Khamis, Mac 30, 2017

MUSLIMAHKU, INILAH KEMULIAANMU ! Nukilan Siswa Siri 20



Islam sebagai aturan utama kehidupan daripada Allah S.W.T. Manusia sama ada lelaki mahupun wanita telah diberi panduan, peranan dan fungsi yang baik dalam menjalani kehidupan berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Perbezaan ini tidak boleh dipandang ada kesamarataan atau ketidaksamarataan gender, melainkan semata-mata ia hanyalah pembahagian tugas yang sama-sama penting dalam upaya merealisasikan tujuan kehidupan yang sebenar iaitu kebahagiaan hakiki di bawah reda Ilahi.

                Pengkhususan hukum dalam Islam bagi lelaki dan wanita tidak bermakna adanya penghinaan atau dominasi satu pihak ke atas pihak yang lain. Masing-masing mempunyai kesempatan dan peluang yang sama untuk meraih kemuliaan dan taqwa di sisiNya.

Firman Allah Azza Wa Jalla :
يأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر أو أنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuka-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.”

                Hal ini berbeza dengan pandangan sesetengah wanita daripada golongan feminis. Mereka menganggap bahawa kemuliaan wanita bergantung kepada kesamarataan hak dan tanggungjawab yang diamanahkan. Bahkan mereka lebih mementingkan skop kuantiti aktiviti bukan kualiti sehinggakan wanita yang berperanan sebagai seorang suri rumah dipandang sepi berbanding wanita yang bekerjaya di luar.

                Dalam perkara ini, tidak bererti Islam melarang muslimah beraktiviti di luar rumah, tetapi ada akhlak, tatacara dan aturannya supaya batas-batas dan nilai kehormatan Islam tetap terus terjaga. Namun, amat menyedihkan apabila melihat wanita-wanita Islam kadang terlalu mudah mengikut fahaman feminisma ini. Lebih malang lagi, mereka berjaya dijadikan umpan untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Nauzubillahi min zalik.

Agama Islam sangat menghargai dan memuliakan kaum wanita . Hiasilah diri dengan kesucian dan kemuliaan, hindarilah diri daripada sifat keji dan kehinaan yang boleh merosakkan jati diri seorang muslimah. 

‘Kerana Muslimah Itu Begitu Berharga’

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh :
Aisyah Binti Mhd. Shukeri
Timbalan Yang Dipertua II
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017


0 comments:

Catat Ulasan