SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, Oktober 31, 2015

Isu Vape : Memohon Kerajaan Membuat Kajian Semula Demi Kesihatan dan Keamanan Rakyat Malaysia.


Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional kepada rokok moden. Hari ini, rokok elektronik juga dikenali sebagai vape.

Apa yang membimbangkan pada hari ini adalah pelbagai lapisan masyarakat Malaysia terjebak dalam penggunaan rokok elektronik ini sehinggakan melibatkan pelajar sekolah rendah yang rata-ratanya berada di bawah umur. Hal ini merunsingkan pelbagai pihak, jika ianya tidak dibendung berkemungkinan besar moral dan akhlak masyarakat Malaysia kian runtuh.

Rentetan daripada hal ini, para ulama dan cendekiawan Islam bersepakat hukum penggunaan rokok elektronik ini sama seperti rokok sebenar. Ini adalah kerana :

1) Ia mendatangkan kemudaratan kepada pengguna dan orang sekelilingnya.
2) Meniru budaya yang bukan daripada adab dan akhlak yang diajar dalam Islam.
3) Dilihat tidak bermaruah.
4) Mendidik masyarakat dengan budaya yang tidak sihat.

Bahkan diperingkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan fatwa terkini berkaitan status penggunaan rokok elektronik bawah kelolaan Mufti Wilayah Persekutuan.

http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=465:irsyad-fatwa-ke-63-hukum-penggunaan-rokok-elektronik-vapor&catid=48&Itemid=333

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) secara umumnya melahirkan rasa kesal dengan keputusan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan isu ini. Oleh itu, BKASM mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku :

1) Pihak kerajaan hendaklah mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi yang berautoriti terutamanya Majlis Fatwa Malaysia dan Jakim.
2) Membendung pengeluaran vape dari berleluasa.
3) Mengenakan tindakan kepada pihak yang berkenaan.
4) Mengadakan kempen "NO SMOKING" secara menyeluruh di seluruh peringkat.


BKASM mengharapkan pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera dan sebaiknya agar tidak menjadi semakin parah. Jangan disebabkan terlalu mengaut keuntungan dan mengejar ekonomi negara sehingga mengabaikan sosial, kesihatan dan ketamadunan masyarakat Malaysia.

Disediakan oleh:

Aiman Fitry Bin Zulkifli
Timbalan Setiausaha Agung 1(Lajnah Pendaftaran)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)
Sesi 2015/2016

#KITAPMRAM #BersamaBersatu #BersatuBerbakti

Sabtu, Oktober 24, 2015

MUNAJAT PASCA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN ( MAT ) KALI KE-40

Khamis, 22 Oktober 2015 – Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT) dengan kerjasama Lajnah
Penempatan dan Perumahan (LPR) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016 telah mengadakan Program Iftor Mahabbah & Munajat Pasca MAT 40 yang bertempat di Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir.

Program ini melibatkan seluruh ahli BKASM yang menghuni asrama Selangor mahupun Komuniti Rumah Sewa (KORUS). Antara pengisian program ini ialah Iftor Mahabbah, Munajat (Solat Hajat) & Doa Selamat serta Tazkirah Pasca MAT 40.

Antara objektif diadakan program ini adalah munajat sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40 yang baru-baru ini diadakan. Selain itu, mengeratkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah antara semua ahli BKASM.

Program ini dimulakan dengan Iftor Mahabbah yang melibatkan KORUS ke asrama. Selepas Solat fardhu Isyak secara berjemaah, program diteruskan dengan Solat Hajat dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ustaz Khairulamirin  bin Khabir, Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2015/2016. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan Tazkirah Pasca MAT 40 yang disampaikan oleh Ustaz Najamuddin bin Sapie, Aktivis BKASM.

Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua ahli BKASM. Program ini berakhir pada jam 8.15 malam.
Semoga Program Iftor Mahabbah & Munajat Pasca MAT 40 dapat terus dijalankan pada masa akan datang dan ahli BKASM dapat memberi komitmen yang baik terhadap program anjuran BKASM. Semoga BKASM sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.

Disediakan oleh,

Setiausaha Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT),
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM),
Sesi 2015/2016.

Jumaat, Oktober 23, 2015

JEREBU : Peringatan Daripada Allah SWT



Jerebu : Peringatan Daripada Allah SWT.
Pencemaran udara yang melanda negara kita pada hari ini terus berlarutan sehingga memberi kesan yang tinggi pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU). Perkara ini terus memberi kebimbangan serta kerisauan terhadap rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan wabak yang mudah merebak kepada manusia jika tidak dibendung dengan sebaiknya. Pihak Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) merakamkan rasa simpati dengan musibah yang melanda di tanah air Malaysia. Disebalik musibah yang berlaku pada hari ini berkemungkinan terdapat perkara buruk telah dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak, maka masih belum terlambat untuk memohon keampunan kepada Allah SWT kerana kepadaNYA sahaja kita memohon segala petunjuk dan keampunan. "Sehingga aku berkata (kepada mereka): Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. (Surah Nuh : 10-11) Justeru, BKASM menasihati kepada seluruh warga Malaysia agar lebih cakna dan waspada dengan situasi yang berlaku pada hari ini. Beberapa langkah yang boleh dilakukan antaranya : 1) Pihak kerajaan mengambil serius dalam hal ini dengan mengumpulkan para tenaga mahir dan memikirkn solusi yang terbaik. 2) Mengenakan denda yang setimpal kepada pihak yang terlibat. 3) Menjaga kesihatan apabila berada di luar rumah. 4) Mengadakan solat hajat dan munajat perdana di masjid/surau/rumah dan sebagainya. 5) Mematuhi pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehubungan dengan itu seluruh warga BKASM mendoakan agar masalah jerebu ini dapat diselesaikan dan berharap rakyat Malaysia bersabar di atas musibah yang melanda di negara kita pada hari ini. "Bersatu Berbakti Bersama Islam" Siru Ala Barakatillah Asraf Bin Alias Yang DiPertua, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) Sesi 2015/2016

Isnin, Oktober 12, 2015

BORANG KAJIAN MEDAN BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2014/2015


Sebelum pentadbiran BKASM sesi 2014/2015 melabuhkan tirainya, Lajnah perancang menyediakan borang kajian medan kepada seluruh ahli BKASM. Borang kajian medan ini bertujuan untuk penambahbaikan pentadbiran BKASM sesi akan datang.
Harapan kami, agar ahli BKASM dapat mengisi borang maklumat ini bagi melicinkan pentadbiran BKASM akan datang. Besar harapan kami agar borang ini dapat membantu ahli dan pimpinan untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan keutuhan dan survival BKASM dapat diteruskan di bumi Mesir ini.
Borang boleh didapati di pautan ini -:
Borang ini hendaklah diisi bermula pada 10 Oktober 2015 (Sabtu) sehingga 12 Oktober 2015 (Isnin) jam 12 malam
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan -:
- Ikhwah : Saudara Muhamad Nazif bin Shaari
Ketua Lajnah Perancang BKASM sesi 2014/2015
+201212152484
- Akhawat: Saudari Siti Nurliana binti Zainudin
Timbalan Lajnah Perancang BKASM sesi 2014/2015
+201145833742
"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan"
BKASM Sesi 2014/2015

Jumaat, Oktober 09, 2015

PEMUDA : TONGGAK MASA HADAPAN - TINTA JUMAAT SIRI KE - 36

PEMUDA : Tonggak Masa Hadapan

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚإِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى


“Kami Ceritakan kisah mereka kepadamu dengan sebenarnya . Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (Al-Kahfi: 13)

Agama Islam yang kita yakini kebenarannya memilki perhatian besar terhadap pemuda, kerana pemuda hari ini akan menjadi pemimpin-pemimpin dimasa akan datang. Baik dan buruknya pemuda hari menjadi cerminan kepimpinan dimasa akan datang. Semuanya bergantung kepada kemantapan kualiti golongan ini.

“SYUBBAN AL-YAUM RIJAL AL-GHAD” pemuda hari ini adalah pemimpin masa hadapan.

Al-Quran banyak mengisahkan perihal golongan pemuda yang sepatutnya menjadi qudwah hasanah. merekalah para muda mudi Islam yang mendambakan hidup dalam keredhaan Allah. Nama dan prestasi mereka tercatat dalam Al-Quran dan menjadi contoh tauladan sehingga hari kiamat.

Al-Quran menceritakan tentang pemuda yang bernama Ibrahim A.S. Seorang anak muda yang menerapkan nilai ketuhanan dengan mengajak manusia kembali mengesakan Allah s.w.t. beliau sosok anak muda yang berani melawan kemungkaran, mengahancurkan berhala-berhala buatan ayahnya. Beliau juga berani menentang kezaliman Raja Namrud yang mengaku dirinya adalah tuhan.

Al-Quran menuturkan kisah anak muda yang dahagakan ilmu pengetahuan bernama Musa A.S. Beliau berguru dengan seorang lelaki Alim bernama Khidir. Beliau terkenal dizamannya sebagai pemuda yang berani dan berhati lembut dan sentiasa berpihak kepada kebenaran.

Al-Quran juga mewartakan perihal anak muda yang bernama Yusuf A.S yang gagah menahan godaan syahwat. Hatinya tidak berpaling dari Allah di saat jerat rayuan maut wanita cantik. Yusuf adalah pemuda yang memiliki jiwa yang benar-benar sabar dan sentiasa positif pabila menerima ujian.

Al-Quran juga mengisahkan tentang kisah hebat pemudi bernama Maryam. Pemudi yang melayari kehidupannya untuk beribadah kepada Allah. Beliau adalah pemudi yang sangat utuh dan istiqamah menjaga kehormatan diri.

Al-Quran juga mewartakan kisah Ashabul Kahfi, Anak-anak muda yang tegar memilih jalan tauhid dan mengorbankan nyawa demi mempertahankan aqidah tauhid daripada ancaman pembunuhan Raja Dikyanus, pemerintah yang zalim.

Banyak lagi kisah-kisah yang dapat kita ambil manfaat dan pengajaran dalam Al-Quran, Supaya kita dapat melayari zaman muda kita dengan baik, menurut acuan Allah. Galilah kisah mereka, fahami, teladanilah. Moga usaha kita untuk menggapai redha ilahi terlaksana.

" Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan "

Disediakan Oleh :
Muhammad Farhan Bin Ajiyan 
Fasilitator BKASM sesi 2014/2015

Selasa, Oktober 06, 2015

RISALAH ILMIAH SIRI KETUJUH - HOW TO BE A SUCCESSFUL PERSON ?


A Muslim person was taught to be a success in their life. We have been called five times a day for success in azan;
حي على الصلاة..حي على الفلاح..
Meaning:  Let’s pray. Let’s success

Firstly, to be a successful person, we must know some tips to lead us to succeed:

Allah is Number One
· Make sure our intention is purely for Allah.
· More close to Allah by performing good work and obey all His commandment.

List down all chores
· Know well with your own times;
· Make a column between urgent and important, urgent but not important, important but not urgent, not important and not urgent, and make sure to follow it;
· For example : association, meeting, study, personal matter, rest and other.

Do an exercise
· Practice every day something new until you achieve it

Be a positive
· Whatever worse thing comes to you, you should not be down by it but take it as a challenge and you can be a successful person;
· Make a friend with a positive and successful person, because it will slowly make you to be a great and kind person.

Know well weakness and strengthens
· Everyone have a weakness but it is not a barrier to you to become a success. What you should do is BEAT YOUR WEAKNESS!
· Then, improve your abilities by help the other which is weaker than you;
· Believe in yourself that you can do everything.

            Last but not least, all of us have a dream to be a successful person. We should make an effort to be one of them. Nothing is impossible if we put full effort on it. What Allah says in Qur’an :

        “Allah surely does not change the condition of a people until they change what is in themselves...”
(Surah Ar-Ra’d: 11)
Sincerely Written by,
Nur Aqilah binti Abdul Halim,
Information And Publicities Unit,
Bureau Of Academic,

BKASM Session 2014/2015

Isnin, Oktober 05, 2015

Pemakluman Prosedur Biasiswa Pelajar Baru


[ BIASISWA PELAJAR BARU ]
1. Bagi pelajar baru yang akan masuk ke kuliah, zakat akan bermula setelah mana pelajar memulakan kuliah tahun 1 beserta pengesahan daripada kuliah (TASDIQ KULIAH) sama ada dermasiswa ATAU bantuan umum pelajaran (BUP). Adapun pelajar yang berstatus BUP, pelajar perlu menyediakan beberapa dokumen dan perlu dibawa ke Malaysia untuk dihantar ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam, antaranya: 1. Salinan kad pengenalan pemohon dan penjaga 2. Salinan passport dan visa pemohon yang hidup 3. Surat pengesahan pengajian dari pihak universiti beserta penterjemahan (penterjemahan akan dilakukan oleh pihak pejabat) 4. Surat tidak menerima mana- mana tajaan 5. Salinan slip gaji/pengesahan pendapatan penjaga 6. Salinan kad pengenalan/sijil lahir bagi semua tanggungan Dokumen-dokumen tersebut perlu dihantar kepada Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir terlebih dahulu di Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir dan disahkan sebelum dihantar ke Malaysia. Borang boleh diambil di Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir. 2. Pelajar markaz boleh memohon bantuan umum pelajaran markaz sebelum habis sesi pengajian di markaz. Dokumen dan pengurusan adalah sama seperti pelajar yang baru memohon BUP kuliah. Sebarang pertanyaan dan rujukan masalah boleh terus berhubung dengan:- Ikhwah Aiman Fitry Bin Zulkifli Ketua Lajnah Pendidikan BKASM Sesi 2014/2015 No telefon: +201100158527 No whatsapp: +201220579654 Akhawat Nurul Nazuwa Binti Zazamudin Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan BKASM Sesi 2014/2015 No telefon: +201148910243 "Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan" Disediakan oleh: Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2014/2015 #KITAPMRAM #50TAHUNBKASM #BersamaBersatu


Sabtu, Oktober 03, 2015

PRO MULTIMEDIA WORKSHOP - Melahirkan Generasi Pelapis Yang Profesional


Pada 29 September 2015 lepas, Lajnah Penerangan dan Penerbitan sesi 2014/2015 Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir di bawah kelolaan Kelab LPP telah mengadakan program Pro Multimedia Workshop. Aktiviti ini dijalankan pada dua sesi iaitu sesi petang dan sesi malam. Pada sesi petang, kelas dimulakan dengan Bengkel Sony Vegas siri ke-2, manakala untuk sesi malam pula adalah kelas Adobe Photoshop khusus untuk mahasiswa/wi baru.
Objektif yang digariskan bagi program yang dijalankan adalah untuk memberi pengenalan awal tentang kemahiran membuat iklan serta menambah kemahiran dalam pembikinan video sekaligus melahirkan tenaga mahir yang mampu menghasilkan iklan dan video di tahap profesional. Seterusnya dapat memastikan setiap ahli yang menghasilkan iklan dan video mengikut etika dan syarat yang ditetapkan tanpa melanggar syara'.
Bengkel Sony Vegas Siri ke-2 bermula pada jam 1.30 petang yang di pengerusikan oleh Ustazah Siti Fazira Binti Idris. Seterusnya slot diteruskan oleh tenaga pengajar  Ustaz Ahmad Hakimi Bin Ahmad Suhaimi. Seramai  11 orang ikhwah dan 20 orang akhawat telah menyertai bengkel ini.  Bengkel ini berakhir dengan penyampaian hadiah daripada Ustaz Mohamad Badrul Annuar Bin Mahbob diiringi oleh Ustaz Nashrul Amin Bin Arbain selaku pengarah Pro Multimedia Workshop.
Pada sesi malam pula, seramai 20 orang mahasiswa baru  dan 37 orang mahasiswi menyertai  Kursus Adobe Photoshop  yang dipengerusikan oleh Ustaz Al-Baihaqi. Kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Muhamad Hafiz Naim Bin Raduan dan berakhir dengan penyampaian hadiah daripada Ustaz Mohamad Badrul Annuar Bin Mahbob diiringi oleh Ustaz Nashrul Amin Bin Arbain.
Semoga dengan berakhirnya bengkel ini dapat melahirkan ramai pelapis yang  professional seterusnya dapat melebarkan dakwah Islam.
 " Together Through Multimedia "
" Generasi Harapan Aset Kesatuan "
Kelab LPP
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2014/2015

Jumaat, Oktober 02, 2015

ISLAM DAN POLITIK - TINTA JUMAAT SIRI KE- 35

       Islam menetapkan tujuan dan tugas utama pemimpin adalah untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah dan RasulNya serta melaksanakan perintah-perintahNya.

Sabda Rasulullah SAW:

 عن ابن عمر رضى الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته.
(Dari Ibn Umar r.a, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Setiap orang adalah pemimpin dan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpin.)

       Setiap individu adalah pemimpin termasuk menjadi pimpinan bagi dirinya sendiri. Seseorang individu yang berfikiran matang haruslah sentiasa bersedia dalam mengenal seseorang pemimpin melalui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu.Tidak kira siapapun, kita dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan masing-masing, sama ada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, sama ada kita selaku orang yang dipimpin kita mempunyai hak untuk menjadi jundi yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

       Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta pelbagai lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati apabila diadun. Al-Quran dan Hadis menegaskan bahawa pemimpin tidak ada kuasa mutlak. Setiap yang dipimpin haram untuk dizalimi. Rasulullah SAW menunjukkan contoh pemerintahan Islam yang adil dan baginda menjadi ketua negara yang tidak berlagak Tuhan, walaupun dirinya dilantik oleh Allah untuk menjadi Rasul. Pemerintahannya bergantung dengan wahyu dan syura daripada rakyat melalui pemimpin mereka.

Sabda Rasulullah SAW:

على المرء المسلم السمع والطاعة فيما أحب وكره، إلا أن يؤمر بمعصية، فإذا أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة.
(Wajib ke atas seseorang Muslim itu mendengar dan taat dalam perkara yang disukai dan dibenci, melainkan jika disuruh dengan perkara maksiat. Maka apabila disuruh dalam perkara maksiat maka tidak harus lagi mendengar dan mentaatinya.)

       Perlantikan Khulafa Al-Rasyidin selepas wafatnya Rasulullah SAW dilakukan secara musyawarah yang melibatkan para pemimpin seluruh rakyat dan pemimpin pula sentiasa dimuhasabah tindakannya oleh semua lapisan rakyat. Perlantikan Khalifah Abu Bakar dengan suara majoriti mengatasi calon yang lain menjadi contoh prinsip dan konsep politik Islam.

       Secara kesimpulannya, Islam datang sebagai pembawa rahmat Allah yang tidak terkira sifat Adilnya terhadap hambaNya. Dinyatakan secara wahyu dalam beberapa perkara secara umum dan khusus berkenaan kerasulan Muhammad SAW. Islam yang dibawa oleh baginda telah menunjukkan sIstem politik yang paling berjaya dalam sejarah manusia.

“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Disediakan oleh,
Nurul Nazuwa binti Zazamudin
Timbalan Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2014/2015

CERPEN GURU MUDA - Hasil Karya Terbaik ( Ketiga ) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan

    
 Pada 17 Disember 2013 merupakan titik permulaan bagi diriku yang kerdil ini. Sedang aku merasakan bosan berada di rumah, maka diri ini terpanggil untuk mencari pekerjaan bagi mengisi masa lapangku dengan perkara yang berfaedah. Mencari pekerjaan itu bukanlah suatu yang terlintas di fikiranku apabila tamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada bulan oktober yang lalu. Tetapi jika aku diberi peluang tersebut, ingin juga aku mencubanya untuk mencari suatu pengalaman  yang baru di dalam hidupku.

     Apabila sahabatku mengetahui perkara ini, lalu dia memberikan nama dan nombor telefonku kapada seorang mudir sekolah  yang sedang tercari-cari guru ganti bagi mengajar di sekolah tersebut. Maka terpanggillah aku untuk menghadiri temuduga itu setelah aku menerima panggilan telefon dari mudir itu, dua minggu sebelum tarikh temuduga yang sebenar. Maka pergilah aku ke sekolah itu untuk menghadiri temuduga bagi menjadi seorang guru ganti. Hanya Tuhan yang tahu betapa berdebarnya hatiku ini. Jika mampu aku ibaratnya, seperti  seseorang yang sedang berlari. Betapa lajunya degupan jantungku apabila hendak ditemuduga. Takut dan gementarnya hanya Tuhan yang tahu. Aku tempuhilah juga saat serta detik-detik itu.

     Boleh dikatakan awal jugalah aku datang pada pagi itu disebabkan takut kelewatan untuk tiba di sekolah itu. Orang baru katakan. Semangatnya lain. Aku pun menunggu dan terus menunggu sehingga guru-guru yang lain turut hadir juga diikuti oleh mudir sekolah itu. Ketika aku sedang menunggu kedatangan mereka, terdapat seorang sahaja guru perempuan yang telah datang lebih awal sebelumku. Namanya Teacher Nazirah. Sambil-sambil itu, kami pun saling berkenalan antara satu sama lain. Apabila semuanya sudah datang, maka berlakulah satu mesyuarat di pejabat guru lelaki. Bersebelahan dengan kelas Tahun Empat Tarmizi. Mereka semua memperkenal diri masing-masing. Nama guru-guru lelaki ialah Ustaz Sobri, mudir di sekolah itu. Kemudian, Ustaz Zulkarnain, Ustaz Khairul Anam, Ustaz Norhisham dan Ustaz Khairi. Manakala guru perempuan pula ialah Teacher Nazirah, Ustazah Suwaibatul Aslamiah, Ustazah Ummu Sakinah, Ustazah Syazani, diriku Nurul Fatin Syazana dan yang terakhir adalah kerani sekolah, Puan Aziana.

     Pada ketika itu jugalah, barulah aku mengetahui mesyuarat tersebut adalah mesyuarat pertama bagi para guru sesi 2014. Aku terus diserapkan menjadi salah seorang guru di situ tanpa ditemuduga oleh mudir sekolah. Percaya atau tidak, begitulah hakikatnya. Terdetik dibenak hatiku, benarkah aku akan menjadi seorang guru?mampukah aku untuk mengawal para pelajar terutama pelajar sekolah rendah?? Tetapi itulah kebenaran yang harus aku menerimanya. Pembahagian tugas serta matapelajaran telah diberikan oleh mudir bagi setiap guru yang bakal mengajar. Banyak jugalah matapelajaran dan kelas yang perlu aku  mengajar. Matapelajaranku adalah Pendidikan Seni dari tahun 1-4, Dunia Sains Dunia Teknologi tahun 1-3, Jawi tahun 4 dan Bahasa Arab tahun 6. Maka hari-hariku yang berbaki pada hujung tahun itulah aku manfaatkan bagi membuat persiapan diri dari segi fizikal mahupun mental sebelum aku memulakan pengajaran pada hari yang sebenar.

     Pada tarikh 2 Januari 2014 adalah hari pertamaku di sekolah tersebut. Satu suasana yang amat aku rindui pada zaman persekolahanku dahulu tetapi watakku sekarang adalah berbeza. Dahulunya aku berada di barisan para pelajar, kini aku berada di hadapan sebagai seorang guru. Pelbagai perasaan yang timbul pada hari itu. Beginilah perasaan menjadi orang baru di suatu tempat yang tidak seorang manusia pun aku kenali. Ibarat seperti rusa masuk ke kampung. Itulah ibarat yang sesuai bagiku pada saat ini. Kedengaran riuh-rendah di pagi itu. Hari pertama sekolah katakan. Masing-masing bersemangat sehingga tiba-tiba diriku disapa oleh pelajar-pelajar. " CIKGU! CIKGU!! Cikgu ini,guru baru ya di sini? " Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum dengan sapaan mereka itu. Lantas aku berlalu pergi begitu sahaja dan terus menaiki tangga ke pajabat. Berkhayal sejenak.. Sudah jadi guru rupanya aku ini. Lantas aku terus mematikan khayalanku yang sebentar itu apabila teringat akan sekarang adalah waktu untukku masuk ke kelas.

     Aku ditaklifkan sebagai guru kelas bagi Tahun 2 Muslim. Lalu aku pun menuruni tangga menuju ke arah kelas tersebut. Apabila aku memasuki kelas itu, maka bangunlah kesemua murid-murid di dalam kelas dan memberi salam kepadaku dengan lafaz yang serentak "Assalamualaikum Ustazah"... Lantas aku pun menjawabnya, "Waalaikumussalam". Kemudian kesemua pelajar membaca doa belajar. Setelah itu, aku memberi keizinan kepada mereka untuk duduk. Suasana kelas yang selesa dan tidak terlalu bising membuatku bertambah tenang kerana bilangan pelajarnya adalah sangat sedikit. Hanya 9 orang pelajar. Tanpa membuang masa lagi, aku memperkenalkan diri. "Nama saya,Nurul Fatin Syazana Binti Mohd Fauzi. Umur 19 tahun. Asal,Paya Dalam Melaka.Masih bujang. Maksudnya tidak berkahwin lagi. Matapelajaran yang saya akan mengajar awak semua ialah Pendidikan Seni dan Dunia Sains Dunia Teknologi". Aku juga telah meminta mereka untuk memperkenalkan diri. Nama-nama pelajarku ialah Aiman, Arif, Latif, Iman, Quraisyah, Wadihah, Natasa, Aisatul dan Basirah. Selain itu, aku juga telah memberikan sedikit pencerahan mengenai buku serta subjek yang bakal aku mengajar. Seusai penerangan itu, aku hanya membiarkan mereka untuk melakukan pekerjaan sendiri. Ada yang berbual, bermain, diam dan lain-lain. Tetapi dalam keadaan yang terkawal. Sudah semestinya berada di bawah pemantauanku sambil itu dapatlah aku perhatikan gelagat dan karenah masing-masing sehingga akhir waktu pengajaranku tamat dan loceng berbunyi. Maka aku pun beredar bagi memberi peluang kepada guru lain untuk masuk ke kelas.

     Selang 30 minit selepas itu, aku memasuki kelas tahun 1 Bukhari pula. Tiba-tiba aku berbicara sendiri di dalam diri. Bagaimanakah pula pelajar-pelajar tahun 1 di kelas itu ya? Masuk sahajalah. Apabila kakiku melangkah sahaja ke dalam kelas itu, maka berdirilah mereka dan memberi salam kepadaku. Maka, terlihatlah aku ke arah seorang pelajar perempuan yang tidak berdiri. Pemakaiannya juga tidak seperti pelajar yang lain. Mungkin juga bajunya tidak sempat untuk disiapkan oleh penjahit. Dia hanya memakukan diri sahaja apabila aku masuk dan berdiri di hadapannya. Tidak mengapalah. Mungkin dia tidak mengetahui peraturan di sekolah itu. Bersangka baik sahajalah terhadapnya. Lalu aku berkenalan dengan mereka semua. Berbagai-bagailah ragam yang dapat aku perhatikan. Ada yang diam, petah bercakap, bising, suka menyakat orang lain dan berbagai lagi. Ada juga yang menangis apabila diganggu oleh pelajar lain. Maklumlah, pelajar tahun 1 katakan. Begitulah karenah mereka. Terima sahajalah seadanya.

     Seperti itu jugalah kelas tahun 3 Ahmad. Belum lagi aku memasuki kelas itu, suara mereka telah aku dengari dari kejauhan lagi. Sudah aku dapat meneka bagaimanakah perangai mereka. Pelajar-pelajarnya lagi agresif dan aktif. Nakal pun ada juga. Gaduh itu perkara biasa. Bagi yang lemah, hanya mampu menangis sahaja. Itu sahajalah kerjanya. Bertegas lebih sedikit pun, kurang berkesan. Suaraku ini lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka.

     Tahun 4 Tarmizi lain pula ceritanya.Boleh kata matanglah juga. Pelajar perempuannya agak manja denganku.Walaupun kami baru berkenalan di dalam kelas. Sifat mereka lemah-lembut sahaja. Manakala yang lelakinya sahaja yang agak petah dan sedikit nakal. Tetapi baiklah juga jika dibandingkan dengan kelas-kelas yang lain.

     Akhir sekal, kelas tahun 6 Ibnu Majjah. Pelajar -pelajar yang paling dewasa di sekolah. Tetapi bagiku dari segi umur, mungkin tidak. Ini kerana sifat dan perangai mereka yang aku perhatikan. Berbalah di antara pelajar lelaki dan perempuan itu, sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Masing-masing sudah besar. Masing-masing hendak bercakap dan memberikan pendapat. Semua berfikir bahawa dirinya sahaja yang benar dan hendak menang. Tidak kira pelajar lelaki atau pelajar perempuan. Sama sahaja. Pening jugalah aku melihat mereka. Tetapi tidaklah semuanya begitu. Ada juga yang hanya berdiam diri dan ada pula yang baik-baik sahaja.

     Setiap kelas berlainan situasi pelajarnya yang perlu aku tempuhi. Sabarlah duhai hati. Apabila masuk pada minggu ke-3, secara puratanya mereka sudah mempunyai buku masing-masing bagi semua subjek yang bakal dipelajari dan bermulalah pembelajaran mereka semua. Dari pengajaranku kepada para pelajar, dapatlah aku simpulkan kepada beberapa kategori mengikut matapelajaran yang aku mengajar, iaitu :
1) Pendidikan Seni - Tidak mempunyai silibus yang khusus dan harus mencari inisiatif  lain dengan membeli buku di kedai-kedai buku terbesar seperti di Popular atau Thai Kuang serta mencari idea-idea luar bagi mempelbagai bahan mengajar.
2) Dunia Sains Dunia Teknologi - Para pelajar kurang memahami penyampaian yang diberikan serta bahan pembelajaran kurang dan ada juga yang tiada.
3) Jawi - Silibus buku adalah baru dan agak tinggi bagi mereka serta para pelajar tidak mampu menangkap dengan cepat serta terpaksa mempelajarinya dari asas semula.
4) Bahasa Arab - Pencapaian mereka ada yang sederhana dan baik. Tetapi ada juga segelintir pelajar yang tidak mampu membawa subjek.

     Itulah pemerhatian awal yang dapat aku simpulkan. Seperti biasa, persediaan sebelum mengajar itu adalah suatu perkara yang sangat penting. Menyusun aktiviti sepanjang waktu mengajar agar masa pembelajaran dapat digunakan dengan sebaiknya. Contohnya, memberikan latihan dan kerja rumah, membuat soal jawab di antara pelajar dan guru, kuiz dan lain-lain lagi. Dengan aktiviti seperti ini, secara tidak langsung dapat menarik perhatian mereka semasa proses pembelajaran. Seusai proses pengajaran, guru harus membuat laporan bagi setiap matapelajaran yang diajar untuk diberikan kepada mudir bagi melihat perkembangan pengajaran seseorang guru itu. Penat jugalah hendak menghadap laporan itu hari-hari. Tetapi itulah yang mesti dilalui oleh seorang guru walaupun dalam keadaan yang penat.

     Waktu berlalu sehingga pada bulan ke yang ke dua iaitu bulan Februari. Bulan yang mana para pelajar akan menghadapi ujian pertama. Persediaan dari guru dalam menyiapkan soalan bagi kesemua matapelajaran yang diajar serta menghabiskan silibus sebelum para pelajar menduduki peperiksaan. Tergesa-gesalah juga. Penat itu, perkara biasa bagi seseorang yang bergelar guru.

     Realiti kehidupan seorang yang bergelar guru sebenarnya tidak ada rehat bagi dirinya. Dari pagi sehingga tengahari adalah watu mereka mengajar di sekolah. Petangnya pula, terpaksa berhadapan dengan kerja rumah para pelajar untuk ditanda, membuat laporan serta persediaan menghadapi hari esoknya. Seterusnya, bertambahlah kerjanya apabila berada pada musim peperiksaan. Bermula dari membuat kertas soalan, menjaga peperiksaan, menanda kertas dan memberi markah sehinggalah menyiapkan buku rekod para pelajar untuk diserahkan kepada ibu bapa pelajar. Tidak terhenti di situ sahaja tetapi setelah itu membuat analisa pencapaian mereka untuk dibentangkan kepada mudir sekolah. Inilah guru. Betapa beratnya tangggungjawab yang harus dipikul bagi melihat kejayaan generasi pada masa akan datang. Tidak kira dengan hari-hari yang mesti dilalui bersama mereka untuk menyampaikan ilmu. Juga kelas tambahan yang wajib dilaksanakan bagi memantapkan lagi kefahaman mereka terhadap matapelajaran yang dipelajari. Inilah jasa para guru bagi mendidik anak bangsa berilmu pada masa hadapan.

     Berlalunya hari demi hari sehingga bulan berganti bulan yang seterusnya. Aku menguatkan diri supaya terus bersemangat untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun cabaran yang mesti aku tempuhi pada setiap hari adalah berlainan. Walaupun dengan jangka masa 5 bulan ini, hari-hari dan bulan-yang lalu telah mematangkan diriku dengan perangai serta karenah mereka. Ada sahaja yang tidak membawa buku ke sekolah, bermain-main, bercakap ketika belajar, tidak membuat kerja rumah dan berbagai lagi. Bagi guru, perkara seperti itu adalah perkara biasa yang sering dilakukan oleh para pelajar. Tetapi setiap orang mempunyai tahap kesabaran yang terbatas dan juga ada hadnya.

     Seperti rutin kebiasaanku, aku menaiki motorsikal. Setiap kali sebelum pergi ke sekolah, aku akan memperbaharui semula niatku agar dapat menanamkan semangat yang baru untuk mengajar anak-anak murid di sekolah. Think positive! Moga Allah mempermudah urusanku pada hari ini dan akan datang. Setibanya aku di sekolah, pelajar-pelajar akan menyambutku di tepi motor dengan berkata "Ustazah Fatin...". Aku hanya tersenyum dengan gelagat mereka dan terus menuju ke pejabat dan menanda kehadiran.

     Setelah habis perhimpunan pagi, aku bersiap-siap dan bersedia untuk masuk ke kelas. Jadualku pada hari ini agak padat dari pagi sehingga waktu balik. Tidak mengapa. Amanah itu, haruslah dilaksanakan juga. Pagi itu dimulakan dengan kelasku sendiri. Tahun 2 Muslim. Apabila aku ingin memulakan pengajian, aku pun meminta para pelajar mengeluarkan buku. Lalu mataku memerhatikan kesemua para pelajar yang berada di dalam kelas itu. Ada yang berkata, "Ustazah... Latif,Quraisyah dengan Aisatul tak bawa buku". Maka aku datang menghampiri mereka sambil merotan meja sebagai tanda amarahku. Kesemuanya tersengih-sengih denganku apabila aku berbuat sedemikian dengan alasan yang sama, "Saya tertinggallah ustazah..lupa hendak letak buku dalam beg masa susun jadual". Lalu aku mendenda mereka dengan sekali sebatan di tangan sebagai peringatan kepada mereka agar tidak melakukannya lagi pada masa akan datang dan meneruskan pembelajaran sehingga habis waktu pembelajaranku bagi subjek tersebut. Walaupun pada hakikatnya moodku telah bertukar sedikit. Ini kerana aku sedikit terkesan dengan perbuatan mereka itu.

     Kemudian diteruskan pula pada kelas Tahun 1 Bukhari. Aku sedikit lewat masuk ke kelas tersebut kerana guru sebelumnya terlebih masa mengajar dan mengambil waktuku yang sememangnya sedikit tetapi aku tetap meneruskan juga pengajaran. Waktu yang berbaki sebelum rehat, aku gunakan hanya dengan memantau kerja rumah mereka yang lepas dengan menanda buku. Boleh kata sebahagian jugalah yang tidak melengkapkan kerja rumah yang berbaki itu. Pelajar-pelajar darjah tahun 1 ini, jika hendak dimarah lebih-lebih pun bukannya mereka boleh faham dan ambil berat tentang apa yang diperkatakan kepada mereka. Hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Membazir masa dan waktu sahaja. Berlainanlah jika berkata dengan pelajar sekolah menengah. Masing-masing sudah besar dan mampu berfikir dengan matang. Tidak mengapalah. Aku hanya memperingat kepada mereka agar tidak melakukannya lagi.

     Ada lagi 1 kelas yang harus aku hadiri iaitu kelas Tahun 3 Ahmad. Hari ini, kelas inilah yang sering aku masuki. Bermula dengan subjek Pendidikan Seni sebelum rehat. Ideaku hanya mahu membuat tugasan di dalam buku sahaja memandangkan bahan pengajaran tidak sempat aku siapkan kerana kepadatan jadualku serta aktivitiku di rumah. Aku pun bersuara dan berkata kepada mereka, "tajuk lukisan kita pada hari ini ialah ular. Tugasan awak semua ialah warnakan dan gunting lukisan tersebut menjadi seekor ular". Kebiasaannya pelajar perempuan yang akan menyiapkan tugasan lebih awal. Hendak diharapkan pada pelajar lelaki, ramai yang bermain dan membuat bising di dalam kelas. Apabila ditegur, barulah mereka membuatnya. Jika tidak, begitulah perangai mereka. Ibaratnya seperti pahat. Jika tidak diketuk, tidak bergeraklah ia. Sekali, dua mampulah aku menegur mereka. Setelah itu, kesabaran sahajalah yang mampu mengawal diriku ini. Hanya mampu memandang dan berdiam diri sahaja dengan perlakuan mereka. Walaupun dalam hati ini, Allah sahaja yang tahu aku sedang menahan amarahku itu. Aku memujuk diriku dengan kata-kata, "Tidak mengapalah. Mungkin selepas rehat ini baiklah mereka". Setelah loceng berbunyi, aku pun pergi ke kantin untuk membeli makanan bersama beberapa orang guru serta menjamu selera dengan para pelajar yang lain.

     Setelah habis rehat, aku meneruskan lagi tugasanku. Kelas 3 Ahmad juga. Tetapi subjek yang berlainan iaitu Dunia Sains Dunia Teknologi. Hatiku berbisik sebentar dengan kata-kata, "Ubahlah tanggapan di dalam dirimu. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik selepas rehat ini. Apa-apa pun, bersangka baiklah dengan para pelajarmu". Melangkah sahaja kakiku ke dalam kelas itu dengan harapan yang menggunung agar sikap mereka akan  lebih baik selepas ini. Masuk sahaja ke dalam kelas, ketua kelas pun berdiri. Diikuti para pelajar yang lain bagi memberi salam kepadaku. Aku menjawab salam tersebut tanpa menghiraukan beberapa orang pelajar yang tidak berdiri dan masih lagi bermain-main sesama mereka. Sabarlah Fatin. Dugaan bagi dirimu pada hari ini. Lantas aku bersuara. "Keluarkan buku teks muka surat 32". Tiba-tiba ada yang berkata, "Sekarang ke ustazah? muka surat berapa?? Saya tak dengarlah..". Maka aku mengulangnya semula. Lalu masih juga ada yang tidak dapat menangkap kata-kataku dek kerana riuh-rendahnya kelas pada ketika itu dengan berkata, "Apa ustazah?". Tanpa berlengah lagi, aku pun mengambil maker pen dan menulisnya pada papan putih. Sabar sahajalah dengan mereka ini. Pengajaranku diteruskan dengan tajuk 'jenis-jenis haiwan'. Sebuah tajuk yang sudah dipelajari pada minggu lepas tetapi sengaja aku mengulangnya bagi menguji ingatan mereka terhadap pelajaran yang lalu. Aku memulakan dengan bertanya soalan kepada beberapa orang pelajar tanpa membenarkan mereka untuk melihat buku. Tidak ramai yang dapat menjawabnya. Aku membiarkan sahaja tanpa mendenda mereka. Lalu aku terus membuat soalan di papan putih dan meminta mereka menyalinnya serta memenuhkan tempat kosong dengan jawapan sendiri. Malangnya, sehingga waktuku sudah hendak berakhir pun, masih ada yang tidak menulis soalan dengan lengkap di dalam buku. Jawapan jauh sekali sudah siap. Tiba-tiba aku terdengar ada suara yang bising di sudut kelas itu.

Abdullah berkata, "Mail!kau ambil pensel aku kan? "
Lalu Ismail menjawab kata-kata itu dengan berkata, "Mana ada.."ini aku punyalah. Kau kenapa??
Mereka silih berganti memberi soalan dan menjawabnya.
"Itu aku punyalah.........."
"Aku punyalah!!ayah aku yang belikan"
"Buwekkkk...." (Abdullah menjelihkan lidahnya kepada Ismail)
Ismail pun bangun dari kerusinya sambil menarik nafas yang geram dengan sikap Abdullah yang sering mencari gaduh dengannya. Lalu terus berlari menuju ke arah Abdullah dan menolaknya sehingga terjatuh dari kerusi yang didudukinya.
Abdullah berkata, "Kau kenapa tolak aku?"
Berlakulah pergaduhan di antara mereka disebabkan perkara tadi.

     Aku terus bangun dari kerusi guru yang berada di hadapan dan bertindak untuk meleraikan pergaduhan tersebut tetapi tidak berjaya. Mereka tetap bergaduh. Ditambah pula dengan kata-kata sahabat yang lain kepada mereka, "gaduh!gaduh!!". Semakin bertambahlah api kemarahan mereka untuk berhenti begitu sahaja tanpa menyelesaikan perkara ini. Lantas menjerit dan berkata, "Diam semua!Kembali ke tempat masing-masing". Tetapi semua tidak menghiraukan teguran dan nasihatku itu.

     Tahap kesabaranku sudah memuncak. Aku sudah tidak tahan lagi dengan semua ini. Sudah cukup penat aku melayan kerenah para pelajar dari pagi sehinggalah sekarang. Tanpa berfikir panjang, aku terus meninggalkan kelas tersebut tanpa mengeluarkan apa jua kata-kata serta membiarkan pergaduhan itu berlaku. Telingaku terdengar akan suara halus yang memanggilku. "Ustazah..ustazah...". Aku terus melangkahkan kaki keluar dari kelas itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Sedih di sudut hati kecil ini dengan apa yang diperlakukan oleh pelajarku sebentar tadi. Pedih sekali bagiku. Adakah ini karma bagi diriku di atas apa yang aku lakukan terhadap guru-guruku dahulu?Adakah aku juga bersikap seperti itu kepada mereka?? Pelbagai persoalan bermain di mindaku. Akhirnya, aku menenangkan diri dengan berehat dan berdzikir kepada Allah. Alhamdulillah, redha jua api kemarahanku setelah berjayanya syaitan dalam membisikkan kemarahan sehingga aku tidak mampu mengawal emosiku pada ketika itu. Kalahlah aku dengan emosiku sendiri kerana tidak dapat mengawalnya dengan baik apabila berhadapan dengan masalah seperti itu. Ya Allah..Layakkah aku dipanggil guru jika ujian sekecil ini sahaja aku tidak dapat menghadapinya dengan akal yang waras. Tidaklah aku menyalahkan mereka 100% di atas perkara yang berlaku. Mungkin salah aku juga kerana tidak mampu menjadi guru yang terbaik bagi mereka. Sudah tiba saatnya aku muhasabah diri sendiri.

     Aku merasaka bahawa begitu berat ujianku itu. Masih terngiang-ngiang suara mereka di telingaku. Walaupun masa telah berlalu sehingga larut malam. Tidak mampu aku melelapkan mata ini dek kerana memikirkan masalah yang berlaku siang tadi. Bagaimanakah mereka pada keesokan harinya? Adakah sama seperti itu atau sudah mulai sedar akan perbuatan tersebut adalah salah dan akan meminta maaf kepadaku?? Pelbagai soalan yang datang kepadaku tanpa aku mengetahui jawapannya. Bagiku, inilah keperitan yang perlu dihadapi oleh seorang guru. Walau apa pun yang berlaku, akan ku tempuhi jualah keesokan hari seperti biasa.

     Pagi yang agak hening dan cuacanya kelihatan mendung sahaja. Tidaklah menandakan langit ingin menurunkan hujan dan tidak juga matahari ingin menjengahkan dirinya. Cuaca itu sepertinya memahami perasaan dan hatiku yang masih hambar dek perkara semalam  yang memberi kesan kepadaku. Sampai sahaja aku ke sekolah, aku melaksanakan tugasan harianku seperti selalu. Pagi ini aku hanya bercadang untuk memberikan latihan sebagai bahan pengajaranku. Aku tidak bercadang untuk bercakap panjang dan hanya akan memantau gerak kerja mereka. Seperti itulah jua konsep pembelajaran bagi kelas-kelas yang lain. Termasuklah kelas 3 Ahmad. Waktu pengajaranku di kelas itu adalah waktu terakhir bagi sesi pembelajaran di sekolah. Aku masuk ke kelas itu seperti biasa dan meminta mereka untuk duduk. Lantas meminta mereka membuat latihan serta menghantar kerja tersebut sebelum bunyi loceng balik yang menandakan para pelajar boleh pulang ke rumah.

     Ketika di dalam kelas, aku hanya memakukan diri tanpa berkata-kata dengan mereka. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah aku memberikan jawapan. Ada yang berkata, "Kau lah ni Mail dengan Abdullah..tengok! kan ustazah dah marah..korang pergi minta maaf dekat ustazah". Mail pun bangun untuk pergi meminta maaf. Tetapi tidak bagi Abdullah. Dia hanya duduk di atas kerusi dan mendiamkan diri. Sikap degil dan keras kepalanya tetap tidak berubah. Kawan-kawannya memaksa dia untuk pergi jua. Akhirnya dia bangun juga dan datang kepadaku. Serentaklah Ismail dan Abdullah berkata, "Kami minta maaf ustazah...". Aku hanya diam dan menganggukkan kepala sahaja. Apabila loceng berbunyi,  maka bersegeralah mereka keluar dari kelas dan berpusu-pusa menuju ke tandas untuk mengambil wudhu'. Ini kerana mereka akan solat secara berjemaah di surau setiap hari sebelum pulang ke rumah.

     Seusai solat zohor, aku menaiki tangga bersama seorang guru perempuan yang lain iaitu kak Ummu. Dialah tempat aku berkongsi dan meluahkan apa sahaja cerita. Setelah aku menceritakan perkara yang berlaku, lalu dia pun berkata, "Sabarlah ya Fatin. Inilah guru. Tidak semua orang mampu menjadi seorang guru. Allah telah memilih awak menjadi salah seorang guru di sini. Maka, Dia mengetahui bahawa awak mampu menempuh semua ini. Satu tugas yang ganjarannya sangat besar jika kamu mendidik mereka dengan penuh keikhlasan dan mampu membuat mereka berjaya di menara gading. Jadi, kitalah yang harus membuat  pengorbanan demi melahirkan pejuang-pejuang agama pada masa akan datang".

 Aku hanya tersenyum mendengar nasihat itu dan berkata, "Terima kasih ya kak sebab bagi kata-kata semangat kepada saya".
"Tidak ada apalah. Hal kecil je tu. Akak bagi nasihat kepada orang, tapi terkadang akak juga  lemah apabila menghadapi situasi yang sama. "
Tiba-tiba aku terfikir, "Eh!dah pukul berapa ni? Masa kelas pemulihan sekarang ni. Mana lah budak-budak ni tak naik lagi ke kelas..."
"Ariff! panggil kawan-kawan yang lain. Masuk kelas sekarang. Dah pukul 2.10 petang dah ni".
     Sambil-sambil itu, aku bermonolog dengan diriku."Memang benar apa yang diperkatakn oleh kak Ummu tu. Sudahlah. Aku harus bangkit dari perasaan aku ini. Mereka pun sudah meminta maaf kepadaku. Ubatilah sahaja luka itu. Didiklah mereka dengan nasihat dan hikmah seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya".

     Hari-hari yang seterusnya aku lalui dengan penuh bersemangat. Demi melihat kejayaan mereka. Sehingga akhir bulan 6, aku mendapat berita akan adanya kursus Bahasa Arab sebelum aku menjejakkan kaki ke Mesir. Sebagai persediaan bagi pelajar-pelajar menghadapi Imtihan Qabul sebelum masuk ke kuliah masing-masing. Jadi, aku tidak mempunyai masa yang panjang untuk bersama-sama dengan mereka lagi. Aku menghabiskan masa-masa yang berbaki dengan perkara yang mampu menjadi kenangan kepadaku pada suatu hari nanti. Hal ini aku tidak mengheboh-hebohkannya. Cukuplah hanya menjadi rahsia dalam kalangan para guru di sekolah. Pada saat-saat pengakhiranku di sekolah itu, baru aku menceritakan perkara yang sebenar. Sengaja aku tidak memceritakan perkara itu agar hatiku ini tidak terlalu sedih apabila menghitung hari-hari yang berbaki untuk bersama mereka. Bermain, berbual , mengambil gambar itu menjadi rutinku. Semua itu menjadi satu memori yang indah bagi diriku sebelum melangkah ke satu gerbang yang lebih luas skopnya.

     Pada tanggal 7 September 2014, itulah hari yang menjadi titik  pengakhiranku di sekolah itu. Surat berhenti telah aku hantar kepada mudir sekolah iaitu Ustaz Sobri lebih kurang seminggu yang lalu. Berat hati ini ingin melepaskan mereka tetapi inilah yang aku harus aku lalui kerana aku juga masih mempunyai cita-cita untuk dicapai. Maka, banyak masa-masaku dihabiskan bersama dengan mereka. Dalam hati ini, Allah sahaja yang tahu betapa sedih diriku dek perpisahan ini. Semakin aku melihat jam, semakin hampir masaku untuk berpisah dengan mereka. Masa itu tetap akan berlalu sehingga tamatnya waktu pembelajaran. Sebelum para guru pulang, kami saling bersalaman antara satu sama lain.    Seraya itu aku berkata, "Maaf ya semua jika Fatin ada buat salah. Terlanjur kata dan tersalah bicara. Terima kasih semua di atas tunjuk ajar, nasihat dan jamuan yang kalian buat tadi untuk saya". Mengalir jugalah air mataku membasahi pipi dek mengenangkan masa-masa bersama para guru semua. Ukhuwwah yang sebentar itu sangat memberi makna bagi diriku. Begitu jugalah para pelajarku. Telah aku memasuki kesemua kelas di sekolah itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Sedih itu memang ada. Terutama pelajar yang rapat denganku. Bersalaman dan berpelukan itu semestinya ada sebelum mereka pulang. Tetapi dengan pelajar perempuan sahaja. Hanya nasihat sahaja yang mampu aku titipkan pada mereka agar berjaya pada masa hadapan. Segunung harapan aku tinggalkan bagi melihat kejayaan mereka. Kenangan hari guru pada 16 Mei 2014 tidak akan pernah sekali-kali aku lupakan kerana terlalu banyak masa yang aku habiskan dan lakukan pada hari itu. Ucapan mereka, nyanyian, lakonan serta gelagat mereka tidak akan aku lupakan. Hadiah-hadiah yang diberikan bukanlah suatu yang aku minta dari mereka tetapi sebagai tanda mereka meraikan hari tersebut. Terima kasih semua yang bergelar anak-anak muridku. Walau tidak genap setahun aku mengajar kalian, tetapi ketahuilah itulah kudrat termampu yang aku dapat lakukan untuk kalian. Hanya doa yang mampu aku panjatkan untuk kalian semua agar sentiasa dalam peliharaanNya. Aku tidak meminta untuk dibalas dengan apa-apa pun, tetapi cukuplah dengan kejayaaan kalian sebagai hadiah terindah bagi para guru semua.  

     Walaupun aku sudah berhenti mengajar di sekolah itu, aku tetap menjalin hubungan dengan mereka melalui whatsapp dan lain-lain. Ketika ada cuti kursus, aku akan datang menziarahi mereka di sekolah. Beraya bersama-sama itulah yang menjadi titik perpisahan kami yang terakhir sebelum aku pergi meniggalkan tanah air ku jauh beribu-ribu batu bagi memperolehi ilmu di bumi para Anbiya'. Kenangan itu masih segar di ingatanku sehingga sekarang.

     Ketahuilah mereka sekarang sudah berada pada tingkat yang berlainan. Masing-masing sedang menaiki tangga sebelum menjengah ke satu jendela yang lebih luas. Begitu juga diriku sekarang sedang melangkah dan terus berjalan ke hadapan untuk mencari kejayaan yang aku idam-idamkan selama ini. Diriku ini hanya mampu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mengasihani, "Moga kalian dapat terus berjuang dan berjuang tanpa menoleh ke belakang lagi serta berasa lemah jika ketiadaanku berada di sisi kalian semua. Tetaplah terus dalam menimba ilmu sehingga kejayaan itu benar-benar milik kalian semua.


     Ketahuilah sayang ustazah pada kalian semua tidak pernah berkurang walau seinci pun meskipun tidak bersama kalian lagi. Ingatlah bertemu dan berpisah kita ini hanya kerana Allah serta dengan izinNya yang menghadirkan diri ini untuk menumpang teduh dan singgah sebentar di Sekolah Rendah Sri-Ahmadiah bagi mengenali diri kalian semua". Jaga diri ya semua. I will always miss and love you until Jannah. Selamat tinggal semua. Ustazah pergi dahulu... Akhir kata, ingat lah daku dalam doamu.....  

Hasil Nukilan 
Ustazah Nurul Fatin binti Mohd Fauzi ( Melaka )



" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "

Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan 

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015