SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, Februari 26, 2016

DIDIK DAN ASUHLAH SEPERTI MENDIDIK ANAKMU - Tinta Jumaat Siri ke - 14


Nilai sebuah didikan menampakkan hasilnya apabila seseorang itu seperti cangkir yang kosong. Sebuah jag yang berisi air dituang di dalamnya , maka tiada setitik air pun yang akan tumpah dengan syarat ia memenuhi had batasan sebuah cangkir. Keadaan ini berbeza apabila air yang dituang memenuhi secangkir air yang penuh , maka air tersebut akan melimpah keluar kerana melepasi had batasan yang sepatutnya.

KITA HAMBA BUKAN TUHAN HAMBA

“ Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi , tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk “. (Surah Al-Qasas ayat 56)

Sering menjadi kerisauan seorang pendidik agar orang yang dididik menjadi sepertinya atau lebih baik daripadanya. Bahkan sangat menjadi kegusaran bagi seorang pendidik apabila butir-butir didikan seolah-olah tidak sampai kepada orang yang dididik. Mungkin kita lupa bahawa bukan kita bertanggungjawab atau berhak untuk memberi hidayah tetapi Allah yang selayaknya berbuat demikian. Mungkin juga kita tidak cuba untuk menyoroti sirah Rasulullah dengan bapa saudara kesayangannya yang tidak memeluk Islam sehingga helaan nafas terakhirnya. Sedangkan baginda adalah kekasih Allah , namun hidayah tidak juga berada dalam genggaman tangannya.
Sedarlah kita hamba, bukan Tuhan hamba.

KERETA ASUHAN DI ATAS JALAN RAYA ISLAM

“ Katakanlah (Muhammad), “ Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin . Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik ” .
(Surah Yusuf ayat 108)

Sebuah kereta asuhan yang mempunyai stereng akidah yang teguh , mengandungi petrol tarbiah dan kefahaman yang penuh, dipandu dengan gear semangat yang mengikut arus Islam akan membawa medium kereta asuhan ini atas jalan raya dakwah yang menuju ke destinasi realiti iaitu Allah. Hakikatnya, semua bergantung bagaimana si pemandu membawa medium kereta asuhan ini agar sentiasa berada dalam landasan jalan raya Islam yang syumul.

 JANGAN PERNAH FUTUR KERANA ALLAH TIDAK TIDUR

“ Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa dan Bijaksana”. (Surah Al-Anfal ayat 63)

Kebergantungan kepada sang Pemilik Hati akan membuatkan jiwa kita sebagai pendidik ummah sentiasa tenang dan optimis dalam menjalankan gerak kerja penerapan didikan Islam yang syumul.

Jangan pernah futur kerana Allah itu tidak tidur.
“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “
Disediakan oleh:
Ulfatun Nadzirah binti Tugiman Razaq,
Penasihat BKASM Sesi 2015/2016


Rabu, Februari 24, 2016

IJTIMAK DUAT SIRI 1 - Kelab Daie BKASM Sesi 2015/2016 Membuka Tirai

17 Februari 2016 - Kelab Daie BKASM sesi 2015/2016 pada hari ini membuka tirai dengan menganjurkan Ijtimak Duat Siri 1 yang bertempat di Asrama Rumah Selangor Hayyu Asyir.
Program dimulakan dengan kalam pembukaan oleh Pengarah Kelab Daie sesi ini, Ustaz Mohammad Syafiq bin Amran.Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan pengenalan murobbi untuk para duat pada sesi kali ini. Seterusnya, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu tema Kelab Daie, solat maghrib dan makan malam.

Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pembentangan Kitab Risalah Ila Akhi fillah oleh Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari. Majlis diteruskan lagi dengan slot "Talkshow : Asas Tarbiah" yang diacarakan oleh Ustaz Muhammad Farhan bin Ajiyan bersama dua ahli panel iaitu Ustaz Muhammad Yahya bin Samsul dan Ustazah Nazuha binti Mohd Suhimi.Setelah itu, para duat  menjalani aktiviti Gerak Kerja Berkumpulan(GKB) bersama murabbi  tentang tarbiah.

Majlis diakhiri dengan kalam taujihat daripada Yang Dipertua BKASM sesi 2015/2016, Ustaz Asraf bin Alias.Akhir sekali, semoga peserta dapat mengambil input2 yg penting dalam pengisian yg diberikan sekaligus menterjemahkannya dalam medan amal.

“ Daie Revolusi Tuntunan Murabbi “
“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “

 Kelab Daie

BKASM sesi 2015/2016

Jumaat, Februari 19, 2016

SALAHKAH EKSTREM ?? - TINTA JUMAAT SIRI ke - 13


Firman Allah S.W.T:

“ Orang- orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu ( wahai Muhammad ) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)..."
( Al Baqarah : 120)

Mutakhir ini, dunia mengaitkan Islam dengan extreme (melampau). Secara kasar kita melihat ini merupakan satu hujuman yang menjatuhkan imej Islam yang suci. Lebih-lebih lagi apabila terdapat sesetengah pihak mengistilahkan Islam ekstrem ini adalah pelampau dalam agama.Namun, tanpa disedari ini merupakan satu agenda yang telah dicipta oleh barat untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Apabila barat menisbahkan pelampau pada Islam, maka mereka mendatangkan satu lagi istilah sebagai solusi iaitu Islam moderate (sederhana) atau Islam wasatiyyah yang dimaksudkan sederhana.

Hakikatnya yang perlu diketahui, istilah-istilah ini adalah satu istilah yang sengaja dicipta oleh barat dalam berhadapan dengan umat islam supaya umat ini tidak menentang nilai-nilai yang dibawa oleh barat. Hal ini, menjadikan seorang muslim yang kuat beragama itu dianggap sebagai suatu yang akan memberi ancaman kepada barat sekaligus barat menganggap mereka sebagai ekstremis,fundametalis, dan pelampau agama. Dengan itu, barat berpandangan bahawa sifat ini perlu disederhanakan demi menjaga segala kepentingan mereka. Maka jadilah Islam itu sebagai sederhana atau lebih mudah di istilahkan sebagai biasa-biasa.

Perlu difahami, Islam menganjurkan keseimbangan dalam tindakan bukan kesederhanaan dalam tindakan. Bukan semua ekstrem itu tidak baik, tetapi perlu diimbangkan dalam setiap tindakan. Ekstrem dalam agama bermaksud bersungguh dalam melaksanakan kewajipan. Dalam masa yang sama, keseimbangan penting agar tidak menumpukan kepada satu-satu perkara sahaja serta meninggalkan kewajipan yang lain. Contoh dalam melaksanakan banyak amalan sunat tetapi mengabaikan kewajipan terhadap orang di sekeliling.


Inilah agenda yang dilakukan oleh barat dengan bertujuan melemahkan kesatuan umat islam,menjadikan umat Islam semakin lemah dan bersederhana atau bersikap biasa-biasa sahaja dalam agama. Akhirnya, kita umat Islam saling berbalah antara sesama Islam tanpa sedar kita telah tenggelam dengan istilah Islam ekstrem. Apa yang pasti, golongan yahudi tidak suka umat Islam menjadi golongan yang kuat beragama, dan menganggap kita sebagai ekstremis kerana akan memberi ancaman terhadap dakyah yang dibawa oleh mereka. Sesungguhnya, barat suka untuk kita menjadi soleh, tetapi tidak suka untuk kita menjadi musleh ( orang yang membaiki orang lain).

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "

Disediakan oleh :

Nur Hidayah binti Mohd Ariff
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016

Khamis, Februari 18, 2016

50 TAHUN MEMIMPIN KESATUAN - SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN BKASM

Suasana sekitar Jubli Emas BKASM
8 - 16 FEBRUARI 2016, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir julang kalinya telah mengadakan Jubli Emas BKASM sempena menyambut ulang tahun penubuhan BKASM yang ke-50. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menyatu dan mengeratkan ikatan silaturrahim dalam kalangan ahli BKASM dan berterusan memberi kebajikan kepada anak-anak Selangor di perlembahan Nil.

Program yang dijalankan bersifat bersiri dan tidak bersiri. Program bersiri adalah Bicara Duat, manakala yang tidak bersiri Munajat Perdana, Dakwah Kontemporari siri ke-5, Riadah Anak-Anak Selangor (RISE), dan "Talkshow:BKASM! The Untold Story".

Pada 8 Februari 2016, Jubli Emas BKASM memulakan program Munajat Perdana bertempat di Musolla Darul Ehsan. Aktiviti yang diadakan adalah Iftar Jamaie, Solat Hajat, Tazkirah Khas,Dikir Dzikir, dan Taujihad daripada YDP BKASM.

Pada hari berikutnya, program bersiri 'Bicara Duat' menampilkan pengisi- pengisi daripada Malaysia antaranya, Yang Berbahagia Dr Aminurraasyid bin Yatiban, Ustaz  Muhammad Zuhaili bin Saiman, Ustaz Abdul Mui'zz bin Muhammad, Ustaz Firdaus bin Madzlan dan Dr Faisal bin Ashaari. Program ini diadakan pada 9, 10, 12, 14 dan 15 Februari 2016 di Musolla Darul Ehsan.

Sambutan Jubli Emas BKASM diteruskan dengan program Dakwah Kontemporari V yang berlangsung pada 11 Februari 2016 di Dewan Solah Kamil, Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis dengan penyertaan seramai 341 peserta. Program yang bersifat seminar ini telah dibentangkan beberapa kertas kerja antaranya "Fiqh Tahawulat Fi Muwajahati  'Asri Fitan" oleh Dr Ali Abdul Basit Muzid, "Dakwah Kontemporari : Potensi dan Ancaman" oleh saudara Ustaz Abdul Mui'zz bin Muhammad, "Geo Politik Ummah Terjajah: Di Manakah Kita?" oleh saudara Dr Aminurraasyid bin Yatiban, "Ruang Dakwah Dalam Sektor Ekonomi: Cabaran dan Peluang" oleh saudara Ustaz Muhammad Zuhaili bin Saiman dan "Fitnah Media Baru Terhadap Dakwah"  oleh saudara Dr Faisal bin Ashaari. Program Dakwah Kontemporari diakhiri dengan "Talkshow : Mahasiswa Mesir, Dakwah dan Masa Depan" oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Zuhaili bin Saiman, Dr Faisal bin Ashaari dan Ustaz Abdul Mui'zz bin Muhammad yang dikendalikan oleh moderator Ustaz Syafiq bin Zulakifli.

Pada pagi 13 Februari 2016, Jubli Emas BKASM mengadakan Riadah Anak-Anak Selangor (RISE) bertempat di Dataran Hayyu Asyir bagi ikhwah dan Padang Zahra' bagi akhawat dengan pelbagai aktiviti menarik. Pada  petang hari, program diteruskan dengan "Talkshow : BKASM! The Untold Story" di Musolla Darul Ehsan yang disampaikan oleh Dr Aminurrasyid bin Yatiban dan Ustaz Firdaus bin Madzlan.

Semoga dengan sambutan Jubli Emas kali ini dapat menguatkan ukhuwah antara ahli BKASM sekaligus memberi kefahaman tentang realiti sebenar kehidupan supaya dapat diteruskan bakti bersama Islam di Mesir mahupun di Malaysia.

"50 Tahun Memimpin Kesatuan"

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Khamis, Februari 04, 2016

CERPEN : IMTIHAN DUNIA : RISALAH DAKWAH SIRI KEDUA


                Alkisah bermula dengan pengembaraan seorang hamba Allah yang bersiar-siar di tepi hutan. Sedang asyik menghirup udara rimba yang nyaman lagi menyegarkan, tiba-tiba kedengaran satu bunyi… krek!!sebaik sahaja menoleh kebelakang…aauuummmmm!!!  seekor harimau yang kelaparan kelihatan. Dengan penuh rasa cemas, si hamba Allah ini pun lari lintang pukang bagai tak cukup tanah untuk menyelamatkan diri. Namun, harimau itu tetap terus mengejar dan  mengejar. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi. Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi. Tanpa berfikir panjang, si hamba Allah ini terjun ke dalam perigi tersebut, dan berpaut pada seutas tali. Namun tali tu panjangnya tidaklah seberapa. Jadi dia tergantung di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi, harimau yang kelaparan itu menanti. Menoleh ke kiri dan kanan mencari jalan, sambil berdoa agar diselamatkan. Tengah-tengah dok berfikir, tiba-tiba kedengaran  kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.

Nak tahu apa yang ada kat bawah tu?

Ada 2 ekor buaya yang besar yang nampak begitu kelaparan. Apalah nasib… Sudah jatuh ditimpa tangga pula. Atas ada harimau, bawah pula ada buaya. Semakin risau dan takut hamba Allah ni dibuatnya. Ketika hamba Allah ni mengerah otaknya berfikir untuk mencari jalan keluar, tiba-tiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi naik ke atas ikut tali yang hamba Allah tu bergayut. Sampai sahaja di atas, tikus tu gigit tali tu pula. “Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh.... macam mana nak buat ni”. Tidak lama selepas itu, keluar lagi seekor tikus yang berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai ke atas, tikus hitam ni pun gigit tali tu juga. “Cis,ni lagi seekor... Macam mana aku nak buat ni.... habislah jadi mangsa buaya ”. Berfikir lagi. “Kalau aku naik ke atas kena makan harimau. Kalau tunggu tali putus, aku jatuh ke bawah kena makan dek buaya. Macam mana nih...”.  Sedang hamba Allah ni ligat berfikir cara untuk selamatkan dirinya, tiba-tiba.... terdengar satu bunyi.... zzzzzz... seekor lebah yang kelihatan berat untuk terbang dengan perut yang sarat dengan madu melintasi mukanya dan terbang ke atas. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yang sedang membawa madu tu sambil mulutnya ternganga. Tup… setitik madu terjatuh dan masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. "Fuh… manisnya madu ni…, tak pernah ku rasa seperti ini. Sedapnya… Subhanallah… sungguh sedap madu ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yang sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah. Inilah kita…

Kalau semua nak tahu ,

*si Hamba Allah itu adalah kita sebagai manusia.
*Harimau yg mengejar itu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita.
*2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti.
*Tali tempat si hamba Allah bergayut tadi tu umpama jangka hayat kita.
*Tikus putih dan hitam tu umpama siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita.
*Madu..., madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Hanya disebabkan setitik madu jatuh ke dalam mulutnya,dia lupa pada harimau dan buaya tu. Samalah seperti kita, bila dapat nikmat sikit lupa yang kita akan mati dan akan baertemu Allah. Astaghfirullah...

Firman Allah swt yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada diatas bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah diantara mereka yang paling baik pekerjaannya. Dan kami benar-benar akan menjadikan apa yang diatasnya (bumi) menjadi tanah tandus lagi kering.”

 [ Al-Kahfi : 7-8 ]


Di atas dunia ini kita diuji. Keputusannya kita akan tahu diakhirat nanti. Manfaatkanlah kehidupan kita yang cuma sekali ini. Agar tidak menyesal di akhirat nanti. Gagalnya kita dalam imtihan di Azhar boleh iadah lagi, tapi gagalnya kita dalam  ̎imtihan dunia  ̎, kita tidak dapat nak minta diberi peluang hidup di dunia sekali lagi.


" Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak "
" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Penulis:
Muhammad Afham Bin Shahrom