Jumaat, Disember 02, 2016

BENCANA ROHINGYA – SUDAH HILANGKAH SENSITIVITI KITA? Nukilan Siswa siri 3

Mutakhir ini, dunia berlalu dengan pelbagai kejadian buruk yang berlaku di sekitar kita. Kisah pembunuhan dan penzaliman terus berlaku hari demi hari seolah-olah nyawa manusia tiada nilainya. Lebih menyedihkan lagi, episod-episod kekejaman ini kebanyakannya berlaku terhadap masyarakat muslim, seolah-olah kekejaman ini suatu isu yang telah disusun oleh pihak musuh. Hari ini, dunia dibentangkan dengan kekejaman genocide atau pembunuhan beramai-ramai yang berlaku terhadap etnik Rohingya. Kekejaman yang berlaku ini bukanlah perkara baru tetapi telah berlarutan selama bertahun lamanya. Sehingga kini, lebih 30 ribu penduduk terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan meninggalkan rumah kediaman sebelum menjadi mangsa kezaliman di negara sendiri.
                                                                          
Umum mengetahui, tragedi berdarah yang melanda etnik Rohingya ini bukanlah perkara baru. Namun apa yang dikesalkan, tiada satu pun agensi antarabangsa yang bangun bertindak melawan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Myanmar. Dunia terus sunyi dan diam membisu terhadap keadaan ini melambangkan wujud diskriminasi dalam memilih genocide yang mana hendak diberi perhatian dan diberi pembelaan.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya :

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang perihal saudara Islam yang lain, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka”.(Riwayat Muslim)

Hadith ini menunjukkan pentingnya seorang muslim itu cakna dan prihatin terhadap apa yang berlaku terhadap muslim yang lain. Malah, nilai sensitiviti itu juga perlu wujud dalam setiap insan bergelar muslim. Namun, apa yang dikesalkan apabila beberapa negara Islam disekeliling tanah berdarah ini hanya tahu membatu diri, seolah-olah telah hilang sensitiviti dalam diri sebagai saudara seakidah. Suara kesatuan Islam yang sepatutnya menjadi yang pertama membela nasib mereka juga tidak kedengaran.

Persoalannya,
Di mana dunia yang kononnya penegak keadilan?
Di mana agensi-agensi antarabangsa yang kononnya melaungkan kempen anti keganasan?

Hari ini, Rohingya boleh diibaratkan seperti sebuah bangsa tanpa negara. Walhal tanah yang mereka tinggal itulah kediaman asal mereka. Kewujudan mereka dianggap tidak sah. Mereka dihalau, ditangkap dan dipenjarakan, seolah-olah mereka adalah masyarakat yang datang tumpang berteduh. Sedih dan pilu melihat nasib rakyat Rohingya, manakala dunia terus diam membisu seribu bahasa dan terus tunduk memekakkan telinga. Penderitaan bangsa Rohingya semakin tidak terlihat nilai kemanusiannya.

Sabda Rasulullah S.A.W mafhumnya :

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)  

Oleh yang demikian, perlunya umat Islam bangun bersatu. Tegakkanlah perkara yang sudah jelas kebenarannya. Laungkanlah belas ihsan untuk mereka. Jangan kita diam membatu membiarkan saudara seagama kita dipijak, dicabul tidak dibela. Sedarlah bahawasanya bangsa Rohingya ialah saudara seagama kita, walau berbeza nama dan rupa. Jangan kita biarkan saudara seagama kita dipijak, dibunuh oleh kafir yang sememangnya menanam rasa benci pada nama ‘Islam’ itu sendiri.

Wallahua’lam.


Disediakan oleh :

Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Kebajikan 
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


0 comments:

Catat Ulasan