Rabu, November 23, 2016

AYUH! DAFTAR SEBAGAI JUNDI - Nukilan Siswa Siri 2


   Hijrah Rasulullah S.A.W  dari Mekah ke Madinah merupakan suatu peristiwa yang strategik. Rasulullah S.A.W menghadapi satu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya. Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda berusaha melenyapkan kebatilan yang sudah lama menjadi darah daging dalam jiwa-jiwa penduduk Mekah sehingga akhirnya si pejuang-pejuang jahiliah itu merasa tergugat dan mengambil keputusan untuk menghapuskan baginda S.A.W dari muka bumi.


      Namun, Rasulullah S.A.W tidak goyah dengan ancaman tersebut bahkan daripada tekanan-tekanan itulah baginda S.A.W bertindak menyusun satu perancangan yang teliti sehingga akhirnya negara Islam pertama dapat dibuka dan dakwah Islam tersebar luas seperti nikmat Islam yang kita kecapi saat ini. Pengembaraan ini tidak dihadapi oleh baginda S.A.W sahaja, akan tetapi baginda telah dibantu oleh satu jemaah sahabat yang terdiri daripada kalangan dewasa, pemuda, kanak-kanak mahupun wanita. Maka benarlah perjuangan Islam ini, ia tidak sempurna melainkan dengan adanya jemaah yang mempunyai hadaf yang sama.

“Tiada Islam tanpa jemaah!” (Saidina Umar Al Khattab)

     Satu jemaah yang kukuh dapat kita bina melalui keikhlasan dan keghairahan para jundi dalam menyumbangkan apa jua bentuk bantuan mengikut apa yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka. Dalam hal ini, kita boleh lihat watak-watak hebat yang telah menawarkan diri mereka ketika peristiwa hijrah dan mereka juga telah mengadakan 'jual beli' dengan Allah S.W.T, antaranya :


WATAK
SIFAT
PERISTIWA
1. Saidina Ali Abi Talib
Keimanan yang kuat dan berani
Menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W
2. Saidina Abu Bakar
Sahabat yang setia
Menemani Rasulullah S.A.W sepanjang hijrah baginda ke Madinah
3. Saidatina Asma’ Abu Bakar
Pengorbanan
Menyediakan bekalan kepada Rasulullah S.A.W dalam perjalanan
4. Abdullah bin Abu Bakar
Strategik dan bijaksana
Memantau perkembangan di Mekah dan mengkhabarkannya kepada Rasulullah S.A.W ketika baginda di Gua Thur
5. Amir bin Fuhairah
Menjaga keselamatan
Menghapus jejak kaki Abdullah daripada dikesan pihak Quraisy menggunakan kambingnya

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksaan azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Surah As-Saf : ayat 10-11)


Akhir kata, fikirkanlah! Adakah sehingga ke detik ini kita sudah sedaya upaya memposisikan diri kita sebagai salah seorang watak mujahid yang membawa dan mempertahankan Islam? Jika belum, maka bertindaklah! Walau sekecil mana sumbangan itu, yakinlah, ia pasti besar nilaiannya di sisi Allah S.W.T jika benar hati yang bekerja itu tulus keranaNya. Semoga Rasulullah S.A.W bangga dengan kita sebagai umatnya. 




"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan Oleh :
A'isyah binti Wahidan
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2016/2017





0 comments:

Catat Ulasan