Jumaat, Jun 17, 2016

TARBIAH RAMADAN - Tinta Jumaat siri 28


Menderap jalan tarbiah merupakan satu agenda kewajipan bagi setiap jiwa insan muslim yang betul-betul melalui jalan menegak agama Allah. Kerosakan orang Islam zaman sekarang salah satunya adalah disebabkan rosaknya tarbiah diri. Maka, titian tarbiah perlu dilalui dan diketahui supaya tarbiah tersebut memenuhi ciri-ciri yang perlu dicapai dan tidak lari dari paksinya.

Menelusuri madrasah Ramadan ini, bulan ini sinonimnya menekankan lebih aspek tarbiah ruhiah. Sejarah telah dilakar menceritakan betapa gembira sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W menyambut bulan yang mulia ini. Bulan Ramadan disambut dengan ibadat-ibadat yang dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyak bacaan Al-Quran dan menghidupkan malam dengan solat-solat sunat. Bahkan perkara tersebut, telah dilaksanakan oleh para sahabat apabila dekat dengan bulan Ramadan.

Segolongan manusia melihat aspek tarbiah pada roh tidak perlu ditekankan, sebaliknya apa yang perlu adalah penekanan tarbiah dari sudut akal dan fizikal. Golongan ini sangat sempit kerana mengecilkan skop pentarbiahan yang sepatutnya diluaskan kepada semua aspek. Tambahan pula, tarbiah ruhiahlah mencernakan kepada luaran yang baik sebagaimana Nabi bersabda:
"Di dalam jasad ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut maka baiklah jasad seluruhnya, dan sekiranya rosak daging tersebut maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah ianya adalah hati"
Rasulullah adalah sebaik ikutan dan juga merupakan rahmat kepada seluruh alam. Aspek memperkasakan hubungan Baginda dengan Allah Taala sangatlah Baginda titik beratkan sehingga ditegur tentang kuatnya beliau dalam beribadah maka Nabi Muhammad menjawab:

"Adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?"

Siri-siri peperangan dalam Islam sehingga kini juga sebagai ukuran untuk ditonton seluruh manusia tentang kesungguhan para mujahid dalam menjaga ibadah mereka selain daripada menjaga fizikal dan mental dalam menghadapi musuh. Peperangan tersebut dengan izin Allah diberi kemenangan dan juga pertolongan daripada Allah.


Tuntasnya, segala perkara yang bersangkut paut dengan tarbiah tidak boleh dipandang enteng baik seorang rakyat biasa mahupun para penguasa. Sekiranya ditinggalkan, tidak pelik ummat Islam akan dibalakan dengan sifat lesu dan lemah. Marilah kita sama-sama menyerap jalan tarbiah agar perjalanan hidup kita diberkati Allah seterusnya menggapai keredhaan Allah taala.

''Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Disediakan oleh:

Aiman Fitry bin Zulkifli
Timbalan Setiausaha Agung 1
BKASM sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan