Khamis, Disember 29, 2016

BERWASPADA DENGAN FITNAH MAYA Nukilan Siswa siri 7

      Fenomena ‘Dunia di Hujung Jari’ ini menatijahkan masyarakat hari ini memperoleh maklumat yang luas tanpa batasan dengan kemudahan pelbagai aplikasi sosial yang tersedia dalam teknologi-teknologi pintar masing-masing. Jika dilihat daripada suatu sudut, ia merupakan satu perkembangan yang positif di mana Internet ataupun media sosial khususnya, kian menjadi medium maklumat terkini dan sumber ilmu pengetahuan. Namun malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku.

      Jika semua maklumat di hujung jari, maka ia mudah disebarkan tanpa henti. Lambakan isu dan khabar angin kerap dimuat naik di paparan media sosial tanpa diketahui sumber dan tahap kesahihannya. Menurut Dr. Muhamad Faisal, Anonymity (tidak diketahui identiti) dan Instantaneous (kesegeraan) adalah antara ciri terpenting kepada media baharu dan dunia maya. Jelaslah bahawa dua ciri ini mengakibatkan penyebaran khabar angin tanpa tapisan dalam dunia maya.

      Ciri Anonymity ini dapat dilihat apabila individu yang menyebarkan khabar angina akan melepaskan dirinya dan meninggalkan kesan buruk yang bakal berlaku terhadap dunia luar daripada perbuatannya itu kerana mereka merasakan identitinya tidak diketahui umum dan dia berasa dirinya dalam keadaan yang selamat. Selain itu, Sesuatu isu juga mudah tersebar kerana terhasil daripada sikap tergesa-gesa dan tanpa berfikir panjang serta mahu berlumba menjadi orang yang paling awal megetahui sesuatu isu.

      Junjungan Rasulullah S.A.W telah memberi peringatan kepada umatnya :

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Maksudnya : Seseorang itu boleh dianggap berdusta apabila menyebarkan setiap berita yang dia dengari. (Riwayat Muslim)

           Oleh yang demikian, bagaimanakah seharusnya seorang muslim berperanan dalam menangani fitnah maya yang semakin berleluasa ini? Antara usaha  yang boleh dilakukan adalah:

1- Meneliti kesahihan sesuatu berita yang sampai kepada kita dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya terlebih dahulu sebagaimana saranan Allah S.WT yang termaktub dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6.

2- Mengurangkan pergerakan maklumat bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi yang hanya mengeruhkan lagi keadaan, sejajar dengan mafhum sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut di mana apabila berlaku suatu fitnah, orang yang duduk (diam) itu lebih baik daripada orang yang berdiri.

      Akhir kalam, setiap sebaran maklumat perlulah ditapis dengan pertimbangan akal dan iman. Fikirkan kesan sebelum butang ‘Kongsi’ ditekan.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:

Siti Hawa binti Mohamad Maarof
Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah

BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan