Khamis, September 01, 2016

MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG ILAHI - Tinta Jumaat siri ke 36



Kehidupan seorang manusia tidak dapat dipisahkan daripada undang-undang atau sistem yang direncanakan oleh Allah S.W.T sama ada yang disukai mahupun yang dibenci. Kesemuanya perlu menurut seperti apa yang telah termaktub di dalam dua perlembagaan yang agung iaitu Al Quran dan As Sunnah.

 Mengembalikan manusia  ke arah mendaulatkan undang-undang Ilahi bukanlah suatu tugas yang mudah kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda :-

بدأ الإسلام غريباً وسيعود غريباً كما بدأ فطوبى للغرباء

"Islam itu muncul dalam keadaan asing dan akan kembali asing lalu beruntunglah orang yang asing itu."

     Jika kita menyoroti coretan sejarah Nabi terdahulu, kita akan dapati bahawa tugas Nabi adalah mengembalikan kehidupan manusia  daripada penyembahan terhadap makhluk, tunduk kepada sistem perundangan makhluk kepada ke arah kehidupan yang bersumberkan wahyu ilahi di setiap aspek kehipuan manusia tersebut. Sebagai contoh Namrud dan Nabi Ibrahim Alahissalam, pernah diceritakan bahawa Namrud suatu ketika dahulu pernah merancang untuk membina suatu bangunan yang tinggi untuk membunuh tuhan Nabi Ibrahim Alahissalam iaitu Allah, lalu dengan kekuasan Allah Azza wa Jalla perancangan tersebut terbatal disebabkan Allah menghukum mereka dengan mempelbagaikan bahasa mereka sehingga lebih dari 60 bahasa menyebabkan mereka tidak mampu berkomunikasi dengan baik sesama mereka untuk menyiapkan bangunan tersebut.

     Seterusnya lihat pula sejarah Firaun bersama Nabi Musa Alahissalam, sangat masyhur di kalangan kita akan peristiwa firaun membina bangunan lalu memanah ke atas dengan tujuan sama seperti yang dilakukan oleh Namrud iaitu ingin membunuh tuhan Nabi Musa Alaihissalam. Kenapa berlaku hal seperti ini? Ini kerana mereka  ingin memisahkan urusan agama dengan urusan dunia lalu akan memudahkan mereka untuk menguasai dunia ketika itu. Ideologi inilah yang pada hari ini dikenali sebgai sekularisme iaitu memisahkan urusan dunia dengan urusan agama atau dengan bahasa tidak beradab ‘Allah tidak berhak untuk mencampuri urusan pentadbiran manusia di atas dunia.

     Fahaman ini yang akhirnya menatijahkan undang-undang  ciptaan manusia sendiri. Sebagai contoh  kesalahan melakukan penganiyaan terhadap haiwan lebih tinggi hukumannya iaitu denda sebanyak RM 15 000 berbanding kesalahan zina denda sebanyak RM 5000 dan 10 kali sebatan.

     Inilah antara faktor nabi dan para Rasul diutuskan iaitu mengambalikan manusia ke arah sistem kehidupan yang berlandaskan kepada hukum-hakam Al Quran dan Hadis. Jangan kita pelik jika ada mereka yang menentang usaha-usaha untuk mengembalikan sistem perundangan Islam kerana berdasarkan hadis di atas bahawa Islam itu datang dalam keadaan asing sepertimana Nabi Muhammad S.A.W datang kepada kafir quraisy dengan mengembalikan ajaran atau pegangan para rasul sebelum  baginda maka di kala itu ia terlihat seperti asing kerana tidak selari dengan kehidupan masyarakat ketika itu dengan budaya suka berzina, minum arak dan sebagainya. Begitu juga yang terjadi dengan sistem perundangan Islam hari ini ketika ia cuba untuk dilaksanakan semula maka ia dilihat asing kerana masyarakat di kala ini sudah terbiasa dengan sistem perundangan manusia.

     Jika kita percaya dan yakin adanya golongan yang mewarisi sunnah dan perjuangan nabi-nabi terdahulu maka kita juga perlu percaya bahawa ada juga golongan yang mewarisi pemahaman dan perjuangan Namrus dan Firaun seperti kumpulan freemason dan iluminati yang sentiasa merencana untuk menjatuhkan dan melenyapkan Islam di atas muka bumi ini.

     Setelah melihat perkara di atas, wajarlah kita sebagai seorang mahasiswa Islam yang mampu berbicara tentang  agama untuk bersama dan menyokong dalam mendaulatkan sistem perundangan Allah Azza wa Jalla.

‘’Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:

Muhamad Nazif bin Shaari
Pensihat
BKASM sesi 2015/2016





0 comments:

Catat Ulasan