Jumaat, Disember 23, 2016

IKTIBAR SEJARAH Nukilan Siswa siri 6

            Biasa kita  mendengar perumpamaan mereka yang tidak mahu megambil pengajaran daripada sejarah biasanya akan mengulangi kesilapan  yang telah berlaku. Sekiranya kita mendalami ayat-ayat Quran dan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu, banyak yang kita boleh ambil manfaat dan jadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Allah S.W.T menceritakan kepada manusia di dalam al-Quran tentang peristiwa-peristiwa sejarah agar manusia mengambil iktibar daripadanya. Melalui dengan peristiwa peperangan Badar, Allah S.W.T berfirman :

         “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu dalam keadaan lemah, kerana itu bertakwalah kepada Allah agar kamu mensyukuriNya.(Surah Ali-imran : ayat 123)

             Ayat ini menerangkan tentang hikmah pensyariatan pergi berperang walaupun dalam keadaan lemah. Lemah yang dimaksudkan itu adalah kekurangan senjata dan bilangan tentera ketika itu sangat sedikit berbanding pihak musuh. Namun kekuatan mereka bukan terletak pada senjata atau bilangan tenteranya tetapi kekuatan sebenar terletak pada Allah S.W.T. Apakah gunanya senjata dan tentera yang ramai tetapi tiada keberanian?, di sini Allah S.W.T ingin menunjukkan kepada kita semua ini adalah di bawah kawalan dan jagaan Allah S.W.T.

              Berbeza dengan peristiwa yang berlaku di dalam peperangan Hunain, Allah telah memberi pengajaran kepada orang-orang mukmin. Firman Allah S.W.T :

        Sesungguhnya Allah telah menolong (orang-orang mukmin) di medan perang dan ingatlah ketika di  perang Hunain, sewaktu jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu tetapi jumlah yang banyak itu sama sekali tidak berguna dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang langgang.(Surah At-Taubah : ayat 25)

            Tambahan daripada ayat ini menceritakan umat Islam mempunyai tenaga fizikal dan bilangan yang lebih ramai daripada pihak musuh sehingga terdapat di kalangan tentera Islam yang menyatakan,”Kita pasti menang“ kerana bilangan mereka ramai. Kata-kata itu menyebabkan Rasulullah S.A.W tidak selesa kerana menunjukkan kesombongan dan merasakan sebab kemenangan adalah kerana bilangan yang ramai. Akhirnya, mereka dikalahkan pada awalnya lantas menjadi pengajaran besar daripada Allah S.W.T kepada umat Islam ketika itu.

Persoalannya, mengapakah umat Islam diberikan kemenangan dalam peperangan Badar yang jumlah tenteranya sedikit dan tewas pula dalam peperangan Hunain yang jumlah tenteranya ramai berbanding musuh? Ini adalah kerana m ereka beranggapan bilangan yang ramai memberi kemenangan seolah-olah Allah S.W.T tiada peranan ketika itu. Sebenarnya Allah S.A.W hendak mengajarkan kepada kita supaya merendahkan diri dan bergantung sepenuh kepadaNya. Ia juga bukan bermaksud kita boleh berpeluk tubuh tanpa berusaha kerana usaha akan berhasil  sekiranya tawakal itu diseiringkan.

Oleh itu, kita perlulah meletakkan sepenuhnya tawakkal kepada Allah S.W.T dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan diiringi dengan usaha. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar sirah perjuangan nabi dan umat Islam terdahulu agar dapat menjadikan diri kita individu yang lebih memahami hakikat Islam sebenar serta merasai kemanisan Islam sebenar dengan menghayati kandungan  al-Quran dan sunnah.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Muhammad Hazim bin Mustafid
Ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan