Khamis, Ogos 04, 2016

KETEGUHAN HATI MERAWAT KELUHAN DIRI - Tinta Jumaat siri ke 32


Bila ditelusuri sirah-sirah terdahulu banyak ibrah & pengajaran yang dapat diambil sebagai pedoman kehidupan seharian. Antara contoh yang dapat kita ambil adalah bagaimana Rasulullah dan para sahabat terdahulu menghadapi pelbagai mehnah & ujian demi menegakkan agama Islam itu sendiri.

Antaranya Bilal bin Rabah yang pernah ditimpa batu besar di tengah padang pasir yang terik. Seterusnya, Abu Bakar diinjak-injak kaum Quraisy. Dan Rasulullah, yang pernah dicekik, diludahi, dan dilemparkan dengan batu juga kotoran.

Tepuk dada, tanya diri. Mengapa mereka tetap thabat dan tabah menghadapi pelbagai tekanan, penderitaan dan siksaan tersebut? Sedangkan mereka boleh sahaja untuk mengalah dan berundur jika mereka mahu dengan mengikut hawa nafsu   mereka.

Antara faktor yang membawa mereka teguhnya hati dalam perjuangan ini :

Keimanan kepada Allah Taala

*Firman Allah dalam Surah Ar Ra’d ayat 17 :

 “ Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi
  manfaat kepada manusia maka ia tetap di bumi”

Kepimpinan Rasulullah yang dapat menyatukan hati manusia

*Abu Bakar ada menyebut ketika beliau disiksa, namun pertanyaan yang keluar daripada lisannya, “Apa yang terjadi pada Rasulullah?”. “Demi Allah aku tidak akan makan dan minum, kecuali setelah bertemu Rasulullah”.
Besar rasa tanggungjawab

*Mereka menyedari akan tanggungjawab yang besar terpundak pada bahu mereka, tanggungjawab kemanusiaan yang  tidak mampu dielakkan di dalam apa jua keadaan. Jika mereka lari dari tanggungjawab besar itu, mereka mengetahui akibat yang akan menimpa mereka di kemudian hari akan lebih berat dari apa yang mereka hadapi saat itu.

Keimanan pada hari akhirat

*Keyakinan mereka bahawasanya mereka akan bangkit kembali menghadap pada Yang Esa. Setiap amalan akan di perhitungkan, baik yang tersembunyi mahupun yang nyata, baik yang kecil mahupun yang besar. Mereka juga lalui kehidupan mereka dengan rasa takut kepada siksaanNya dan penuh harap akan redhaNya.

Justeru, ingatlah bahawa Allah telah menyediakan buat hamba-hambaNya yang beriman, kedudukan dipersada kemuliaan dan membuka peluang dengan menyediakan sebab-sebab, iaitu ujian dan fitnah hingga dengannya mereka berupaya sampai ke sana (syurga).
Usah mencari waktu rehat andai tidak melangkah bermujahadah”.
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”
Disediakan Oleh :
Wan Putri Fairuz Binti Kamal
Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2015/2016


0 comments:

Catat Ulasan