SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, November 24, 2016

Talkshow Bersama Graduan : Pemangkin sebuah kejayaan




21 NOVEMBER 2016, KAHERAH – Lajnah Pendidikan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan “Talkshow bersama Graduan yang bertajuk “Maan Nanjah”  bertempat di Sutuh Rumah Selangor, Hayyu Asyir.

         Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan motivasi dan semangat dalam diri ahli BKASM untuk bersama-sama mencapai kejayaan dalam akademik.

        Talkshow bersama Graduan yang bertajuk “Maan Nanjah” telah bermula pada pukul 8.00 malam. Antara ahli panel yang dijemput adalah dalam kalangan graduan ikhwah dan akhawat iaitu Muhammad Faez Ehsan bin Mohd Supian, graduan Bahasa Arab manakala Nor Jannah binti Omar selaku graduan Syariah Islamiah bersama moderator Khairul Zaim bin Mohd Baharin serta Talkshow ini berakhir pada jam 10.00 malam.

      Dalam talkshow ini juga ahli panel banyak memberi perkongsian bagaimana cabaran, ujian dan pengalaman yang mereka alami sepanjang menuntut ilmu di kota seribu menara yang kaya dengan pelbagai ilmu bukan sekadar ilmu teori bahkan juga praktikal.  Disamping itu juga, mereka turut memberikan beberapa tips kepada ahli terutamanya dalam tips belajar yang berkesan, belajar secara berkumpulan dan pengurusan masa dalam berpersatuan  selaku mahasiswa dan mahasiswi yang belajar perlembahan Nil ini.

      Semoga dengan diadakan program motivasi seperti ini, serba sedikit dapat memberi semangat baru buat seluruh ahli BKASM untuk meneruskan sesi pengkuliahan pada tahun ini sekaligus meningkatkan pencapaian akademik bagi menjayakan pembawaan usul BKASM. Ayuhlah kita berjaya bersama-sama.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :

Timbalan Setiausaha,
Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, November 23, 2016

IFTAR MAHABBAH : MEDAN MERIBAT KEBERSAMAAN



IFTAR MAHABBAH : MEDAN MERIBAT KEBERSAMAAN

21 OKTOBER 2016, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 di bawah kelolaan Lajnah Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama Lajnah Penempatan dan Perumahan telah mengadakan  program Iftar Mahabbah bertempat di Asrama Rumah Selangor,Hayyu Asyir.

        Bertetapan dengan tema BKASM “Memurnikan Pemikiran Meribat Kersamaan” program ini dilaksanakan bagi mengaplikasikan konsep ukhuwah sekaligus meribat kebersamaan antara ahli serta mampu melatih ahli dalam menghidupkan sunah-sunah Rasulullah S.A.W. dalam konteks yang pelbagai antaranya ziarah-menziarahi dan puasa sunat.

        Program ini dimulakan dengan Iftar Mahabbah dengan kehadiran ahli yang sangat memberangsangkan. Di samping itu, sesi taaruf juga diadakan pada setiap rumah. Pengumpulan ini juga turut diisi dengan kalam–kalam taujihad daripada pelbagai pihak, antaranya daripada kalangan AJKT BKASM dan para graduan yang bakal pulang ke tanah air. Program diteruskan lagi dengan Talkshow bersama graduan yang bertajuk “Maan Nanjah” dibawah kelolaan Lajnah Pendidikan bermula pada jam 7.00 malam.

        Harapan daripada pihak penganjur,kami mengharapkan melalui program yang dijalankan ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli asrama dan KORUS. Sepertimana yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri di mana Rasulullah S.A.W. sangat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan.

Sabda baginda yang bermaksud :
“Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan,sebahagian menguatkan sebahagian yang lain”.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :

AINATUL MARDHIAH BINTI JAMALUDDIN
Setiausaha                                                                                                          
Unit Biah Solehah                                                                                                                   Lajnah Dakwah Dan Tarbiah                                                
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti



AYUH! DAFTAR SEBAGAI JUNDI - Nukilan Siswa Siri 2


   Hijrah Rasulullah S.A.W  dari Mekah ke Madinah merupakan suatu peristiwa yang strategik. Rasulullah S.A.W menghadapi satu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya. Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda berusaha melenyapkan kebatilan yang sudah lama menjadi darah daging dalam jiwa-jiwa penduduk Mekah sehingga akhirnya si pejuang-pejuang jahiliah itu merasa tergugat dan mengambil keputusan untuk menghapuskan baginda S.A.W dari muka bumi.


      Namun, Rasulullah S.A.W tidak goyah dengan ancaman tersebut bahkan daripada tekanan-tekanan itulah baginda S.A.W bertindak menyusun satu perancangan yang teliti sehingga akhirnya negara Islam pertama dapat dibuka dan dakwah Islam tersebar luas seperti nikmat Islam yang kita kecapi saat ini. Pengembaraan ini tidak dihadapi oleh baginda S.A.W sahaja, akan tetapi baginda telah dibantu oleh satu jemaah sahabat yang terdiri daripada kalangan dewasa, pemuda, kanak-kanak mahupun wanita. Maka benarlah perjuangan Islam ini, ia tidak sempurna melainkan dengan adanya jemaah yang mempunyai hadaf yang sama.

“Tiada Islam tanpa jemaah!” (Saidina Umar Al Khattab)

     Satu jemaah yang kukuh dapat kita bina melalui keikhlasan dan keghairahan para jundi dalam menyumbangkan apa jua bentuk bantuan mengikut apa yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka. Dalam hal ini, kita boleh lihat watak-watak hebat yang telah menawarkan diri mereka ketika peristiwa hijrah dan mereka juga telah mengadakan 'jual beli' dengan Allah S.W.T, antaranya :


WATAK
SIFAT
PERISTIWA
1. Saidina Ali Abi Talib
Keimanan yang kuat dan berani
Menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W
2. Saidina Abu Bakar
Sahabat yang setia
Menemani Rasulullah S.A.W sepanjang hijrah baginda ke Madinah
3. Saidatina Asma’ Abu Bakar
Pengorbanan
Menyediakan bekalan kepada Rasulullah S.A.W dalam perjalanan
4. Abdullah bin Abu Bakar
Strategik dan bijaksana
Memantau perkembangan di Mekah dan mengkhabarkannya kepada Rasulullah S.A.W ketika baginda di Gua Thur
5. Amir bin Fuhairah
Menjaga keselamatan
Menghapus jejak kaki Abdullah daripada dikesan pihak Quraisy menggunakan kambingnya

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksaan azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Surah As-Saf : ayat 10-11)


Akhir kata, fikirkanlah! Adakah sehingga ke detik ini kita sudah sedaya upaya memposisikan diri kita sebagai salah seorang watak mujahid yang membawa dan mempertahankan Islam? Jika belum, maka bertindaklah! Walau sekecil mana sumbangan itu, yakinlah, ia pasti besar nilaiannya di sisi Allah S.W.T jika benar hati yang bekerja itu tulus keranaNya. Semoga Rasulullah S.A.W bangga dengan kita sebagai umatnya. 




"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan Oleh :
A'isyah binti Wahidan
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2016/2017





Isnin, November 21, 2016

VISI BERKEBAJIKAN : AKAUN BANK DIREALISASIKAN




Bismillahirrahmanirrahim.
     
      Bersyukur kita kepada Allah S.W.T dengan izin daripadaNya Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah berjaya mendapatkan akaun bank rasmi. Ini merupakan hasil daripada usaha pelbagai pihak pada sesi ini dan sesi sebelumnya bagi merealisasikan matlamat tersebut sejak sekian lamanya.

     Allah S.W.T telah berfirman dalam Al-Quran bahawa dalam setiap kesusahan pasti akan wujudnya kemudahan. Selari dengan ayat ini, kita di peringkat BKASM telah berusaha daripada segenap aspek antaranya melalui pengkajian di beberapa buah bank yang berada di Malaysia dan juga penghantaran wakil untuk membuat perjumpaan bersama Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus bin Hairi bagi mendapatkan bantuan perundingan kemudahan bagi memudahkan pengurusan dengan pihak bank dan ternyata perkara itu membuahkan hasil yang positif.

     Pihak kita berterima kasih kepada semua yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung terhadap gerak kerja ini dan besarlah harapan kita di peringkat BKASM dengan tertubuhnya akaun bank rasmi ini ia dapat membantu pengurusan kewangan yang lebih efektif bagi menjaga kebajikan anak Selangor di Mesir khususnya kepada ahli BKASM seterusnya meneruskan survival BKASM pada masa akan datang.


Muhamad Nazif bin Shaari
(Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017)


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, November 20, 2016

UCAPTAMA YANG DIPERTUA BKASM'16 - Melakar Sejarah Baru



17 NOVEMBER 2016, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah mengadakan program Ucaptama Yang Dipertua BKASM’16 bertempat di Sutuh Asrama Selangor, Hayyu Asyir. Kehadiran ahli sangat baik dan memenuhi setiap ruang yang disediakan baik ikhwah mahupun akhawat.

     Antara objektif pelaksanaan program ni adalah bagi memperkenalkan barisan pimpinan dan pembawaan BKASM sesi 2016/2017 disamping membuka peluang kepada ahli untuk memberi pandangan. Hal ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di antara ahli BKASM.

     Program telah dimulakan dengan Majlis Pembukaan oleh Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017, Saudara Muhamad Nazif bin Shaari pada jam 7.00 malam. Majlis berjalan dengan baik dan diteruskan dengan pelancaran Unit Biah Solehah dibawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2016/2017.

     Seterusnya program dirancakkan dengan perarakan masuk Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 dan nyanyian lagu PMRAM. Selepas itu, seluruh pimpinan memperkenalkan nama dan jawatan kepada hadirin yang hadir dan disusuli dengan Ucaptama Yang Dipertua BKASM’16 yang berlangsung selama 30 minit bagi membentangkan pembawaan BKASM pada sesi kali ini. Majlis kemudiannya membuka peluang kepada ahli yang hadir untuk memberikan perbahasan dan cadangan terhadap pembawaan BKASM. Komitmen yang diberi oleh ahli dalam memberikan pandangan amat memberangsangkan dan sangat dipuji. Segala cadangan penambahbaikan dan sokongan yang diberikan oleh ahli BKASM sangat dihargai.

     Sejurus itu, hadirin disajikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid Sufi’s Rhythm sebelum program diakhiri dengan Resolusi Ucaptama daripada Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017. Resolusi yang dibentangkan bertujuan untuk dijayakan bersama ahli dan pimpinan. Setelah selesai, hadirin menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak program.

     Harapan dari pelaksana program, agar melalui program yang dijalankan ini dapat mengukuhkan kefahaman ahli tentang pembawaan BKASM sesi 2016/2017. Maka, menjadi tuntutan kepada kita sebagai ahli BKASM untuk menyatakan kebersamaan kita dalam meneruskan survival kesatuan kita ini. 


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :

Timbalan Pengarah
Ucaptama Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, November 16, 2016

Bengkel Penulisan dan Senat Fakulti : Langkah Pertama Menjayakan Usul




12 dan 15 NOVEMBER 2016, KAHERAH - Lajnah Pendidikan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan Bengkel Penulisan Bahasa Arab dan Senat Fakulti bertempat di Sutuh Asrama Selangor, Hayyu Asyir.

         Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan tahap penguasaan ahli dalam Bahasa Arab dan membantu ahli dalam memahami pembelajaran yang berkesan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik.

        Bengkel Penulisan Bahasa Arab telah dimulakan seusai solat fardhu Isyak sekitar jam 7.30 malam. Pengisian bengkel telah disampaikan oleh Ulfatun Nadzirah binti Tugiman Razaq bagi akhawat manakala bagi ikhwah pula adalah Aimi Akmal bin Zaini. Bengkel tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada semua ahli dan berakhir pada 9.00 malam. Sebelum bengkel berakhir, setiap daripada pengisi diberikan cenderahati sebagai tanda penghargaan dari Lajnah Pendidikan di atas perkongsian ilmu yang telah dicurahkan.  

      Seterusnya aktiviti diteruskan lagi dengan Senat Fakulti pada pukul 9.30 sehingga 10.30 malam. Ia dijalankan untuk mahasiswa dan mahasisiwi tahun satu dan dua pengajian bagi kuliah Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab. Setiap mahasiswa dan mahasisiwi tahun satu dan dua telah diasingkan kumpulan mengikut tahun dan syukbah masing-masing. Antara lokasinya ialah Sutuh Rumah Selangor. Antara pengisian di dalam Senat Fakulti ialah memberikan penerangan kepada ahli berkenaan pengenalan asas tentang kuliah masing-masing serta subjek-subjek yang bakal dipelajari pada fasa satu dan dua. Sebarang persoalan yang diajukan berkaitan dengan kuliah seperti pendaftaran, peperiksaan, dan sebagainya telah dijawab dengan baik oleh ketua syukbah.

         Semoga dengan terlaksananya program ini, peringkat ahli dapat mengetahui kaedah sebenar penulisan bahasa Arab bagi membantu pembinaan ayat yang lebih baik dan penerangan tentang pengajian di kuliah dapat memberi kemudahan buat ahli pada masa akan datang dalam menyusun perancangan belajar yang sistematik.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Setiausaha,
Lajnah pendidikan,

BKASM sesi 2016/2017.

#KITAPMRAM
#MaanNanjah
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti



ISLAMLAH KESELURUHANNYA - Nukilan Siswa siri 1





Baginda Nabi Muhammad S.A.W bersabda “ Islamlah kamu, nescaya kamu akan selamat”

         Jika ditelusuri sirah, itu adalah isi surat yang ditulis oleh Nabi S.A.W yang dihantar kepada raja Rom ketika itu bernama Hercules. Rasulullah telah mengajak untuk beriman kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu pun. Pentingnya asas aqidah islam yang tulen menjadi teras keimanan kita supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang cuba meracuni pemikiran umat islam.

“ Wahai orang-orang  beriman, masuklah ke dalam islam secara keseluruhannya” (Al-Baqarah : 208)

         Firman Allah S.W.T di atas jelas menunjukkan kepada kita agar mengamalkan cara hidup islam secara keseluruhannya bukan hanya ambil sebahagian dan tolak sebahagian yang lain. Sepertimana yang kita ketahui, barat adalah pencetus  pemikiran sekular yang mengasingkan urusan dunia dengan agama. Pemikiran ini jelas bertentangan dengan konsep islam yang syumul. Tambahan pula, perkara ini menatijahkan huru-hara dan mafsadah yang besar terhadap masyarakat sejagat seperti amalan rasuah, riba , judi berlaku secara berleluasa.

Saidina Umar R.A  berkata :

“ Kita(orang-orang islam) dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita mencari agama selain daripada islam sebagai kebanggaan dan kekuatan, maka kita akan dijadikan umat yang hina oleh Allah S.W.T”.

       Intipati yang boleh diambil adalah Jika kita meninggalkan Islam maka kita akan lemah. Selain itu, kita mestilah menjadikan Al-quran dan hadis sebagai penilai baik dan buruk dalam kehidupan kita.

Metodologi Pemikiran Islam :
-Meletakkan Al-quran dan As-Sunnah sebagai Pemandu akal.
-Akal diletakkan ditempat kedua selepas Al-Quran dan As-Sunnah.
-Apabila bertembung antara akal dan nas, maka nas didahulukan berbanding akal.

         Kesimpulannya, kita seharusnya yakin dan percaya bahawa islam adalah cara hidup yang  cukup sempurna. Pengaplikasian yang berkesan mampu mensejahterakan kita dunia dan akhirat.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan Oleh :
Muhammad Nazim bin Mohd Sahaimi
Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2016/2017


Futsal Santai : Mengukuh Kebersamaan




14 NOVEMBER 2016, KAHERAH – Lajnah Kesenian dan Sukan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah mengadakan Futsal Santai yang bertempat di gelanggang futsal El Wafa’ El Amal, Madinat Nasr, Kaherah.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi mengeratkan ukhuwah dan kesatuan ahli melalui medium futsal yang dianjurkan ini. Progam ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada ahli tentang kepentingan menjaga kesihatan.

Futsal Santai ini telah dimulakan dengan ketibaan dan pembahagian pelajar mengikut kumpulan yang telah ditetapkan oleh ahli jawatankuasa yang bertugas. Seramai 100 orang ahli telah menyertai aktiviti sukan ini dan turut disertai oleh Tuan Haji Mohd. Yasser bin Abd Ghani selaku Atase Pendidikan Selangor Mesir dan Muhamad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua Bkasm sesi 2016/2017.

Seterusnya aktiviti sukan dimulakan pada jam 8.00 malam sehingga jam 10:30 malam . Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh semua pasukan dan aktiviti diteruskan dengan ucapan penutup daripada Muhamad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017 . Antara intipati yang disampaikan adalah sukan merupakan salah satu kaedah untuk mengekalkan kesihatan jasmani dan waktu yang tepat untuk menjalinkan ukhuwah sesama ahli. Malah seorang pendakwah memerlukan kesihatan dari segi mental dan fizikal agar dakwahnya berhasil. Aktiviti telah diakhiri dengan sesi bergambar dan kesemua peserta telah bersurai pada jam 11.00 malam.

 Harapan dari pihak penganjur agar program yang dijalankan ini dapat menyatukan ukhuwah dan hubungan silaturrahim antara ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir malah Allah S.W.T juga telah memerintahkan hambanya agar saling berkenal-kenalan antara sama lain.



"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


SETIAUSAHA
LAJNAH KESENIAN DAN SUKAN
BKASM SESI 2016/2017   


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Rabu, November 02, 2016

[Kenyataan YDP BKAN : Kelas Tafaquh Berpusat Bakal Dilaksanakan]




Rabu, 2 Nov 2016 - Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan wadah kesatuan anak Malaysia di Mesir yang sentiasa menjaga kebajikan ahlinya dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui mekanisme akademik, thaqafah, tarbiah , kemasyarakatan dan lain-lain.

Bertarikh 30 Oktober 2016, satu perjumpaan bersama telah diadakan oleh Majlis Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bertempat Dewan Soleh Al-Masri Rumah Penang Hayyu Sabiek. Antara perbincangan yang diutarakan adalah berkaitan inisiatif peningkatan thaqafah mahasiswa dan mahasiswi di Mesir.

Dalam perbincangan tersebut, seluruh YDP bersetuju untuk menubuhkan satu medium khas secara berpusat dalam menggerakkan kelas tafaqquh dengan lebih tersusun. Akhirnya, Majlis YDP bersetuju menamakan medium tersebut dengan nama Madrasah Al-Imam Abdullah Ibnul Mubarak.  

Antara objektif penubuhan Madrasah ini adalah menambah thaqafah ahli dari sudut ilmu turathi dan ilmu muasarah. Selain itu juga, ia adalah medium kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Mesir daripada pelbagai lapisan bidang pengajian serta meningkatkan lagi ketaatan kepada Allah SWT melalui suluk ilmu.

Sebelum berakhirnya pertemuan tersebut, Majlis YDP bersetuju melantik Ustaz Khairul Faris Bin Abdul Aziz, Ketua Koordinator Kebajikan Majlis Gabungan BKAN (MG BKAN) sebagai Penasihat Madrasah Al-Imam Abdullah Ibnul Mubarak. Manakala Ustaz Muhammad Amirul Fitri Bin Mazlan sebagai Pengarah Madrasah Al-Imam Abdullah Ibnul Mubarak dan timbalannya Ustazah Nor Latifah Binti Jupri. Sebarang pemakluman berkaitan Madrasah ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Semoga dengan usaha yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi thaqafah di peringkat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir dalam mendalami khazanah ilmu Islam dengan sebaiknya.


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti