Jumaat, Julai 22, 2016

MARI MELESTARIKAN TARBIAH - Tinta Jumaat siri ke 31



“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu petunjuk dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar”
(Surah Al-Anfal:29)

Setiap manusia dibekalkan Allah S.W.T dengan tiga komponen penting untuk melayari sebuah perjalanan kehidupan. Ketiga-tiganya sangat berpengaruh dan merupakan sistem penting yang tidak dapat dipisahkan. Tiga komponen tersebut ialah jasad, akal dan ruh.

Ketiga-tiga komponen ini perlu dijaga dan dilatih dengan baik, supaya ianya berfungsi dengan baik. Jika tidak, kegagalan hidup dalam menjadi hamba kepada Allah S.W.T mungkin akan berlaku. Malah,  masalah dalam melaksanakan tugas dan amanah sebagai khalifah Allah juga mungkin akan dihadapi.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
(Surah At-Tin:4)

Oleh yang demikian, jasad harus diurus dan dilatih dengan baik. Makanan yang masuk ke dalam jasad kita juga haruslah dipelihara sumbernya dari sudut halal dan haramnya supaya implikasinya nanti tidak berlaku kepincangan dalam melaksanakan perintah Allah. Akal juga perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya kita dapat berfikir dengan matang dan rasional serta dapat membezakan perkara yang hak dan juga batil. Namun yang paling utama ialah supaya tidak berlaku kesilapan dalam pemahaman dan dapat menangkis serangan pemikiran yang kadangkala tersembunyi kebatilannya.

Tidak dilupakan juga pada komponen yang terakhir iaitu ruh. Ruh juga memerlukan penjagaan yang rapi supaya spiritual atau dalaman kita tetap mantap agar mampu mendorong jasmani untuk melakukan sesuatu perkara atas sebab akhirat. Malah, kekuatan dalaman memainkan peranan penting dalam menyelamatkan seorang muslim daripada tipu daya syaitan. Kekuatan dalaman yang didasarkan pada kekuatan keimanan dan keikhlasan juga merupakan bekal utama seorang  muslim dalam menjalani perjalanan hidup yang penuh musibah dan fitnah kehidupan.

Oleh yang demikian, jangan biarkan semangat dalaman kita mengalami penurunan akibat daripada perkara-perkara maksiat yang mungkin kita lakukan. Jauhkanlah diri dari segala aktiviti yang dapat menyebabkan terjadinya penurunan kualiti ruhiyyah, lemahnya iman dan lunturnya ketaqwaan.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:

Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan