SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Sabtu, November 28, 2015

ISU SEMASA : SYRIA; ANTARA KONFLIK DAN MAINAN POLITIK



Dua isu besar yang sedang melanda bumi Syria ini sangat memedihkan hati.
Konflik yang tercetus dan belum berkesudahan ini terus memangsakan bumi Syria dan rakyatnya untuk menjadi sasaran pihak tertentu.

Dilaporkan lebih 19,000 kanak-kanak Syria terbunuh semenjak Mac 2011 seperti yang dilaporkan oleh kumpulan hak asasi manusia. Tambah mengejutkan,92% dari bilangan kanak-kanak tersebut dibunuh oleh rejim negara itu dan seramai
12,000 diberitakan gagal dikesan.

Pertubuhan Jaringan Hak Asasi Manusia Syria melaporkan sejumlah 18,858 kanak-kanak dibunuh oleh rejim tentera Al-Assad.

Mangsa pembunuhan adalah termasuk 582 kanak-kanak yang ditembak menggunakan sniper dan 101 bilangan kanak-kanak dilaporkan terbunuh kerana penyeksaan dalam tahanan.

Laporan itu juga menyebutkan bilangan kanak-kanak yang ditahan di bawah rejim Al-Assad adalah seramai 10,413 orang. Kanak-kanak Syria yang menjadi mangsa kekejaman di seluruh Syria adalah 7% dari keseluruhan bilangan rakyat Syria. Jumlah ini sangat tinggi.
Alasan yang diberikan oleh pihak tentera kononnya hanya untuk memerangi keganasan kelihatan memangsakan pihak yang tidak berkaitan. Siapakah sasaran mereka sebenarnya?

Adakah kumpulan militan Islam yang tidak habis-habis dimomokkan sebagai pengganas? Alasan yang langsung tidak rasional.

Adakah sasaran mereka itu Freedom Syrian Army (FSA)? Seperti kita sedia maklum, FSA adalah pejuang tanah air yang hakikatnya sedang mempertahankan rakyat dan agama mereka dari kezaliman rejim Al-Assad.

Pertubuhan itu juga mengesahkan sejumlah 20,000 kanak-kanak Syria kehilangan bapa dan 5,000 kanak-kanak kehilangan ibu mereka. Ratusan kanak-kanak dilaporkan telah direkrut di bawah tahanan rejim Al-Assad. Apakah ini yang dimaksudkan dengan memerangi keganasan?

Dunia puas menyaksikan duka dan derita rakyat Syria yang melangkaui batas agama dan geopolitik dunia.
Keadaan bertambah buruk apabila konflik luar Syria baru-baru ini seperti serangan bom di Paris disasarkan ke Syria, bumi yang sentiasa menjadi saksi konflik kekejaman dan pertumpahan darah.

Krisis kemanusiaan di Syria sangat dahsyat. Kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal, kemanusiaan,
hak pendidikan dan sebagainya. Lebih menyayat hati, sebahagian kanak-kanak di kawasan tertentu iaitu di Al-Ghoutah, Al-Sharqiya, dan Dariya sentiasa dalam kelaparan dan kesejukan melampau.

Dalam masa yang sama,
Syria terus menjadi sasaran dan mainan politik dunia apabila kerajaan Paris melancarkan serangan kononnya sebagai membalas serangan yang dilakukan ISIS di Paris.
Kewujudan ISIS ini diragui dan menjadi topik hangat kerana kemunculannya di tengah-tengah konflik dunia yang dimainkan si pencatur utama, US dan sekutu-sekutunya.

Serangan ini tidak lain tidak bukan bersikap "serampang dua mata". Kelihatan seperti ingin membantu umat Islam dalam masa yang sama mereka munculkan agen dan proksi yang berwajah Islam bagi menghodohkan wajah suci Islam.

Sebagai umat Islam yang mempunyai akal fikiran yang sihat dan mampu membaca politik dunia, maka kita hendaklah beriman dengan firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
(Surah Ali-Imran:118)

Bacalah isu dengan mata hati. Semoga Allah menurunkan pertolonganNya ketika saatnya untuk membantu saudara kita di Syria dan seluruh negara umat Islam.

Sumber:
Middle East Monitor
The Guardian
Astro Awani

" Bersama Bersatu Mendepani Isu "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Unit Penerangan & Informasi
Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM Sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

HAKIKAT SEORANG DAIE - RISALAH DAKWAH SIRI PERTAMA

Dakwah adalah tugas yang sangat mulia kerana merupakan tugas para Nabi dan Rasul. Amalan ini sangat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apakah Kelengkapan Para Daie?

Seorang Daie sekurang-kurangnya mestilah melengkapkan dirinya dengan perkara-perkara berikut:

Pertama: Kefahaman Yang Terperinci

Seorang Daie wajib mempunyai kefahaman yang terperinci dan menyeluruh kepada tajuk dakwah iaitu Islam. Ulama meletakkan satu kaedah yang sangat menarik:

“Seseorang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain.”

Kedua: Keimanan Yang Mendalam

Seorang Daie mestilah meyakini bahawa Islam yang diserunya adalah petunjuk Allah yang benar yang tidak ada selain daripadanya. Dia mestilah meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang boleh menyelamat dan menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

Ketiga: Hubungan Yang Erat

Seorang Daie mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan Allah S.W.T. kerana Dia-lah sahaja tempat bergantung dan memohon pertolongan dan Dia-lah sahaja yang boleh membuka pintu hati manusia untuk menerima agama-Nya.

Keperibadian Daie

Seorang Daie mestilah mempunyai keperibadian Islam yang sejati yang diterangkan di dalam Al-Quran dan diperincikan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sunnahnya. Sekurang-kurangnya seorang Daie itu mestilah mempunyai akhlak seperti berikut:

  1. Benar
  2. Sabar
  3. Rahmat
  4. Merendah diri
Keperibadian seorang Daie merangkumi pembentukan akhlak yang terpuji. Selaku ahli BKASM, kita seharusnya berusaha menjadi ikon Daie dalam menggerakkan Islam suatu hari nanti bermula dengan persatuan yang menaungi anak-anak Selangor di Bumi Mesir ini.

Kesimpulannya, tugas Daie tidak hanya terpundak kepada individu tertentu atau organisasi, malah menjadi tugas seluruh manusia yang bergelar seorang Muslim. Semoga kita terus menggembleng tenaga dalam menggerakkan dakwah demi kelangsungan Islam di muka bumi ini.

" Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Penulis :
Ustaz Khairulamirin bin Khabir
Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016

Jumaat, November 27, 2015

Pengumuman : Penangguhan Program di Peringkat BKASM


Sesi pengajian fasa pertama bagi sesi 2015/2016 kini semakin rancak dalam tempoh persediaan menuju ke musim peperiksaan. Semua mahasiswa/wi sedang bersiap sedia dengan setiap medium yang ada bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sehubungan itu, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dengan ini memaklumkan bahawa tanggal 15 Safar 1437 bersamaan 27 November 2015 sebagai tarikh penangguhan sebarang program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Ini bagi memberi persediaan dan semangat kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, BKASM mengharapkan seluruh mahasiswa/wi dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada dan memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. peringkat BKASM juga mendoakan agar semua mahasiswa/wi meraih kejayaan dalam peperiksaan seterusnya berbakti kepada ummah.

"Ilmuwan Berkualiti Mencurah Bakti"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Muhammad Hafiz bin Rasimi
Timbalan Yang Dipertua 1 (Lajnah Perancang 1)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2015/2016

LGBT MENYANGGAH FITRAH MANUSIA - Tinta Jumaat Siri 3


 Allah berfirman di dalam Al-Quran:

 “ Sungguh kamu telah melampiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas “ ( Al A’raf: 81 )

Ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah S.W.T. mengutuk hambaNYA yang berkelakuan songsang iaitu melakukan hubungan sejenis. Ini menunjukkan bahawasanya Islam amat mementingkan tingkah laku umatnya agar sentiasa mengikut syarak dan tidak lari dari fitrah kita sebagai manusia.

Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender atau akronimnya sebagai LGBT, ia juga dianggap sebagai satu penyakit mental, kerana telah melawan fitrah. Fitrah kehidupan manusia yang normal ialah hidup berpasang-pasangan sebagaimana telah diciptakan oleh Allah. Lelaki pasangannya adalah perempuan,begitu juga dengan haiwan.Melalui perkara berikut dapat kita simpulkan setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah di muka bumi ini berpasang-pasangan. Ini adalah fitrah setiap ciptaan Yang Maha Esa. Isu LGBT ini bukanlah suatu isu yang baru timbul bahkan sudah lama menjadi parasit dalam masyarakat dunia sejak dari dahulu lagi.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan seperti LGBT ini tidak diterima oleh Allah. Hal ini telah dibuktikan melalui sejarah yang telah berlaku pada zaman Nabi Lut A.S Beliau diutuskan oleh Allah untuk kaum yang sangat degil dan selalu membuat bencana. Keinginan dan aktiviti kaum tersebut ini sangat aneh. Mereka gemar melakukan rompakan dan samun di tengah jalan. Bagi golongan lelaki kaum Lut ini, mereka tidak mempunyai keinginan terhadap kaum wanita walaupun sedikit, malah mereka lebih tertarik kepada lelaki. Mereka tidak akan berkahwin kecuali dengan pasangan yang sama jenis jantinanya. Akhirnya Allah S.W.T. memusnahkan kaum ini dengan mendatangkan satu bencana besar yang amat dahsyat kepada kaum Lut. Mereka ditimpa hujan yang menghancurkan mereka.

Di Malaysia pula, golongan ini cuba memasuki negara kita dengan secara halus melalui Non Govermant Organization (NGO) yang bergerak secara halus atas dasar penegak hak asasi manusia. Bahkan, mereka disokong oleh individu yang berpengaruh dalam negara kita mahupun luar negara untuk merealisasikan tujuan gerakan mereka tersebut iaitu kebebasan mengamalkan LGBT. Hal ini sungguh meruncingkan kerana LGBT ini bukan sahaja merosakkan syakhsiah individu, bahkan yang lebih teruk lagi, ia akan memusnahkan sistem umat islam itu sendiri. Kita dapat lihat, banyaknya penyakit-penyakit yang merbahaya seperti HIV ini muncul hasil dari pengamalan LGBT ini.

Firman Allah S.W.T.

  “ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. “

Kesimpulannya, Islam menggalakkan kebaikan dan menegah kemungkaran. Sama-samalah kita memelihara diri, keluarga dan masyarakat daripada terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan. Tindakan kita pada hari ini akan menentukan masa depan kita pada hari esok. Yakinilah bahawa setiap cabaran dan usaha ada penyelesaiannya. Wallahu a’lam.

Wallahu a’lam

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh:
Ahmad Luqman bin Zainal Abidin
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016

Selasa, November 24, 2015

SEGAGAH MUSA SEBIJAK SAFURA

21 NOVEMBER 2015 –Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir di bawah Lajnah Kebajikan dengan kejasama Unit Hisbah BKASM sesi 2015/2016 telah mengadakan satu program yang dinamakan “SEGAGAH MUSA SEBIJAK SAFURA”. 
Objektif dilaksanakan program tersebut adalah memberi pendedahan kepada ahli BKASM cara bermuamalat menepati syarak dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan musyrif. Program tersebut dimulakan dengan ucapan daripada Ustaz Nazim bin Sahaimi, selaku ketua lajnah kebajikan BKASM sesi 2015/2016. Kemudian diteruskan dengan talkshow “BICARA DARI HATI UNTUK HATI” yang dikendalikan oleh Ustazah Fatin Nadzira Binti Mahadzir, Timbalan Pengarah Kalab Daie. 
Antara ahli panelnya adalah Ustaz Meor Muhammad Syazwan Bin Meor Hairudin, Ketua Unit Bait Muslim BKASM sesi 2015/2016, Ustazah Hanis Madihah Binti Meor Hamdan, Fasilitator BKASM sesi 2015/2016 dan Ustaz Muhamad Nazif Bin Shaari, Ketua Unit Hisbah BKASM sesi 2015/2016.
Program diteruskan lagi dengan tayangan video pengenalan musyrif. Kemudian, penyerahan watikah kepada setiap wakil musyrif yang terdiri dari musytif imarah, korus dan rabaah. Selamat menjalankan tugasan dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya buat semua musyrif BKASM. Semoga sentiasa di bawah naungan dan rahmat Allah SWT.
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”
#KITAPMRAM
#50TAHUNBKASM #BersamaBersatu

Ahad, November 22, 2015

[ISU ANTARABANGSA] PILIHAN RAYA MYANMAR: MENANTI PERUBAHAN MUSLIM ROHINGYA



Perjalanan proses pilihan raya umum Myanmar mendapat pelbagai liputan berita antarabangsa berikutan beberapa analisis yang dikira ramai menuju ke arah perubahan negara itu yang lebih demokratik.Sejumlah 30 juta warga Myanmar menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.

Badan rasmi pilihan raya Myanmar telah mengumumkan,parti pembangkang terbesar di Myanmar,National League for Democracy(NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi memenangi kerusi yang ditandingnya di Kawhmu, Yangon dengan meraih 54,676 undi.Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar juga mengumumkan bahawa seramai 61 calon memenangi kerusi Dewan Rakyat yang ditandingi mereka, di mana 56 daripadanya dimenangi NLD.Indikator menunjukkan 80% warga Myanmar keluar mengundi,satu jumlah yang dilihat besar dan menarik dalam senario pilihan raya negara itu.

Bagaimanapun, keputusan semasa menunjukkan bahawa parti pembangkang pimpinan Suu Kyi menang besar, mengalahkan parti pemerintah yang disokong tentera,iaitu Parti Pembangunan dan Kesatuan Penyatuan (USDP).Pilihan raya ini adalah pilihan raya terbuka yang pertama dalam tempoh 25 tahun, selepas pemerintahan junta sejak berdekad lamanya.Pemilihan presiden dijangkakan berlaku sekitar Februari dan Mac 2016 selepas Ahli Parlimen menduduki tempat mereka dalam masa terdekat.NLD juga menguasai 70% kerusi parlimen dan bilangan ini cukup untuk mereka membentuk kerajaan.

Namun begitu, analisis menjangkakan NLD bakal berdepan cabaran besar dari sudut pemilihan presiden negara itu di kalangan mereka.Berhadapan dengan karenah birokrasi dan perundangan negara yang selama ini dikuasai tentera bukanlah perkara mudah.Seorang responden Muslim Rohingya,Noor Bagum berkata beliau lebih suka mengundi untuk National League for Democracy (NLD) walaupun kerajaan dan majoriti masyarakat Myanmar tidak mengiktiraf hak puak etnik Rohingya Muslim terutamanya.Namun ramai memandang positif kemenangan yang sedang dilalui NLD ke arah sinar harapan baru negara itu dalam membela nasib golongan etnik yang sentiasa menjadi isu besar negara itu.

KEMENANGAN NLD DAN HARAPAN MUSLIM ROHINGYA

Namun begitu,penduduk Rohingya kebanyakannya masih mengharapkan parti baru yang bakal memerintah, NLD pimpinan Aun Suu Kyi dapat mengembalikan semula hak mereka yang hilang selama ini.Sementara itu,NLD menawarkan satu cara untuk menembusi polisi yang ketat dalam menyelesaikan status kerakyatan masyarakat Rohingya.

Rohingya mengalami sejarah panjang yang perit sejak berdekad lamanya dari sudut keterbatasan hak dan penindasan puak pelampau anti Islam.Diberitakan juga Rohingya tidak termasuk antara senarai 135 kumpulan etnik Myanmar yang diiktiraf kerajaan melalui akta kewarganegaraan.Kebanyakan masyarakat Rohingya memegang dokumen kerakyatan sementara atau lebih dikenali sebagai "kad putih" yang memberikan hak untuk mereka mengundi sebelum ditarik balik oleh Presiden Thein Sein tahun ini.ANP menguasai 29 kerusi di Rakhine dan keadaan ini disebut agak sukar untuk NLD.Tambahan pula, jika NLD bersama rakyat Rohingya,Win Htein menyebut seperti "memberi peluang kepada ANP mengkritik NLD"

Sebelum ini, pada akta 1982 Citizenship Act telah menafikan hak kerakyatan secara penuh penduduk Rohingya.Win Htein,seorang pemimpin parti yang berpengaruh mengatakan akta itu perlu dilihat semula kerana kelihatan ekstrem.Keperluan untuk menimbang semula bahawa mereka berhak mendapat status kewarganegaraan yang sah mungkin pada generasi Rohingya yang kedua.NLD juga diberitakan bakal berhadapan satu parti saingan tempatan yang berkuasa,iaitu Arakan National Party(ANP) yang dituduh memainkan sentimen anti-Muslim.

Walaubagaimanapun, isu Rohingya dan penindasan terhadap etnik minoriti ini masih menghantui sebahagian besar masyarakat Myanmar.Dunia menyaksikan penindasan yang dilakukan selama ini dan National League of Democratic(NLD) pimpinan Aung Suu Kyi mula menjadi tumpuan dan persoalan.Adakah NLD bakal membawa aspirasi masyarakat Muslim Rohingya atau perkara itu tidak akan berubah daripada sebelum ini?Semuanya bakal dinantikan selepas fasa pemilihan Presiden Myanmar yang baru nanti.

Sumber:
Channel New Asia
Analisis Awani
Reuters

" Bersama Bersatu Mendepani Isu "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Unit Penerangan & Informasi
Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM Sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, November 20, 2015

DI SEBALIK SAFAR - Tinta Jumaat Siri 2


                  Alhamdulillah tanpa kita sedari kini sudah berlalunya bulan Muharram. Kita telah pun memasuki bulan Safar.  Bertepatan dengan itu, marilah kita bersama-sama mengingati sirah yang berlaku pada bulan ini. Bulan Safar adalah bulan ke-2 dalam kalendar Islam yang bermaksud kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini kebiasaannya orang-orang Arab akan meninggalkan rumah untuk melaksanakan tugasan penting seperti menyerang musuh, menuntut bela kematian dan berdagang.

                  Umum mengetahui telah menjadi kepercayaan sebahagian masyarakat apabila disebut bulan Safar pasti akan ada yang mengaitkan dengan  bulan bencana atau bulan sial. Walaupun pada hakikatnya mitos ini ternyata salah. Hal ini berdasarkan   hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda , “Tiada penyakit menular ( yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak ada bala (bencana) pada bulan Safar (seperti yang dipercayai )” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

     Rasulullah S.A.W. juga bersabda : “ Tidak ada wabak dan tidak ada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan  bulan Safar dan larilah ( jauhkan diri ) daripada penyakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari seekor singa ”(HR. Bukhari)

Dalam sejarah Islam, bulan Safar menempatkan peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan zaman                         perkembangan Islam dari zaman Rasulullah S.A.W hingga kejayaan dan keruntuhannya. Berikut peristiwa penting di bulan Safar :
· Perkahwinan Baginda S.A.W. dengan Khadijah binti Khuwailid R.A, ianya berlaku sebelum Nabi S.A.W dilantik menjadi Rasul.
· Kebenaran berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah S.A.W. adalah 'Wudan' atau 'Abwak'  bagi menentang kekufuran.
· Tragedi Ar-Raji', berlaku pada tahun ke-3 Hijrah (pendapat lain, 4 Hijrah). Seramai tujuh orang sahabat Baginda S.A.W. diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut.
· Peperangan Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Baginda S.A.W.
· Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ke-7 Hijrah, disertai juga oleh 20 orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala pihak Yahudi pula seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan senjata dan bilangan mereka yang ramai.
· Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al -Walid.
· Pelantikan 'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.
· Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubi pada 27 Safar 589 Hijrah.
· Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah. Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh serta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam.  Beribu-ribu kitab Islam musnah.

Justeru, sebagai umat Islam kita semua mestilah yakin dan percaya bahawa musibah atau sesuatu yang menimpa manusia bukanlah kerana adanya hari nahas atau kerana adanya binatang tertentu atau kerana kematian seseorang. Yang wajib kita yakini adalah semua yang terjadi di alam ini adalah dengan takdir dan kehendak Allah S.W.T. 

Renungilah wahai sahabat sekalian, jika kita amati dan dalami semua sejarah yang berlaku di bulan Safar ini,  seharusnya kita akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam segenap medan amal islami yang ada. Kita juga sudah tidak boleh berlengah lagi tanpa berbuat apa. Marilah kita bersama-sama menjadi agen perubah dan penggerak yang lebih baik. Ayuh bangkit! Bangkit ! Bangkitlah wahai sahabat dan bergeraklah.
“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “
Disediakan oleh:
Ustazah Nur Amira Syuhada binti Rohimi
Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016


Rabu, November 18, 2015

ISU NEGARA : Bajet 2016


Pada 16 NOVEMBER 2015 yang lalu, telah berlangsungnya undian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2016 selepas kira-kira tiga minggu Ahli-Ahli Parlimen berhempas pulas diberi masa untuk memberi idea, mengkritik, serta membahaskan butiran Bajet Negara bagi tahun 2016. Seramai 128 orang mengundi untuk bersetuju manakala yang menolak adalah seramai 74 orang. Keputusan ini menandakan bahawa butiran bajet ini akan dibacakan buat kali kedua seterusnya akan disahkan melalui parlimen sebagai lambang demokrasi negara.

Bajet 2016 kali ini merupakan bajet defisit kali ke-19 berturut-turut sejak tahun 1998. Defisit juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM7 billion daripada RM260 billion kepada RM267.2 billion pada tahun ini. Bajet ini juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Bagi tahun 2016, kerajaan dijangka akan membelanjakan 80.5% untuk perbelanjaan mengurus dan hanya 19.5% untuk perbelanjaan pembangunan. Jumlah ini adalah tidak seimbang serta tidak selari dengan "benchmark" negara-negara maju iaitu pada nisbah 60:40 iaitu 60% untuk perbelanjaan mengurus dan 40% untuk perbelanjaan pembangunan.

Penyata kewangan 2014 ada menjelaskan bahawa hutang awam menjadi salah satu sumber kepada negara. Jika dilihat kepada penyata berkenaan, hutang negara kini telah meningkat daripada RM582 billion kepada RM624 billion iaitu peningkatan sebanyak RM 42 billion. Peningkatan ini adalah satu angka yang sangat besar bagi negara. 

Sesungguhnya, perlu diteliti kembali kepada beberapa butiran yang patut atau boleh dikurangkan mengikut prioriti dan keutamaan di dalamnya. Hal ini demikian kerana keutamaan kepada negara sekarang adalah untuk mengurangkan hutang di samping mencari jalan untuk menambah pendapatan yang baru.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya menjadi orang yang beriman dan bertaqwa selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 96 agar kita semua dilimpahi berkat serta negara kita sentiasa di bawah lembayung rahmat dan Inayah-Nya.

" Bersama Bersatu Mendepani Isu "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Unit Penerangan dan Informasi
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, November 15, 2015

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG



Tanggal 13 November 2015, Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian tembak menembak, letupan bom serta tawanan tebusan oleh pengganas di bandar Paris, yang mengorbankan kira-kira 129 orang, 325 orang cedera dan 99 orang cedera parah.

Serangan ini disasarkan ke tempat umum antaranya di Dewan Konsert Bataclan, Restoran Jepun Rue de Charonne, Restoran Kemboja Petit Cambodge, Boulevard Voltaire dan Restoran Pizza Casa Nostra.

Serangan ini juga disasarkan di luar Stadium Nasional Stade de France, lokasi dimana sedang berlangsungnya perlawanan bolasepak antarabangsa antara pasukan kebangsaan Perancis menentang Jerman yang turut dihadiri Presiden Perancis, François Hollande serta kira-kira 
80 000 orang penonton. 

Serangan ini menyebabkan Presiden Perancis, François Hollande mengisytiharkan perintah darurat serta mengarahkan semua pintu masuk ke negara itu ditutup. Beliau juga mengumumkan agar diadakan sidang parlimen Isnin ini bagi membincangkan isu ini. Beliau juga mengisytiharkan agar seluruh negara berkabung selama 3 hari bagi menghormati mangsa serangan di negara itu.

Penyiasatan masih dilakukan oleh pihak berwajib di Perancis bagi mencari punca serangan mengejutkan itu.

ANCAMAN TERHADAP MUSLIM DI PERANCIS

Gejala Islamofobia kembali rancak selepas berlakunya tragedi ini. Ia adalah rentetan daripada kes Charlie Hebdo yang menimbulkan kemarahan umat Islam suatu ketika dahulu. Beberapa sumber mula menuding jari ke arah golongan muslim yang dikatakan menjadi punca serangan ini berlaku.
Lebih-lebih lagi dilaporkan bahawa dewan konsert yang menjadi lokasi letupan berada beberapa ratus meter sahaja dari ibu pejabat rasmi Syarikat Charlie Hebdo, akhbar yang pernah mencetus kontroversi penghinaan terhadap Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa media barat dan sekutunya terus mencipta kontroversi dan propaganda terhadap umat Islam. Beberapa sumber juga mengaitkan ISIS sebagai militan Islam dalam siri serangan ini.

Islam adalah agama yang menganjurkan perdamaian.
Muslim tidak boleh menyerang golongan musuh kecuali jika diperangi.

Allah berfirman:

أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا

"Sesungguhnya barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya". [Al-Maidah : 32]

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ

"Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan suatu (sebab) yang benar" [Al-An’am :151]

Insiden serangan Paris ini seperti mengkambing hitamkan Islam sebagai punca. Dunia mengecam serangan ini sebagai tidak berperikemanusiaan.
Umat Islam juga mengutuk keras serangan ini.

Semoga Presiden Perancis, Francois Holland dan seluruh rakyatnya tabah menghadapi insiden mengejutkan ini. 

Oleh itu, selaku umat Islam kita seharusnya mengutuk secara keras setiap perbuatan yang tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah seperti ini. Ini kerana Islam tidak pernah menyokong atau menyeru umatnya melakukan keganasan terhadap orang awam sama ada muslim atau sebaliknya.

Sumber: 
                                  
BBC News
France 24 Channel 
Al Jazeera
Astro Awani

" Bersama Bersatu Mendepani Isu "

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Informasi
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016

Sabtu, November 14, 2015

BKASM Meraikan Kejayaan Para Graduan dan Mahasiwa Cemerlang

12 NOVEMBER 2015, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016, dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah berjaya mengadakan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan.

Majlis yang diadakan di Asrama Rumah Selangor ini tidak lain adalah untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada mahasiswa dan  mahasiswi BKASM atas kejayaan yang telah mereka perolehi pada imtihan sesi lepas. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menaikkan semangat ahli-ahli BKASM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Majlis yang julung-julung kali dijalankan di peringkat BKASM ini disusun berdasarkan dua kategori, iaitu kategori graduan dan juga kategori kecemerlangan.Graduan adalah kategori yang dikhaskan bagi mahasiswa dan mahasiswi yang telah selesai menamatkan pengajian mereka di bumi Mesir ini.
Manakala kategori kecemerlangan pula adalah untuk semua ahli BKASM yang mendapat pangkat yang terbaik berdasarkan imtihan pada sesi yang lalu.

Bermula dengan pendaftaran yang dibuka seawal jam 2 petang, program diteruskan dengan solat asar secara berjemaah. Kemudian dilanjutkan lagi dengan sesi penerangan berkaitan teknikal perjalanan program kepada para penerima hadiah, yang dikendalikan oleh saudara Muhamad Nazif bin Shaari, yang bertindak sebagai Ketua Eksekutif Pengisian dan Disiplin program.

Program diteruskan lagi dengan majlis perasmian yang dimulai dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh saudara Muhammad Afham bin Sahrom, sebelum disambung dengan kalam alu-aluan oleh Pengarah program, saudara Muhammad Alauddin bin Zulkifli, dan Yang Dipertua BKASM, Ustaz Asraf bin Alias, serta Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Mohammad Farid bin Mohammad Zainal.
Majlis perasmian ini diakhiri dengan pelancaran dan gimik pelancaran kelas tutorial yang dilancarkan sendiri oleh pegawai Selangor, sejurus selepas beliau menyampaikan amanatnya kepada para graduan dan graduanita khususnya.

Usai solat maghrib secara berjemaah, para hadirin dan hadirat disajikan dengan kalam tausiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Al-Syeikh Rif’at Fauzi.

Majlis tiba ke kemuncaknya dengan sesi penyampaian anugerah kepada para graduan dan pelajar cemerlang.

Penyampaian anugerah dimulai dengan kategori cemerlang ikhwah yang disampaikan oleh Pegawai Selangor, kemudian disusuli dengan kategori graduan ikhwah yang disampaikan oleh Syeikh Rif’at Fauzi sebelum diteruskan dengan penyampaian anugerah bagi kategori cemerlang akhawat yang disampaikan oleh isteri pegawai Selangor, dan disusuli pula dengan kategori graduan akhawat yang telah disampaikan oleh Syeikh Rif’at Fauzi.

Setelah selesai sesi penyampaian anugerah, para graduan diminta untuk  memperkenalkan diri mereka, dan beberapa orang wakil daripada para graduan dan graduanita telah diberi ruang untuk memberikan ucapan kepada ahli BKASM yang hadir.

Pada majlis ini juga turut diadakan simbolik pemotongan kek dan sesi fotografi dan majlis telah berakhir secara rasminya dengan jamuan.

Semoga program yang dijalankan ini dapat menjadi pembakar semangat buat ahli-ahli BKASM untuk terus melakar kejayaan dalam menimba ilmu, dan menjadikan BKASM sebagai medan untuk beramal dengannya.

"Ilmuan Berkualiti Mencurah Bakti"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh :
Setiausaha,
Majlis Graduasi & Anugerah Kecemerlangan,
Anjuran Bersama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir
dan BKASM sesi 2015/2016..

Khamis, November 12, 2015

PERTEMUAN YDP-YDP BKAN BERSAMA PIHAK MARKAZ BAHASA UNIVERSITI AL-AZHAR




11 NOVEMBER 2015 - KAHERAH, Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) bersama Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) dan Yang di Pertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah membuat pertemuan bersama pihak Markaz Bahasa Universiti Al-Azhar bagi mendapatkan penjelasan dan membincangkan perubahan tempoh waktu pembelajaran untuk pelajar peringkat (mutaqaddim awal) dipanjangkan selama tiga bulan berbanding sebulan. Pekara ini telah menimbulkan keresahan di peringkat pelajar dan pihak kami mengambil tindakan segera untuk berjumpa dengan pihak Markaz Bahasa. Justeru itu, kunjungan YDP-YDP Badan Kebajikan Anak Negeri adalah untuk memanjangkan perkara ini serta mengambil keterangan berkaitan dengan perubahan sistem waktu pembelajaran di Markaz Bahasa. Pihak Markaz Bahasa telah memberi respon yang amat baik terhadap perkara ini serta memberi peluang kepada pelajar untuk membuat bantahan terhadap keputusan ini. Pihak Markaz menjelaskan bahawa penyusunan kelas selama 2 jam sehari adalah untuk menyelaraskan tarikh tamat pengajian tanpa ada pertambahan yuran kerana pembayaran yuran adalah mengikut peringkat (mustawa) bukan mengikut bulan. Oleh itu, kami berharap agar semua pelajar markaz bahasa agar bersabar dan tidak melakukan tindakan terburu-buru untuk memastikan keadaan terkawal seperti biasa.

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, November 11, 2015

ISU ANTARABANGSA - ANALISIS PILIHANRAYA TURKI NOVEMBER 2015


Pada 1 November 2015 yang lalu, negara Republik Turki telah mengadakan pilihanraya parlimen kali kedua untuk tahun ini.Pilihanraya ini dilaksanakan berikutan keadaan politik yang tidak menentu pasca pilihanraya parlimen Jun 2015 apabila parti kerajaan,AKP tidak mendapat majoriti mudah iaitu sebanyak 276 kerusi,mereka hanya mendapat 258 kerusi (iaitu kurang 13 kerusi bagi membentuk kerajaan).

Banyak usaha telah dilaksanakan oleh Presiden AKP yang juga Perdana Menteri,Dr Ahmed Davutoglu bagi mewujudkan kerjasama politik iaitu dengan menggabungkan beberapa parti kecil untuk mencukupkan bilangan majoriti mudah berkenaan.Namun demikian,banyak parti lain tidak mahu bersama menjayakan misi ini sehinggalah Presiden Turki,Recep Tayyip Erdogan memberi cadangan agar dikembalikan semula mandat itu kepada rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan Turki iaitu pilihanraya semula perlu diadakan selepas 5 bulan tarikh pilihanraya yang lalu.

Maka hasilnya,pada 1 November lalu,AKP pimpinan Perdana Menteri Dr Ahmed Davutoglu telah mendapat mandat baru daripada rakyat setelah partinya mendapat 49.49% undi popular iaitu dengan memenangi 317 kerusi parlimen daripada 550 kerusi yang dipertandingkan berbanding Jun 2015 yang lalu dengan mendapat hanya 40.87% dengan memenangi hanya 258 kerusi sahaja.Keputusan ini adalah kedua terbaik dalam sejarah AKP apabila pada tahun 2011 mereka telah memenangi sebanyak 49.9% undi popular.Ramai pemerhati dan pengkaji politik Turki terkejut dengan kemenangan AKP kali ini kerana terdapat beberapa kajian lapangan daripada agensi swasta mendapati bahawa sebahagian besar rakyat tidak mahu memberikan pandangan yang jelas tentang calon parti pilihan mereka dalam tempoh 5 bulan pasca Jun 2015.

Kemenangan ini juga mengejutkan ramai pihak kerana terdapat banyak isu penting yang menyeliputi atmosfera politik Turki yang genting ini.Pihak pembangkang memainkan isu penyalahgunaankuasa Erdogan dan pimpinan AKP,menyatakan ekonomi merudum dibawah AKP,dan menyatakan bahayanya kemenangan AKP dan Erdogan secara berterusan akan menyebabkan negara menjadi Autokrasi dan Erdogan akan kekal kebal di singgahsana presiden.Isu yang paling besar dalam pilihanraya kali ini adalah isu keselamatan.Kelompok pemuda PKK (parti Kurdish) membuat kekacauan dan mengganggu keamanan Turki yang menyebabkan kerajaan menghantar polis dan tentera bagi mengawal keadaan sehingga dikenakan perintah berkurung kepada semua rakyat Wilayah Tenggara dan Selatan Turki.Inilah isu terbesar yang menjadikan majoriti undi yang dahulunya kepada PKK (parti Kurdish) kembali "swing" kepada AKP,kerana mereka percaya AKP mampu menjaga keamanan serta memajukan Turki dimasa akan datang.

Antara kesan kemenangan AKP ini adalah mengembalikan semula keyakinan pelabur kepada kestabilan Turki yang melonjakkan matawang Lira berbanding USD sekaligus memperkukuh ekonominya selaku kuasa ekonomi Eropah.Menaikkan semangat pemimpin AKP bagi meminda perlembagaan Turki yang lebih sesuai dengan masakini.Akhirnya,kemenangan ini adalah hadiah,harapan dan kemenangan kepada umat Islam seluruh dunia bagi melihat kepimpinan Turki dipimpin oleh pimpinan yang memperjuangkan isu keamanan dan kemanusiaan sejagat.

Sumber:
Todayzaman
Wikipedia
Analisis Awani

" Bersama Bersatu Mendepani Isu "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Unit Penerangan Dan Informasi
Lajnah Penerangan Dan Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016

Ahad, November 08, 2015

Ucaptama YDP BKASM sesi 2015/2016

Sabtu, 7 November 2015 – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016 telah mengadakan majlis Ucaptama Yang Dipertua  di Musolla Darul Ehsan.

Program tahunan ini bertujuan untuk pimpinan yang baru membentangkan pembawaan yang akan ditekankan sepanjang sesi ini. Tambahan pula, program ini membuka ruang kepada ahli untuk memberi pandangan dan cadangan tentang pembawaan yang dibawa selain merapatkan ukhuwah antara ahli.

Majlis Ucaptama Yang Dipertua bermula pada 7.30 malam dengan perasmian program Ucaptama Yang Dipertua dan pelancaran usrah daripada penasihat BKASM sesi 2015/2016, Ustaz Salihin bin Abdullah. Seterusnya, majlis diserahkan kepada Ustaz Asraf bin Alias,Yang Dipertua BKASM sesi 2015/2016 bagi mengendalikan slot taaruf Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) sesi 2015/2016, slot ucaptama, dan slot perbahasan dan cadangan.

Antara pembawaan yang terkandung di dalam ucaptama adalah:-
1) Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan
2) Ilmuan Berkualiti Mencurah Bakti
3) Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak
4) Generasi Berkualiti Cerminan Organisasi
5) Bersama Membangunkan Ekonomi Islam
6) Bersama Bersatu Mendepani Isu

Terdapat beberapa perbahasan dan cadangan telah dilontarkan oleh ahli berkaitan dengan pembawaan yang dibawa.

Setelah selesai majlis dikendalikan oleh Yang Dipertua BKASM, majlis berehat sebentar dan disajikan sedikit persembahan oleh kumpulan Sufi's Rhythm.

Majlis seterusnya diteruskan dengan Resolusi Pembawaan dari Yang Dipertua BKASM dan ucapan penutup majlis.

Resolusi yang dihasilkan  adalah:-
1) Bersama bersatu menjayakan usul dan pembawaan BKASM pada sesi ini
2) Terus mendokong BKASM sebagai wadah kesatuan anak- anak Selangor di Mesir
3) Bekerjasama dengan semua Badan Kebajikan Anak Negeri sebagai badan yang menaungi anak-anak negeri

Semoga program Ini dapat memudahkan lagi perjalanan BKASM selepas ini dalam menggerakkan bahtera BKASM ke jalan yang lebih baik. Semoga BKASM sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Disediakan oleh,

Aiman Fitry bin Zulkifli
Pengarah Ucaptama Yang Dipertua BKASM
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)
Sesi 2015/2016.

