DISEBALIK SURAH AL-KAUTHAR - Tinta Jumaat siri ke 37
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
{Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak . Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah). (AL-KAUTHAR: 108 :1-3)
Al-Kauthar yang membawa maksud kebaikan atau nikmat yang banyak,iaitu sungai di syurga. Merupakan surah yang ke 108, mengandungi tiga ayat dan diturunkan di Mekkah.Ia juga merupakan surah yang menjadi penghibur hati kepada Nabi Muhammad SAW kerana ketika itu baginda bersedih atas kematian dua orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.
Melihat kepada maksud ayat pertama, Allah S.W.T telah memberikan kepada Nabi Muhammad SAW kebaikan yang tertinggi sehingga mencapai kepada kemuncaknya iaitu mendapat anugerah teragung kehebatan sungai Al-Kauthar didalam syurga. Oleh itu, kita sebagai hamba Allah dan bukan daripada golongan yang ma’sum hendaklah mencari ruang beribadah di dunia untuk mengejar Akhirat yang kekal abadi bagi mengecapi nikmat di syurga, kerana kita tahu tiada yang lebih nikmat melainkan nikmat di syurga.
Tambahan pula, bertepatan dengan bulan Zulhijjah yang datang ini, apa yang dapat diperjelaskan melalui firman Allah dalam ayat kedua surah Al-Kauthar ini, Allah menceritakan tentang solat dan juga ibadah korban. Sehubungan dengan itu, nikmat yang Allah berikan sangat banyak, bagaimana kita menikmati nikmat atau rezeki yang Allah berikan? Maka ayat kedua ini dapatlah kita rungkaikan bahawa bila mana datangnya Zulhijjah pasti ia terikat dengan perayaan Hari Raya Haji atau juga dinamakan sebagai Hari Raya Korban, serta dikaitkan korban itu dengan haiwan sembelihan seperti kambing. Maka, nikmat yang Allah berikan jangan dipersiakan. Setiap amalan kita laksanakan semuanya kerana Allah. Oleh itu, ambillah peluang Hari Raya ini sebagai satu ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Apabila menyebut mengenai pengorbanan, ianya sangat luas. Pengorbanan daripada sudut nyawa, harta, tenaga dan sebagainya.Melihat kepada firman Allah dalam ayat kedua sebentar tadi, Allah menekankan tentang ibadah korban. Bila menyingkap kepada sirah suatu masa dulu, melihat pengorbanan seorang ayah Nabi Ibrahim yang mengorbankan nyawa anaknya iaitu Nabi Ismail. Ibrah dan pengajaran yang diadaptasikan dalam kisah ini, dijadikan qudwah untuk kita semua agar dapat menjadi seperti Nabi Ibrahim.
Kesimpulannya, dengan kedatangan bulan Zulhijjah ini, dapatlah sama-sama kita nikmati dengan limpahan Rahmat yang Allah berikan. Bukanlah kita menyambut Hari Raya Korban ini dengan suka ria, tetapi sambutlah ia dengan mengambil intipati apa yang terkandung dalamnya sama ada daripada sudut ibadah, pengorbanan dan sebagainya.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Disediakan oleh:
Siti Fadilah binti Sulaiman
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2015/2016
Siti Fadilah binti Sulaiman
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2015/2016
Ulasan
Catat Ulasan