Jumaat, Mac 17, 2017

HINDARI PENYAKIT POPULISME Nukilan Siswa siri 18





     Rasulullah S.A.W bersabda: “ Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berlawan dengan ulama, atau berdebat dengan orang kurang cerdik atau untuk mengalihkan perhatian orang kepadanya, Allah akan masukkannya ke dalam neraka”.  (Riwayat Tarmizi)

     Dewasa ini, penyakit populisme dalam kalangan para ahli ilmu semakin menjadi-jadi. Tujuan serta hadaf utama menuntut ilmu semakin pudar dek mengejar populariti daripada amanah ilmu. Kebenaran sesuatu perkara takut dinyatakan kerana bimbang akan dibenci oleh orang ramai seterusnya menonjolkan perkara-perkara yang palsu.

     Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda berkaitan ancaman bagi mereka yang menuntut ilmu hanya untuk mencari populariti dan kedudukan. Seharusnya para ahli ilmu sentiasa ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan bukan menjadi “kitmanul’ilm”. Amanah ilmu ini wajib dibawa bagi mengelakkan lupusnya ilmu yang mengikut peredaran zaman.

       Imam Syatibi menyebut dalam kitabnya Al-I’tisham; “ Sesuatu yang paling akhir hilang daripada orang yang soleh adalah apabila berkeinginan untuk berkuasa dan berkeinginan untuk menjadi popular”. Penyakit ini perlu sentiasa dihindari dan dijauhkan. Seorang pendakwah juga ada menyebut; “Ramai orang yang memilih bercakap apa yang orang suka supaya ramai orang datang kepadanya. Janganlah sesekali menjadi sebegini, cakaplah apa yang Allah perintah dan cakaplah juga apa yang Allah larang. Bercakaplah benar biarpun semua orang lari”.

      Akhirnya, semua penyakit ini berpunca daripada hati dan niat seseorang. Marilah kita sama-sama menanam niat yang ikhlas kerana Allah dan murnikan hati kita agar tidak terjebak dalam penyakit populisme ini. Semoga Allah menuntun kita ke arah jalan yang benar.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan” 

Disediakan oleh:
Luqmanulhafiz bin Mohd Amir
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan