Selasa, April 12, 2016

Kenyataan Bersama Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di Mesir: "Beri Peluang Kepada Dr. Zakir Naik Buktikan Keindahan Islam"


1. Berikutan isu provokasi terhadap Ceramah Dr. Zakir Naik yang bakal berlangsung pada 17 April ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kami Barisan Kepimpinan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir yang mewakili mahasiswa Islam di Mesir, kesal dengan tindakan tersebut.
2. Kredibiliti Dr. Zakir Naik sebagai pendakwah yang terkemuka dunia serta pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah 1435H Peringkat Antarabangsa itu perlu diberikan pengiktirafan penuh oleh pihak kerajaan Malaysia selaku negara yang mengamalkan keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum. Sepanjang pengamatan umat Islam terhadap Dr. Zakir Naik dalam arena dakwahnya, belum pernah lagi beliau mencetuskan provokasi atau menghidupkan sentimen prejudis terhadap agama lain. Setiap hujjah yang beliau utarakan dalam ceramah-ceramah beliau adalah bertunjangkan kepada fakta yang tepat dan sahih daripada Al-Quran, Hadis Rasulullah SAW, kitab-kitab sumawi yang lain serta fakta sains yang logik. Selaku tuan rumah, Malaysia seharusnya memanfaatkan kehadiran beliau dalam menyebarluaskan penerangan Islam diseluruh lapisan masyarakat bertepatan dengan agama Persekutuan tanah air kita adalah Islam. Disamping agama-agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing.
3. Kekesalan kami adalah terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, YB.Dr.Prof. P. Ramasamy yang telah mencetuskan provokasi antara kaum dan agama. Sepatutnya, beliau sebagai seorang pemimpin wajar menunjukkan sikap profesional dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan hujah dan juga nilai-nilai murni, bukan secara emosional dan menyemburkan kata-kata kesat yang menyinggung perasaan umat Islam. Sekiranya beliau ingin menyatakan pendapat, kami mengesyorkan agar beliau bertemu mata dengan Dr. Zakir Naik dan menyatakan ketidaksetujuan dalam hal ehwal perbandingan agama.
4. Justeru, kami Barisan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir sepakat menyatakan solidariti terhadap Dr. Zakir Naik bagi membuktikan kesatuan umat Islam dalam mempertahankan aqidah Islamiah yang suci dan bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat Islam yang lain.
5. Kami mengharapkan agar pihak kerajaan membuka peluang seluas-luas kepada pakar perbandingan agama ini untuk membuktikan kepada umat Islam dan bukan Islam akan kebenaran agama Islam dengan hujjah ilmiah dan adab demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
6. Kami juga berharap agar rakyat Malaysia sama ada muslim atau non-muslim bertenang dan cuba elakkan daripada mencetuskan provokasi dan menyemarakkan lagu api permusuhan antara agama.
7. Di samping itu, kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan yang menarik balik keputusan untuk membatalkan program tersebut. Program yang akan berlangsung di UTEM akan diteruskan namun ditukar kepada tajuk baharu. Dengan penganjuran program ini dapat menarik minat seluruh lapisan masyarakat dalam mengenali Islam dengan lebih dekat. Dalam masa yang sama, kami mengharapkan agar pihak kerajaan memohon maaf terhadap isu pembatalan tersebut.
Terima kasih.
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

0 comments:

Catat Ulasan