Khamis, Januari 26, 2017

KEBAJIKAN BERTERASKAN WAHYU ILAHI Nukilan Siswa siri 11


            Pemilihan Mekah sebagai tempat bermulanya penyebaran Islam menjadi tanda tanya ramai pengkaji sejarah. Mana tidaknya, ia kawasan yang tandus malah dipenuhi dengan kehidupan berasaskan jahiliah. Sedangkan Rom dan Parsi pada waktu itu, telah jauh meninggalkan bangsa arab dalam aspek kemajuan Negara. Tapi mengapa nabi tidak dipilih di kalangan bangsa Rom dan Parsi? Bukankah lebih mudah menyebarkan Islam dalam keadaan harta dan segala keperluan mencukupi?

                Sesuatu yang boleh kita perhatikan dalam sejarah Kerasulan Baginda S.A.W, ketamadunan manusia yang sebenar tidak bermula dengan material, tetapi bermula dengan tarbiah berbentuk akidah dan keimanan.

                Maka tidak hairanlah Saidina Umar al-Khattab R.A dengan lantang berkata :

                                “ Kita adalah bangsa yang dimuliakan dengan Islam”

                Tanpa menafikan kepentingan dunia dan harta benda dalam melayari kehidupan yang fana ini, aspek pembanggunan insan perlu lebih diutamakan. Rasulullah sendiri mementingkan pembanggunan ini dalam jati diri umat Islam lebih 10 tahun di bumi Mekah. Seandainya kita merasakan kebajikan itu hanya berbentuk material dan kebendaan, kita akan dapati Baginda sendiri gagal memberikan kebajikan kepada umatnya!

                Namun, ia tidak begitu. Masyarakat yang dahaga dan kelaparan memerlukan makanan untuk melakukan sesuatu perkara ataupun pekerjaan. Peranan kita bukan sahaja memastikan masyarakat kenyang sahaja. Ya, perut yang kosong itu perlu diisi. Tetapi, mereka juga ada hati yang kosong. Ia juga perlu diisi dengan keimanan kepada Ilahi, agar tenaga yang dihasilkan selepas mereka berada dalam keadaan yang kenyang mampu disalurkan ke arah kebaikan.

                Oleh yang demikian, satu perkara yang perlu kita faham bahawa kebajikan yang sebenar bermula dengan menanamkan keimanan kepada Allah. Agar nikmat material yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita selepas itu dapat diuruskan sebaiknya ke arah mencapai keredaanNya.

                Selaras dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud :
             “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu adalah berimannya seseorang kepada Allah S.W.T dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah : ayat 177)
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Hafiz bin Rasimi
Ketua Jabatan Fasiitator 
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti





0 comments:

Catat Ulasan