SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, September 30, 2016

ISLAM ITU SATU NIKMAT - Tinta Jumaat siri ke 40



"Jika sekiranya mereka (orang bukan Islam) datang kepadamu (wahai Muhammad) , hukumlah mereka , ataupun biarkan mereka. Kalau kamu biarkan , mereka tidak boleh memberi apa-apa mudarat terhadap kamu. Kalau kamu hukum mereka , hukum dengan adil , sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil". (Surah Al-Maidah : Ayat 42)
               Usaha  untuk memartabatkan dan meninggikan ajaran Islam adalah tuntutan agama bagi setiap orang yang beriman. Ia adalah cerminan sifat jati diri dan iman individu muslim itu sendiri. Tanggungjawab ini tidak boleh digadaikan dengan kepentingan dan habuan duniawi.
               Teladanilah kisah Hatib bin Abi Baltaah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 2 , apabila Allah menurunkan ayat teguran dalam cubaannya menyampaikan rahsia perancangan Rasulullah S.A.W kepada kaum keluarganya yang masih tidak beriman  di Kota Mekah. Sekalipun Hatib bin Abi Baltaah menyayangi dan mengasihi kaum keluarganya sendiri, tetapi tidak sampai menggadaikan prinsip Islam dan merugikan Islam itu sendiri.
               Tidak dinafikan, sememangnya perkara yang baik itu pasti ada halangannya seperti mana usul pindaan RUU Akta 355 yang turut mendapat tentangan daripada beberapa pihak , segelintir daripada golongan bukan Islam dan sebahagiannya daripada orang Islam sendiri.
               Namun sebagai umat Islam yang berprinsip , janganlah kita terdorong dengan mereka yang jahil dan tidak beriman. Sikap dan pendirian kita sebagai orang yang beriman hendaklah berpandukan kepada penunjuk Ilahi iaitu  apabila  melibatkan prinsip dan dasar agama , maka kita mestilah berpihak kepada agama.
               Ketahuilah dua tunggak penting dalam Islam iaitu prinsip dan konsep yang dibawa. Dua prinsip dalam Islam ialah beriman kepada Allah dan beriman kepada Akhirat. Manakala dua konsep dalam Islam pula ialah taqwa danseterusnya menjadikan Islam sebagai addin yang sempurna.
               Asas ini sentiasa dipegang oleh generasi awal Islam sehingga tertegak dan tersebarnya Islam yang mana  tidak ada dalam agama lain. Dalam tempoh 80 tahun , Islam berkembang dengan megahnya ke timur dan barat.
               Semoga Allah membuka dan menyatukan hati umat Islam agar untuk bersama menyokong usaha pindaan Akta 355 di parlimen pada bulan Oktober nanti. 
Syukurlah nikmat Islam yang dikecapi , bahkan Islam yang lengkap segalanya !
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Disediakan oleh :
Ma Nadhirah binti AB Razak
Timbalan Ketua Lajnah Penempatan & Perumahan

BKASM sesi 2015/2016

Ahad, September 25, 2016

BKASM Menjalinkan Hubungan Dua Hala Bersama MPP KUIS

23 SEPTEMBER 2016, SELANGOR- Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah mengadakan Kunjung Hormat bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (MPP KUIS) yang bertempat di KUIS, Bandar Seri Putra.

Kunjung Hormat ini, BKASM telah diwakili oleh Saudara Muhammad Hafiz bin Rasimi, selaku Timbalan Yang Dipertua 1 BKASM dan Saudara Anas bin Mohd Bhukhari yang merupakan Mantan Yang Dipertua BKASM sesi 2014/2015. Pihak MPMK pula telah diwakili oleh 6 orang Ahli Majlis Tertinggi MPP KUIS yang diketuai oleh Saudara Mohd Farizul Adha bin Musa, Yang Dipertua MPP KUIS sesi 2016/2017.

Sebagaimana sedia maklum, Kunjung Hormat ini merupakan kali pertama dibuat di antara BKASM dan MPP KUIS sebagai jambatan bagi membina hubungan antara kedua-dua pihak, selain untuk merealisasikan usul BKASM bagi sesi ini yang telah disepakati bersama.

Pertemuan ini telah dimulakan dengan sesi pengenalan diri daripada kedua-dua pihak. Seterusnya, sesi memperkenalkan BKASM kepada MPP KUIS pada sejarah penubuhannya, struktur organisasi, program yang dijalankan dan lain-lain perkara. Setelah itu, peringkat MPP KUIS pula perkenalkan KUIS dan organisasi MPP KUIS kepada BKASM.

Dalam Kunjung Hormat ini juga turut dibincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan di antara BKASM dan MPP KUIS. Antara yang dicadangkan ialah berkaitan penganjuran program secara bersama yang semestinya memberi manfaat kepada semua pihak.

Di akhir kunjungan, Pihak BKASM telah menyampaikan cenderahati kenangan sebagai tanda kerjasama kedua-dua pihak. Pihak BKASM juga turut menerima sedikit buahtangan dari Pihak MPP KUIS.

Akhirnya, semoga dari sesi  perkenalan ini dapat membina hubungan yang kukuh di antara BKASM dan MPP KUIS. Semoga hubungan dapat diteruskan lagi dan menjadi tradisi yang baik untuk diteruskan di masa akan datang. Seterusnya, tidak lain lagi semoga ianya diredhai Allah Taala.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, September 23, 2016

SEJARAH YANG SENTIASA BERULANG - Tinta Jumaat siri ke 39


Kisah- kisah yang berlaku ketika zaman para nabi telah diceritakan di dalam Al-Quran. Kita selaku umat Islam hendaklah menjadikan kisah- kisah tersebut sebagai pengajaran kepada kita kerana para ulamak mengatakan bahawasanya “Barang siapa yang tidak mahu mempelajari sejarah, maka ia akan mengulangi sejarah tersebut”. Oleh itu, kita ambil satu contoh kisah yang diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran ketika zaman nabi Musa A.S.

“Dan kalau kami mengkehendaki nescaya kami tinggikan dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu.tetapi ia bermati –mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya, maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah – mengah.Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (Surah Al- A’raf ayat 176)

Ayat ini menceritakan tentang seorang wali Allah ketika zaman nabi Musa A.S. iaitu Bal’am bin Ba’ura. Beliau ialah seorang ahli ibadah yang diberi kelebihan iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah S.W.T ketika itu. Pada suatu ketika,Nabi Musa A.S. dan pengikutnya telah masuk ke suatu kota dan kaum yang tinggal di dalam kota itu risau bahawa Nabi Musa A.S akan menakluki kota tersebut. Justeru itu, mereka telah meminta kepada Bal’am bin Ba’ura untuk mendoakan kebinasaan kepada kaum Nabi  Musa A.S.

Pada Awalnya, Bal’am tidak mahu menuruti permintaan mereka tetapi setelah diberikan hadiah dan kekayaan oleh mereka, akhirnya Bal’am terpedaya dengan hasutan mereka dan mendoakan kebinasaan kepada kaum Nabi Musa. Doanya dimakbulkan Allah  dan nabi Musa telah sesat di suatu tempat bersama dengan pengikutnya dan diriwayatkan selama 40 tahun. Namun, pada akhirnya Allah telah meyelamatkan nabi Musa dan pengikutnya. Allah telah mengazab penduduk kota itu dengan menurunkan penyakit taun. Akhirnya mereka telah mati disebabkan penyakit itu dan diriwayatkan seramai 70 ribu orang.

Kisah ini memberi seribu satu pengajaran kepada kita bahawa segala kurniaan yang diberikan oleh Allah kepada kita haruslah digunakan demi mencari keredaan Allah Taala.Kesalahan Bal’am mengikut hawa nafsunya dan mementingkan keduniaan menyebabkan kemurkaan Allah Taala kepadanya. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan azab yang sangat pedih kepada hambanya yang mementingkan kepentingan peribadi melebihi keredaan Allah Taala.Maka, perlulah kita sedar hidup kita ini berpandukan Syariat Allah S.W.T.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan Oleh:

Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
Ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2015/2016



Sabtu, September 17, 2016

KENYATAAN BERSAMA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI KALI KE-II


SAMBUTAN MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN DAN GRADUASI BKAN

JUMAAT, 16 SEP 2016 - Perjumpaan kali ke dua bersama Yang Dipertua (YDP) Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) telah diadakan di Asrama Rumah Pulau Pinang Hayyu Sabie, Kaherah, Mesir. Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Ustaz Asraf bin Alias selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) bertujuan bagi merancang satu program secara bersama yang melibatkan mahasiswa/wi yang cemerlang dan graduan khususnya di dalam pengajian islam.

Program yang melibatkan seluruh jurusan pengajian islam ini adalah bagi meraikan mahasiswa/wi diperingkat anak-anak Negeri bersama BKAN-BKAN negeri masing-masing  di dalam satu majlis yang melibatkan semua peringkat. Selain itu, ia merupakan satu penghargaan yang besar khususnya kepada graduan-graduan yang bakal berkhidmat di tanah air apabila pulang ke Malaysia kelak.

Majlis akan diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu dari kalangan guru-guru di pengajian Al-Azhar serta tetamu jemputan yang akan menyerikan lagi kemeriahan di dalam majlis tersebut.

Semoga perancangan program yang bakal dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi tahap mutu kecemerlangan mahasiswa/wi Al-Azhar khususnya dan semangat di dalam mengejar impian dan cita-cita yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat kelak. 


HADIR,
ASRAF BIN ALIAS
(YANG DIPERTUA BKASM)

MUHAMMAD ARIFF BIN HARON
(YANG DIPERTUA BKPJM)

AHMAD MAHIR BIN C. NASRUDDIN
(YANG DIPERTUA KPP)


MOHAMMAD AINUDIN BIN MOHD ISHAK
(YANG DIPERTUA KPIPM)

SYED MOHAMMAD HANIF BIN SYED HASSAN
(YANG DIPERTUA KPKM)


AHMAD RAZIN BIN MOHD FAUZI
(YANG DIPERTUA BKKIMM)

AMIR NORDIN BIN A.RAHIM
(YANG DIPERTUA BKMIP)

AMMAR MUJAHID BIN AB RASHID
(YANG DIPERTUA MKKK)

MUHAMAD IMAN BIN FADZIL
(YANG DIPERTUA BKPPPM)

ADAM SYUKRI BIN MOHAMAD
(YANG DIPERTUA BKAWM) 


TIDAK HADIR,

MOHD FARID BIN AZMI
(YANG DIPERTUA KPT)

Jumaat, September 16, 2016

SAEIDHA ' 16 Membentuk Ahli Berkorban

11-14 SEPTEMBER 2016, KAHERAH- Telah berlangsung pada 11 hingga 14 September 2016 dengan jayanya Program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir. Program ini telah berlangsung selama 4 hari, padat dengan aktiviti yang telah disediakan oleh pihak SAEIDHA’16. 

Objektif utama program SAEIDHA’16 kali ini adalah untuk menghayati konsep pengorbanan dalam merealisasikan erti sebenar Eidul Adha dan menambahkan thaqafah ahli melalui pengisian yang dilaksanakan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Pada 11 September 2016, Program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) telah dimulakan dengan slot Ambang SAEIDHA’16 iaitu Pembentangan Fiqh Qarban sejurus selepas waktu asar. Slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Jasry Raimy bin Johari, Ketua Penasihat BKPPPM. Selepas Maghrib pula diadakan majlis Iftar Jamaie bersempena 9 Zulhijjah. Selepas itu, SAEIDHA’16 meneruskan Majlis Perasmian SAEIDHA’16 yang dirasmikan oleh Ustaz Mohd Sharul bin Malek, Ketua Penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang sesi 2015/2016 diikuti sedikit tayangan video.

Pada esok harinya,  selepas solat raya Aidil Adha, program memberi masa seluas-luasnya kepada ahli untuk melakukan aktiviti bebas seperti menghidupkan suasana raya dan bermaaf-maafan. Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan Forum : Ketaatan Ibrahim, Perjuangan Hajar & Pengorbanan Ismail yang telah disampaikan oleh dua orang panel iaitu Ustazah Khalilah binti Zainon, Timbalan Ketua Fasilitator KPKM dan Ustaz Muhammad Ezzani Bin Ismail, Mantan AJKT BKASM sesi 2014/2015 dan dikendalikan oleh seorang moderator iaitu Ustazah Khairun Nisa binti Khairulzamal, Mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah. Selepas berakhirnya forum, sedikit penerangan berkenaan aktiviti sepanjang Hari Raya kedua dilakukan oleh pihak SAEIDHA’16.

Pada hari raya kedua, SAEIDHA’16 meneruskan program penyembelihan korban. Satu sesi penerangan proses penyembelihan oleh Ustaz Fakhrul Rodzi bin Md Tahir selaku Eksekutif Korban & Malapah telah diadakan di Dataran Hayyu Asyir. Pada jam 6.30 pagi pula telah bermulanya sesi Gotong-royong Penyembelihan & Melapah Haiwan Korban. Sebanyak dua ekor unta, 42 ekor kambing dan dua ekor khoruf telah berjaya ditumbangkan pada program SAEIDHA’16 kali ini. Selepas Zohor pula telah diagihkan daging korban kepada setiap ahli BKASM. Selepas Asar pula para pelajar telah disajikan jamuan ringan bermenukan Mee Sup Tulang dan juga sedikit aktiviti Kuiz Santai serta gotong-royong membersihkan dataran

Pada hari raya yang ketiga, hari terakhir program dimulakan dengan aktiviti Qiamullail seawal jam 3.30 pack diikuti solat Subuh berjemaah, Takbir Raya, Bacaan Al-Ma’thurat dan Tazkirah Subuh Harian. Kemudian pada jam 10.00 pagi pula telah diadakan Kuliah Dhuha yang bertajuk "Khutbah Terakhir Rasulullah S.A.W" yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sufi bin Mohd Yusuf, Graduan Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar bertempat di Musolla Darul Ehsan. Selepas Zohor pula para pelajar bekerjasama untuk aktiviti Rewang Jamuan Raya. Seterusnya selepas maghrib, SAEIDHA’16 meneruskan acara yang dinanti-nantikan iaitu Majlis Perasmian Penutupan SAEIDHA’16 dengan perasmian penutupan oleh Perasmi program iaitu Ustaz Muhammad Salihin bin Abdullah, Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016. Turut diselitkan pada malam itu ialah Majlis Perasmian Penutupan "Islamic Home" di bawah Lajnah Penempatan dan Perumahan BKASM sesi 2015/2016. 

Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan persembahan nasyid daripada Sufy’s Rythm dan kalam rasmi daripada pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya BKASM 2016. Kemudian diikuti pula Majlis Sambutan Hari Lahir di bawah Lajnah Sambutan dan Rehlah BKASM sesi 2015/2016. Program diakhiri dengan selingan tayangan Video Dokumentasi SAEIDHA’16 dan para hadirin dijamukan dengan Jamuan Raya.

Dengan penganjuran program Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) pada tahun ini moga-moga ia menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah Islamiah dan juga jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM antara mahasiswa lama mahupun mahasiswa baru seterusnya menjadikan BKASM sebagai wadah utama dalam menjaga setiap kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.

"Tadhiyah Diteladani Ukhuwah Dipateri"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Sambutan Eidul Adha 2016 (SAEIDHA’16) 
BKASM sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

MANIFESTASI PENGORBANAN - Tinta Jumaat siri ke 38


                  Perbezaan suasana sambutan Hari Raya Eidul Adha yang disambut di Mesir, Malaysia, Arab Saudi dan negara lain kadangkala membuatkan kita merasai pengalaman yang berbeza.Yang pastinya bukan di mana tetapi bagaimana sambutannya dimanifestasi.

                  Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hajj ayat 36-37 yang bermaksud : (Maka makanlah sebahagiannya(daging korban) dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Daging-daging korban dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.
Jika kita soroti sejarah ketika mana Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim A.S untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail A.S, keduanya segera melaksanakan perintah Allah tanpa ada rasa sedikit pun keraguan, ketakutan jauh sekali penolakan. Keduanya dengan ikhlas menunaikan perintah dari Sang Pencipta, meski harus mengorbankan sesuatu yang paling disayangi, dicintai dan dinanti. Nabi Ibrahim rela kehilangan puteranya, dan Nabi Ismail bersedia nyawanya menjadi ganti andai itu yang diperintahkan.

Pernahkah kita tanya pada diri sendiri sejauh mana pengorbanan kita untuk membuktikan ketaatan kita kepada Allah S.W.T dalam memperjuangkan agama-Nya. Sudahkah kita mengorbankan harta,keluarga, atau bahkan jiwa kita untuk Allah dan Islam? Bahkan kita seringkali merungut dalam melaksanakan gerak kerja islam. Terkadang terdetik dalam diri mengapa hanya aku yang perlu buat kerja ini. Mengapa bukan mereka. 

Nabi Ibrahim dan puteranya mencontohkan ketaatan tanpa syarat pada Rabbnya. Hal ini perlu kita refleksikan pada diri kita masing-masing. Sudahkah kita taat pada syariat dan ikhlas melakukannya tanpa syarat kerana syarat penerimaan sesuatu amal ialah ikhlas. Bagaimana mungkin lahirnya rasa ikhlas tanpa datangnya rasa pengorbanan.

 Justeru itu, marilah kita bersama-sama koreksi diri. Sejauh mana nilai pengorbanan kita baik dari sudut tenaga,harta mahupun jiwa. Semoga semangat pengorbanan dan keikhlasan Nabi Ibrahim dan puteranya mengispirasikan kita semua untuk rela berkorban demi agama Allah S.W.T dan ikhlas dalam melaksanakan gerak kerja Islam.

"Tadhiyah Diteladani,Ukhuwah Dipateri"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh:
Nur Amira Syuhada binti Rohimi
Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2015/2016



Sabtu, September 10, 2016

BKASM MEMPERKASAKAN HUBUNGAN LUAR – PERTEMUAN RASMI WAKIL BKASM BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LEMBAGA ZAKAT SELANGOR.

9 September 2016 , SHAH ALAM – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Tuan Haji Hussin bin Mohd Ali di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam. Pertemuan ini telah diwakili oleh Saudara Muhammad Hafiz bin Rasimi, Timbalan Yang Dipertua I BKASM, Saudari Nuraishah binti Zainuddin, Timbalan Ketua Lajnah Penerangan & Penerbitan BKASM, dan tiga orang wakil dari jawatan penggerak zakat iaitu Saudara Muhammad Nazim bin Bahnan, Saudari Siti Aisyah binti Ismail dan Saudari Siti Hajar Aisyah binti Sakdon.
Turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa Lembaga Zakat Selangor iaitu Encik Mohamad Farid bin Mohamad Zainal, Eksekutif Syariah di Lembaga Zakat Selangor, Puan Najwa binti Hj Abdul Rauh

Pertemuan ini dimulakan dengan sesi taaruf di antara wakil BKASM dan ahli Lembaga Zakat yang turut hadir. Seterusnya, pengenalan ringkas mengenai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir mengenai objektif penubuhan BKASM antara yang menjadi utama adalah memastikan anak Selangor yang berada di Mesir mendapat kebajikan yang berterusan.

Sehubungan dengan itu, wakil BKASM telah membawa suara anak-anak Selangor di Mesir berkaitan dengan masalah yang timbul mengenai isu agihan zakat yang berlaku kepada pelajar serta mendapatkan pencerahan mengenai sistem zakat yang terbaru.

Selain daripada itu, tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk mewujudkan kebersamaan hubungan dua hala antara Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dengan Lembaga Zakat Selangor sekaligus menjayakan usul BKASM pada sesi ini iaitu meneruskan survival BKASM melalui pemerkasaan hubungan luar BKASM.

Di akhir pertemuan, Tuan Haji Hussin bin Mohd Ali menyatakan ucapan terima kasih dan berbesar hati dengan pertemuan yang diadakan. Harapan beliau semoga kunjungan pertemuan seperti ini dapat dijadikan sebagai satu tradisi dalam mengeratkan hubungan antara BKASM dan Lembaga Zakat Selangor serta membuat perbincangan yang baik bagi masalah yang dihadapi berkaitan dengan isu zakat.

Pihak BKASM mengucapkan terima kasih kepada wakil ahli Lembaga Zakat yang bersama-sama dalam pertemuan ini. Semoga hubungan rasmi ini dapat diteruskan lagi bagi menjamin kelangsungan BKASM dan Zakat Selangor dalam memastikan anak-anak Selangor terus diberikan kebajikan. Semoga Lembaga Zakat Selangor terus dikurniakan rahmat dan keredhaan Allah dalam memberi kebajikan dan bantuan kepada seluruh masyarakat Selangor.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan“

BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, September 09, 2016

BKASM MELEBAR SAYAP - Kunjung Hormat bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor


8 September 2016, SHAH ALAM - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) yang diwakili Saudara Muhammad Hafiz bin Rasimi, Timbalan Yang Dipertua I BKASM  telah membuat satu kunjungan rasmi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor serta mengadakan pertemuan bersama Yang Berhormat Dato' Dr Haji Ahmad Yunus bin Hairi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Saudara Muhammad Nazim bin Bahnan, Ketua Jabatan Fasilitator BKASM (JATA) dan Saudara Muhammad Faez Ehsan bin Mohd Supian, Mantan Setiausaha Agung BKASM. 

Kunjung Hormat ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Kerajaan Negeri dan BKASM di samping menyampai penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang banyak membantu kebajikan pelajar-pelajar Selangor di Mesir.

Pertemuan ini juga menjadi medium BKASM untuk menyampaikan hasrat dan  membincangkan permasalahan yang berlaku di peringkat BKASM serta mencari solusi secara bersama. Perkara utama yang diberi perhatian ialah berkaitan pendidikan dan kebajikan.

Pihak BKASM berharap agar hubungan rasmi ini dapat diteruskan dan dikekalkan demi menjamin kemaslahatan ahli BKASM khususnya dan anak-anak Selangor di Mesir umumnya.

Pihak BKASM juga mengucapkan terima kasih kepada wakil Exco Kerajaan Negeri Selangor Yang Berhomat Dato' Dr Haji Ahmad Yunus bin Hairi atas kerjasama baik yang diberikan.

Semoga Kerajaan Negeri Selangor sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T dalam memimpin dan memberi kebajikan kepda seluruh rakyat Selangor.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

DISEBALIK SURAH AL-KAUTHAR - Tinta Jumaat siri ke 37



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

{Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak . Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah). (AL-KAUTHAR: 108 :1-3)

    Al-Kauthar yang membawa maksud kebaikan atau nikmat yang banyak,iaitu sungai di syurga. Merupakan surah yang ke 108, mengandungi tiga ayat dan diturunkan di Mekkah.Ia juga merupakan surah yang menjadi penghibur hati kepada Nabi Muhammad SAW kerana ketika itu baginda bersedih atas kematian dua orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

   Melihat kepada maksud ayat pertama, Allah S.W.T telah memberikan kepada Nabi Muhammad SAW kebaikan yang tertinggi sehingga mencapai kepada kemuncaknya iaitu mendapat anugerah teragung kehebatan sungai Al-Kauthar didalam syurga. Oleh itu, kita sebagai hamba Allah dan bukan daripada golongan yang ma’sum hendaklah mencari ruang beribadah di dunia untuk mengejar Akhirat yang kekal abadi bagi mengecapi nikmat di syurga, kerana kita tahu tiada yang lebih nikmat melainkan nikmat di syurga.

   Tambahan pula, bertepatan dengan bulan Zulhijjah yang datang ini, apa yang dapat diperjelaskan melalui firman Allah dalam ayat kedua surah Al-Kauthar ini, Allah menceritakan tentang solat dan juga ibadah korban. Sehubungan dengan itu, nikmat yang Allah berikan sangat banyak, bagaimana kita menikmati nikmat atau rezeki yang Allah berikan? Maka ayat kedua ini dapatlah kita rungkaikan bahawa bila mana datangnya Zulhijjah pasti ia terikat dengan perayaan Hari Raya Haji atau juga dinamakan sebagai Hari Raya Korban, serta dikaitkan korban itu dengan haiwan sembelihan seperti kambing. Maka, nikmat yang Allah berikan jangan dipersiakan. Setiap amalan kita laksanakan semuanya kerana Allah. Oleh itu, ambillah peluang Hari Raya ini sebagai satu ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

   Apabila menyebut mengenai pengorbanan, ianya sangat luas. Pengorbanan daripada sudut nyawa, harta, tenaga dan sebagainya.Melihat kepada firman Allah dalam ayat kedua sebentar tadi,  Allah menekankan tentang ibadah korban. Bila menyingkap kepada sirah suatu masa dulu, melihat pengorbanan seorang ayah Nabi Ibrahim yang mengorbankan nyawa anaknya iaitu Nabi Ismail. Ibrah dan pengajaran yang diadaptasikan dalam kisah ini, dijadikan qudwah untuk kita semua agar dapat menjadi seperti Nabi Ibrahim.

      Kesimpulannya, dengan kedatangan bulan Zulhijjah ini, dapatlah sama-sama kita nikmati dengan limpahan Rahmat yang Allah berikan. Bukanlah kita menyambut Hari Raya Korban ini dengan suka ria, tetapi sambutlah ia dengan mengambil intipati apa yang terkandung dalamnya sama ada daripada sudut ibadah, pengorbanan dan sebagainya.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Disediakan oleh:
Siti Fadilah binti Sulaiman
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2015/2016



Khamis, September 08, 2016

ISU NEGARA | PERLAKSANAAN SYARIAT:JAMINAN KEAMANAN DAN KEADILAN



  Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan kepada seluruh alam.Islam turun beserta dengan kesempurnaan syariat yang meliputi pelbagai sudut kehidupan manusia tanpa mengira warna kulit dan latar belakang.Oleh itu,tidak hairan apabila sejarah telah membuktikan syariat Islam bersifat fleksibel dan relevan sepanjang zaman tanpa infiniti kerana tujuan penurunannya adalah untuk menjamin keamanan dan keadilan manusia sejagat.

 ISLAM DAN MAQASID SYARIAH

  Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W untuk menyempurnakan syariat dan hukum-hakam yang terpatri melalui wahyu Al-Quran. Perlaksanaannya memerlukan bimbingan yang mendalam, menyeluruh dan sempurna dan tidak terdapat di mana-mana sistem di dunia ini melainkan di dalam Al-Quran dan syariat yang terkandung bersamanya.

 Syariat Islam bersifat syumul, realistik, adil dan dibina atas dasar manusiawi yang tinggi. Ini dapat dilihat dari maqasid syariah atau tujuan asas perlaksanaan syariah yang disebut para ulama. Secara jelasnya,maksud melaksanakan syariah adalah meraih MAQASID ATAU TUJUAN syariah yang diturunkan Allah.

5 Maqasid Syariah Menjaga Seluruh Aspek Kehidupan:
1.Menjaga Agama-Murtad:Maka hukumannya adalah bunuh
2.Menjaga Jiwa-Bunuh:Maka hukumannya QISAS
3.Menjaga Harta-Mencuri:Maka hukumannya dipotong tangan
4.Menjaga Akal-Minum Arak:Maka hukumannya disebat
5.Menjaga Keturunan-Zina:Maka hukumannya disebat 100 kali untuk yang belum berkahwn dan rejam untuk yang sudah berkahwin.

Maqasid syariah ini hanya boleh digapai dengan melaksanakan tuntutan syariat yang diturunkan tanpa sebarang kecacatan. Hasilnya sebuah masyarakat dapat menikmati keindahan syariat Islam yang sempurna.

PERINGKAT PERLAKSANAAN:SYARIAT,TASYRI’ DAN TAQNIN

Perkara yang perlu difahami apabila berkaitan dengan syariat dan perundangan adalah dua perkara yang berkait rapat. Teori dan realiti mungkin berbeza namun sedang diusahakan .Di sini ada 3 peringkat yang menjadi asas sebuah undang-undang.

1.SYARIAT:Satu undang-undang yang utuh,datang dari sumber langit yang tidak diperdebatkan dan
                    diterima.Menolaknya menjejaskan aqidah.Undang-undang jenayah syariah disebutkan
                    secara jelas dalam Al-Quran dan Sunnah.
2.TASYRI’: Perbahasan mengenai perundangan yang mempunyai pelbagai perbincangan yang
                    melibatkan pembumian syariat.Perlaksanaan dan pembumian ini membawa kepada
                    perbincangan yang pelbagai sama ada disepakati atau perselisihan ijtihad.
3.TAQNIN:Bukan lagi teori tetapi perlaksanaan perundangan yang disusun dengan cara perundangan
                    Moden,bukan dengan lenggok perbahasan fiqh, tetapi susunan bahasa undang-undang.


Peringkat TAQNIN adalah peringkat yang sedang diusahakan selepas melaui fasa SYARIAT dan TASYRI’.Maka di sini jelaslah bahawa penyusunan ke arah perlaksanaan ini adalah usaha yang panjang demi memartabatkan perundangan Islam yang sebenar.


ISU TERKAIT:PERLAKSANAAN SYARIAT DI TENGAH SISTEM MODEN

 Hari ini,apabila sistem yang sedia ada tidak mampu menampung kebobrokan masyarakat yang makin jauh dari hidup bertuhan,mereka tercari-cari sistem lain untuk berpaut. Maka di sini peranan agamawan untuk menunjuk satu jalur keluar dari kemelut yang menimpa.

  Alhamdulillah,kini masyarakat khususnya di Malaysia lebih terbuka dan banyak terlibat dengan penerangan mengenai undang-undang Islam  dan perlaksanaannya. Ruang ilmiah terbuka lebar dan golongan dari pelbagai peringkat semakin tertarik dengan usaha pihak tertentu cuba membawa pindaan beberapa undang-undang yang berkait dengan Mahkamah Syariah.

  Baru-baru ini,isu pindaan Rang Undang-Undang 355(RUU355) yang telah dibawa usulnya  mendapat perhatian yang berleluasa di media sosial sama ada berbentuk sokongan dan kritikan .Peluang ini perlu digarab baik bagi kita selaku penuntut ilmu agama khasnya untuk memberi penerangan terbaik kepada masyarakat.

  Selain itu,sebagai mahasiswa Islam kajian dan pemerhatian sangat diperlukan. Apalagi RUU355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah mengalami pindaan pada 1984. Institusi Mahkamah Syariah juga sedang diusahakan untuk dinaik taraf dan diperkasakan untuk menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada pembukaan Parlimen ke-13, Penggal ke empat pada 7 Mac 2016.

 Di sini kita melihat usaha pihak tertentu untuk melaksanakan perintah Allah dan syariatnya sedang rancak berlaku. Usaha penerangan yang dijalankan bersama juga patut dipuji. Moga Allah memberi jalan dan kemudahan menuju keredhaanNya. Wallahua’lam.
  

“Bersama Bersatu Mendepani Isu”
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Unit Peneranan dan Informasi
Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM Sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

"Bersama Bersatu Mendepani Isu"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Unit Penerangan dan Informasi
Lajnah Penerangan dan Penerbitan,
BKASM sesi 2015/2016

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

Rabu, September 07, 2016

Kenyataan Semasa HISBAH Selangor : Tingkatkan Keselamatan




Mutaakhir ini, kita digemparkan dengan berlaku banyak kes yang melibatkan keselamatan ahli BKASM. Oleh itu, Unit Hisbah di bawah Jabatan YDP Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) menyeru agar seluruh ahli BKASM  meningkatkan tahap keselamatan dan mengikuti panduan keselamatan yang telah digariskan .

Sehubungan itu, berikut merupakan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Unit Hisbah BKASM  :

1. Pastikan segala dokumen penting ( seperti passport atau salinan passport dan kad pelajar ) dibawa bersama ketika keluar dari rumah.

2. Merancang perjalanan agar tidak balik lewat malam.

3. Berjalan secara berkumpulan (sekurang-kurangnya tiga orang) terutamanya pada waktu malam. Bagi akhawat, hendaklah menggunakan perkhidmatan musyrif.

4. Elakkan berjalan secara berseorangan pada waktu malam.

5. Elakkan diri ke tempat-tempat yang panas atau black area .

6. DILARANG melalui SUQ SAYYARAT dan LORONG GELAP KE GAMEK apabila waktu malam.

7. Disarankan melalui JALAN UTAMA GAMEK apabila waktu malam .

8. Sentiasa merujuk Pengarah dan Timbalan Pengarah HISBAH Selangor sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Dengan ini diharapkan seluruh ahli BKASM dapat mengambil cakna akan hal ini. Semoga kita semuanya terus dipelihara oleh Allah .

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

Ustaz Waliuddin bin Analis,
Pengarah Unit Hisbah,
Jabatan Yang Dipertua,
BKASM sesi 2015/2016.

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Selasa, September 06, 2016

Kenyataan Rasmi YDP BKASM Terhadap Isu Penempatan Anak-Anak Melaka Mesir



Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

(Surah Ali Imran: 200)



Isu penempatan anak Melaka di Rumah Melaka Sementara ( RMS ) Hayyu Sabi, kita Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) rasa terpanggil untuk menyatakan  kebersamaan terhadap isu yang berlaku. Isu ini merupakan isu hak anak-anak Melaka yang tidak sepatutnya diambil enteng dan perlu dipertahankan.



Justeru itu, kita BKASM menyarankan agar pihak berwajib dapat berperanan secara profesional dan mengambil tindakan dengan segera  dalam menyelesaikan isu penempatan anak-anak Melaka di Mesir bagi memastikan kebajikan anak-anak Melaka yang menuntut di Mesir terus terjamin.



Oleh itu, kita BKASM berharap agar anak-anak Melaka di Mesir terus bersabar dan bermunajat agar isu penempatan anak-anak Melaka dapat diselesaikan dengan segera tanpa memilih kasih. BKASM juga menyeru kepada seluruh ahli BKASM mendoakan sahabat-sahabat kita di negeri Melaka dipermudahkan segala urusan penempatan ini.


Siru a'la barakatillah

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Ustaz Asraf bin Alias 
Yang Dipertua 
BKASM sesi 2015/2016

Khamis, September 01, 2016

MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG ILAHI - Tinta Jumaat siri ke 36



Kehidupan seorang manusia tidak dapat dipisahkan daripada undang-undang atau sistem yang direncanakan oleh Allah S.W.T sama ada yang disukai mahupun yang dibenci. Kesemuanya perlu menurut seperti apa yang telah termaktub di dalam dua perlembagaan yang agung iaitu Al Quran dan As Sunnah.

 Mengembalikan manusia  ke arah mendaulatkan undang-undang Ilahi bukanlah suatu tugas yang mudah kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda :-

بدأ الإسلام غريباً وسيعود غريباً كما بدأ فطوبى للغرباء

"Islam itu muncul dalam keadaan asing dan akan kembali asing lalu beruntunglah orang yang asing itu."

     Jika kita menyoroti coretan sejarah Nabi terdahulu, kita akan dapati bahawa tugas Nabi adalah mengembalikan kehidupan manusia  daripada penyembahan terhadap makhluk, tunduk kepada sistem perundangan makhluk kepada ke arah kehidupan yang bersumberkan wahyu ilahi di setiap aspek kehipuan manusia tersebut. Sebagai contoh Namrud dan Nabi Ibrahim Alahissalam, pernah diceritakan bahawa Namrud suatu ketika dahulu pernah merancang untuk membina suatu bangunan yang tinggi untuk membunuh tuhan Nabi Ibrahim Alahissalam iaitu Allah, lalu dengan kekuasan Allah Azza wa Jalla perancangan tersebut terbatal disebabkan Allah menghukum mereka dengan mempelbagaikan bahasa mereka sehingga lebih dari 60 bahasa menyebabkan mereka tidak mampu berkomunikasi dengan baik sesama mereka untuk menyiapkan bangunan tersebut.

     Seterusnya lihat pula sejarah Firaun bersama Nabi Musa Alahissalam, sangat masyhur di kalangan kita akan peristiwa firaun membina bangunan lalu memanah ke atas dengan tujuan sama seperti yang dilakukan oleh Namrud iaitu ingin membunuh tuhan Nabi Musa Alaihissalam. Kenapa berlaku hal seperti ini? Ini kerana mereka  ingin memisahkan urusan agama dengan urusan dunia lalu akan memudahkan mereka untuk menguasai dunia ketika itu. Ideologi inilah yang pada hari ini dikenali sebgai sekularisme iaitu memisahkan urusan dunia dengan urusan agama atau dengan bahasa tidak beradab ‘Allah tidak berhak untuk mencampuri urusan pentadbiran manusia di atas dunia.

     Fahaman ini yang akhirnya menatijahkan undang-undang  ciptaan manusia sendiri. Sebagai contoh  kesalahan melakukan penganiyaan terhadap haiwan lebih tinggi hukumannya iaitu denda sebanyak RM 15 000 berbanding kesalahan zina denda sebanyak RM 5000 dan 10 kali sebatan.

     Inilah antara faktor nabi dan para Rasul diutuskan iaitu mengambalikan manusia ke arah sistem kehidupan yang berlandaskan kepada hukum-hakam Al Quran dan Hadis. Jangan kita pelik jika ada mereka yang menentang usaha-usaha untuk mengembalikan sistem perundangan Islam kerana berdasarkan hadis di atas bahawa Islam itu datang dalam keadaan asing sepertimana Nabi Muhammad S.A.W datang kepada kafir quraisy dengan mengembalikan ajaran atau pegangan para rasul sebelum  baginda maka di kala itu ia terlihat seperti asing kerana tidak selari dengan kehidupan masyarakat ketika itu dengan budaya suka berzina, minum arak dan sebagainya. Begitu juga yang terjadi dengan sistem perundangan Islam hari ini ketika ia cuba untuk dilaksanakan semula maka ia dilihat asing kerana masyarakat di kala ini sudah terbiasa dengan sistem perundangan manusia.

     Jika kita percaya dan yakin adanya golongan yang mewarisi sunnah dan perjuangan nabi-nabi terdahulu maka kita juga perlu percaya bahawa ada juga golongan yang mewarisi pemahaman dan perjuangan Namrus dan Firaun seperti kumpulan freemason dan iluminati yang sentiasa merencana untuk menjatuhkan dan melenyapkan Islam di atas muka bumi ini.

     Setelah melihat perkara di atas, wajarlah kita sebagai seorang mahasiswa Islam yang mampu berbicara tentang  agama untuk bersama dan menyokong dalam mendaulatkan sistem perundangan Allah Azza wa Jalla.

‘’Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:

Muhamad Nazif bin Shaari
Pensihat
BKASM sesi 2015/2016





ISU NEGARA | VIRUS ZIKA:KES PERTAMA DI MALAYSIA


1 SEPTEMBER 2016-Malaysia digemparkan dengan satu berita apabila Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menerima laporan satu kes mangsa yang disyaki dijangkiti virus Zika pada 31 Ogos 2016..Pesakit adalah seorang wanita berumur 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic,Klang,Selangor.

 Susulan daripada itu,satu penyiasatan kes telah dilakukan untuk mengenal pasti symptom-simptom gejala awal virus Zika.Di samping itu KKM turut memulakan kawalan vector di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang pernah dilawati oleh pesakit.

 Saranan kepada semua rakyat Malaysia agar mempertingkatkan keselamatan dengan membersihkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes  dan berhati-hati dengan sebarang simptom yang menjurus kepada penyakit virus Zika ini seperti demam,ruam, dan conjunctivis.Jika terdapat sebahagian simptom,maka digalakkan membuat pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera kerana ‘mencegah lebih baik dari merawat’

AL-QURAN MERAKAM ANTARA PENYAKIT BERPUNCA DARI HAIWAN

Al-Quran banyak merakamkan perumpamaan dari sebesar-besar haiwan hingga sekecil-kecil haiwan. Allah berfirman dengan perumpamaan nyamuk dalam Surah Al-Baqarah:26.

 “Sesungguhnya  Allah tidak malu membuat perbandingan apa saja.(seperti) nyamuk hingga kesatu yang lebih daripadanya(kerana perbuatan itu ada hikmahnya),iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka…”

Allah mengisahkan juga kisah Bani Israil yang ditimpa penyakit taun yang berpunca dari haiwan seperti kutu,katak dan sebagainya sebagai tanda peringatan kepada mereka yang kufur kepada Allah.Allah berfirman:

Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,belalang,kutu,katak dan darah sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata,maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka”[Surah Al-A’raf:133]

 Hari ini penyakit yang berpunca dari nyamuk sudah menyebabkan ribuan kematian akibat pelbagai virus yang sudah tidak asing lagi.Contohnya Aedes,Denggi,Chikungunya dan terbaru dalah virus Zika.
Nyamuk adalah sekecil-kecil haiwan yang diciptakan Allah namun mampu membawa manfaaat dan mudarat kepada manusia.Kisah Raja Namrud juga menjadi ibrah yang besar apabila seorang raja yang angkuh dan kufur kepada Allah mati akibat nyamuk kecil yang membunuhnya.

ISLAM MENITIKBERATKAN KEBERSIHAN

 Hadith Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa kebersihan adalah separuh daripada iman.Tidak hairanlah apabila sebarang penyakit dan virus yang melanda dunia moden pada hari ini berpunca dari masalah kebersihan di persekitaran kita.Allah menurunkan bala sebagai bentuk peringatan kepada manusia akibat dari tangan manusia itu sendiri.Maka langkah terbaik adalah dengan menjaga kebersihan di komuniti kita dahulu sebelum ke peringkat yang lebih besar.Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.Allah berfirman:

“Wahai Tuhan kami!Tidaklah  Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia.Maha Suci Engkau,maka peliharalah kami dari azab neraka”[Surah Ali Imran:191]

Kesimpulannya,adalah setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati.Sebagai mahasiswa Islam, menjadi kewajipan kita untuk menjaga diri dan masyarakat dengan melaksanakan tuntutan Islam. Maka perubahan seharusnya bermula dari diri kita sebelum berpindah kepada orang lain.

''Bersama Bersatu Mendepani isu”
''Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan''

Sumber:
Kementerian Kesihatan Malaysia
Astro Awani

Disediakan Oleh:

Unit Penerangan dan Informasi
Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM sesi 2015/2016