SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, Januari 29, 2016

MATLAMAT NEGARA ISLAM : MENUNAIKAN AMANAH : Tinta Jumaat siri ke 12



 Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah (sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

     Amanah itu memberi makna yang luas, di antaranya ialah menegakkan undang-undang Allah dan mentadbir urusan manusia. Ibnu Kathir  menyebut di dalam tafsirnya, zalim dan jahil itu dikecualikan daripada diberi taufiq dan pertolongan Allah. Maka tidak termasuk dalam kalangan zalim itu para Nabi ‘Alaihimussalam dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.

     Menjalankan kerja pemerintahan Islam adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada negara. Sama ada ia dipilih dengan kerelaan rakyat atau tidak, kewajipan menunaikan amanah tetap dibebankan ke atasnya. Wajiblah ia menunaikan amanah Allah dan meletakkan amanah itu kepada rakyat mengikut tempatnya yang betul menurut hukum Islam. Dengan itu, ternyatalah sama ada ia adil atau zalim.

     Perlu difahami bukanlah menegakkan negara Islam menjadi kemuncak matlamat tetapi kemuncaknya ialah menegakkan masyarakat yang   sempurna dan terselamat daripada penyakit kezaliman dan melampaui batas Allah S.W.T. Oleh itu, menjadi kenyataan sejarah Islam apabila ada   golongan yang menerima dasar itu maka wajiblah ummat Islam memberi kesetiaan kepadanya dan tetap mengekalkan pimpinan yang ada, tanpa mengira di mana dan bila.

     Setiap orang Islam yang menjadi pemerintah mestilah beriman dengan segala ajaran Islam dan wajib tunduk kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Melaksanakan hukum Allah S.W.T tidak hilang masalahnya di dunia ini sahaja, tetapi mereka akan dibuat perhitungan di akhirat.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hajj ayat 41 :

“ …………..dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

     Apa yang disebut menunjukkan bahawa masalah negara termasuk di dalam perkara matlamat ibadah yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Moga menjadi renungan bersama ke arah menegakkan keadilan Ilahi dan bertindak menentang kezaliman, untuk kebahagiaan manusia seluruhnya di dunia dan akhirat.

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh :

Nor Jannah binti Omar,
Timbalan Bendahari Kehormat,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016



Jumaat, Januari 22, 2016

Isu TPPA : Umat Islam Perlu Memperanankan Diri Bersama Membantah Kezaliman - Tinta Jumaat siri ke 11



Dewasa kini, kita sering kali digembar-gemburkan dengan pelbagai peristiwa semasa yang membangkitkan sentimen bangsa dan budaya. Namun jauh sekali diketengahkan  sentimen keagamaan dalam melindungi sesebuah negara yang berteraskan Islam. Hal ini dibuktikan dengan pelbagai siri dokumentari yang sedih terutamanya negara umat Islam yang ditindas tidak mendapat tempat di mata dunia akhirnya ditindas dengan sekejam rupa antaranya Syria, Burma, Afrika dan lain-lain.

Ini menunjukkan bahawasanya rata-rata daripada negara-negara besar bersikap mementingkan diri sendiri daripada mempertahankan negara yang ditindas apatah lagi yang melibatkan hal ehwal keagamaan. Mereka hanya bersama dalam hal yang bersifat berkepentingan dan membawa keuntungan kepada negara tersebut dan ini tidak terlepas kepada negara-negara Islam yang lain. Ini realiti yang berlaku sekitar keadaan geopolitik dunia hari ini.

Benarlah firman Allah S.W.T :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rum: 41).

Dunia tanpa sempadan pada era globalisasi menjanjikan pelbagai peluang dan cabaran untuk generasi masa kini. Ia juga merupakan suatu proses di mana sempadan sesebuah negara kian terbuka kepada elemen luaran sehingga menjadikan seluruh dunia umpama sebuah perkampungan global. Namun tanpa dibendung ia menyebabkan sesebuah negara hancur dan binasa.

Para ulama dunia menetapkan konsep dan penetapan globalisasi ini berdasarkan beberapa perkara :

1) Pengertian globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa Islam. Seperti mana firman Allah S.W.T :

 وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’: 107).

Globalisasi juga digambarkan pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau meng‘amerika’kan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

2) Ianya tidak boleh hanya disingkapkan dalam skop tanpa realiti bahkan perlu ditetapkan sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini yang diambil pandangan tokoh ilmuwan Islam kontemporari.

Baru-baru ini, tanah air telah dilanda dengan isu GST. Tidak cukup dengan isu GST (Goods and Services Tax) terus disambung dengan isu baru yang dinamakan TPPA (Perjanjian Kerjasama Tran-Pasifik). Secara umumnya TPPA ini adalah adalah sebuah perjanjian perdagangan bebas FTA ( Free Trade Agreement), iaitu perjanjian antara 2 negara atau lebih, di mana negara anggota memberikan layanan yang lebih baik sesama sendiri berbanding dengan negara bukan ahli.

Namun ini berlaku sebaliknya. Terbukti, semalam telah diviralkan di media sosial bantahan seluruh negara yang terlibat dalam permasalahan TPPA  yang dihasilkan daripada idea barat dalam mengekang pergerakan negara-negara membangun dan maju terutamanya negara umat Islam. Ia juga merupakan salah satu agenda penjajahan moden dalam melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dilaksanakan yang mana diibaratkan cacing kerdil menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau ikan yang kecil menumpang jerung yang lebih besar dan ganas.

Bermacam permasalahan akan berlaku dengan termeterainya perjanjian ini,  antaranya penindasan terhadap usahawan tempatan, keselamatan makanan negara terancam, tanah rizab serta biasiswa rakyat tergadai dan lain-lain. Bahkan perkara yang melibatkan umat Islam juga turut tergugat antaranya penghapusan sijil halal, filem-filem lucah tidak boleh dihalan

g, sosial semakin meruncing dan lain-lain. Perkara seperti ini dibimbangkan berlaku dalam keadaan tanah air Malaysia dibelenggu dengan pelbagai masalah yang meruncing. Ia dilihat bukan penyelesaian kepada ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajahan baru.

Apabila keberkatan sesebuah negara telah hilang disebabkan nista dan kezaliman yang telah diamalkan berzaman lamanya, akhirnya terzahirlah satu persatu keburukan dan kekurangan yang Allah S.W.T sendiri dedahkan atas ketamakan pemerintahnya dalam mengejar keduniaan.

Bertitik tolak daripada pemerintah negara, para pemudanya apatah lagi rakyat di dalam negara tersebut telah terbiasa dengan amalan yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T, akhirnya semua yang melibatkan teras agama Islam dipisahkan daripada pentadbiran dan kehidupan harian rakyat jelata. Islam hanya dipelajari di dalam surau, masjid, sekolah, madrasah dan institusi pengajian. Selepas selesai, semuanya ditinggalkan dan tidak diamalkan sepanjang siri kehidupan mereka selaku seorang muslim.

Berat cabaran kali ini, peranan ulama dan umara perlu digandingkan bersama dalam mengembalikan semula izzah dan roh Islam yang perlu disuntik ke dalam jiwa rakyat jelata sebelum kian parah dengan permasalahan yang bakal menimpa entah kunjung tiba. Umara sebagai penggerak manakala ulama sebagai rujukan dan teras kepada pembangunan negara. Jika kedua-dua ini dijaga dengan sebaiknya bahkan difungsikan pada setiap sektor di dalam agensi kerajaan nescaya pembangunan negara tersebut dipelihara dengan sebaiknya daripada anasir perpecahan dan masalah sosial kian dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini, salah seorang ulama Kesatuan Ulama Islam Sedunia menggariskan 5 strategi yang perlu diambil umat Islam sedunia, iaitu;

1) Akidah yang bebas daripada penjajahan pemikiran
2) Mengurangkan pergantungan Amerika
3) Persaudaraan dan penyatuan
4) Revolusi dakwah global
5) Membina kekuatan

Akhirnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menolak perjanjian TPPA ini agar tidak dilaksanakan. Bermacam kerosakan bakal berlaku dengan termeterainya perjanjian ini. Peranan pemerintah hari ini perlu mengembalikan semula pentadbiran yang berteraskan Islam dan menyebarluaskan perlaksanaan tersebut di seluruh sudut agar rakyat dapat manfaat serta membentuk tanah air Malaysia sebagai Negara “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur”. Manakala para ulama perlu memain peranan sebaiknya sebagai penasihat utama dan agen penerangan dalam menegakkan syiar Islam di tanah air.

Umat Islam wajib membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama yang sempurna seterusnya keluar daripada kepompong dan kebergantungan kepada barat dalam menyelesaikan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang dihadapi oleh negara umat Islam. Hakikat yang perlu diketahui adalah negara umat Islam majoritinya kaya dengan hasil galian semula jadi dan dikurniakan muka bumi yang subur dengn hasil pertanian. Selain itu juga, kita mempunyai tenaga pakar yang berkebolehan dan mampu untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dengan penuh kerjasama dan berintegriti. Dengan adanya kerjasama ini ianya dapat menghasilkan satu natijah yang terbaik dan menaikkan lagi Islam di mata antarabangsa.


Disediakan oleh :

Muhammad Salihin Bin Abdullah
Penasihat BKASM sesi 2015/2016

Selasa, Januari 19, 2016

Kenyataan YDP BKASM Terhadap Isu BKPJM






       Berikutan isu yang berlaku terhadap Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM), Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) melahirkan rasa simpati dengan apa yang  berlaku terhadap Mahasiswa Johor khususnya ahli Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM).

       Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) membantah sekeras-kerasnya tindakan zalim yang dilakukan ke atas BKPJM dan Kita BKASM juga, menuntut kepada pihak terbabit untuk memohon maaf atas salah laku dan membuat rundingan bersama pimpinan Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku ini.

       Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) juga menyeru seluruh mahasiswa dan ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) khususnya, untuk menyatakan solidariti bersama Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dalam mempertahankan hak yang telah ditindas.

       Rentetan itu, kita akan melaksanakan Solat Sunat Hajat selama seminggu berturut-turut selepas solat maghrib di Musolla Rumah Selangor Hayyu Asyir.

      Kita BKASM mengharapkan seluruh mahasiwa Malaysia Mesir terus bermunajat supaya Allah menunjukkan kebenaran.


" Bersama Bersatu Mendepani Isu "

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Asraf bin Alias
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)
Sesi 2015/2016

Jumaat, Januari 15, 2016

KETINGGIAN MARUAH DALAM LAKARAN SIRAH - Tinta Jumaat siri ke 10


“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang kafir. Dan ampunilah kami, ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana” 
(Al-Mumtahanah : Ayat 5)

                  Suatu hari sedang seorang wanita muslimah sedang membeli di pasar Bani Qainuqa’, seorang lelaki Yahudi menyuruhnya  menanggalkan tudungnya. Pastinya sebagai seorang wanita muslimah yang mengalir roh Islam dalam jiwanya akan  mempertahankan maruahnya dan sesekali tidak akan menuruti perintah itu. Seorang sahabat yang menyedari kejadian itu segera mempertahankan wanita itu maka berlakulah pembunuhan kepada sahabat yang membantu itu.

  Bilamana sampai pengkhabaran kepada Rasulullah S.A.W, baginda mengumpulkan tentera lalu menyerahkan bendera perang   kepada Hamzah bin Abdul Mutalib. Peperangan Bani Qainuqa’ ini menjadi saksi betapa Islam menjaga maruah seorang wanita   Islam yang dipermainkan oleh Yahudi dan bertapa bernilainya nyawa seorang muslim yang terbunuh kerana mempertahankan orang lain.

  Dunia juga menjadi saksi atas tindakan khalifah Mu’tasim yang turut mencontohi tindakan Rasulullah S.A.W untuk menyerang Rom bagi membebaskan seorang wanita muslimah yang dipermainkan maruahnya sebagai seorang Islam.

  Namun amat menyedihkan apabila menyaksikan wanita-wanita muslimah kini berjaya dijadikan umpan untuk saling   menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Bermula dari isu kedatangan artis-artis Korea sehinggalah ke isu berselfie kesemuannya menggambarkan kerosakan akhlak wanita muslimah di Malaysia dan ketandusan sifat malu dari dalam diri.

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Perumpamaan aku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api lalu binatang-binatang kecil menjatuhkan dirinya ke dalam api. Sementara itu lelaki tersebut menghalanginya (agar tidak jatuh ke dalam api), dan aku berusaha memegang ikat pinggang kalian agar tidak jatuh ke dalam api neraka, namun kalian malah lepas dari tanganku” (HR Muslim)

  Maka ayuhlah kembali pada ajaran Islam yang sempurna dengan meletakkan Islam dan kalimah Allah itu yang tertinggi. Sedang saudara se-Islam kita di negara lain mengharapkan  lahirnya khalifah seperti khalifah Mu’tasim bagi membela nasib Islam di negara mereka, kita malah menghalangi jalan kelahiran khalifah ini, nauzubillah min dzalik.

“Sesungguhnya ini adalah peringatan, maka barangsiapa mengkehendaki tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya.”

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh :
Saaddah binti Abdul Rahim
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016


Ahad, Januari 10, 2016

ISU SEMASA : TPPA : TRANSPASIFIC PARTNERSHIP AGREEMENT



Persoalan mengenai Transpasific Partnership Agreement atau TPPA telah mendapat liputan yang amat meluas dalam negara. Rakyat segenap peringkat juga banyak berbicara mengenainya. Pada November 2015,Majlis Tindakan Ekonomi Melayu(MTEM) antara pihak yang berautoriti menyuarakan pendapat mereka dalam meminta semakan kehakiman dilakukan ke atas Kementerian Perdagangan Antarabangsa Perindustrian (MITI). Tuntutan mereka berputar pada dua tuntutan iaitu meminta didedahkan isi perjanjian kepada umum untuk dinilai dan kedua adalah permintaan agar Perdana Menteri tidak menandatangani perjanjian TPPA tersebut. TPPA dilaporkan akan dilaksanakan di 12 buah negara dan persoalan ini masih diberi ruang samada mahu menerima atau menolak.

1. PERSOALAN GEOPOLITIK
Perlu difahami bahawa TPPA bukanlah berkisar pada perjanjian perdagangan sahaja tetapi ia berkisar tentang geopolitik dan kepentingan negara. Itulah persoalan yang paling utama. Pertembungan dan persaingan ekonomi antara 2 kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China mahu mencari pengaruh antara faktor terbesar perkara ini berlaku. 

2. PERSOALAN POLITIK/ POLITICAL ECONOMY 
 Ada beberapa pihak berautoriti seperti MTEM sendiri menyuarakan kebimbangan sekiranya perjanjian ini dilaksanakan. Kesan yang dijangka berlaku adalah sekitar 5 hingga 10 tahun akan datang. Perkara ini juga berkaitan dengan keyakinan kepada kemampuan kerajaan Malaysia sendiri menangani masalah ini atau negara bakal hilang kedaulatan akibat dipengaruhi kuasa asing yang jelas mahu menguasai ekonomi negara lain demi survival mereka. 

3. PERJANJIAN BERSIFAT UNDANG-UNDANG 
Dilaporkan TPPA turut mempunyai peguam yang telah menyiapkan dokumen untuk dikehadapankan pada negara-negara yang bakal menandatangani perjanjian ini. Ini menjadi persoalan adakah TPPA didasari konsep "same-playing field" atau tidak dari sudut "interest and capabilities". Saksamakah perjanjian ini pada negara yang bersama perjanjian ini? Inilah yang diragui. 

4. KAITAN TPPA DAN ASET NEGARA 
Beberapa pendedahan dari pihak MTEM menjelaskan isi perjanjian TPPA yang terlalu banyak dan sulit. Antaranya 30 isi perjanjian yang disebut adalah "Competition Estate of Enterprise". Perlu difahami ini adalah berkaitan aset besar negara iaitu GLC. Antara syarikat yang berkepentingan adalah PETRONAS, Sime Darby, CIMB, Maybank. 

5. FAEDAH TPPA 
Hasil kajian beberapa pihak, hanya 2 pihak yang mengatakan TPPA bakal memberi impak yang baik. Namun fakta masih samar dan diragui. Antaranya dari Peterson Institute Report dan laporan dari web MITI sendiri. Kesan TPPA bukan sahaja akan ditanggung oleh negara yang bersama perjanjian ini, namun kesan serantau juga. Kita mungkin tidak merasakan impak yang besar pada permulaannya namun generasi akan datang akan menerima kesan akibat sikap tidak endah kita. PANDANGAN ISLAM DARI SUDUT KAEDAH FIQHIAH  ﺩﺭﺀ ﺍﻟﻤﻔﺎﺳﺪ ﺃﻭﻟﻰ ﻣﻦ ﺟﻠﺐ ﺍﻟﻤﺼﺎﻟﺢ "Menolak keburukan lebih utama dari mendapatkan maslahah" 

Setelah diteliti dan dilihat dari pelbagai sudut, maka menolak perjanjian yang tidak diketahui kesannya akan datang lebih baik dari menerima kebaikan yang sementara. Islam menitikberatkan penelitian dan pengkajian yang mendalam apabila datang sesuatu perkara yang tidak diketahui kesannya. Semoga negara kita menjadi negara yang berdaulat dan mengikut lunas-lunas perlembagaan yang tidak menggadaikan masa depan negara. 

Sumber:
MTEM 
Web MITI 

"Besama Bersatu Mendepani Isu"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Unit Penerangan dan Informasi
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016 

#KITAPMRAM 
#BersamaBersatu 
#BersatuBerbakti


Jumaat, Januari 08, 2016

INDAHNYA HIDUP BERSAMA ISLAM : Tinta Jumaat siri 9


Firman Allah S.W.T mafhumnya :

“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman : “Agama Islam yang telah sebati dengannya ialah : celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam; dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadanya kami beribadah”. (Surah Al-Hashr : 7)

Islam mengajar kita untuk hidup di atas muka bumi ini dengan acuan yang telah dibawa oleh Allah. Banyak kelebihan dan fadhilat sekiranya kita hidup mengamalkan cara hidup Islam kerana agama Islam adalah agama yang diterima di sisi Allah.

Wujud segolongan yang berfikir bahawa agama hanyalah meliputi ritual yang terbatas pada waktu tertentu seperti waktu solat, puasa dan  perkara yang berkaitan dengan ibadah sahaja. Mereka memikirkan Allah di saat mereka berdoa, berpuasa, bersedekah atau menunaikan haji di Mekah. Di waktu lain mereka tenggelam dalam urusan dunia yang tidak diamalkan dengan cara Islam lalu menjadikan mereka manusia yang rugi selaku hamba Allah.

Berbeza pula apabila kita melihat seseorang yang mengamalkan hidup dengan cara Islam, kehidupannya lebih tenang walaupun pelbagai cabaran dan rintangan yang datang.

Firman Allah S.W.T mafhumnya :

“Barangsiapa yang mengerjakan amal kebaikan, sama ada lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan” (Surah An-Nahl : 97)

Kesimpulannya, tatkala seseorang itu meletakkan Allah sebagai pemula bicara atau amalan, yakinlah bahawasanya nusrah Allah itu pasti akan datang dari arah yang tidak disangka-sangka. 
Wallahu a’lam.

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

Disediakan oleh:

Asraf Bin Alias
Yang Dipertua
BKASM sesi 2015/2016


Sabtu, Januari 02, 2016

SAYONARA MAJLIS KEPULANGAN USTAZ FARID DAN KELUARGA


29 Disember 2015, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016 telah mengadakan majlis perpisahan bagi meraikan kepulangan Pegawai Atase Pendidikan Negeri Selangor Ustaz Mohammad Farid Bin Mohammad Zainal dan sekeluarga yang berlangsung di Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir. Majlis tersebut diberi nama SAYONARA yang bermaksud selamat tinggal.

Antara objektif majlis ini dilangsungkan adalah untuk meraikan kepulangan pegawai dan keluarga ke Malaysia. Selain itu,sebagai penghargaan kepada pegawai dan keluarga di atas khidmat bakti mereka sepanjang berada di Mesir. Majlis ini juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara pegawai dan ahli BKASM.

Majlis dimulakan dengan nasyid Asmaul Husna dan nyanyian lagu PMRAM. Seterusnya, ucapan Yang Dipertua BKASM Ustaz Asraf bin Alias sekaligus merasmikan pelancaran unit-unit dibawah lajnah iaitu Unit Biah Solehah, Dana Mahabbah dan Islamic Home.

Majlis diteruskan dengan sesi talkshow yang dikendalikan oleh saudara Ustaz Farhan bin Ajiyan. Talkshow tersebut adalah mengenai pengalaman Ustaz Mohammad Farid dan keluarga sepanjang berada di Mesir, juga beberapa pesanan dan amanat dari pihak Ustaz Mohammad Farid dan isteri. Pihak BKASM juga telah memberikan hadiah tanda penghargaan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurah selama berkhidmat sebagai Pegawai Atase Pendidikan Negeri Selangor. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan sajak oleh dua orang ahli BKASM, nasyid Sufi’ Rhythm, tayangan video, nyanyian lagu BKASM serta sesi pemotongan kek oleh Ustaz Mohammad Farid sekeluarga sebagai simbolik majlis yang dijalankan ini.

Harapan kami, melalui majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli BKASM dan pegawai. Segala amanat dan nasihat yang  disampaikan oleh pegawai sekeluarga akan sentiasa diingati. Ucapan setinggi terima kasih ditujukan kepada Ustaz Mohammad Farid sekeluarga. Tidak lupa juga kepada ahli jawatankuasa pelaksana juga ahli BKASM diatas bantuan dan kerjasama yang diberikan. Semoga usaha kita ini diberkati Allah.

Disediakan oleh:

MOHD HAFIZUDDEN BIN ROSLI
Setiausaha Sayonara,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir,
Sesi 2015/2016

Jumaat, Januari 01, 2016

TARBIAH - Tinta Jumaat siri 8



 Tidak boleh dinafikan, tarbiah merupakan aspek yang cukup penting dalam pembentukan diri dan jati diri seseorang muslim. Disebabkan itu tidak hairan kalimah ‘tanpa tarbiah, gerenti rebah’ sangat masyhur meniti di bibir para mahasiswa saban tahun, sama ada di Mesir mahupun di Malaysia. Bahkan kalimah ini masih tetap dititip di bibir kita sehinggalah ke hari ini. Hal ini kerana kita faham akan peri pentingnya peranan tarbiah untuk membentuk jati diri mukmin dan menentukan siapa kita di masa hadapan.

 Sejarah membuktikan bahawa permulaan langkah perjuangan para sahabat bermula dengan acuan tarbiah yang disusun sendiri oleh Rasulullah. Amalan qalbi dan jawarih sentiasa dijaga. Hasilnya, maka lahirlah generasi yang mampu membawa cahaya hidayah Islam ke persada dunia sehingga kita hari ini dapat mengecapi nikmat Islam.

 Namun demikian, kebanyakan daripada kita pada hari ini telah melupakan sunah tarbiah Rasulullah dan para sahabat sehingga jelas di hadapan mata kita lahirnya masyarakat muslim yang lemah iman dan ibadahnya, tempang pemikiran dan jiwanya, serta buruk akhlak dan peribadinya.

 Justeru tunas tarbiah perlu sentiasa dititikberatkan ke atas pemuda agar generasi yang lahir daripada tunas tarbiah ini merupakan generasi yang punya matlamat jelas dan jati diri sebagai seorang muslim.

 Dalam membincangkan konteks tarbiah, ulama telah menekankan beberapa aspek utama tarbiah antaranya :
 1) Tarbiah akliah
 2) Tarbiah ruhiah/imaniah
 3) Tarbiah jasadiah

Kesemua aspek tarbiah ini perlu berteraskan 2 ciri asas di bawah :
 1)  التكامل   (saling melengkapi) - Tarbiah yang dilaksanakan perlulah ditekankan daripada segenap aspek, sama ada akliah, ruhiah, jasadiah, ijtimaiyah, jundiah mahupun siasah.
 2)  التوازن   (seimbang) - Setiap aspek tarbiah, perlu ditekankan secara seimbang tanpa diabaikan satupun daripadanya. Hasil daripada
Tarbiah, lahirnya generasi yang bersedia menggerakkan dakwah Islamiah dan menegakkan syariat Islamiah. Mereka melaksanakan tarbiah daripada segenap sudut sehinggakan tidak mampu bagi musuh Islam mencari walau sekelumit kelemahan pada diri mereka.

 Mereka adalah golongan yang Allah pelihara dan Allah sebutkan sifat-sifat mereka di dalam Al-Quran :
Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Kesimpulannya, tarbiah perlulah diterapkan dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim. Aspek tarbiah ini bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan. Tarbiah bukan segala-galanya, tapi segala-galanya bermula dengan tarbiah. Wallau a’lam

Disediakan oleh:

Muhammad Nazim Bin Bahnan
Ketua Fasilitator
BKASM sesi 2015/2016