Jumaat, Ogos 26, 2016

Qul Hazihi Sabili - Tinta Jumaat siri ke 35


 Sesungguhnya perjalanan hidup  Rasulullah dan para sahabat sepatutnya menjadi perkara utama dalam diri seorang muslim. Ia bukan sahaja dibaca melalui tulisan atau mendengar ucapan, tetapi suatu kenyataan yang benar-benar berlaku dengan petunjuk dari Allah. Justeru, apa yang didengar dan dibaca  tentang Rasulullah dan para sahabat  perlulah difahami, dihayati sunnah-sunnah baginda sama ada semasa damai atau perang, dalam medan ilmu atau amal, atau dalam ibadat atau adat.

Sebagai penerus perjuangan agama Islam, beberapa perkara perlu diberi penekanan:


KEILMUAN

Amal tanpa ilmu, ibarat lentera di tangan bayi, namun ilmu tanpa amal ibarat lentera di tangan pencuri. Kedua-duanya diperlukan dalam diri seorang pendakwah yang ingin membawa manusia ke jalan Allah. Apakah amal semata-mata tanpa ilmu mampu menjadi penyuluh kepada masyarakat yang berada di dalam kegelapan. Begitu juga ilmu semata-mata tiadalah tertegak Islam itu seandainya tidak diiringi dengan amalan yang menzahirkan kewujudan ilmu.

KEBERANIAN

Ketika umat Islam ramai meninggalkan pembayaran zakat, Saidina Abu Bakar dengan beraninya mengisytiharkan perang berdasarkan ilmu dan ijtihad beliau dan demi menjaga agama.

Saidina Ali radhiyallahu anhu berkata:
حين سكت أهل الحق عن *الباطل فتوهم أهل الباطل أنهم على الحق
Seandainya orang yang berada di jalan kebenaran mendiamkan kebenaran, maka di waktu itu ahli batil akan menyangka merekalah yang berada di jalan kebenaran (dengan kebatilan yang dibawa)”

KESABARAN

Rasulullah ketikamana berdakwah di Thoif, baginda disambut dengan balingan batu sehingga mengalir darah baginda memenuhi kasut. Malaikat Jibril bertanya, “Apakah mahu aku hancurkan mereka?” Rasulullah menjawab “Sesungguhnya mereka kaum yang tidak mengetahui.”

Satu sabda Rasululah bilamana ditanya bilakah akan datang pertolongan dan kemenangan dari Allah, baginda menjawab:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang sebelum kalian ada yang ditanam hidup-hidup, digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada yang disikat dengan sikat besi sehingga mengenai dagingnya hingga memisahkan ia daripada tulangnya, semua itu tidak menggoyahkan mereka. Bahkan kalian orang yang tergesa-gesa”

Kebanyakan pendakwah gugur dari jalan dakwahnya kerana berada di medan masa yang terlalu panjang. Maka beruntunglah mereka yang kekal  istiqamah dan mengakhiri hidupnya dengan kemenangan mengekalkan posisi di medan dakwah yang beronak liku.

KEZUHUDAN

Syefa pernah berkata, “Tidak aku melihat orang yang lebih zuhud dari Saidina Umar Al-Khattab namun aku tidak melihat beliau berjalan seperti seorang yang lemah.”

Zuhud yang dimaksudkan oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi disebutkan di dalam kitab Risalah Azhar bukanlah  zuhud itu bererti tidak boleh memiliki harta, tetapi zuhud itu ialah tidak melebih-lebih dalam mengambil dunia. Sebagaimana yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah, Abu Bakar Assiddiq dan Abdur Rahman bin Auf hartawan yang hebat dalam perniagaan namun seluruh kehebatan dan hartanya digunakan untuk jalan Allah.



‘’Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:

Saaddah binti Abdul Rahim
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2015/2016

0 comments:

Catat Ulasan