Selasa, Ogos 23, 2016

KETELUSAN PENGAGIHAN ZAKAT



            Sejarah peradaban tamadun menyaksikan telah berlaku kezaliman terhadap golongan yang lemah. Antaranya adalah sistem kasta di antara orang kaya dan orang miskin yang tersebar dalam tamadun-tamadun sebelum kedatangan Islam.

            Seorang penulis Al-Marhum Muhammad Farid Wajdi telah menceritakan tentang keadaan beberapa pemerintah yang jelas adanya dua peringkat dalam satu masyarakat; golongan senang dan golongan susah.
           
            Mesir pada zaman dahulu merupakan tempat yang Allah kurniakan dengan kebun-kebun yang boleh mencukupi daripada tumbuhannya untuk penduduk-penduduknya. Apa yang berlaku adalah golongan fakir tidak dapat makanan daripadanya kerana golongan kaya kerana mereka tidak meninggal apa-apa terhadap golangan miskin melainkan sisa-sisa sahaja. Begitu juga pemerintahan Babylon dan Parsi.

            Apabila datangnya Islam, Islam membasmi permasalahan tersebut. Ini dapat dilihat jelas di dalam ayat Al-Quran menerangkan tentang keadaan orang yang berada di dalam neraka disebabkan mengabaikan orang-orang miskin. Sebagaimana Allah berfirman:

            كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ إِلَّا أَصْحَابَ الْيَمِين فِي جَنَّاتٍ يَتَسَاءَلُونَ عَنِ الْمُجْرِمِينَ مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ

 “Tiap-tiap diri terikat tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. Kecuali puak kanan. Mereka ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat, mereka bertanya-tanya, tentang tempat tinggal orang-orang yang bersalah, “apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?” Orang-orang bersalah menjawab, “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak pernah memberi makan orang miskin”. (Surah Al-Muddathir: 38-44)

            Melalui ayat Al-Quran kita dapat memahami prinsip Islam terhadap orang memerlukan adalah mereka sepatutnya tidak dipinggirkan. Bukan ayat ini sahaja, selepas itu datangnya pensyariatan zakat mengkhususkan harta apa yang perlu diberi kepada orang yang memerlukan. Terdapat beberapa jenis harta dan kadarnya yang perlu dikeluarkan zakat antaranya hasil tanaman. Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah Taala :

وَهُوَ الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۚ كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ ۖ وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”

            Terdapat beberapa golongan Allah khususkan sebagai orang yang mustahak menerima zakat. Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman:        

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah: 60)

            Golongan-golongan ini adalah golongan yang berhak menerima zakat. Namun begitu, ulama berselisih pendapat  dari sudut makna golongan di atas. Sebagai contoh dalam perbahasan orang fakir dan miskin, di sisi Hanafi orang fakir merupakan orang yang memiliki sesuatu yang bukan nisob syari`e manakala orang miskin orang yang tidak memiliki apa-apa. Adapun di sisi mazhab lain memandang dua golongan ini tidak memiliki kifayah (kecukupan).

             Juga dalam perbahasan fi sabilillah ulama ada menghadkan orang berjihad sahaja. Ada juga yang meluaskan makna fi sabilillah sehingga semua perkara yang membawa maslahah (kepentingan) umum seperti orang yang mempelajari agama atau institusi yang ditubuhkan untuk berhadapan dengan institusi yang lawan dengan agama.

            Zakat merupakan suatu hukum yang thabit dan jelas daripada agama. Maka, tanggungjawab mengambil zakat merupakan tanggungjawab pemerintah dalam melaksanakannya. Firman Allah taala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

            “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”(Surah At-Taubah: 103)

            Ayat ini didatangkan dengan lafaz mufrad (singular/tunggal) pada suruhan mengambil zakat sedangkan di dalam ayat Al-Quran lain berkenaan pembayaran zakat Allah datangkan dengan lafaz jamak (plural/berbilang-bilang) menunjukkan bahawa wajib ke atas pemerintah untuk mengambil zakat daripada rakyat.

            Ingkar akan kewajipan zakat, mereka boleh diperangi sepertimana tindakan Saidina Abu Bakar mengisytiharkan perang ke atas penduduk yang enggan membayar zakat. Adapun keengganan yang berbentuk individu Nabi menyebut:

ﻣَﻦْ ﺃَﻋْﻄَﺎﻫَﺎ ﻣُﺆْﺗَﺠِﺮًﺍ ﺑِﻬَﺎ ﻓَﻠَﻪُ ﺃَﺟْﺮُﻩُ , ﻭَﻣَﻦْ ﻣَﻨَﻌَﻬَﺎ ﻓَﺈِﻧَّﺎ ﺁﺧِﺬُﻭﻫَﺎ ﻭَﺷَﻄْﺮَ ﻣَﺎﻟِﻪِ ﻋَﺰْﻣَﺔً ﻣِﻦْ ﻋَﺰَﻣَﺎﺕِ ﺭَﺑِّﻨَﺎ


            “ Barangsiapa memberinya (zakat) kerana mengharap pahala maka ia akan mendapat pahala. Barangsiapa menolak untuk mengeluarkannya, kami akan mengambilnya beserta separuh dari hartanya kerana ia merupakan perintah keras dari Tuhan kami.” (Disebut oleh As-Syirazi dalam Al-Muhazaab)
            Pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab berjaya memperkasakan zakat yang ada sehingga Yaman dalam masa tiga tahun tiada lagi orang yang berhak menerima zakat. Pemerintahan Saidina Umar bin Abdul Aziz pula telah menyaksikan keberjayaan zakat dalam membasmi kemiskinan. Zaman Khalifah tidak ada yang lagi yang layak menerima zakat bahkan harta di dalam Bait Maal melimpah.

            Dari sudut realiti, kuasa membeli yang kurang akan menyebabkan terjejasnya pertumbuhan ekonomi seterusnya boleh menyebabkan inflasi. Sekiranya kuasa membeli meningkat, maka pertumbuhan ekonomi dapat ditingkatkan. Zakat antara yang dapat menyelesaikan masalah ini dengan diberi kepada yang memerlukan untuk memberi kuasa membeli kepada mereka. Dalam masa sama, ia memudahkan kepada syarikat atau kedai untuk menjual barang-barang mereka disebabkan ada kuasa membeli daripada pembeli.

            Ini adalah kesan-kesan positif mengikut lipatan sejarah yang boleh kita simpulkan bahawa apa yang Islam bawa adalah wahyu daripada Yang Maha Mengetahui akan kebaikan hamba-hambaNya. Sistem-sistem ekonomi yang diguna sekarang nampaknya tidak menyelesai masalah bahkan merumitkan lagi keadaan.

            Kesimpulannya, institusi zakat yang jauh dari korupsi sekiranya diperkasakan dengan betul, dengan izin Allah akan menunjukkan hikmah yang baik dan kesan yang baik kepada masyarakat. Tanggungjawab pemerintah dalam memastikan institusi zakat supaya betul-betul dikuatkuasakan dengan betul dan jauh dari sebarang penyelewengan adalah mesti. Wallahua`lam.


Rujukan:-

1) Al-Quran
2) Fathul-Qorib Al-Mujib fi Syarhi Alfaazi At-Taqrib au Al-Qaul Al-Mukhtar fi Syarhi Ghayati Al-Ikhtisar, Abu Abdullah Syamsuddin Muhammad bin Qasim bin Muhammad Al-Ghazzi
3) Feqh Zakat, Dr Yusuf Al-Qardhawi
4) Al-Islam, Saed Hawwa

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Unit Pengkajian
Unit Thaqafah
BKASM sesi 2015/2016

#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan