Jumaat, Mei 27, 2016

TIADA ‘SHORTCUT’ DALAM DAKWAH - Tinta Jumaat siri 25


1. DAKWAH : REALITI LAPANGAN DAN CABARANNYA

Pertembungan di antara hak dan batil tidak pernah selesai bermula di zaman lampau sehingga ke hari ini, dan ia akan tetap berterusan hingga ke hari pembalasan.

Firman Allah yang bermaksud : “Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, tetapi Allah menolaknya, malah berkehendak menyempurnakan cahayaNYA walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai.” (At-Taubah:32)

Penumpuan artikel ini adalah berkenaan tabiat liku-liku dakwah yang mesti dilalui oleh para pendokongnya. Meskipun begitu, pendakwah yang berbekalkan iman kepada Allah pasti akan mendapat pertolongan dan nusrah dariNYA.

Firman Allah yang bermaksud : “ Dan sesungguhnya telah tetap janji kami kepada hamba-hamba kami yang menjadi Rasul (iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan sesungguhnya tentera kami itulah yang pasti menang.” (As-Saffat:171-173).

2.SUNNATULLAH DAKWAH PARA NABI

Nabi Nuh alaihissalam berdakwah kepada kaumnya siang dan malam agar mereka menyembah hanya kepada Allah, namun tentangan yang hebat diterima olehnya.

Firman Allah yang bermaksud: Nuh berkata “Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang. Seruanku itu hanyalah menambahkan mereka lari dari kebenaran. Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka supaya beriman agar engkau mengampuni mereka, mereka masukkan anak jari mereka ke dalam telinga dan menutup bajunya (ke muka) mereka tetap mengingkari dan sangat menyombongkan diri”. (Nuh:5-7)

Nabi Ibrahim alaihissalam juga menerima cabaran yang tidak kurang hebatnya, tatkala ayahnya dan seluruh kaumnya ketika itu menyembah berhala.

Firman Allah yang bermaksud: Nabi Ibrahim berkata “Maka apakah kamu telah memperhatikan apa yang selalu kamu sembah. Kamu dan nenek moyang kamu dahulu. Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku kecuali tuhan semesta alam”.(As-Syuara:75-77)

Rasulullah S.A.W. digelar oleh kaum Quraisy ketika itu sebagai seorang tukang sihir dan gila dalam penyebaran risalah Islam. Namun cabaran-cabaran ini tidak sedikitpun melemahkan mereka dan bahkan mereka mendapat bantuan dari Allah S.W.T.

3.BENTUK CABARAN DAN ANCAMAN

*Ancaman terhadap harta dan Jiwa

Penyiksaan demi penyiksaan yang dikenakan kepada para sahabat di dalam lapangan permulaan Islam misalnya yang dikenakan kepada keluarga Yasir dan juga Bilal bin Rabah. Baginda sendiri pernah diancam untuk dibunuh ketika hijrahnya menuju ke Madinah. Bukan itu sahaja bahkan sekatan ekonomi dikenakan kepada umat islam ketika itu sehingga menyebabkan perintah hijrah berlaku.

*Usaha memburukkan peribadi pendakwa

Usaha-usaha seperti ini boleh mengancam perjalanan dakwah itu sendiri kerana hilangnya kepercayaan kepada pendakwah akan menyebabkan kerja dakwah yang disampaikan olehnya akan tergendala. Fitnah seperti ini bukanlah perkara baru dalam medan dakwah, malah ianya sudah pun termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan mereka berkata, ”Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran sesungguhnya engkau Wahai Muhammad benar-benar orang gila.” (Al-Hijr:6)

Inilah sebahagian dari tuduhan yang dilemparkan kepada (junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.) sebagai seorang yang gila, tujuannya untuk menghapuskan kepercayaan masyarakat arab terhadap kerasulannya, walaupun sebelum diangkat menjadi rasul, baginda terkenal dengan sifat-sifat yang terpuji sehingga digelar sebagai ‘Al-Amin’.

4.PERSEDIAAN DAIE & SOLUSI

*Kesabaran yang tinggi serta ketahanan jiwa mesti dipasakkan ke dalam diri para pendakwah. Tugas mulia ini tidak akan mampu dibebankan ke atas jiwa yang kecil.

Firman Allah yang bermaksud : “Maka bersabarlah engkau Muhammad sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati. “ (Al-Ahqaf : 35)

*Mendalami ilmu islam dan peka dengan isu semasa yang berlaku. Kefahaman islam yang jelas akan dapat menangkis segala dakwaan palsu yang sering dilontarkan oleh orientalis. Para orientalis menghabiskan separuh dari usia mereka mendalami ilmu islam untuk menghancurkan islam,maka para pendakwah yang sepatutnya mencabar diri mempersiapkn dengan pelbagai ilmu dalam menghadapi golongan ini.

*Mengenali musuh-musuh islam dan merangka strategi. Pendakwah mestilah meneliti dan cermat dalam berkomunikasi supaya tidak terperangkap dengan jerat yang dipasang oleh musuh-musuh islam yang sentiasa tidak redha dengan kebenaran yang tertegak.

*Mengukuhkan ekonomi dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dakwah. Ekonomi merupakan tunjang kekuatan, jika lumpuhnya ekonomi maka banyak tugas dakwah akan tergendala.Ikhlas adalah kunci, jika tiada ikhlas maka sia-sia segala amal seorang daie.

Rujukan:
Al-Quran
Kertas Kerja MANHAL PMRAM

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan’’

Disediakan oleh :

Siti Nurliana binti Zainudin
Penasihat
BKASM sesi 2015/2016


0 comments:

Catat Ulasan