SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Mac 30, 2017

MUSLIMAHKU, INILAH KEMULIAANMU ! Nukilan Siswa Siri 20



Islam sebagai aturan utama kehidupan daripada Allah S.W.T. Manusia sama ada lelaki mahupun wanita telah diberi panduan, peranan dan fungsi yang baik dalam menjalani kehidupan berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Perbezaan ini tidak boleh dipandang ada kesamarataan atau ketidaksamarataan gender, melainkan semata-mata ia hanyalah pembahagian tugas yang sama-sama penting dalam upaya merealisasikan tujuan kehidupan yang sebenar iaitu kebahagiaan hakiki di bawah reda Ilahi.

                Pengkhususan hukum dalam Islam bagi lelaki dan wanita tidak bermakna adanya penghinaan atau dominasi satu pihak ke atas pihak yang lain. Masing-masing mempunyai kesempatan dan peluang yang sama untuk meraih kemuliaan dan taqwa di sisiNya.

Firman Allah Azza Wa Jalla :
يأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر أو أنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuka-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.”

                Hal ini berbeza dengan pandangan sesetengah wanita daripada golongan feminis. Mereka menganggap bahawa kemuliaan wanita bergantung kepada kesamarataan hak dan tanggungjawab yang diamanahkan. Bahkan mereka lebih mementingkan skop kuantiti aktiviti bukan kualiti sehinggakan wanita yang berperanan sebagai seorang suri rumah dipandang sepi berbanding wanita yang bekerjaya di luar.

                Dalam perkara ini, tidak bererti Islam melarang muslimah beraktiviti di luar rumah, tetapi ada akhlak, tatacara dan aturannya supaya batas-batas dan nilai kehormatan Islam tetap terus terjaga. Namun, amat menyedihkan apabila melihat wanita-wanita Islam kadang terlalu mudah mengikut fahaman feminisma ini. Lebih malang lagi, mereka berjaya dijadikan umpan untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Nauzubillahi min zalik.

Agama Islam sangat menghargai dan memuliakan kaum wanita . Hiasilah diri dengan kesucian dan kemuliaan, hindarilah diri daripada sifat keji dan kehinaan yang boleh merosakkan jati diri seorang muslimah. 

‘Kerana Muslimah Itu Begitu Berharga’

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh :
Aisyah Binti Mhd. Shukeri
Timbalan Yang Dipertua II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017


Selasa, Mac 28, 2017

[ PERMOHONAN DANA MAHABBAH FASA 1 ]



Cara-cara permohonan :-
1. Muat turun borang di web BKASM
2. Isi maklumat dengan lengkap 
3. Scan dan email kepada pentadbiranbkasm@gmail.com

Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 April 2017.

"Ithar Dihayati Mahabbah Dirasai"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Unit Dana Mahabbah
Jabatan Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Mac 23, 2017

JADILAH RIBBIYYUN ! Nukilan Siswa Siri 19



          Kita mungkin boleh meniru para salafussoleh dalam memenuhi tuntutan qiam dan solat mereka akan tetapi amat sukar untuk meniru dalam memberi kesetiaan yang tinggi dalam perjuangan mereka menjaga agama islam.

            Betapa ramai yang mampu untuk memenuhi kuota haji dan umrah akan tetapi amat malang apabila meletakkan masyarakat bukan urusan mereka.

         Kita mampu untuk memberi nasihat dan pengajaran untuk terus maju ke hadapan terhadap ahli-ahli keluarga, sahabat-sahabat dan yang lain tetapi amat sukar untuk mendidik mereka supaya sayang dan cinta terhadap apa yang ditinggalkan dan dirasai oleh Rasulullah S.A.W.

