Jumaat, April 22, 2016

KITA HANYALAH HAMBA - Tinta Jumaat siri ke 20


Manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Hakikat seseorang manusia itu diciptakan hanyalah untuk menjadi hamba kepada Allah S.W.T dari segala aspek di dalam kehidupan mereka. Ini bertepatan dengan firman-Nya didalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maksudnya : Dan ( ingatlah ) tidak Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Setiap diri seseorang hamba itu telah  dipertanggungjawabkan dengan perintah yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya agar kehidupan mereka sentiasa bahagia di dunia dan di akhirat. Dan tidaklah Allah S.W.T memberikan seseorang itu sesuatu tanggungjawab dan perintah melainkan dia mampu untuk melaksanakannya sepertimana firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 :
Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Setiap amanah dan perintah yang diberikan kepada seseorang itu tidak akan sunyi daripada ujian yang hanyalah bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Segala ujian yang dihadapi memerlukan kesabaran dan mujahadah yang tinggi kerana ujian itu merupakan merupakan proses pentarbiahan daripada Allah S.W.T terhadap diri seseorang individu tersebut.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Oleh itu, pengharapan seseorang individu muslim hanyalah kepada Allah S.W.T pada setiap detik kerana sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik perancang dan Dia Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Yakinilah bahawasanya Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang bertaqwa dan  sentiasa mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Firman Allah S.W.T di dalam Surah At-Talaq ayat 2-3 :

Maksudnya : Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ( dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya ), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar ( dari segala perkara yang menyusahkan. Serta  memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan ( ingatlah ), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukup Allah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya ). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

 "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh:

Muhammad Ridzuan bin Zaibidi
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan