Jumaat, Disember 09, 2016

SUNNAH WAJIB YANG SEMAKIN DILUPAI Nukilan Siswa siri 4


“Maka demi TuhanMu, mereka tidak beriman sbelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan,(sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.(Surah An-Nisa : ayat 65)

Tarbiah Islamiah adalah satu aspek yang membina dan mendidik manusia agar berhukum dengan syariat Allah dalam segala perilaku perbuatannya dengan penuh kepasrahan bahkan tidak ada rasa sempit atau rasa keberatan dalam hati orang mukmin itu.

Apabila disebutkan tentang menegakkan hukum Allah S.W.T perlu difahami bahawa tarbiah dan dakwah ini perlu bergerak secara seiring malah konsisten. Sebagai contoh, walaupun Nabi Muhammad S.A.W berdakwah secara rasminya pada usia 40 tahun, tetapi baginda sudah menyediakan model dakwah sebelum daripada itu lagi. Salah satunya yang telah disusun oleh Allah S.W.T adalah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga bagindar digelar Al-Amin. Rasulullah S.A.W juga mendapat tarbiah daripada Allah S.W.T melalui Malaikat Jibril A.S sehinggalah baginda wafat. Inilah yang seharusnya kita ambil sebagai umat Nabi Muhammad jadikan sebagai pedoman.

Oleh yang demikian, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah Islam kerana semua manusia diciptakan di atas muka bumi ini telah memegang amanah sebagai seorang khalifah .Selain itu, lapangan dakwah dan tarbiah adalah perkara terpenting  yang memerlukan lebih banyak persediaan dan bekalan kerana perjalanan perjuangan dakwah bukan mudah malah jauh dan sukar seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran
               “Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa amat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah “ Jikalau kami sanggup nescaya kami akan berangkat bersamamu. Mereka membinasakan diri mereka dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta”. (Surah At-Taubah : ayat 42)

Begitu juga dengan segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum berbanding penyeru kearah kebenaran. Walaupun ilmu menggunung setinggi langit, tetapi tarbiah yang telah diserapkan tidak menyentuh jiwa maka perlulah kita kembali kepada Allah S.W.T.

Sebagai manusia kita hidup di muka bumi Allah ini hanyalah sebagai penumpang dan semua yang kita miliki hanyalah pinjaman sementara yang Allah berikan. Maka gunakanlah sebaik-baiknya nikmat yang Allah kurniakan supaya kita semua tergolong dalam golongan orang yang bersyukur.
Siiru ala barakatillah
Wallahualam

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
Siti Rahmah binti Ismail
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
BersatuBerbakti



0 comments:

Catat Ulasan