Jumaat, Januari 29, 2016

MATLAMAT NEGARA ISLAM : MENUNAIKAN AMANAH : Tinta Jumaat siri ke 12



 Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah (sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

     Amanah itu memberi makna yang luas, di antaranya ialah menegakkan undang-undang Allah dan mentadbir urusan manusia. Ibnu Kathir  menyebut di dalam tafsirnya, zalim dan jahil itu dikecualikan daripada diberi taufiq dan pertolongan Allah. Maka tidak termasuk dalam kalangan zalim itu para Nabi ‘Alaihimussalam dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.

     Menjalankan kerja pemerintahan Islam adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada negara. Sama ada ia dipilih dengan kerelaan rakyat atau tidak, kewajipan menunaikan amanah tetap dibebankan ke atasnya. Wajiblah ia menunaikan amanah Allah dan meletakkan amanah itu kepada rakyat mengikut tempatnya yang betul menurut hukum Islam. Dengan itu, ternyatalah sama ada ia adil atau zalim.

     Perlu difahami bukanlah menegakkan negara Islam menjadi kemuncak matlamat tetapi kemuncaknya ialah menegakkan masyarakat yang   sempurna dan terselamat daripada penyakit kezaliman dan melampaui batas Allah S.W.T. Oleh itu, menjadi kenyataan sejarah Islam apabila ada   golongan yang menerima dasar itu maka wajiblah ummat Islam memberi kesetiaan kepadanya dan tetap mengekalkan pimpinan yang ada, tanpa mengira di mana dan bila.

     Setiap orang Islam yang menjadi pemerintah mestilah beriman dengan segala ajaran Islam dan wajib tunduk kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Melaksanakan hukum Allah S.W.T tidak hilang masalahnya di dunia ini sahaja, tetapi mereka akan dibuat perhitungan di akhirat.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hajj ayat 41 :

“ …………..dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

     Apa yang disebut menunjukkan bahawa masalah negara termasuk di dalam perkara matlamat ibadah yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Moga menjadi renungan bersama ke arah menegakkan keadilan Ilahi dan bertindak menentang kezaliman, untuk kebahagiaan manusia seluruhnya di dunia dan akhirat.

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh :

Nor Jannah binti Omar,
Timbalan Bendahari Kehormat,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016



0 comments:

Catat Ulasan