         Telah tiba saatnya kita kembali kepada Allah dengan meninggalkan segala keseronokan dan syahwat. Telah tiba saatnya kita  menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan dan perjuangan Rasulullah S.A.W. Janganlah kita hanya mengenali baginda tetapi enggan mengikut baginda. Ahli kitab yang pada awalnya kelihatan tidak sabar-sabar mahu bersama nabi akhir zaman rupa-rupanya mereka hanya mahir berkaitan biodata dan maklumat berkaitan nabi tetapi enggan mengikuti ajaran nabi. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud :

        “merekalah yang telah kami kurniakan kitab, mereka mengetahui tentangnya(nabi) seperti mereka kenal anak-anak mereka. dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka tahu.” (Surah Al-Baqarah : ayat 146)

Jadilah Ribbiyyun !!!

         Al quran telah menjelaskan ciri-ciri khusus tentang golongan yang setia dengan ajaran para nabi dan rasul. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“dan berapa ramai nabi yang berjuang, bersama mereka pengikut-pengikut yang bertakwa yang ramai. Mereka tidak merasa terhina dengan cabaran yang ditempuhi sepanjang berada di jalan Allah, mereka tidak lemah dan mereka tidak menyerah kalah. Allah amat mengasihi golongan yang sabar.” (Surah Ali Imran : ayat 146)

        Untuk menjadi ribbiyun mestilah kuat bersabar dengan islam apatah lagi kita berada di zaman fitnah Islamophobia pada hari ini.

Zaman umat terlalu merindukan Nabi.

         Perkara bohong menjadi benar dan perkara benar menjadi bohong. Amanah menjadi khianat,Khianat menjadi amanah. Dunia menjadi jahanam, manusia hilang kewarasan. Paradigma manusia menjadi songsang.

       Ketika itu, umat islam seolah-olah menjadikan angan-angan bertemu dengan nabi sebagai nikmat yang meringankan penderitaan yang sedang mereka alami.

Biarlah ungkapan sayang dan rindu kita kepada nabi sepadan dengan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah. Jadilah seorang muslim yang beriman, mendukung iman dan memperjuangkan iman.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
Muhamad Nazif bin Shaari
Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

KENYATAAN YDP BKAN : KONGRES BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI


22 Mac 2017 - Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan wadah kesatuan pelajar Malaysia di Mesir yang menyediakan platform dalam membincangkan perihal permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Antaranya adalah berkenaan pendidikan, kebajikan, dan keselamatan.

Pada Ahad 19 Mac 2017 yang lalu, telah diadakan pertemuan berkala barisan Yang di-Pertua BKAN yang bertempat di perpustakaan Asrama Rumah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) Ustaz Abdul Wafi Bin Alias. Antara perbincangan yang diutarakan adalah berkenaan kesatuan mahasiswa di Mesir. Oleh itu, seluruh Yang di-Pertua BKAN sebulat suara bersepakat untuk menganjurkan sebuah perhimpunan mega mahasiswa Malaysia di Mesir dengan nama Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri. Kongres ini dianjurkan bagi mendapatkan suara ahli berkaitan permasalahan yang berlaku di peringkat BKAN masing-masing. Selain itu, sidang mesyuarat juga telah membincangkan bagi pemilihan jawatankuasa Koordinator Majlis Gabungan Anak Negeri bagi sesi yang baru setelah segenap setahun perjalanan jawatankuasa tersebut.

Bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, sidang mesyuarat telah bersepakat untuk melantik pengarah dan timbalan pengarah dalam kalangan Jawatankuasa Koordinator Majlis Gabungan BKAN iaitu Ustaz Muhammad Hilmi Bin Hussin Shokri dan Ustazah Norliyana Binti Mohd Akhir. Perjalanan program ini akan dipantau dari semasa ke semasa oleh barisan Yang di-Pertua BKAN sendiri.

Semoga hasrat kesatuan yang ingin dicapai ini dapat memebuahkan semangat kebersamaan mahasiswa/wi Islam dalam mendepani segala ujian dan mehnah dengan sebaiknya.

'Muafakat Asas Kejayaan'
'Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan'

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Mac 17, 2017

HINDARI PENYAKIT POPULISME Nukilan Siswa siri 18





     Rasulullah S.A.W bersabda: “ Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berlawan dengan ulama, atau berdebat dengan orang kurang cerdik atau untuk mengalihkan perhatian orang kepadanya, Allah akan masukkannya ke dalam neraka”.  (Riwayat Tarmizi)

     Dewasa ini, penyakit populisme dalam kalangan para ahli ilmu semakin menjadi-jadi. Tujuan serta hadaf utama menuntut ilmu semakin pudar dek mengejar populariti daripada amanah ilmu. Kebenaran sesuatu perkara takut dinyatakan kerana bimbang akan dibenci oleh orang ramai seterusnya menonjolkan perkara-perkara yang palsu.

     Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda berkaitan ancaman bagi mereka yang menuntut ilmu hanya untuk mencari populariti dan kedudukan. Seharusnya para ahli ilmu sentiasa ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan bukan menjadi “kitmanul’ilm”. Amanah ilmu ini wajib dibawa bagi mengelakkan lupusnya ilmu yang mengikut peredaran zaman.

       Imam Syatibi menyebut dalam kitabnya Al-I’tisham; “ Sesuatu yang paling akhir hilang daripada orang yang soleh adalah apabila berkeinginan untuk berkuasa dan berkeinginan untuk menjadi popular”. Penyakit ini perlu sentiasa dihindari dan dijauhkan. Seorang pendakwah juga ada menyebut; “Ramai orang yang memilih bercakap apa yang orang suka supaya ramai orang datang kepadanya. Janganlah sesekali menjadi sebegini, cakaplah apa yang Allah perintah dan cakaplah juga apa yang Allah larang. Bercakaplah benar biarpun semua orang lari”.

      Akhirnya, semua penyakit ini berpunca daripada hati dan niat seseorang. Marilah kita sama-sama menanam niat yang ikhlas kerana Allah dan murnikan hati kita agar tidak terjebak dalam penyakit populisme ini. Semoga Allah menuntun kita ke arah jalan yang benar.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan” 

Disediakan oleh:
Luqmanulhafiz bin Mohd Amir
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, Mac 15, 2017

FLAME ’17 : MELEBAR KEBAJIKAN MEMAKNAKAN KEBERSAMAAN


11-13 MAC 2017, KAHERAH - Festival Lestari Mahabbah 2017 ( FLAME'17 ) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah diadakan bertempat di Dataran Hayyu Asyir. FLAME '17 dimulai dengan Ambang FLAME '17 yang telah diadakan di Musolla Darul Ehsan bertarikh 6 Mac 2017.

         Antara objektif pelaksanaan program ini adalah mendedahkan kepada ahli tentang ekonomi islam dengan lebih meluas melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Selain itu, Program FLAME ‘17 juga berhasrat untuk meneguhkan kebersamaan ahli di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Perlembahan Nil.

                        Ambang Festival Lestari Mahabbah dimulakan seusai sahaja solat Maghrib dan Iftar Jamaie yang telah disediakan. Tepat pada pukul 7.00 malam, pengisian Talkshow Ekonomi Islam vs Ekonomi Kapitalis dimulakan. Talkshow Ambang dikendalikan oleh moderator saudara Fakhrul Rodzi bin Md Tahir dan pengisi Ustaz Jamiluddin bin Murat, Master Syariah, Universiti Terbuka Amerika. Pengisian yang diberikan cukup bermanfaat dan ahli mendengar penuh tekun dan khusyuk, sesekali juga diselitkan jenaka santai dari pengisi untuk memnghidupkan suasana.Talkshow diadakan sehingga pukul 8.40 malam dan diteruskan lagi dengan Program Satu Hati.

      Antara pengisian yang dibincangkan dalam Program Satu Hati yang dikendalikan oleh YDP BKASM, saudara Muhamad Nazif bin Shaari adalah cadangan-cadangan dan muhasabah daripada ahli sepanjang sesi 2016/2017 berlangsung. Perkara-perkara tentang kesatuan, biah solehah, kebajikan telah disentuh oleh ahli dan mendapat jawapan yang baik oleh barisan kepimpinan.

      Pada hari pertama festival dimulakan tepat pada 12.30 tengahari dengan nyanyian asmaul husna kemudian diteruskan dengan selawat mewarnai suasana bazar. Aktiviti Nimsyi Akal telah diadakan di mana dj yang bertugas mengunjungi gerai penender dan bertanya tentang jualan yang dibuat agar pelanggan dapat mengetahui serba sedikit maklumat tentang menu yang tersedia. Antara gerai yang ditemuramah adalah Japanese Shokudo, UBM Corner dan Syabab Tasty. Manakala gerai bahagian akhawat yang telah ditemuramah adalah Bussi Hena dan RGCorner. Sambungan sangat memberangsangkan di mana terdapat pelbagai pelanggan dari luar telah berkunjung ke gerai-gerai menikmati juadah yang dijual. Tentatif diteruskan lagi dengan Sembang DJ bersama pelanggan, disertai dengan pengumuman pertandingan kuiz. Gerai ditutup sebentar memberi laluan untuk solat Asar, kemudian dibuka kembali dan diteruskan dengan Outdoor Game iaitu timbang bola dan bermain dart. Di waktu malam pula diteruskan dengan majlis perasmian FLAME ‘17 yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir iaitu saudara Muhamad Nazif bin Shaari disusuli dengan Slot UBM yang bertajuk Umi, Walid Nak Kahwin!.dan tepat pada pukul 10.30 malam kedai dan kaunter ditutup.

            Pada hari kedua diteruskan lagi pada waktu yang sama 12.30 tengahari disertai dengan nyanyian asmaul husna dan selawat.Slot Nimsyi  Akal diteruskan seperti biasa.  Pada petangnya telah diadakan sesi DJ Berbahasa Arab di bahagian ikhwah dan Sembang Santai Bersama Yang Dipertua. Pada waktu selepas Maghrib pula, pertandingan Touch Me Up iaitu mendekorasi kek yang disediakan di bahagian akhawat. FLAME ‘17 diakhiri dengan persembahan nasyid yang menarik daripada kumpulan Al-Wadi sebelum gerai ditutup pada 10.30 malam.

Pada hari terakhir FLAME ’17,gerai telah dibuka  pada jam 12.30 tengahari. Slot Nimsyi Akal dijalankan dan seterusnya sesi DJ Berbahasa Inggeris dimulakan di bahagian akhawat. Di waktu malam telah diadakan persembahan silat. Majlis Penutupan FLAME ‘17 dimulakan pada pukul 7.30 malam yang dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Hj. Mohd Yasser bin Abd Ghani. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah pembeli aktif sepanjang bazar, gerai terbaik dan hadiah pertandingan kuiz. Sebelum Program FLAME ‘17 ditutup, persembahan Flashmob yang menarik bertemakan Islamophobia diadakan dan gerai  ditutup pada pukul 10.30 malam.

      Semoga dengan terlaksananya program ini, peringkat ahli dapat menambahkan rasa kesatuan di dalam hati dan berazam untuk memajukan diri dalam bahagian ekonomi, bahkan membina mentaliti teguh untuk membangkitkan ekonomi Islam keseluruhunnya.


"Bersama Memartabatkan Ekonomi Islam"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha,
Festival Lestari Mahabbah (FLAME’17)

BKASM SESI 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Mac 10, 2017

Huzaifah Al-Yamani contoh tauladan Nukilan Siswa Siri 17





“ Ramai yang bertanya Rasullullah tentang perkara-perkara baik, sedang aku bertanya Rasullullah tentang perkara-perkara buruk, khuatir keburukan tersebut menimpa aku “
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dunia sekarang dihamparkan dengan pelbagai fitnah yang berleluasa. Gejala rasuah seakan-akan menjadi suatu kelaziman dalam masyarakat hari ini. Tambahan pula, gejala sosial yang berlaku seperti percampuran antara lelaki dan perempuan seolah sudah sebati dalam pergaulan seharian mereka.

Jika kita singkap sirah nabi, terdapat seorang sahabat bagida iaitu Huzaifah al-Yamani yang sangat terkenal pada ketika itu dengan kebijaksanaannya dalam berfikir. Ketika mana  para sahabat yang lain sibuk bertanya kepada Rasullullah S.A.W tentang kebaikan yang perlu dilakukan, datang beliau bertanya tentang keburukan yang bakal di timpa pada akhir zaman nanti.

Sebagaimana yang diketahui, Huzaifah al-Yamani merupakan orang kanan Rasullullah S.A.W yang diamanahkan sebagai penyimpan rahsia nama golongan munafiqin. Umum mengetahui golongan munafiqin ini sentiasa memikirkan strategi untuk menjatuhkan Islam secara tersembunyi. Golongan ini juga tidak terkecuali menjadi agen penyebar keburukan untuk mengelirukan umat Islam tentang agama Islam itu sendiri.

Bertepatan dengan apa yang Islam anjurkan pada penganutnya, hidup dalam satu kelompok atau organisasi bukanlah perkara yang sia-sia. Kepentingan hidup dalam organisasi ataupun berkelompok ini disebut oleh Rasullullah S.A.W dalam hadis akhir zaman mafhumnya “ Hendaklah kamu bersama dengan kelompok Islam dan pemimpin mereka “
Kehidupan berjemaah ini diteruskan oleh para sahabat walaupun sudah ketiadaan Rasullullah hasil daripada didikan baginda sendiri sehingga Umar al-Khattab pernah berkata:

“Tidaklah Islam itu tanpa organisasi, tidaklah organisasi tanpa kepimpinan, tidaklah kepimpinan tanpa adanya ketaatan.”

Oleh itu, jangan pernah tinggalkan kesatuan untuk sama-sama merealisasikan kemenangan Islam yang menjadi cita-cita seluruh umat Islam.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Nurul Syahirah binti Che Yusof
Timbalan Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, Mac 05, 2017

ADVANCE LEARNING : SELANGKAH MENCAPAI KEJAYAAN BERSAMA




21-28 FEBRUARI 2017, KAHERAH - Lajnah Pendidikan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah mengadakan satu program akademik iaitu 'Advance Learning', Diskusi Subjek Kuliah Secara Berfokus' yang berpusat di Asrama Rumah Selangor.

         Antara objektif pelaksanaan program ini adalah menyediakan satu medium kepada ahli melakukan persediaan menghadapi sesi pembelajaran dan menambah kefahaman kepada ahli berkaitan subjek kuliah yang akan dipelajari.

       Advance learning ini diadakan bertujuan untuk menerangkan satu subjek bagi setiap syukbah yang diistilahkan sebagai 'killer subject' serta dibuat secara berasingan mengikut syukbah masing-masing. Program ini dikhususkan bagi mahasiswa/wi tahun 1 dan 2.  

      Antara pengisian yang dibincangkan dalam Advance Learning ini adalah berkaitan tajuk-tajuk utama dan subtopik bagi memberi gambaran awal kepada ahli tentang subjek tersebut. Seterusnya, perbincangan yang lebih terperinci berkenaan subjek diteruskan, di samping memberi pendedahan terhadap istilah-istilah penting yang perlu diberi perhatian.

      Semoga dengan terlaksananya program ini, ahli dapat mempraktikkan kaedah sebenar menguasai subjek yang didiskusikan seterusnya berusaha meningkatkan prestasi akademik bagi fasa dua ke arah lebih cemerlang.


"Ilmu Dimartabat Mahasiswa Bermanfaat"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Timbalan Setiausaha,
Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#MaanNanjah
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, Mac 01, 2017

GAYA HIDUP KITA MELAMBANGKAN PEMIKIRAN KITA Nukilan Siswa Siri 16


Perang pemikiran yang berlaku dekad ini sangat menghantui diri kita. Mana tidaknya, ia jauh lebih berbahaya daripada perang bersenjata. Jika perang bersenjata melawan musuh, cederanya kita mendapat pahala yang besar. Terbunuhnya kita, pahala syahid dianugerahkan. Manakala perang pemikiran, sekiranya ‘cedera’ dikhuatiri kita terjerumus dalam kesesatan. Manakala jika kita ‘terbunuh’, ditakuti kita terkorban dalam keadaan murtad tanpa disedari.

Perkara ini menunjukkan satu signifikan, terus bersama Islam secara keseluruhannya. Bersama Islam, bukan menjadi isunya. Permasalahan yang berlaku pada hari ini, umat Islam gagal menterjemahkan Islam dengan sebaiknya. Maka tidak hairanlah seorang Ulama ada menukilkan satu teguran:

“Aku melihat Islam(di Eropah), tetapi tidak melihat orang Islam. Dan aku melihat orang Islam(di Negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”

Kita sebagai seorang muslim perlulah berpewatakan seperti seorang muslim daripada sudut Kata-kata, gaya hidup, pakaian dan lain-lain mestilah menurut aturan Islam. Satu amaran di dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Saidina Umar al-Khatab;

                “ Sesiapa yang sengaja mencampakkan dirinya ke kancah tohmahan, jangan mencela manusia sekiranya mereka bersangka-buruk terhadap dirinya..”

Prinsip kita kena jelas. Jangan jadi seperti lalang. Dilihat seakan bebas menyesuaikan diri dengan pelbagai arah tiupan angin. Sedangkan, tiada pendirian dan sikap yang teguh. Begitulah kita, usah mudah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran yang terpesong, mengikut trend dan suasana yang dirasakan seronok dan selesa. Sekalipun pemikiran atau trend tersebut dijenamakan dengan nama Islam, seperti Islam Liberal dan Pop-islamisme, ia tetap tertolak.

Cukuplah penegasan daripada Nabi S.A.W. agar terus berprinsip tanpa terpengaruh dengan sebarang keadaan dan suasana:

“Janganlah kamu menjadi lalang! (manusia yang tiada pendirian). Sekiranya manusia melakukan kebaikan, kamu juga melakukan kebaikan. Jika manusia melakukan kezaliman, kamu pun melakukan kezaliman. (Tetapi beristiqamahlah), Jika manusia melakukan, kamu juga perlu melakukan kebaikan. Jika manusia melakukan kerosakan, kamu jangan melakukan kezaliman”. (Riwayat at-Tirmidzi)

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

KORUS SOCCER : MERIBAT UKHUWAH AHLI KORUS


26 FEBRUARI 2017 , KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir di bawah kelolaan Lajnah Kesenian dan Sukan telah mengadakan aktiviti “Korus Soccer” yang bertempat di gelanggang futsal El Wafa El Amal , Hayyu Sabi' , Kaherah.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi  meribat ukhuwah dalam kalangan ahli BKASM terutamanya dalam  kalangan ahli korus melalui medium sukan ini. Progam ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli tentang kepentingan menjaga kesihatan . Program ini turut dihadiri oleh Ustaz Muhammad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017.

Permainan sukan futsal bermula pada jam 7:30 malam sehingga jam 10.30 malam . Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh semua ahli dan aktiviti diteruskan dengan ucapan penutup daripada Ustaz Muhammad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017 . Antara intipati yang disampaikan adalah mengenai kepentingan untuk saling menjaga ukhuwah dalam kalangan ahli .

Seterusnya  beliau mengingatkan kepada ahli agar terus bersemangat dan bersungguh - sungguh dalam menuntut ilmu. Program berakhir dengan sesi bergambar bersama-sama.

 Harapan dari pihak penganjur agar program yang dijalankan ini dapat menyatukan ukhuwah antara ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir malah Allah S.W.T juga telah memerintahkan hambanya agar saling berkenal-kenalan antara satu  sama lain.

"Memurnikan Pemikiran Meribat kebersamaan"

Disediakan oleh :
Setiausaha
Lajnah kesenian dan sukan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti