SEJARAH YANG SENTIASA BERULANG - Tinta Jumaat siri ke 39
Kisah- kisah yang berlaku ketika zaman para nabi telah diceritakan di dalam Al-Quran. Kita selaku umat Islam hendaklah menjadikan kisah- kisah tersebut sebagai pengajaran kepada kita kerana para ulamak mengatakan bahawasanya “Barang siapa yang tidak mahu mempelajari sejarah, maka ia akan mengulangi sejarah tersebut”. Oleh itu, kita ambil satu contoh kisah yang diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran ketika zaman nabi Musa A.S.
“Dan kalau kami mengkehendaki nescaya kami tinggikan dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu.tetapi ia bermati –mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya, maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah – mengah.Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (Surah Al- A’raf ayat 176)
Ayat ini menceritakan tentang seorang wali Allah ketika zaman nabi Musa A.S. iaitu Bal’am bin Ba’ura. Beliau ialah seorang ahli ibadah yang diberi kelebihan iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah S.W.T ketika itu. Pada suatu ketika,Nabi Musa A.S. dan pengikutnya telah masuk ke suatu kota dan kaum yang tinggal di dalam kota itu risau bahawa Nabi Musa A.S akan menakluki kota tersebut. Justeru itu, mereka telah meminta kepada Bal’am bin Ba’ura untuk mendoakan kebinasaan kepada kaum Nabi Musa A.S.
Pada Awalnya, Bal’am tidak mahu menuruti permintaan mereka tetapi setelah diberikan hadiah dan kekayaan oleh mereka, akhirnya Bal’am terpedaya dengan hasutan mereka dan mendoakan kebinasaan kepada kaum Nabi Musa. Doanya dimakbulkan Allah dan nabi Musa telah sesat di suatu tempat bersama dengan pengikutnya dan diriwayatkan selama 40 tahun. Namun, pada akhirnya Allah telah meyelamatkan nabi Musa dan pengikutnya. Allah telah mengazab penduduk kota itu dengan menurunkan penyakit taun. Akhirnya mereka telah mati disebabkan penyakit itu dan diriwayatkan seramai 70 ribu orang.
Kisah ini memberi seribu satu pengajaran kepada kita bahawa segala kurniaan yang diberikan oleh Allah kepada kita haruslah digunakan demi mencari keredaan Allah Taala.Kesalahan Bal’am mengikut hawa nafsunya dan mementingkan keduniaan menyebabkan kemurkaan Allah Taala kepadanya. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan azab yang sangat pedih kepada hambanya yang mementingkan kepentingan peribadi melebihi keredaan Allah Taala.Maka, perlulah kita sedar hidup kita ini berpandukan Syariat Allah S.W.T.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Disediakan Oleh:
Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
Ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2015/2016
Ulasan
Catat Ulasan