SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Disember 31, 2015

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam


Mahkamah akan bersidang pada 24 Januari ini bagi membincangkan hukuman yang bakal dikenakan pada si pembela diri, saudara Zulkifli kerana mempertahankan diri beliau dan keluarga daripada ancaman perompak. Adakah ia salah?

Dari sudut pandangan Islam, pencuri yang telah disabitkan kesalahan, wajib dilaksanakan hukuman memotong tangan seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat ke-38. Akan tetapi apabila dilihat pada realiti hari ini, pelaksanaan tersebut menjadi sebaliknya apabila si pembela mempertahankan diri daripada perompak, si pembela dikenakan tindakan undang-undang.

Jika ditakdirkan, seseorang mampu menyekat perompak dengan melawan dan didapati tidak ada jalan lain, melainkan dengan membunuhnya maka membunuh perompak pada waktu tersebut adalah harus di sisi syariat. Selain itu juga, Islam memuliakan mereka yang berani melawan perompak seperti mana hadis dibawah :

من قتل دون ماله فهو شهيد، ومن قتل دون أهله فهو شهيد، ومن قتل دون دينه فهو شهيد، ومن قتل دون دمه فهو شهيد.

Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan keluarganya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan darahnya (dirinya) maka ia syahid.
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan lafaz yang sama terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim).

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) kesal dengan penetapan yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara dalam membela nasib mereka yang tidak bersalah. Bahkan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dipalitkan kepada Malaysia yang pada masa kini, dunia melihat Malaysia antara negara umat Islam. Antara cadangan yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah dalam menyelesaikan permasalahan ini adalah :

1) Pihak berkuasa perlu meneliti dengan baik sebarang salah laku yang dikenakan
2) Merujuk kepada Mahkamah Syariah apabila mengaitkan hal umat Islam
3) Menggubal semula beberapa undang-undang negara serta dimasukkan hukum perundangan Islam seperti hudud dan qisos di Mahkamah Syariah Islam
4) Jika tiada bukti yang kukuh mengatakan si pesalah melakukan kesalahan, para ulama dan cendekiawan Islam perlu membela nasib umat Islam yang teraniaya.
5) Umat Islam perlu cakna permasalahan ini kerana ia melibatkan hak dan maruah

Akhirnya, rakyat perlu sedar akan hakikat perlaksanaan undang-undang Malaysia majoritinya mengikuti sistem yang disusun oleh barat. Alangkah indahnya jika Malaysia sebagai negara yang meneruskan sistem perlaksanaan undang-undang Islam agar segala kesalahan yang melibatkan umat Islam dan lainnya mendapat pembelaan yang setimpal.

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Asraf bin Alias
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)
Sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Disember 25, 2015

G25 - PATUHI SYARIAT HIDUP TERPELIHARA - Tinta Jumaat Siri 7


Mutakhir ini, semakin banyak isu umat dan masyarakat Islam yang semakin parah dan kian meruncing yang diperdengarkan kepada kita saban hari. Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan sebuah kumpulan yang dinamakan sebagai G25 agar menggesa tindakan hukuman khalwat terhadap orang Islam dimansuhkan. Hal ini jelas bertentangan dan membelakangkan hak Allah yang agung.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

“ Celupan Allah. Siapa yang lebih baik celupannya daripada Allah. Dan hanya kepadaNya kami menyembah “ ( Al-Baqarah : 138 )

Ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan hukum-hakam di dalam Islam adalah yang terbaik. Kalam Allah mengatasi segala-galanya. Malah, ia lebih tinggi tarafnya daripada apa yang termaktub dalam mana-mana perlembagaan sesebuah institusi mahupun negara sekalipun.

Antara perkara yang diperjuangkan oleh kumpulan G25 ini adalah tidak mengganggu hak kebebasan seseorang. Tegas mereka lagi,  perbuatan khalwat di tempat peribadi merupakan kesalahan yang hanya membabitkan antara pelaku dengan Tuhan pada pandang sisi  mereka. Gesaan agar meminda dan memansuhkan hukuman khalwat yang ada dalam undang-undang syariah Islam adalah tidak relevan sama sekali. Hal ini menunjukkan bahawa kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini sangat membimbangkan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“ Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksa-Nya “ ( Al-Anfal : 25 )

Semua pihak harus memainkan peranan bagi membendung gejala ini daripada terus menular dalam lapisan ummat Islam. Konsep ‘Amar Makruf Nahi Munkar’ perlu disemat di dalam hati dan dibuktikan dengan amal dalam kehidupan seharian kita kerana bala Allah itu tidak  diturunkan pada individu yang melakukan maksiat sahaja bahkan ia menimpa pada semua makhluk yang bersamanya.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:
Aisyah Binti Mhd Shukeri
Timbalan Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2015/2016


Jumaat, Disember 18, 2015

HAYATI SIRAH RASULULLAH - Tinta Jumaat Siri 6

Bismillahi walhamdulillah,
Setinggi-setinggi kita merafakkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T, dengan limpah kurnia dan inayahNya, kerana masih lagi diberi peluang untuk meneruskan lagi kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini dan menjadi ummat Nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah Taala:

“ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,” . (Surah Al-Ahzab :21 )

Rasulullah S.A.W adalah utusan yang terakhir dan penutup bagi sekalian Nabi-Nabi ( Khatimul Anbiaya’). Keperibadian baginda S.A.W cukup sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Nabi S.A.W adalah seorang ketua keluarga yang terbaik, seorang pemimpin yang adil, seorang pentadbir yang terulung, seorang daie yang paling berjaya dalam dakwahnya, dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak baginda S.A.W.

Firman Allah S.W.T : 
“ Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia.” (Surah Al-Qalam :4)

Keperibadian baginda juga merupakan petunjuk yang jelas dan mudah dilaksanakan dalam kehidupan bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah (Al Quran) di muka bumi ini.

Siti Aisyah R.A mengatakan : “Akhlak Rasulullah adalah Al Quran”

Al Imam Asy-Syafi’i pula mengatakan, “Apa yang baginda perbuat adalah apa yang baginda fahami dari Al-Quran ”.

Oleh sebab itu, memahami dan menghayati kehidupan ( sirah ) baginda merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami isi kandungan Islam itu sendiri.

Secara kesimpulannya, tiga dasar sirah Nabawiyah yang perlu kita hayati :

1. Sejarah kehidupan Rasulullah S.A.W bermula dari tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sehingga wafatnya.

2. Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama baginda S.A.W.

3. Sejarah penyebaran agama Islam yang bermula dari penurunan surah Al ‘Alaq di Gua Hira sehinggalah berduyun-duyun umat manusia memasuki Islam.

Sempena kita menyambut hari keputeraan Rasulullah S.A.W dipanggil Maulidur Rasul yang bakal tiba beberapa hari lagi, maka marilah kita menghayati cara hidup, perjuangan dan pengorbanan baginda S.A.W sebagai Rasul utusan Allah S.W.T dalam kehidupan kita.

Jadikanlah baginda sebagai idola dan ikutan sepanjang zaman kerana dengan kita mengikut sunnah dan perjuangan baginda ini sebenarnya tidak terpisah dengan iman dan ajaran Islam. Cinta kita kepada Rasulullah S.A.W akan mendapat cinta Allah S.W.T kerana sesiapa yang mencintai kekasih Allah, dia akan akan mendapat cinta daripada Allah S.W.T.

Wallahu A’lam..

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "


Disediakan oleh :

Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob
Setiausaha Agung
Badan Kebajiakn Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016

Selasa, Disember 01, 2015

Makluman : Tarikh Muzakarah Berkelompok Amali Peringkat BKASM sesi 2015/2016




Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah dalam kalangan ahli. Penerapan unsur tarbiah adalah sangat penting bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan syakhsiah manakala penguasaan ilmu yang bersifat turathi mahupun kontemporari serta kemahiran dalam memimpin adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang enteng.

Sempena imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKASM sesi 2015/2016 telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 4 Disember 2015.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba.

BKASM mendoakan agar semua mahasiswa dan mahasiswi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini.

"Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti