Jumaat, Jun 24, 2016

SENI KEMATIAN YANG TERMULIA, KITA BAGAIMANA ? - Tinta Jumaat siri ke 29



Wahai Kaum!

“Demi Allah, sesungguhnya apa yang kalian takutkan, hakikatnya inilah yang kalian dambakan iaitu MATI SYAHID. Kita tidak memerangi kuffar kerana banyaknya bilangan dan kekuatan persenjataan, tetapi kita memerangi mereka kerana AGAMA ISLAM ini yang Allah muliakan kita dengannya. Bangkitlah kalian memerangi musuh kerana sesungguhnya hanya ada satu pilihan dari  dua kebaikan iaitu MENANG atau MATI SYAHID.”

 Inilah motivasi Abdullah bin Rawahah Radiallahu ‘Anhu kepada kaum muslimin ketika Perang Mu'tah.

Menjadi kewajipan sebagai muslim dalam menjaga dan mempertahankan agama. Golongan terdahulu bertanggungjawab terhadap agama dengan bergalang ganti nyawa dan darah. Berinspirasikan sebuah firman Allah ;

"Sesiapa yang menghendaki kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah) kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan" - surah Fatir:10 -

Semangat mereka tidak pernah pudar bahkan keberanian mereka tidak pernah luntur serta tampil gagah apabila berhadapan dengan musuh. Tuntutan dakwah tidak pernah lekang dalam hidup kita. Menjadi kewajipan sebagai muslim yang mukmin untuk memuliakan diri dengan melaksanakan apa yang menjadi perintah oleh Allah & meinggalkan apa yang menjadi larangan oleh Allah. Golongan terdahulu telah mencipta seni kematian mereka dengan cara termulia iaitu mati syahid di jalan Allah. Lantas kita bagaimana? Apakah pernah wujud dalam doa sehari-harian kita untuk mati syahid di jalanNya.

Memetik kalam dari Saidina Umar "Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam,maka kita akan dihina oleh Allah"

Terdapat sebuah kisah yang dinukilkan dalam Surah Yasin menceritakan kesungguhan seorang lelaki bernama Habib An Najar yang berusaha meyakinkan tentang ajaran yang dibawa oleh para rasul. Namun pengakhiran dakwah Habib An Najar, kaumnya tetap tidak mempercayai ajaran rasul bahkan telah membunuh Habib An Najar. Begitu angkuh dan sombong kaumnya yang tidak beriman malahan membunuh pendakwah sejati ini. Walaupun Habib dibunuh namun apa yang diceritakan ayat selepasnya Habib telah dikurniakan syurga yang penuh dengan kenikmatan. Kemudian nasib kaum yang tidak beriman itu, telah Allah hinakan dengan mematikan mereka yakni kaum yang angkuh itu dengan satu tempikan sahaja dari malaikat.

Inilah dua jenis pengakhiran yang dapat kita ambil pengajaran darinya. Kurniaan syurga yang Allah berikan kepada mereka yang bergerak untuk agamaNya dan balasan buruk bagi mereka yang menidakkan agama bahkan memudaratkan pembawa agama.

Corak kematian yang berbeza mengikut amal sang hamba, mari sama-sama kita bermuhasabah "bagaimana seni kematian yang bakal kita corakkan?" "apakah tidak wujud keinginan di hati untuk mendapatkan kenikmatan syurga yang bersifat kekal abadi?" "maka, di mana posisi kita dalam agama bagi meraih jannahNya?"


Menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menyahut tugas mulia ini agar Allah mengakhirkan hidup kita dengan cara yang paling mulia.Ambillah peluang di bulan Ramadan ini dengan menyoroti kisah-kisah dan sirah-sirah bagaimana golongan terdahulu menghidupkan Ramadan mereka dengan menyebarkan agama melalui futuhat-futuhat dan siri peperangan melawan kaum kuffar. Moga-moga dengan mentadabbur dan menghayati sirah serta kisah seperti ini akan membangkitkan ruh Islam yang semakin pudar dan malap.

Akhir kata,

Buat Allahyarham Nor Alif Luqman bin Nor Azmin,
Pemergianmu cukup membuka mata dan minda kami yang masih berjuang meneruskan hidup di dunia yang fana' ini. Kau dijemput pergi menemui Illahi di bulan yang mulia. Moga rohmu tenang di sana, selamat kembali ke kampung abadi teman.
Seni kematiannya telahpun dicorak, lantas kita bagaimana?


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh :

Siti Aisyah binti Ismail
Fasilitator


BKASM sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan