SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, April 29, 2016

JIDDIYAH ITU KITA! - Tinta Jumaat siri ke 21

“Kita akan gunakan kekuatan secara maksima sehingga orang Palestin akan datang kepada kita secara merangkak”                               
  - Rafael Eitan,Ketua, Tentera Israel.

“Tiap orang harus bergerak ,berlari dan merebut puncak bukit sebanyak mungkin untuk memperluas tempat kerana apa yang kita sebut hari ini akan menjadi milik kita untuk selamanya. Apa yang tidak kita rebut akan menjadi milik mereka”    
- Ariel Sharon, mantan Perdana Menteri Israel.

  Lihatlah betapa gahnya sifat jiddiyah (kesungguhan) mereka dalam merampas hak-hak orang Islam. Dalam konteks sebagai penuntut ilmu, sewajarnya ada sifat jiddiyah ini dalam diri kita. Ya! Dalam menutut ilmu tidak pernah sunyi dengan ujian dan cabaran. Namun,janganlah kita menjadikan ujian dan cabaran itu sebagai halangan untuk kita mengutip permata ilmu bagi meneruskan siri perjuangan yang telah diwasiatkan oleh para salafussoleh.

Dalam Surah Al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman :
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “Kami beriman”, sedangkan mereka  tidak diuji?”
Habib Umar ada menggariskan beberapa syarat untuk mencapai suatu kemenangan dan kejayaan dengan mengaplikasikan sifat jiddiyah ini :-
· Al - Istijabati Al– Fauriyah (menyahut dengan segera)
Jadilah mukmin sejati yang apabila diseru dia segera melaksanakannya tanpa ragu,tidak malas dan tidak bertangguh.
· Al -  ‘Azmu Al– Qowiy (keazaman yang kuat)
Laksanakanlah suatu amanah dari Ilahi dengan keazaman yang tinggi. Dengannya, pasti kita dapat tempuhi segala ujian dan cabaran sehingga segala yang diimpikan menjadi realiti.
· Al - Musobarah (sabar dan istiqamah)
Hakikatnya, fitrah  kehidupan manusia pasti akan merasakan pahit getir kehidupan. Laluilah ia dengan jalan kehidupan mukmin yang sebenar. Ya,Tidak ramai yang mampu bertahan di atas jalan ini. Sabar dan istiqamahlah kunciya.

Sahabat-sahabat,
Ingatlah! Manusia mempunyai seketul hati yang sifatnya sentiasa berbolak balik. Bersabar dan beristiqamahlah.
Jadikanlah ujian dan cabaran itu sebagai batu loncatan untuk kita lebih taqarrub kepadaNya.

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:
Ma Nadhirah binti Ab Razak
Timbalan Ketua Lajnah Penempatan & Perumahan
BKASM sesi 2015/2016


Jumaat, April 22, 2016

KITA HANYALAH HAMBA - Tinta Jumaat siri ke 20


Manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Hakikat seseorang manusia itu diciptakan hanyalah untuk menjadi hamba kepada Allah S.W.T dari segala aspek di dalam kehidupan mereka. Ini bertepatan dengan firman-Nya didalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maksudnya : Dan ( ingatlah ) tidak Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Setiap diri seseorang hamba itu telah  dipertanggungjawabkan dengan perintah yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya agar kehidupan mereka sentiasa bahagia di dunia dan di akhirat. Dan tidaklah Allah S.W.T memberikan seseorang itu sesuatu tanggungjawab dan perintah melainkan dia mampu untuk melaksanakannya sepertimana firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 :
Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Setiap amanah dan perintah yang diberikan kepada seseorang itu tidak akan sunyi daripada ujian yang hanyalah bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Segala ujian yang dihadapi memerlukan kesabaran dan mujahadah yang tinggi kerana ujian itu merupakan merupakan proses pentarbiahan daripada Allah S.W.T terhadap diri seseorang individu tersebut.

Kita hanyalah hamba kepada Allah S.W.T. Oleh itu, pengharapan seseorang individu muslim hanyalah kepada Allah S.W.T pada setiap detik kerana sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik perancang dan Dia Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Yakinilah bahawasanya Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang bertaqwa dan  sentiasa mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Firman Allah S.W.T di dalam Surah At-Talaq ayat 2-3 :

Maksudnya : Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ( dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya ), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar ( dari segala perkara yang menyusahkan. Serta  memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan ( ingatlah ), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukup Allah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya ). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

 "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh:

Muhammad Ridzuan bin Zaibidi
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2015/2016

Sabtu, April 16, 2016

Makluman : Tarikh Muzakarah Berkelompok Amali Peringkat BKASM sesi 2015/2016


Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah dalam kalangan ahli. Penerapan unsur tarbiah adalah sangat penting bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan syakhsiah manakala penguasaan ilmu yang bersifat turathi mahupun kontemporari serta kemahiran dalam memimpin adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang enteng. Sempena imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKASM sesi 2015/2016 telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 15 April 2016. Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba. BKASM mendoakan agar semua mahasiswa dan mahasiswi memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini. "Pemantapan Biah Solehah Membentuk Generasi Berakhlak" "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan" Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2015/2016 #KITAPMRAM #BersamaBersatu #BersatuBerbakti

Muhasabah Separuh Penggal BKASM REFLEKSI'16 - Muhasabah Disepakat, Hati Diribat


14 APRIL 2016, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah mengadakan Refleksi'16 sebagai Muhasabah Separuh Penggal pada Khamis yang lalu.

Tujuan utama majlis ini diadakan untuk menerima muhasabah dan cadangan antara pimpinan dan ahli dalam usaha memperbaiki prestasi gerak kerja pentadbiran yang berbaki serta menyatukan hati antara pimpinan dan ahli melalui sikap terbuka dalam memberi muhasabah dan berlapang dada menerimanya.

Refleksi '16 dimulakan dengan dengan mengadakan ambang iaitu BKASM Indoorgames pada 12 April di peringkat akhawat dan 13 April di peringkat ikhwah. Acara yang telah dipertandingkan ialah pingpong, carom dan congkak yang dilaksanakan di Asrama Rumah Selangor. Selain itu, ia turut melibatkan Badan Kebajikan Anak Negeri  (BKAN) taakhi iaitu daripada BKAN Pahang.

Majlis perasmian telah diadakan pada 14 April di Musolla Darul Ehsan dan telah dirasmikan oleh Penasihat BKASM sesi 2015/2016 Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari yang turut melancarkan Majalah Nostalgia 5 Dekat BKASM. Kemudian diteruskan dengan majlis doa kesyukuran sempena keberjayaan NICE'16 dan juga Iftar Jama'ie.

Selepas solat maghrib, Refleksi'16 diteruskan dengan sesi muhasabah dan cadangan ahli kepada BKASM. Refleksi'16  telah diakhiri dengan Sambutan Hari Lahir daripada Lajnah Sambutan dan Rehlah.

Semoga majlis ini dapat memperbaiki gerak kerja yang berbaki dan menguatkan lagi kesatuan anak Selangor di Mesir serta mendapat keredhaan Allah Taala.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Setiausaha
Refleksi '16
BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, April 15, 2016

Membudayakan Ilmu melalui Diskusi Perbincangan - Tinta Jumaat siri ke 19


Allah S.W.T berfirman :

“ Dari tanda-tanda ( Kebesaran Allah ) ialah ciptaan langit dan bumi, dan perbezaan (ikhtilaf) lidah-lidah kamu ( wahai manusia ) dan warna kulit, Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang mengetahui”
[ Ar-Rum : 22 ]

Berdasarkan ayat di atas, Allah menerangkan kepada kita bahawa perbezaan dan kepelbagaian sesuatu itu merupakan sunnah alam yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T pada seluruh ciptaanNya. Perbezaan itu juga adalah merupakan tanda
keagungan dan kekuasaan Allah dan menunjukkan kepada kita bahawa Allah Yang Maha Kaya memberikan kepada manusia kefahaman dan pertimbangan yang berbeza kepada manusia.

Sejarah tamadun Islam telah membuktikan bahawa khilaf pandangan merupakan rahmat yang telah Allah kurniakan kepada hambaNya. Sebagai contoh lihat bagaimana ulama-ulama terdahulu dalam menghasilkan kitab-kitab ilmu Islam. Masing-masing mempunyai pandangan dan hujjah yang pelbagai. Maka, melalui kewujudan perbezaan tersebut, masyarakat mudah dalam
mengamalkan cara hidup Islam dengan lebih aman dan harmoni sesuai mengikut sosio budaya sesuatu tempat.

Namun, hari ini kita lihat segala bentuk lontaran pandangan dianggap sebagai satu ancaman dan musibah bahkan
mendatangkan sengketa dan jurang antara satu sama lain. Islam bukanlah agama yang yang dilihat buruk dan ekstrim pada mata kaca umum bahkan Islam meraikan kepelbagaian pandangan semua sama ada mereka yang beragama Islam mahupun bukan
beragama Islam asalkan hasil pandangan berdasarkan hujjah dan fakta bukan hanya sekadar kata-kata fitnah dan kosong.

Islam merupakan agama yang sangat menitik beratkan ilmu pengetahuan. Ini dijelaskan lagi dalam surah Al-Alaq ayat 1-5 yang menegaskan kepada kita tentang tuntutan dalam menuntut ilmu. Yang demikian dalam menuntut ilmu maka terhasilah
pandangan dan hujjah yang pelbagai dan Islam sangat meraikan pandangan semua. Inilah salah satu keistimewaan dan keindahan yang ada pada Islam.

‘’Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh :

Nuraishah binti Zainuddin
Timbalan Ketua Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016


Rabu, April 13, 2016

Makluman: Penangguhan Program Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir


بسم الله الرحمن الرحيم

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah badan persatuan yang sangat menitikberatkan tentang kebajikan ahli termasuk pendidikan.
Mengambil maklum pengajian fasa kedua sesi 2015/2016 yang semakin rancak dalam tempoh menuju musim peperiksaan, semua mahasiswa/wi juga kini sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi mendapatkan kejayaan yang dicitakan dalam peperiksaan.
Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 7 Rejab 1437 bersamaan 15 April 2016 adalah tarikh penangguhan bagi sebarang program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Ini bagi memberi persediaan dan nilai tambah kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.
Usaha itu tangga kejayaan. Oleh yang demikian, mahasiswa/wi diharapkan dapat mempertingkatkan prestasi, berikan sepenuh konsentrasi, dan serlahkan segala potensi kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.
Serta yang paling penting, dinasihatkan supaya mahasiswa/wi kuatkan hubungan dengan Allah Taala, kerana Dialah Yang Berkuasa menentukan segalanya. Maka, teruskan memohon dan berharap kepadaNya.
Seterusnya, diharapkan agar semua mahasiswa/wi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.
Akhirnya, jadikanlah kejayaan yang diperolehi sebagai penyebab bertambahnya takwa kepada Allah kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang paling bertakwa.
"Ilmuwan Berkualiti Mencurah Bakti" "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Muhammad Hafiz bin Rasimi Timbalan Yang Dipertua 1 (Lajnah Perancang 1) BKASM sesi 2015/2016
#KITAPMRAM #BersamaBersatu #BersatuBerbakti

Makluman: Penangguhan Program Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir


بسم الله الرحمن الرحيم
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah badan persatuan yang sangat menitikberatkan tentang kebajikan ahli termasuk pendidikan.
Mengambil maklum pengajian fasa kedua sesi 2015/2016 yang semakin rancak dalam tempoh menuju musim peperiksaan, semua mahasiswa/wi juga kini sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi mendapatkan kejayaan yang dicitakan dalam peperiksaan.
Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 7 Rejab 1437 bersamaan 15 April 2016 adalah tarikh penangguhan bagi sebarang program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Ini bagi memberi persediaan dan nilai tambah kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.
Usaha itu tangga kejayaan. Oleh yang demikian, mahasiswa/wi diharapkan dapat mempertingkatkan prestasi, berikan sepenuh konsentrasi, dan serlahkan segala potensi kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.
Serta yang paling penting, dinasihatkan supaya mahasiswa/wi kuatkan hubungan dengan Allah Taala, kerana Dialah Yang Berkuasa menentukan segalanya. Maka, teruskan memohon dan berharap kepadaNya.
Seterusnya, diharapkan agar semua mahasiswa/wi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.
Akhirnya, jadikanlah kejayaan yang diperolehi sebagai penyebab bertambahnya takwa kepada Allah kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang paling bertakwa.
"Ilmuwan Berkualiti Mencurah Bakti" "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Muhammad Hafiz bin Rasimi Timbalan Yang Dipertua 1 (Lajnah Perancang 1) BKASM sesi 2015/2016
#KITAPMRAM #BersamaBersatu #BersatuBerbakti

Selasa, April 12, 2016

Kenyataan Bersama Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di Mesir: "Beri Peluang Kepada Dr. Zakir Naik Buktikan Keindahan Islam"


1. Berikutan isu provokasi terhadap Ceramah Dr. Zakir Naik yang bakal berlangsung pada 17 April ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kami Barisan Kepimpinan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir yang mewakili mahasiswa Islam di Mesir, kesal dengan tindakan tersebut.
2. Kredibiliti Dr. Zakir Naik sebagai pendakwah yang terkemuka dunia serta pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah 1435H Peringkat Antarabangsa itu perlu diberikan pengiktirafan penuh oleh pihak kerajaan Malaysia selaku negara yang mengamalkan keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum. Sepanjang pengamatan umat Islam terhadap Dr. Zakir Naik dalam arena dakwahnya, belum pernah lagi beliau mencetuskan provokasi atau menghidupkan sentimen prejudis terhadap agama lain. Setiap hujjah yang beliau utarakan dalam ceramah-ceramah beliau adalah bertunjangkan kepada fakta yang tepat dan sahih daripada Al-Quran, Hadis Rasulullah SAW, kitab-kitab sumawi yang lain serta fakta sains yang logik. Selaku tuan rumah, Malaysia seharusnya memanfaatkan kehadiran beliau dalam menyebarluaskan penerangan Islam diseluruh lapisan masyarakat bertepatan dengan agama Persekutuan tanah air kita adalah Islam. Disamping agama-agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing.
3. Kekesalan kami adalah terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, YB.Dr.Prof. P. Ramasamy yang telah mencetuskan provokasi antara kaum dan agama. Sepatutnya, beliau sebagai seorang pemimpin wajar menunjukkan sikap profesional dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan hujah dan juga nilai-nilai murni, bukan secara emosional dan menyemburkan kata-kata kesat yang menyinggung perasaan umat Islam. Sekiranya beliau ingin menyatakan pendapat, kami mengesyorkan agar beliau bertemu mata dengan Dr. Zakir Naik dan menyatakan ketidaksetujuan dalam hal ehwal perbandingan agama.
4. Justeru, kami Barisan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir sepakat menyatakan solidariti terhadap Dr. Zakir Naik bagi membuktikan kesatuan umat Islam dalam mempertahankan aqidah Islamiah yang suci dan bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat Islam yang lain.
5. Kami mengharapkan agar pihak kerajaan membuka peluang seluas-luas kepada pakar perbandingan agama ini untuk membuktikan kepada umat Islam dan bukan Islam akan kebenaran agama Islam dengan hujjah ilmiah dan adab demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
6. Kami juga berharap agar rakyat Malaysia sama ada muslim atau non-muslim bertenang dan cuba elakkan daripada mencetuskan provokasi dan menyemarakkan lagu api permusuhan antara agama.
7. Di samping itu, kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan yang menarik balik keputusan untuk membatalkan program tersebut. Program yang akan berlangsung di UTEM akan diteruskan namun ditukar kepada tajuk baharu. Dengan penganjuran program ini dapat menarik minat seluruh lapisan masyarakat dalam mengenali Islam dengan lebih dekat. Dalam masa yang sama, kami mengharapkan agar pihak kerajaan memohon maaf terhadap isu pembatalan tersebut.
Terima kasih.
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Jumaat, April 08, 2016

HISBAH DAN KAITANNYA DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM - Tinta Jumaat Siri ke - 18


Alhamdulillah dan ucapan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada hamba-Mu ini untuk diberi peluang dan ruang dalam berkongsi sedikit bahan ilmiah. Suka di sini saya menceritakan perihal Hisbah dan kaitannya dalam kehidupan seorang
muslim.

Jika ingin disingkap akan makna atau takrif Hisbah ini, makanya ianya mempunyai takrifan yang pelbagai. Antara takrif Hisbah adalah yang disebut oleh Al-Imam al- Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkamus-Sultaniyyah wal-Wilayatud-Diniyyah yang menyebut HISBAH ialah `Menegakkan yang ma'aruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan . Ini membawa maksud bahawa sekiranya ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim atau penguasa apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan keterangan. 

Tidaklah tanggungjawab Hisbah ini atau amar ma’ruf nahi mungkar ini terpundak pada para hakim atau penguasa, bahkan ianya terpundak pada kita yang bergelar Muslim. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran.

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.

Dan sabda Rasulullah.


Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya apabila tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya
apabila tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Dengan ini, tugasan ini adalah suatu kefardhuan, kemestian dan kewajipan yang mesti dilaksanakan. Ramai yang menyangka        bahawa tugasan ini cukup hanya sekadar pada mereka yang diberi amanah untuk dilaksanakan. Mereka seolah-olah telah lupa
ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan arahan Allah.

Dapatlah disimpulkankan bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar adalah kewajipan seseorang muslim sama ada ia seorang
 penguasa ataupun rakyat biasa. Oleh itu, saya seru kepada semua sahabat janganlah kita mengambil ringan perkara ini.
Laksanakanlah amar ma’ruf nahi mungkar ini dengan sebaik mungkin walaupun kita rasa berat dan susah

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh :

Muhammad Waliuddin bin Analis
Ketua Hisbah
Jabatan Yang Dipertua

BKASM sesi 2015/2016

Ahad, April 03, 2016

Laporan Kelas Tutorial Fasa Dua.

MAC 2016, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016 di bawah Lajnah Pendidikan telah menjalankan Kelas Tutorial bagi fasa kedua bermula pada 26 Mac 2016. Kelas tutorial tersebut dijalankan hasil gabungan tiga Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) iaitu BKAN Selangor, Kedah dan Terengganu.
Objektif kelas ini diadakan ialah untuk memudahkan ahli dalam memahami pelajaran kuliah bagi madah-madah yang tertentu dan menjadikan para pengajar sebagai rujukan. Selain itu, ia sebagai persediaan imtihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Kelas tutorial ini fokus pada kuliah Syariah Islamiyah, kuliah Usuluddin dan kuliah Lughoh Arabiah tahun satu dan dua sahaja. Kelas tutorial diadakan di Asrama Rumah Selangor, Asrama Rumah Terengganu dan Asrama Rumah Kedah mengikut madah-madah tertentu pada waktu yang telah ditetapkan.
Diharapkan kelas yang dijalankan ini dapat membantu dalam meningkatkan kualiti akademik ahli seterusnya menjadi wadah penggerak ke arah memartabatkan Islam di atas muka bumi Allah.
"Ilmuwan Berkualiti Mencurah Bakti" "Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2015/2016
#KITAPMRAM #BersamaBersatu #BersatuBerbakti

Sabtu, April 02, 2016

HIMPUNAN SUKARELAWATI HISBAH





27 MAC 2016, KAHERAH – Unit Hisbah BKASM dibawah pantauan Jabatan Yang Dipertua telah mengadakan perjumpaan bersama sukarelawati HISBAH kali yang pertama, yang diadakan selepas Isya’ bertempat di Musolla Darul Ehsan. Program julung kali yang diadakan oleh Hisbah BKASM khusus untuk akhawat ini, dihadiri seramai 45 orang sukarelawati yang berdaftar.
Sukarelawati yang hadir telah diberikan penerangan sedikit sebanyak, tentang objektif penubuhan Unit Hisbah oleh Saudari Siti Aisyah bt Ismail yang merupakan Timbalan Pengarah Hisbah. Setelah itu, penerangan tentang penubuhan sukarelawati Hisbah oleh saudari Syaidatul Humaira’ bt Mohd Naim, Timbalan Unit Operasi & Keselamatan Hisbah, yang merupakan penggerak utama dalam menguruskan perjalanan sukarelawati hisbah BKASM. Antara penerangan yang diberikan ialah, tentang aktiviti yang akan dijalankan iaitu Seni Mempertahankan Diri, Dakwah On Your Mark! dan Pesanan Cinta yang membawa objektif untuk menjadi salah satu platform khusus untuk akhawat melatih diri membina kekuatan diri, dan juga sebagai satu persediaan untuk mempertahankan diri dalam menghadapi situasi bahaya yang mendatang. Selain itu, kesemua aktiviti ini bertujuan mendisiplinkan diri dan membentuk karakter sebagai seorang daie yang kompeten. Seterusnya, sukarelawati diberikan Pesanan Cinta oleh Saudari Siti Nurhawa Husnah bt Rusman, Timbalan Unit Penerangan & Kaunseling Hisbah. Dalam slot ini Sukrelawati dihidangkan dengan tayangan video berkaitan topik tertentu, yang diselangi dengan penerangan khusus bertujuan menjentik hati untuk menjadi lebih baik dan diakhiri dengan sedikit taklikan dari kalangan sukarelawati untuk menguji kefahaman mereka tentang mesej yang disampaikan. Akhir sekali, kalam penutup dari Saudari Siti Aisyah bt Ismail, Timbalan Pengarah Hisbah, iaitu ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang hadir dan sudi menginfakkan diri untuk menjadi tulang belakang bagi Hisbah. Dan besarlah harapan beliau, supaya sukarelawati yang hadir mendapat kefahaman dan menjadi agen penyebar dalam gerak kerja dakwah serta berkomitmen untuk membentuk disiplin diri sekaligus membina kader dakwah yang mahu “Cuba Bina Diri, dan Kental untuk Nahi Mungkar” . “AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR” “MEMURNIKAN PEMIKIRAN MERIBAT KESATUAN” Disediakan oleh: NUR AQILAH BINTI ABDUL HALIM Setiausaha, Unit Hisbah, Jabatan Yang DiPertua BKASM sesi 2015/2016

Jumaat, April 01, 2016

Majlis Pengumuman Ahli Jawatankuasa Khas Badan Kebajikan Anak Negeri - Muafakat Asas Kejayaan


31 MAC 2016, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Negeri telah mengadakan Majlis Pengumuman Ahli Jawatankuasa Khas Badan Kebajikan Anak Negeri di Wisma Sultan Muhammad V Hayyu Sabie.

Antara objektif utama program ini dilaksanakan:- 

1) Memperkenalkan medium kerjasama antara BKAN. 

2) Mengembalikan semangat kesatuan mahasiswa. 

3) Mengumpulkan seluruh mahasiswa Malaysia Mesir.

4) Membuka medan kepada mahasiswa untuk melontarkan idea.

Program ini telah dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai negeri.

Program dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran. Seterusnya, pengerusi majlis menjemput barisan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan Ketua-Ketua Hewi BKAN serta pengarah program untuk mengendalikan majlis pengumuman ahli jawatankuasa khas.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengarah membentangkan objektif program ini. Kemudian, majlis pengumuman ahli jawatankuasa dikendali oleh saudara Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak, wakil Yang Dipertua. 

Beliau mengumumkan nama ahli jawatankuasa khas tersebut dengan nama Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri. Seterusnya, beliau menerangkan tujuan penubuhan ini serta memberi ruang kepada ahli untuk menanyakan sebarang soalan dan memberi ruang apa-apa cadangan untuk Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri.

 Selepas itu, beliau mengumumkan nama-nama ahli jawatankuasa Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri yang terdiri 7 orang ikhwah dan 6 orang akhawat.

Majlis diserahkan kepada pengerusi umum dan diteruskan dengan menjemput barisan pimpinan Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri.

Barisan pimpinan Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri ini telah dipersetujui melalui mesyuarat Yang Dipertua - Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri.

Semoga barisan pimpinan baru ini dapat membawa bahtera kesatuan ini kepada keredhaan Allah taala.

"Muafakat Asas Kejayaan"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri

#BersatuBerbakti