TRAGEDI ANKARA – KESATUAN YANG DIIMPI? - Tinta Jumaat Siri ke - 17
Merentasi dunia yang penuh fitnah berlaku antara pelbagai jenis manusia, mutakhir ini semakin banyak isu dan kejadian buruk yang berlaku di sekitar kita di mana sering menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat sejagat. Baru-baru ini dunia dikejutkan lagi dengan satu kejadian yang melibatkan kematian beramai-ramai di mana satu siri pengeboman berlaku di bandar Ankara, Turki yang melibatkan kematian sekurang-kurangnya seramai 37 orang dan 125 orang yang cedera. Pengeboman yang berlaku di bandar ini bukanlah kali pertama berlaku tetapi merupakan kali ketiga dalam tempoh enam bulan dan menyebabkan kematian seramai 170 orang secara keseluruhannya.
Hal ini sedikit sebanyak memburukkan nama baik negara Turki sebagai sebuah negara Islam yang diketahui umum sebagai antara negara yang banyak memberikan kebajikan dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara-negara Islam yang tertindas seperti memberikan penempatan kepada pelarian Syria dan Rohingya. Sifat double-standard juga telah berlaku apabila isu ini tidak mendapat hati masyarakat dunia sedangkan isu yang berlaku yang menyebabkan Islamphobia seperti yang berlaku di Perancis menarik jutaan orang untuk menunjukkan solidariti dengan mereka. Perkara ini dilihat sebagai satu perancangan musuh dalam menaikkan perkara yang memberi keuntungan bagi mereka.
Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya: “Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang perihal saudara Islam yang lain, maka dia bukanlah dari kalangan mereka (umat Islam)”. Hadith ini menunjukkan pentingnya seorang muslim itu cakna dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku terhadap muslim yang lain. Malah, Islam itu sendiri amat menitikberatkan ukhuwah Islamiyyah dalam diri setiap individu muslim.
Suatu ketika dahulu, kita dapat lihat kekuatan Islam terbina dengan adanya ikatan ukhuwah yang kuat antara satu sama lain dan saling bantu-membantu sekiranya sesebuah tanah Islam itu diserang musuh. Namun, dalam sejarah Islam juga dapat dilihat, antara sebab kejatuhan khilafah Islamiyah pada suatu ketika dahulu adalah disebabkan wujudnya sifat assabiah dan pentingkan diri di antara negara-negara Islam. Hal ini dapat kita lihat di akhir zaman Khilafah Abbasiyah, Kota Baghdad telah diserang Monggol tetapi negara Mesir yang mana ketika itu memiliki tentera terkuat tidak menghantar bantuan kerana memiliki kepentingan sendiri.
Umat Islam hari ini seharusnya membaca sejarah dan meneladani sejarah yang berlaku. Kisah di atas dapat memberikan ibrah bahawa kepentingan semangat kesatuan dalam setiap individu muslim dalam menghadapi musuh Islam. Sensitiviti untuk saling mempertahankan umat Islam yang diceroboh haknya dan menunjukkan rasa empati kepada mereka yang ditindas perlulah ada dalam diri seorang muslim pada hari ini.
Untuk akhirnya, marilah kita merenung dan menjiwai hadith di bawah:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit”. (HR Bukhari dan Muslim)
Disediakan Oleh;
Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2015/2016
Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2015/2016
Ulasan
Catat Ulasan