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, November 06, 2015

STRUKTUR ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA TADBIR BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR 2015/2016


Berikut merupakan struktur organisasi Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016.
KITA PMRAM
Bersama Bersatu
Bersatu Berbakti


KESATUAN DALAM ISLAM - Tinta Jumaat Siri 1


Firman Allah SWT :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah ( agama Islam ), dan janganlah kamu berpecah belah
( Surah Ali Imran Ayat 103 )
Berdasarkan firman Allah Taala di atas, kita dapat memahami kewajipan kita supaya bersatu dan jangan berpecah. Allah memberi kita satu garis panduan perlunya kesatuan umat Islam dalam dunia ini agar dapat membendung segala mafsadah jika perpecahan umat islam berlaku.
Ulama berpendapat, ayat di atas menunjukkan bahawa persaudaraan itu adalah persaudaraan yang lahir dari takwa dan Islam yang menjadi tiang seri yang pertama, iaitu tiang seri yang berasaskan pegangan yang kukuh dengan tali Allah, iaitu dengan perjanjian-Nya, sistem-Nya dan agama-Nya. Ia bukannya persaudaraan yang lahir semata-mata bermasyarakat berlandaskan sesuatu fahaman yang lain atau kerana sesuatu matlamat yang lain atau persaudaraan yang berasaskan pegangan pada sesuatu tali yang lain dari tali-tali jahiliah yang banyak.”
Tambahan daripada itu, jika kita singkap sirah nabi, kita dapat lihat betapa Rasulullah mengambil berat berkaitan kesatuan ataupun persaudaraan di antara umat Islam ketika itu. Ikatan persaudaraan yang diikat antara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah atas dasar taqwa membawa kepada kesatuan umat Islam Madinah yang menjadi negara Islam pertama seterusnya menjadi titik tolak kekuatan dan kebangkitan umat Islam ketika itu setelah di tindas hebat ketika berada di Mekah. Natijah dari kesatuan tersebut, kita dapat lihat, pembukaan Kota Mekah berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah.
Oleh itu, di zaman modenisasi ini, kita kehilangan sistem pemrintahan Islam sekian lamanya. Hilangnya pemerintahan Islam yang menjadi lambang kesatuan umat Islam menyebabkan umat Islam berpecah belah dan sering ditinda.  Oleh itu, kepentingan membina kembali kesatuan Islam itu haruslah di ambil perhatian. Segala anasir perpecahan haruslah dicegah agar kesatuan Islam dapat dikekalkan.
Rasulullah SAW bersabda:
 “Perumpamaan orang Mukmin dalam hal kasih sayang adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan, maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam.” [HR Muslim]
BKASM yang menjadi wadah kesatuan anak Selangor di bumi Mesir ini haruslah kita pertahankan. Tali persaudaraan yang terjalin membuktikan kesatuan kita ini sentiasa utuh mengikut peredaran masa. Kebersamaan di antara barisan pimpinan dan ahli haruslah diperkuat. BKASM bukan terbina semata-mata untuk pimpinan bahkan ahli juga terlibat sama. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjayakan segala program dan juga aktiviti yang dianjurkan oleh BKASM agar keteribatan ukhuwah kita diperkuat dan sentiasa bersama dan bersatu merentasi pelbagai cabaran bagi memastikan kesatuan yang kita sayangi ini sentiasa relevan dan dirahmati Allah.

Disediakan oleh,
Mohd Azrollnaim Bin Arshad
Ketua Lajnah  Penerangan & Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2015/2016

Khamis, November 05, 2015

JAULAH USMB'15 KE ABOU ALAA'

Ahad, 31 Oktober 2015 – Sempena musim sejuk yang bakal tiba pada akhir tahun Ini, Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB15) dengan kerjasama Lajnah Sambutan & Rehlah (LSR)  Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2015/2016 telah mengadakan program Jaulah ke Abou Alaa' khusus untuk mahasiswa/wi baru sesi 2015/2016. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan persediaan yang rapi dengan memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa/wi baru untuk membeli pakaian menjelang musim sejuk yang bakal tiba. Seramai 75 orang mahasiswa baru telah menyertai jaulah ini dan pada keesokan harinya bersamaan 1 & 2 November, giliran mahasiswi baru pula ke Abou Alaa' yang mana seramai 79 orang akhawat telah menyertai jaulah ini dan diiringi oleh seramai 5 orang musyrif dan 6 orang musyrifah bagi memantau keadaan mereka sepanjang jaulah ini berlangsung. Program ini dimulakan dengan sesi taklimat ringkas di hadapan D.E cafe selepas maghrib bagi memberi keterangan dan pencerahan serta keselamatan semasa berada di sana. Tepat pukul 6 petang, rombongan ikhwah bergerak dengan menaiki 2 coaster dan 2 tremco manakala akhawat menaiki 2 coaster pada hari esok dan lusanya. Tiba di sana, musyrif dan musyrifah memainkan peranan dengan memantau serta menjaga keselamatan mahasiswa/wi baru sepanjang jaulah ini berlangsung. Sehinggalah tempoh dua jam berada di sana, mahasiswa/wi baru, musyrif dan musyrifah bersiap ke Imarah Rumah Selangor untuk perjalanan pulang. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua mahasiswa/wi baru sesi 2015/2016. Semoga program jaulah sebegini dapat terus dijalankan pada sesi akan datang bagi memberikan peluang kepada mahasiswa/wi baru mendapat persediaan dan keselesaan yang cukup ketika musim sejuk sekaligus memberi kebajikan kepada mahasiswa/wi baru terjaga dan terlaksana. Semoga BKASM sentiasa dipelihara oleh Allah SWT. Disediakan oleh, Amirul Afif bin Sardine Setiausaha Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) Sesi 2015/2016.

KITA PMRAM
Bersama Bersatu
Bersatu Berbakti