Jumaat, Februari 26, 2016

DIDIK DAN ASUHLAH SEPERTI MENDIDIK ANAKMU - Tinta Jumaat Siri ke - 14


Nilai sebuah didikan menampakkan hasilnya apabila seseorang itu seperti cangkir yang kosong. Sebuah jag yang berisi air dituang di dalamnya , maka tiada setitik air pun yang akan tumpah dengan syarat ia memenuhi had batasan sebuah cangkir. Keadaan ini berbeza apabila air yang dituang memenuhi secangkir air yang penuh , maka air tersebut akan melimpah keluar kerana melepasi had batasan yang sepatutnya.

KITA HAMBA BUKAN TUHAN HAMBA

“ Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi , tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk “. (Surah Al-Qasas ayat 56)

Sering menjadi kerisauan seorang pendidik agar orang yang dididik menjadi sepertinya atau lebih baik daripadanya. Bahkan sangat menjadi kegusaran bagi seorang pendidik apabila butir-butir didikan seolah-olah tidak sampai kepada orang yang dididik. Mungkin kita lupa bahawa bukan kita bertanggungjawab atau berhak untuk memberi hidayah tetapi Allah yang selayaknya berbuat demikian. Mungkin juga kita tidak cuba untuk menyoroti sirah Rasulullah dengan bapa saudara kesayangannya yang tidak memeluk Islam sehingga helaan nafas terakhirnya. Sedangkan baginda adalah kekasih Allah , namun hidayah tidak juga berada dalam genggaman tangannya.
Sedarlah kita hamba, bukan Tuhan hamba.

KERETA ASUHAN DI ATAS JALAN RAYA ISLAM

“ Katakanlah (Muhammad), “ Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin . Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik ” .
(Surah Yusuf ayat 108)

Sebuah kereta asuhan yang mempunyai stereng akidah yang teguh , mengandungi petrol tarbiah dan kefahaman yang penuh, dipandu dengan gear semangat yang mengikut arus Islam akan membawa medium kereta asuhan ini atas jalan raya dakwah yang menuju ke destinasi realiti iaitu Allah. Hakikatnya, semua bergantung bagaimana si pemandu membawa medium kereta asuhan ini agar sentiasa berada dalam landasan jalan raya Islam yang syumul.

 JANGAN PERNAH FUTUR KERANA ALLAH TIDAK TIDUR

“ Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa dan Bijaksana”. (Surah Al-Anfal ayat 63)

Kebergantungan kepada sang Pemilik Hati akan membuatkan jiwa kita sebagai pendidik ummah sentiasa tenang dan optimis dalam menjalankan gerak kerja penerapan didikan Islam yang syumul.

Jangan pernah futur kerana Allah itu tidak tidur.
“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “
Disediakan oleh:
Ulfatun Nadzirah binti Tugiman Razaq,
Penasihat BKASM Sesi 2015/2016


0 comments:

Catat Ulasan