Khamis, Mac 23, 2017

JADILAH RIBBIYYUN ! Nukilan Siswa Siri 19



          Kita mungkin boleh meniru para salafussoleh dalam memenuhi tuntutan qiam dan solat mereka akan tetapi amat sukar untuk meniru dalam memberi kesetiaan yang tinggi dalam perjuangan mereka menjaga agama islam.

            Betapa ramai yang mampu untuk memenuhi kuota haji dan umrah akan tetapi amat malang apabila meletakkan masyarakat bukan urusan mereka.

         Kita mampu untuk memberi nasihat dan pengajaran untuk terus maju ke hadapan terhadap ahli-ahli keluarga, sahabat-sahabat dan yang lain tetapi amat sukar untuk mendidik mereka supaya sayang dan cinta terhadap apa yang ditinggalkan dan dirasai oleh Rasulullah S.A.W.

         Telah tiba saatnya kita kembali kepada Allah dengan meninggalkan segala keseronokan dan syahwat. Telah tiba saatnya kita  menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan dan perjuangan Rasulullah S.A.W. Janganlah kita hanya mengenali baginda tetapi enggan mengikut baginda. Ahli kitab yang pada awalnya kelihatan tidak sabar-sabar mahu bersama nabi akhir zaman rupa-rupanya mereka hanya mahir berkaitan biodata dan maklumat berkaitan nabi tetapi enggan mengikuti ajaran nabi. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud :

        “merekalah yang telah kami kurniakan kitab, mereka mengetahui tentangnya(nabi) seperti mereka kenal anak-anak mereka. dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka tahu.” (Surah Al-Baqarah : ayat 146)

Jadilah Ribbiyyun !!!

         Al quran telah menjelaskan ciri-ciri khusus tentang golongan yang setia dengan ajaran para nabi dan rasul. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“dan berapa ramai nabi yang berjuang, bersama mereka pengikut-pengikut yang bertakwa yang ramai. Mereka tidak merasa terhina dengan cabaran yang ditempuhi sepanjang berada di jalan Allah, mereka tidak lemah dan mereka tidak menyerah kalah. Allah amat mengasihi golongan yang sabar.” (Surah Ali Imran : ayat 146)

        Untuk menjadi ribbiyun mestilah kuat bersabar dengan islam apatah lagi kita berada di zaman fitnah Islamophobia pada hari ini.

Zaman umat terlalu merindukan Nabi.

         Perkara bohong menjadi benar dan perkara benar menjadi bohong. Amanah menjadi khianat,Khianat menjadi amanah. Dunia menjadi jahanam, manusia hilang kewarasan. Paradigma manusia menjadi songsang.

       Ketika itu, umat islam seolah-olah menjadikan angan-angan bertemu dengan nabi sebagai nikmat yang meringankan penderitaan yang sedang mereka alami.

Biarlah ungkapan sayang dan rindu kita kepada nabi sepadan dengan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah. Jadilah seorang muslim yang beriman, mendukung iman dan memperjuangkan iman.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
Muhamad Nazif bin Shaari
Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan