Khamis, Februari 23, 2017

HATI YANG PUAS LAGI DIREDAI Nukilan Siswa siri 15

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : 

 “Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu.” (Surah Al Fajr : ayat 27-30)

       Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupannya. Di antara cara-cara memimpin hati adalah ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya adalah untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tiada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

Pelbagai perkara dapat kita lakukan untuk mendapatkan hati yang bersih antaranya melalui Mujahadatunnafsi, Istiqamah,Tafakur,bergaul dengan orang yang baik dan pimpinan mursyid.

        Mujahadatunnafsi  itu perlu menempuh tiga peringkat iaitu:

1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli  - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli  - terasa kebesaran dan kehebatan Allah S.W.T atau sentiasa rasa bertuhan.

         Seterusnya untuk mendapatkan hati yang bersih perlulah bersikap istiqamah (tetap) beramal adalah merupakan salah satu daripada benteng-benteng iman. Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?

      Yang penting dalam beramal adalah mengekalkan amalan itu. Kalau tidak mampu berbuat banyak amalan, cukuplah sedikit, asal dikekalkan (istiqamah), daripada banyak amalan tetapi tidak kekal. Contohnya, membaca Al-Quran, cukuplah lima baris sahaja tetapi dibuat pada setiap hari daripada lima juz sekali baca tetapi dibuat sebulan sekali. Sembahyang sunat pula, cukuplah dua rakaat tiap-tiap malam daripada seratus rakaat tetapi sebulan sekali. Begitu juga dengan sedekah. Biar hanya 10 sen setiap hari daripada RM10 tetapi setahun sekali.

        Pelbagai manfaat yang bakal kita peroleh dari sikap istiqamah antaranya amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu tersebut. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.

   Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seimbang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu. Maknanya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak kita.

Imam Al Ghazali pernah mengingatkan, “Banyakkanlah olehmu akan amalan yang terasa berbekas di hati.”

    Maka sebagai muslim yang menuntut ilmu dan melakukan gerak kerja Islam perlulah mempunyai hati yang bersih agar setiap perkara yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah S.W.T dan jadikan reda Allah adalah matlamat yang utama.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh:

Syaidatul Humaira' binti Mohd Naim
Timbalan Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#Bersatu Berbakti





0 comments:

Catat Ulasan