendidikan



Pada 30 Ogos 2015 , Lajnah Pendidikan dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKASM ) telah mengadakan Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA ) bertempat di Musolla Darul Ehsan , Asrama Selangor , Hayyu Asyir . Bengkel ini disertai oleh lebih 50 orang ahli BKASM dan BKAN taakhi cawangan Selangor iaitu negeri Melaka dan negeri Pahang . Bengkel ini dianjurkan buat julung kalinya bertujuan untuk mengasah pelapis mahir dalam Bahasa Arab di samping menggalakkan generasi pelapis menceburi dalam bidang penulisan dan penterjemahan. Slot pertama telah dikendalikan oleh Ustaz Amar Arif bin Ahmad Po’aad yang merupakan Mantan TYDP Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir ( KPIPM ) sesi 2012/2013 dengan tajuk Penulisan Puitis. Di dalam slot ini, Ustaz Amar telah menerangkan bagaimana untuk menjadi penulis yang baik dan mengadakan sedikit sesi latihan penulisan bersama peserta . Seterusnya pada slot kedua pula telah dikendalikan oleh Ustazah Ulfatun Nadzirah binti Tugiman Razaq yang merupakan Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKASM ) sesi 2014/2015 dengan tajuk “ Kaifa Taqraul Kitab ". Pengisi slot telah membentangkan kepada peserta bagaimana untuk membaca dan menterjemah kitab dengan baik. Beliau juga telah membuat sedikit latihan dengan para peserta . Antara latihannya ialah membaca hadis tanpa baris dan menterjemah potongan ayat daripada kitab terpilih. Bengkel diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik. Pihak penganjur juga telah memberi tugasan kepada para peserta untuk menghasilkan sebuah karya dan diserahkan kembali dalam tempoh tiga hari bagi melihat sejauh mana keberkesanan bengkel ini terhadap para peserta . Justeru, pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh para peserta . Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi supaya dapat melahirkan mahasiswa Mesir yang mahir berdakwah melalui mata pena selain daripada petah berkata-kata di hadapan. " Generasi Harapan Aset Kesatuan " “ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “ Disediakan oleh , Nurul Haziqah binti Abdul Hadi Timb. Setiausaha Program PENA Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKASM ) sesi 2014/2015