Jumaat, Januari 15, 2016

KETINGGIAN MARUAH DALAM LAKARAN SIRAH - Tinta Jumaat siri ke 10


“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang kafir. Dan ampunilah kami, ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana” 
(Al-Mumtahanah : Ayat 5)

                  Suatu hari sedang seorang wanita muslimah sedang membeli di pasar Bani Qainuqa’, seorang lelaki Yahudi menyuruhnya  menanggalkan tudungnya. Pastinya sebagai seorang wanita muslimah yang mengalir roh Islam dalam jiwanya akan  mempertahankan maruahnya dan sesekali tidak akan menuruti perintah itu. Seorang sahabat yang menyedari kejadian itu segera mempertahankan wanita itu maka berlakulah pembunuhan kepada sahabat yang membantu itu.

  Bilamana sampai pengkhabaran kepada Rasulullah S.A.W, baginda mengumpulkan tentera lalu menyerahkan bendera perang   kepada Hamzah bin Abdul Mutalib. Peperangan Bani Qainuqa’ ini menjadi saksi betapa Islam menjaga maruah seorang wanita   Islam yang dipermainkan oleh Yahudi dan bertapa bernilainya nyawa seorang muslim yang terbunuh kerana mempertahankan orang lain.

  Dunia juga menjadi saksi atas tindakan khalifah Mu’tasim yang turut mencontohi tindakan Rasulullah S.A.W untuk menyerang Rom bagi membebaskan seorang wanita muslimah yang dipermainkan maruahnya sebagai seorang Islam.

  Namun amat menyedihkan apabila menyaksikan wanita-wanita muslimah kini berjaya dijadikan umpan untuk saling   menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Bermula dari isu kedatangan artis-artis Korea sehinggalah ke isu berselfie kesemuannya menggambarkan kerosakan akhlak wanita muslimah di Malaysia dan ketandusan sifat malu dari dalam diri.

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Perumpamaan aku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api lalu binatang-binatang kecil menjatuhkan dirinya ke dalam api. Sementara itu lelaki tersebut menghalanginya (agar tidak jatuh ke dalam api), dan aku berusaha memegang ikat pinggang kalian agar tidak jatuh ke dalam api neraka, namun kalian malah lepas dari tanganku” (HR Muslim)

  Maka ayuhlah kembali pada ajaran Islam yang sempurna dengan meletakkan Islam dan kalimah Allah itu yang tertinggi. Sedang saudara se-Islam kita di negara lain mengharapkan  lahirnya khalifah seperti khalifah Mu’tasim bagi membela nasib Islam di negara mereka, kita malah menghalangi jalan kelahiran khalifah ini, nauzubillah min dzalik.

“Sesungguhnya ini adalah peringatan, maka barangsiapa mengkehendaki tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya.”

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh :
Saaddah binti Abdul Rahim
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016


0 comments:

Catat Ulasan