Jumaat, September 16, 2016

SAEIDHA ' 16 Membentuk Ahli Berkorban

11-14 SEPTEMBER 2016, KAHERAH- Telah berlangsung pada 11 hingga 14 September 2016 dengan jayanya Program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir. Program ini telah berlangsung selama 4 hari, padat dengan aktiviti yang telah disediakan oleh pihak SAEIDHA’16. 

Objektif utama program SAEIDHA’16 kali ini adalah untuk menghayati konsep pengorbanan dalam merealisasikan erti sebenar Eidul Adha dan menambahkan thaqafah ahli melalui pengisian yang dilaksanakan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Pada 11 September 2016, Program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) telah dimulakan dengan slot Ambang SAEIDHA’16 iaitu Pembentangan Fiqh Qarban sejurus selepas waktu asar. Slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Jasry Raimy bin Johari, Ketua Penasihat BKPPPM. Selepas Maghrib pula diadakan majlis Iftar Jamaie bersempena 9 Zulhijjah. Selepas itu, SAEIDHA’16 meneruskan Majlis Perasmian SAEIDHA’16 yang dirasmikan oleh Ustaz Mohd Sharul bin Malek, Ketua Penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang sesi 2015/2016 diikuti sedikit tayangan video.

Pada esok harinya,  selepas solat raya Aidil Adha, program memberi masa seluas-luasnya kepada ahli untuk melakukan aktiviti bebas seperti menghidupkan suasana raya dan bermaaf-maafan. Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan Forum : Ketaatan Ibrahim, Perjuangan Hajar & Pengorbanan Ismail yang telah disampaikan oleh dua orang panel iaitu Ustazah Khalilah binti Zainon, Timbalan Ketua Fasilitator KPKM dan Ustaz Muhammad Ezzani Bin Ismail, Mantan AJKT BKASM sesi 2014/2015 dan dikendalikan oleh seorang moderator iaitu Ustazah Khairun Nisa binti Khairulzamal, Mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah. Selepas berakhirnya forum, sedikit penerangan berkenaan aktiviti sepanjang Hari Raya kedua dilakukan oleh pihak SAEIDHA’16.

Pada hari raya kedua, SAEIDHA’16 meneruskan program penyembelihan korban. Satu sesi penerangan proses penyembelihan oleh Ustaz Fakhrul Rodzi bin Md Tahir selaku Eksekutif Korban & Malapah telah diadakan di Dataran Hayyu Asyir. Pada jam 6.30 pagi pula telah bermulanya sesi Gotong-royong Penyembelihan & Melapah Haiwan Korban. Sebanyak dua ekor unta, 42 ekor kambing dan dua ekor khoruf telah berjaya ditumbangkan pada program SAEIDHA’16 kali ini. Selepas Zohor pula telah diagihkan daging korban kepada setiap ahli BKASM. Selepas Asar pula para pelajar telah disajikan jamuan ringan bermenukan Mee Sup Tulang dan juga sedikit aktiviti Kuiz Santai serta gotong-royong membersihkan dataran

Pada hari raya yang ketiga, hari terakhir program dimulakan dengan aktiviti Qiamullail seawal jam 3.30 pack diikuti solat Subuh berjemaah, Takbir Raya, Bacaan Al-Ma’thurat dan Tazkirah Subuh Harian. Kemudian pada jam 10.00 pagi pula telah diadakan Kuliah Dhuha yang bertajuk "Khutbah Terakhir Rasulullah S.A.W" yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sufi bin Mohd Yusuf, Graduan Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar bertempat di Musolla Darul Ehsan. Selepas Zohor pula para pelajar bekerjasama untuk aktiviti Rewang Jamuan Raya. Seterusnya selepas maghrib, SAEIDHA’16 meneruskan acara yang dinanti-nantikan iaitu Majlis Perasmian Penutupan SAEIDHA’16 dengan perasmian penutupan oleh Perasmi program iaitu Ustaz Muhammad Salihin bin Abdullah, Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016. Turut diselitkan pada malam itu ialah Majlis Perasmian Penutupan "Islamic Home" di bawah Lajnah Penempatan dan Perumahan BKASM sesi 2015/2016. 

Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan persembahan nasyid daripada Sufy’s Rythm dan kalam rasmi daripada pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya BKASM 2016. Kemudian diikuti pula Majlis Sambutan Hari Lahir di bawah Lajnah Sambutan dan Rehlah BKASM sesi 2015/2016. Program diakhiri dengan selingan tayangan Video Dokumentasi SAEIDHA’16 dan para hadirin dijamukan dengan Jamuan Raya.

Dengan penganjuran program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) pada tahun ini moga-moga ia menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah Islamiah dan juga jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM antara mahasiswa lama mahupun mahasiswa baru seterusnya menjadikan BKASM sebagai wadah utama dalam menjaga setiap kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.

"Tadhiyah Diteladani Ukhuwah Dipateri"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) 
BKASM sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan