SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Disember 29, 2016

BERWASPADA DENGAN FITNAH MAYA Nukilan Siswa siri 7

      Fenomena ‘Dunia di Hujung Jari’ ini menatijahkan masyarakat hari ini memperoleh maklumat yang luas tanpa batasan dengan kemudahan pelbagai aplikasi sosial yang tersedia dalam teknologi-teknologi pintar masing-masing. Jika dilihat daripada suatu sudut, ia merupakan satu perkembangan yang positif di mana Internet ataupun media sosial khususnya, kian menjadi medium maklumat terkini dan sumber ilmu pengetahuan. Namun malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku.

      Jika semua maklumat di hujung jari, maka ia mudah disebarkan tanpa henti. Lambakan isu dan khabar angin kerap dimuat naik di paparan media sosial tanpa diketahui sumber dan tahap kesahihannya. Menurut Dr. Muhamad Faisal, Anonymity (tidak diketahui identiti) dan Instantaneous (kesegeraan) adalah antara ciri terpenting kepada media baharu dan dunia maya. Jelaslah bahawa dua ciri ini mengakibatkan penyebaran khabar angin tanpa tapisan dalam dunia maya.

      Ciri Anonymity ini dapat dilihat apabila individu yang menyebarkan khabar angina akan melepaskan dirinya dan meninggalkan kesan buruk yang bakal berlaku terhadap dunia luar daripada perbuatannya itu kerana mereka merasakan identitinya tidak diketahui umum dan dia berasa dirinya dalam keadaan yang selamat. Selain itu, Sesuatu isu juga mudah tersebar kerana terhasil daripada sikap tergesa-gesa dan tanpa berfikir panjang serta mahu berlumba menjadi orang yang paling awal megetahui sesuatu isu.

      Junjungan Rasulullah S.A.W telah memberi peringatan kepada umatnya :

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Maksudnya : Seseorang itu boleh dianggap berdusta apabila menyebarkan setiap berita yang dia dengari. (Riwayat Muslim)

           Oleh yang demikian, bagaimanakah seharusnya seorang muslim berperanan dalam menangani fitnah maya yang semakin berleluasa ini? Antara usaha  yang boleh dilakukan adalah:

1- Meneliti kesahihan sesuatu berita yang sampai kepada kita dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya terlebih dahulu sebagaimana saranan Allah S.WT yang termaktub dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6.

2- Mengurangkan pergerakan maklumat bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi yang hanya mengeruhkan lagi keadaan, sejajar dengan mafhum sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut di mana apabila berlaku suatu fitnah, orang yang duduk (diam) itu lebih baik daripada orang yang berdiri.

      Akhir kalam, setiap sebaran maklumat perlulah ditapis dengan pertimbangan akal dan iman. Fikirkan kesan sebelum butang ‘Kongsi’ ditekan.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:

Siti Hawa binti Mohamad Maarof
Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah

BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, Disember 25, 2016

[ MAJLIS RAMAH MESRA : JALINAN TERUS DIPERKASA ]


21 & 22 Disember 2016, ISKANDARIAH dan KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Yang Berhormat Dato' Haji Dr. Ahmad Yunus bin Hairi, selaku Pengerusi Tetap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor yang bertempat di Bangunan MARA di Iskandariah dan Asrama Rumah Selangor Hayyu Asyir, Kaherah.

Majlis Ramah Mesra di Iskandariah yang bermula jam 7.00 malam telah berjaya mengumpulkan kira-kira 40 orang pelajar Selangor yang menuntut dalam bidang kedoktoran di Alexandria University. Majlis yang berakhir pada jam 8.30 malam ini berjalan dengan lancar.
Seterusnya pda hari kedua, Majlis Ramah Mesra telah berlangsung di Asrama Rumah Selangor Hayyu Asyir, Kaherah dan dihadiri kira-kira 250 orang ahli Selangor dari Kaherah. Majlis ini bermula pada jam 3.30 petang dan berakhir pada pada jam 5.00 petang.
Kedua-dua majlis berjalan dengan lancar dan menerima komitmen yang baik daripada semua mahasiswa dan mahasiswi Selangor.

Yang Berhormat Dato' Haji Dr. Ahmad Yunus bin Hairi menyampaikan ucapan dengan harapan supaya semua pelajar dapat menumpukan perhatian kepada ilmu dan pendidikan untuk diaplikasikan di tanah air nanti. Disamping itu, Yang Berhormat turut menyerahkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu pengurusan dan kelangsungan program pendidikan pelajar Selangor di Mesir.

Di kesempatan yang ada, Yang Berhormat turut menziarahi penempatan asrama Selangor dan beramah mesra dengan para pelajar. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Pejabat Atase dan BKASM kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Dr. Ahmad Yunus bin Hairi.
BKASM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi di atas kesudian untuk bersama dalam majlis ini. Terima kasih juga buat semua anak-anak Selangor yang sudi hadir memeriahkan majlis. Semoga pertemuan ini dapat membantu kehidupan mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai sudut serta mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Selangor di perlembahan Nil.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh,

Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Disember 23, 2016

IKTIBAR SEJARAH Nukilan Siswa siri 6

            Biasa kita  mendengar perumpamaan mereka yang tidak mahu megambil pengajaran daripada sejarah biasanya akan mengulangi kesilapan  yang telah berlaku. Sekiranya kita mendalami ayat-ayat Quran dan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu, banyak yang kita boleh ambil manfaat dan jadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Allah S.W.T menceritakan kepada manusia di dalam al-Quran tentang peristiwa-peristiwa sejarah agar manusia mengambil iktibar daripadanya. Melalui dengan peristiwa peperangan Badar, Allah S.W.T berfirman :

         “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu dalam keadaan lemah, kerana itu bertakwalah kepada Allah agar kamu mensyukuriNya.(Surah Ali-imran : ayat 123)

             Ayat ini menerangkan tentang hikmah pensyariatan pergi berperang walaupun dalam keadaan lemah. Lemah yang dimaksudkan itu adalah kekurangan senjata dan bilangan tentera ketika itu sangat sedikit berbanding pihak musuh. Namun kekuatan mereka bukan terletak pada senjata atau bilangan tenteranya tetapi kekuatan sebenar terletak pada Allah S.W.T. Apakah gunanya senjata dan tentera yang ramai tetapi tiada keberanian?, di sini Allah S.W.T ingin menunjukkan kepada kita semua ini adalah di bawah kawalan dan jagaan Allah S.W.T.

              Berbeza dengan peristiwa yang berlaku di dalam peperangan Hunain, Allah telah memberi pengajaran kepada orang-orang mukmin. Firman Allah S.W.T :

        Sesungguhnya Allah telah menolong (orang-orang mukmin) di medan perang dan ingatlah ketika di  perang Hunain, sewaktu jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu tetapi jumlah yang banyak itu sama sekali tidak berguna dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang langgang.(Surah At-Taubah : ayat 25)

            Tambahan daripada ayat ini menceritakan umat Islam mempunyai tenaga fizikal dan bilangan yang lebih ramai daripada pihak musuh sehingga terdapat di kalangan tentera Islam yang menyatakan,”Kita pasti menang“ kerana bilangan mereka ramai. Kata-kata itu menyebabkan Rasulullah S.A.W tidak selesa kerana menunjukkan kesombongan dan merasakan sebab kemenangan adalah kerana bilangan yang ramai. Akhirnya, mereka dikalahkan pada awalnya lantas menjadi pengajaran besar daripada Allah S.W.T kepada umat Islam ketika itu.

Persoalannya, mengapakah umat Islam diberikan kemenangan dalam peperangan Badar yang jumlah tenteranya sedikit dan tewas pula dalam peperangan Hunain yang jumlah tenteranya ramai berbanding musuh? Ini adalah kerana m ereka beranggapan bilangan yang ramai memberi kemenangan seolah-olah Allah S.W.T tiada peranan ketika itu. Sebenarnya Allah S.A.W hendak mengajarkan kepada kita supaya merendahkan diri dan bergantung sepenuh kepadaNya. Ia juga bukan bermaksud kita boleh berpeluk tubuh tanpa berusaha kerana usaha akan berhasil  sekiranya tawakal itu diseiringkan.

Oleh itu, kita perlulah meletakkan sepenuhnya tawakkal kepada Allah S.W.T dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan diiringi dengan usaha. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar sirah perjuangan nabi dan umat Islam terdahulu agar dapat menjadikan diri kita individu yang lebih memahami hakikat Islam sebenar serta merasai kemanisan Islam sebenar dengan menghayati kandungan  al-Quran dan sunnah.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Muhammad Hazim bin Mustafid
Ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Disember 15, 2016

KEMESTIAN HIDUP DENGAN ISLAM Nukilan Siswa siri 5



Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu".(Surah al-Maidah : ayat 3)

Apabila didahulukan teori bukan Islam sebagai solusi maka jelaslah ia menunjukkan adanya kepincangan iman dan akidah. Menganggap Islam tidak perlu diberi peranan, bererti ia mencabar ketuhanan Allah dan kesempurnaan agama. Paling membimbangkan lagi apabila fahaman ini bukan sahaja dipegang oleh golongan bijak pandai bahkan ia turut sama menguasai pemikiran golongan agamawan sehingga berani mengeluarkan pendapat yang menunjukkan keraguan mereka terhadap Islam.

Maka sebenarnya manusia memerlukan penyelesaian Islam sebagai agama fitrah. Keistimewaan Islam yang paling utama adalah rabbani dari segi sumber dan matlamatnya. Islam bukannya ciptaan manusia yang lemah ataupun direka semata-mata mengikut tempat dan keadaan tetapi ia merupakan ciptaan Allah S.W.T yang Maha Mengetahui fitrah manusia itu sendiri. Kekuatan matlamatnya adalah menghubungkan manusia dengan Tuhan merangkumi hidup individu, keluarga, masyarakat, negara bahkan segalanya.

Kemudian disusuli dengan dasar Islam adalah untuk kemanusiaan sejagat, menyeluruh suluhan hidayah tanpa mengira bangsa dan keturunan yang akhirnya mencetuskan keadilan mutlak tanpa memandang taraf dengan memelihara kepentingan agama, maruah, nyawa, akal dan harta. Hal ini penting demi kebahagiaan manusia dunia dan akhirat.

Islam berbeza dengan liberalisme yang memberi hak pada individu sebagaimana dakwaan mereka, tetapi kadang kala mencabul kepentingan masyarakat dan tidak pula seperti sosialisme yang kononnya memperjuangkan suara komuniti dengan cara tidak menghormati hak individu. Maka, Islam meletakkan ikatan dan syarat pada setiap golongan sama ada bersifat individu atau hak masyarakat sekalipun. Perseimbangan antara individu dan masyarakat menjadikan Islam agama persaudaraan dan kasih sayang.

Keteguhan dan kematangan Islam dalam membetulkan apa yang salah dan tegas terhadap perkara yang tsabit bertepatan dengan prinsip Islam sebagai al-Din, yang telah membuktikan kemampuan dan kejayaannya menghadapi masalah hidup manusia sejajar dengan perkembangan semasa dan masyarakat. Sehingga akhirnya membentuk gagasan umat Islam yang bersatu.

Rasulullah bersabda dengan membaca firman Allah S.W.T :

“Sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah engkau mengikuti jalan-jalan lain, kerana akan mencerai beraikanmu dari jalanNya. Demikian itulah Allah wasiatkan kepadamu agar kamu bertakwa". (Riwayat Ahmad)

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang diredaiNya.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :

Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#bersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Ahad, Disember 11, 2016

KURSUS PRA PERKAHWINAN ISLAM : MENUJU MAHLIGAI PERKAHWINAN


7 & 8 DISEMBER 2016, KAHERAH - Kursus Pra Perkahwinan Islam yang diadakan di Asrama Selangor Hayyu Asyir ini adalah anjuran Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir dan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor.

Program yang julung kalinya diadakan ini menampilkan Encik Suhaimi bin Ahmad Wakid sebagai pengisi utama yang khas didatangkan daripada Malaysia. Sebanyak 8 slot dibentangkan sepanjang dua hari program ini berlangsung. Turut diadakan slot kesihatan daripada saudara Imran bin Kasran dan juga slot prosedur nikah di Mesir oleh saudara Ezzani bin Ismail.

Program ini mendapat respon yang baik daripada kalangan peserta yang hadir di samping lawak jenaka yang diselingankan oleh pengisi menjadikan pengisian lebih santai dan menarik.

Alhamdulillah, semoga program yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan awal kepada anak-anak Selangor yang berada di perlembahan Nil ini berkaitan ilmu rumah tangga dalam Islam. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Setiausaha 
Kursus Pra Perkahwinan Islam

BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Disember 09, 2016

SUNNAH WAJIB YANG SEMAKIN DILUPAI Nukilan Siswa siri 4


“Maka demi TuhanMu, mereka tidak beriman sbelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan,(sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.(Surah An-Nisa : ayat 65)

Tarbiah Islamiah adalah satu aspek yang membina dan mendidik manusia agar berhukum dengan syariat Allah dalam segala perilaku perbuatannya dengan penuh kepasrahan bahkan tidak ada rasa sempit atau rasa keberatan dalam hati orang mukmin itu.

Apabila disebutkan tentang menegakkan hukum Allah S.W.T perlu difahami bahawa tarbiah dan dakwah ini perlu bergerak secara seiring malah konsisten. Sebagai contoh, walaupun Nabi Muhammad S.A.W berdakwah secara rasminya pada usia 40 tahun, tetapi baginda sudah menyediakan model dakwah sebelum daripada itu lagi. Salah satunya yang telah disusun oleh Allah S.W.T adalah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga bagindar digelar Al-Amin. Rasulullah S.A.W juga mendapat tarbiah daripada Allah S.W.T melalui Malaikat Jibril A.S sehinggalah baginda wafat. Inilah yang seharusnya kita ambil sebagai umat Nabi Muhammad jadikan sebagai pedoman.

Oleh yang demikian, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah Islam kerana semua manusia diciptakan di atas muka bumi ini telah memegang amanah sebagai seorang khalifah .Selain itu, lapangan dakwah dan tarbiah adalah perkara terpenting  yang memerlukan lebih banyak persediaan dan bekalan kerana perjalanan perjuangan dakwah bukan mudah malah jauh dan sukar seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran
               “Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa amat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah “ Jikalau kami sanggup nescaya kami akan berangkat bersamamu. Mereka membinasakan diri mereka dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta”. (Surah At-Taubah : ayat 42)

Begitu juga dengan segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum berbanding penyeru kearah kebenaran. Walaupun ilmu menggunung setinggi langit, tetapi tarbiah yang telah diserapkan tidak menyentuh jiwa maka perlulah kita kembali kepada Allah S.W.T.

Sebagai manusia kita hidup di muka bumi Allah ini hanyalah sebagai penumpang dan semua yang kita miliki hanyalah pinjaman sementara yang Allah berikan. Maka gunakanlah sebaik-baiknya nikmat yang Allah kurniakan supaya kita semua tergolong dalam golongan orang yang bersyukur.
Siiru ala barakatillah
Wallahualam

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
Siti Rahmah binti Ismail
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
BersatuBerbakti



Jumaat, Disember 02, 2016

BENCANA ROHINGYA – SUDAH HILANGKAH SENSITIVITI KITA? Nukilan Siswa siri 3

Mutakhir ini, dunia berlalu dengan pelbagai kejadian buruk yang berlaku di sekitar kita. Kisah pembunuhan dan penzaliman terus berlaku hari demi hari seolah-olah nyawa manusia tiada nilainya. Lebih menyedihkan lagi, episod-episod kekejaman ini kebanyakannya berlaku terhadap masyarakat muslim, seolah-olah kekejaman ini suatu isu yang telah disusun oleh pihak musuh. Hari ini, dunia dibentangkan dengan kekejaman genocide atau pembunuhan beramai-ramai yang berlaku terhadap etnik Rohingya. Kekejaman yang berlaku ini bukanlah perkara baru tetapi telah berlarutan selama bertahun lamanya. Sehingga kini, lebih 30 ribu penduduk terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan meninggalkan rumah kediaman sebelum menjadi mangsa kezaliman di negara sendiri.
                                                                          
Umum mengetahui, tragedi berdarah yang melanda etnik Rohingya ini bukanlah perkara baru. Namun apa yang dikesalkan, tiada satu pun agensi antarabangsa yang bangun bertindak melawan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Myanmar. Dunia terus sunyi dan diam membisu terhadap keadaan ini melambangkan wujud diskriminasi dalam memilih genocide yang mana hendak diberi perhatian dan diberi pembelaan.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya :

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang perihal saudara Islam yang lain, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka”.(Riwayat Muslim)

Hadith ini menunjukkan pentingnya seorang muslim itu cakna dan prihatin terhadap apa yang berlaku terhadap muslim yang lain. Malah, nilai sensitiviti itu juga perlu wujud dalam setiap insan bergelar muslim. Namun, apa yang dikesalkan apabila beberapa negara Islam disekeliling tanah berdarah ini hanya tahu membatu diri, seolah-olah telah hilang sensitiviti dalam diri sebagai saudara seakidah. Suara kesatuan Islam yang sepatutnya menjadi yang pertama membela nasib mereka juga tidak kedengaran.

Persoalannya,
Di mana dunia yang kononnya penegak keadilan?
Di mana agensi-agensi antarabangsa yang kononnya melaungkan kempen anti keganasan?

Hari ini, Rohingya boleh diibaratkan seperti sebuah bangsa tanpa negara. Walhal tanah yang mereka tinggal itulah kediaman asal mereka. Kewujudan mereka dianggap tidak sah. Mereka dihalau, ditangkap dan dipenjarakan, seolah-olah mereka adalah masyarakat yang datang tumpang berteduh. Sedih dan pilu melihat nasib rakyat Rohingya, manakala dunia terus diam membisu seribu bahasa dan terus tunduk memekakkan telinga. Penderitaan bangsa Rohingya semakin tidak terlihat nilai kemanusiannya.

Sabda Rasulullah S.A.W mafhumnya :

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)  

Oleh yang demikian, perlunya umat Islam bangun bersatu. Tegakkanlah perkara yang sudah jelas kebenarannya. Laungkanlah belas ihsan untuk mereka. Jangan kita diam membatu membiarkan saudara seagama kita dipijak, dicabul tidak dibela. Sedarlah bahawasanya bangsa Rohingya ialah saudara seagama kita, walau berbeza nama dan rupa. Jangan kita biarkan saudara seagama kita dipijak, dibunuh oleh kafir yang sememangnya menanam rasa benci pada nama ‘Islam’ itu sendiri.

Wallahua’lam.


Disediakan oleh :

Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Kebajikan 
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Khamis, Disember 01, 2016

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK AMALI





Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah dalam kalangan ahli. Penerapan unsur tarbiah adalah sangat penting bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan sahsiah manakala penguasaan ilmu yang bersifat turathi mahupun kontemporari serta kemahiran dalam memimpin adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang enteng.

Sempena imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKASM sesi 2016/2017 telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 2 Disember 2016.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba.

BKASM mendoakan agar semua mahasiswa dan mahasiswi memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini.


"Keunggulan Sahsiah Pemangkin Mahasiswa Bertakwa"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA 1


Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah badan persatuan yang sangat menitikberatkan tentang kebajikan ahli termasuk hal ehwal berkaitan pendidikan.

Semua maklum bahawa pengajian fasa pertama sesi 2016/2017 yang semakin rancak dalam tempoh menuju musim peperiksaan serta mahasiswa/wi juga kini sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi mendapatkan kejayaan yang dicita-citakan dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 1 Disember 2016 adalah tarikh penangguhan bagi sebarang program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Ini bagi memberi persediaan dan nilai tambah kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Usaha itu tangga kejayaan. Oleh yang demikian, mahasiswa/wi diharapkan dapat mempertingkatkan prestasi, berikan sepenuh konsentrasi, dan serlahkan segala potensi kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.

Serta yang paling penting,  dinasihatkan supaya mahasiswa/wi kuatkan hubungan dengan Allah Taala, kerana Dialah Yang Berkuasa menentukan segalanya. Maka, teruskan memohon dan berharap kepadaNya.

Seterusnya, diharapkan agar semua mahasiswa/wi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Akhirnya, jadikanlah kejayaan yang diperolehi sebagai penyebab bertambahnya takwa kepada Allah kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang paling bertakwa.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Aiman Fitry bin Zulkifli
Timbalan Yang Dipertua I (Lajnah Perancang 1)
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti