Khamis, Ogos 11, 2016

PROGRAM KEMBARA AZHARI ANAK SELANGOR - UKHUWAH ANTARA DUA BENUA

5-7 OGOS, BANTING - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dengan kerjasama Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) dan JKKK Kampung Labohan Dagang telah berjaya mengadakan satu program baktisiswa yang dinamakan Kembara Azhari Anak Selangor ( KAAS'16 ) selama tiga hari bermula pada 5 Ogos hingga 7 Ogos. Program ini merupakan program kedua kalinya selepas tahun 2010 dan disertai seramai beberapa orang ahli BKASM yang pulang ke Malaysia.

Bagi menjayakan program ini pihak penggerak meletakkan beberapa objektif. Antaranya, mewujudkan ukhuwah antara ahli BKASM bersama penduduk kampung tersebut, menyebarkan dakwah dan nilai-nilai akhlak serta mendedahkan ahli BKASM pengalaman berkhidmat kepada masyarakat.

Pada 5 Ogos pagi Jumaat, para peserta berkumpul di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk bergerak beramai-ramai menuju ke tempat program.Sebanyak 6 buah kereta yang terlibat dan tiba di tempat program sekitar jam 12 tengahari. Selepas zohor, diadakan taklimat program bersama peserta yang dikendalikan oleh pengarah program iaitu saudara Muhammad Faez Ehsan bin Supian .Perasmian program diadakan sejurus selepas solat Asar di Masjid Mutmainnah  dengan dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Sulor bin Tohiron, Ketua Kampung Labohan Dagang. Program berakhir  pada hari pertama dengan pembahagian keluarga angkat yang melibatkan 10 buah keluarga.

Pada keesokkan harinya di sebelah pagi, peserta telah melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat, yang mana peserta ikhwah diberi tugas  mengecat dinding pagar di sekolah kebangsaan Kampung Labohan Dagang. Manakala peserta akhawat dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk operasi pembersihan. Antara kawasan yang terlibat Masjid Mutmainnah, Masjid Ar Rahman(masjid lama), Markaz Tarbiyyah Idrissiyyah dan Balai Raya. Di sebelah petang pula, peserta turun untuk rewang bersama masyarakat kampung atau nama Jawanya dipanggil 'sinoman'. Apa yang menarik di kampung ini adalah 'lemper' iaitu salah satu kuih Jawa yang pasti akan dihidangkan ketika majlis perkahwinan. Cara membungkus 'lemper' salah satu ilmu baru pada petang itu. Manakala di sebelah malamnya, diadakan satu forum khas yang bertajuk, "Merdekakah Kita?". Pengisian disampaikan oleh panel  yang hebat iaitu Ustaz Mohammad Farid bin Mohammad Zainal, Pengerusi ILMAM dan Ustaz Muhammad Labib bin Abd Jalil, Pengetua Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (KITTIS). Forum malam itu merupakan penutup program bagi hari yang kedua.

Hari terakhir hari ketiga merupakan hari bersama warga kampung atau dipanggil Hari Keluarga. Beberapa pertandingan dan sukaneka telah dijalankan. Antaranya pertandingan melukis, mewarna, lumba basikal paling lambat, boling kelapa dan lain-lain. Sukaneka ini telah diceriakan dengan kedatangan adik-adik daripada pelajar PASTI dan sekolah rendah.Selain itu, terdapat juga persembahan cara membuat kerepek sukun yang disampaikan oleh puan Norita. Akhir sekali, majlis penutupan telah dirasmikan oleh YB Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri Selangor.Berakhirnya program dengan bergambar bersama penduduk kampung.

Jutaan terima kasih kepada JKKK kampung Labohan Dagang, ketua kampung, semua tenaga penggerak yang membanting tulang, peserta-peserta yang komited,keluarga angkat yang banyak memberi tunjuk ajar dan warga kampung Labohan Dagang yang sudi menerima kunjungan pelajar Selangor yang menuntut di Mesir.Tidak lupa juga kepada penyokong dan pendokong baik secara langsung mahupun tidak langsung. Banyak pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh sepanjang program. Semoga ukhuwah antara dua benua ini terus tersemai dan subur hingga di syurga sana.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Kembara Azharai Anak Selangor 2016

BKASM 2015/2016 dengan kerjasama ILMAM Selangor dan JKKK Labohan Dagang

0 comments:

Catat Ulasan