SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Rabu, Mei 31, 2017

KEHADIRAN YANG DINANTIKAN - Nukilan Siswa siri 29 Edisi Ramadan




PAGI 15 SYAABAN,
Aku merenung ke luar jendela melihat padang pasir yang indah, cuaca yang agak tenang, riuh rendah suara jiran tetangga membuatkan aku merasa agak gembira pada hari ini.
Renunganku terhenti.

Aku terfikir sejenak, aku melihat jam, aku melihat kalendar, aku melihat di sekelilingku.

“ Ya Allah!!! Subhanallah!!! “
Aku menjerit dengan keadaan terharu, gembira, berdebar kerana aku baru teringat dalam 15 hari lagi, hari yang dinantikan akan tiba.
Maka, aku berdoa : “ Allahumma bariklana fi Syaaban wa balighna Ramadan”.
(Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. Amiin)
…………………………………………………………………………………………………….......

MASA BERDETIK,
Alhamdulillah!!! 1 Ramadan. Aku dapat menjejakinya.
Semoga dengan kehadiran yang ku nantikan ini, menjadi satu permulaan untuk aku menjadi lebih baik.
………………………………………………………………………………………………………..

      Setiap orang pasti merasakan perasaan yang bercampur baur, berdebar, gembira, terharu apabila hendak menanti bulan yang mulia, yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadan.

     Jadi, bagaimana persediaan kita untuk menghadapi bulan tersebut? Adakah sudah bersedia jasmani dan rohani kita? Adakah bersedia berpuasa pada musim panas?
Semua itu menjadi tanda tanya pada diri kita.

     Jadikan kehadiran Ramadan kali ini untuk kita menambah amalan–amalan kita seperti membaca Al-quran. Solat berjemaah, solat sunat dan sebagainya untuk menjadi manusia yang beriman. Bukan menjadi hamba Ramadan, tapi menjadi hamba Allah S.W.T.

      Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, hiasilah ia dengan amalan–amalan yang baik. Jangan dinodai dengan titik-titik hitam. Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang terbaik untuk kita.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN KAREEM.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kerbersamaan"


Disediakan oleh :
Siti Fadilah Binti Sulaiman
Fasilitator BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Sabtu, Mei 27, 2017

[ Majlis Perasmian Ihya’ Tarbawi Ramadan 2017 (IHTIRAM '17) ]


25 MEI 2017, KAHERAH Ihya' Tarbawi Ramadan 2017 ( IHTIRAM '17 ) di bawah Lajnah  Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2016/2017 telah mengadakan Majlis Perasmian IHTIRAM '17 yang bertempat di Musolla Darul Ehsan.

Majlis telah didahului dengan Tazkirah Khas Ambang Ramadan yang telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Syarifuddin Bin Nor Azli di bawah tajuk Ramadan tiba, hatiku di mana?. Tazkirah tersebut bermula seusai solat Maghrib.

Seterusnya program diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian yang dimulakan dengan nyanyian Asmaul husna dan lagu PMRAM. Sebagai pendahuluan pengarah IHTIRAM telah memulakan ucapan disusuli dengan ucapan saudara Muhamad Nazif bin Shaari, Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017. Seteruanya, ucapan perasmian pula telah disampaikan oleh saudara Mohd Azwan bin Abdull Aziz, Ketua Penasihat BKASM sekaligus menyempurnakan gimik perasmian IHTIRAM 17.

IHTIRAM 17 yang diketuai oleh saudara Muhammad Hazman Bin Zabil membawa tiga objektif utama untuk program kali ini iaitu :

1.Menguatkan tarbiah ruhiah dalam diri ahli BKSAM.

2.Membentuk kefahaman rabbaniyyun di samping meningkatkan thaqafah dalam diri ahli.

3. Merapatkan ikatan ukhwah antara semua lapisan ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Semoga semua ahli dapat menjayakan segala aktiviti dan program yang telah disusun dan akan dijalankan sepanjang tempoh IHTIRAM '17 ini berlangsung.

"Tarbiah Rabbaniah, Menuju Mardatillah"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :

Nurfaznirol Akhen Bin Zahuri
Setiausaha,
Ihya Tarbawi Ramadan (IHTIRAM17)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir

Sesi 2016/2017.

TEKANAN ISLAMOFOBIA PERLU DIJERNIHKAN, RAMADAN BULAN KETENANGAN Nukilan Siswa siri 28







“ Ramadan datang lagi, Bertandang di hati, Dengan wajah yang indah, Tanda bermula pesta Ibadah ..
Detik yang dinanti, Buat pencinta Ilahi, Siangnya setulus Siam, Malamnya dihias seQudus Qiam..
-PESONA RAMADAN dari UNIC-


Usai pulang dari medan peperiksaan petang tadi, berkesempatan melayari facebook satu media sosial yang menjadi pilihan kebanyakkan netizen sekarang.
‘ Donald Trump datang ARABIA’
‘ Lawatan Trump ke Asia Barat’
‘ AL-FATIHAH : Permergian 2 Insan yang berjasa’
‘ TAHNIAH : Piala FA milik Kedah’
‘ UNIC : juara pertama Gema Gegar Vaganza 2017’
  *Rentetan ini, maka tertulis lagu pesona Ramadan dari UNIC di atas.

_____________________________________________________________________________________________________      Terhenti lama membaca satu artikel hasil tulisan seorang pimpinan berkenaan lawatan Donald Trump ke Asia Barat. Kedatangan Trump ke Negara Asia Barat bukan lawatan yang bersahaja, terselit perkara tersurat dan tersirat. Malahan meneruskan agenda kepentingan Israel sendiri khususnya dari sudut keselamatan dan pertahanan. Trump memenangi kerusi Presidan Amerika Syarikat sekaligus menjatuhkan lawannya Hillary Clinton semasa pilihan raya yang lepas. Trump mampu menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat selepas berjaya memberi keyakinan bahawa sokong penuhnya untuk Israel malahan pasti menghalang mana-mana yang memberi ancaman kepada Israel.

 Kini, Trump mengotakan janjinya dengan bermula lawatan Asia Barat ke Arab Saudi. Kenapa Arab Saudi ?
Arab Saudi ialah ‘Big Brother’ kepada Negara-negara teluk yang menjadi ‘lembu susu’ yang diperah duit dan kekayaannya sekian lama. Hasilnya, Arab Saudi bersetuju membeli  senjata-senjata Amerika Syarikat dalam tempoh 10 tahun dengan nilai tidak kurang dari AS$350 bilion. Untuk apa ? untuk menghadapi ancaman serantau khususnya Iran dan ISIS.


       Adakah logik perjanjian pertahanan yang kosnya mencecah ratusan bilion dolar AS untuk menghadapi ISIS yang tidak mempunyai walaupun sebuah jet pejuang, peluru berpandu dan roket jaraj jauh. Tidak lain tidak bukan tujuannya ialah untuk berdepan dengan kumpulan-kumpulan bersenjata Islam yang menentang Israel seperti Hamas, Jihad Islami mahupun Hizbullah yang bermazhabkan Syiah dan juga gerakan-gerakan Islam yang menyokong perjuangan mereka bagi membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Yahudi. 

Maka akhirnya, mereka hanya menjadi Alat untuk kepentingan Zionis-Freemason ’
     Dunia semakin tua. Rakyat semakin keliru. Konflik-konflik yang berlaku mendatang tekanan Islamofobia dalam kalangan orang Islam dan sebaliknya. Mereka menyusun segalanya seolah ini semua hasil dari orang Islam yang ekstrimis, terlampau ‘jumud’ dan keras malahan tidak bersifat ‘wasatiyyah’ dalam membawa syariat. Ini lebih parah bila dilaksanakan oleh pemimpin Negara yang beragama Islam.

    Semoga dengan keizinan kepada kita untuk sampai ke Bulan Ramadan ini, memberikan kita ketenangan dalam melaksanakan Ibadah juga mengambil tahu isu ummah. Semoga  Allah menghadiahkan keberkatan bulan barakah ini dengan  menghadirkan kefahaman yang baik buat seluruh umat manusia di zaman fitnah ini. Ahlan wa sahlan ya Ramadan Al-Mubarak.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"



Disediakan oleh:
Nurul Ain binti Rahmat
Penasihat BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Sabtu, Mei 20, 2017

UJIAN KAYU UKUR ISTIQAMAH Nukilan Siswa Siri 27

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud :

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” . 
 Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ujian yang di berikan Allah bukan semata-mata untuk menjatuhkan semangat seseorang hamba. Allah telah  menyatakan secara jelas dalam  Surah Al-Baqarah  ayat 286 yang bermaksud :

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat  (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

        Allah sesekali tidak akan membebani seseorang hamba sesuai dengan kesanggupannya. Kita seorang hamba perlu mengetahui bahawa setiap ujian yang Allah hadirkan pada kehidupan tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan lagi tahap kesabaran dan juga kedudukan hamba di sisi Allah. Tidak hairanlah baginda Rasulullah S.A.W termasuk dalam kalangan  Ulul Azmi.

      Dewasa kini, kita melihat pelbagai kecelaruan dan ketidak sefahaman walaupun di kalangan sahabat yang seakidah dengan kita sendiri. Masing-masing beranggapan pendapat sendiri yang betul, sedangkan kita ada sumber rujukan yang Baginda Rasulullah S.A.W telah tinggalkan sebagai petunjuk kepada manusia khusus kepada umat Islam. Mereka sanggup mendahulukan Maqasid Syari’yah berbanding al-Quran dan as-Sunnah.

      al-Quran dilihat sebagai satu sumber rujukan utama orang Islam, mereka berusaha menjauhkan orang Islam dari al-Quran supaya kita di lihat terus lalai dari mengingatinya. Terfikir di benak hati yang kadang menjentik hati kita sendiri, “ Agak-agak kalau kita tiada peperiksaan di universiti adakah kita akan membaca buku bagi setiap mata pelajaran khususnya aL-QURAN, sama-sama kita tanya diri sendiri di tahap mana kita mengamalkan al-Quran itu sendiri di dalam kehidupan seharian .

     Di sini, suka bagi saya mengajak sahabat-sahabat yang saya cinta kerana Allah, supaya koreksi diri sebelum membuat suatu keputusan , takut setiap keputusan yang kita buat ada secebis perasaan dendam terhadap sahabat seakidah dengan kita. Allah merancang kita juga perlu merancang, tetapi sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah tetapi kita sebagai seorang hamba tidak boleh serah semata-mata kepada takdir.


      Kebenaran tanpa sistem akan di hancurkan dengan kebatilan yang bersistem. Kalaulah orang bukan Islam mampu untuk bersatu merancang untuk menjatuhkan Islam, kenapa kita tidak ? Saya tinggalkan persoalan ini kepada kita semua. Teringat hadis Rasulullah S.A.W mafhumnya, “ sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W adakah umat pada ketika itu bilangannya sedikit, lalu Rasulullah S.A.W menjawab, tidak bahkan umat Islam pada ketika itu sangat ramai seperti buih di lautan”.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh:
Mohd Azwan bin Abdull Aziz
Penasihat BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Mei 12, 2017

HALUSI TINDAKAN, ELAKKAN SEMPADAN Nukilan Siswa siri 26




Dari Anas bin Malik R.A, beliau berkata, Seorang Arab Badwi pernah memasuki masjid, lantas dia kencing di salah satu sisi masjid. Lalu para sahabat mengherdik orang ini. Namun Rasulullah S.A.W melarang tindakan para sahabat tersebut.Tatkala orang tadi telah menyelesaikan hajatnya, Rasulullah S.A.W lantas memerintah para sahabat untuk mengambil air, kemudian bekas kencing itu pun disirami.
                                                                                                                                                                                          (Riwayat Bukhari no.221 dan Muslim no.284)

Beberapa faedah dapat kita ambil melalui hadis ini namun terdapat dua penekanan faedah yang menjadi titik fokus pasca isu hangat yang berlegar dalam masyarakat.

Pertama, hadis ini menunjukkan akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah dalam mendepani orang yang jahil dengan cara berlemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Sedangkan baginda layak berbuat sedemikian kerana tindakan Arab Badwi tersebut telah melanggar larangan kencing atau membuat kekotoran  di masjid yang umumya mengetahui ia adalah tempat peribadatan  yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Bahkan Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu malah baginda menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi sifat orang-orang jahil.

Kedua, menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika pelaku tersebut dicegah dengan tiba-tiba mungkin ia mengakibatkan mudarat serta membahayakannya kerana kencing yang dihentikan secara tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau kemungkinan dia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya,najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya serta terpalit ke anggota badan yang lain.Disebabkan tindakan bijaksana Rasulullah,maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja malah najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Pembaca yang budiman,

Kita tidak boleh mencegah kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah keburukan dengan keburukan atau lebih buruk lagi. Sebaliknya aplikasikanlah ilmu maqasid berkenaaan maslahah dan mafsadah dengan pertimbangan yang tepat berdasarkan neraca syariat bukan ditentukan oleh akal manusia semata. Kita tidak boleh mengingkari kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain bagi mengelak kemungkaran yang lebih besar lagi.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :
Fatin Nadzira Bt Mahadzir
Fasilitator BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, Mei 07, 2017

BKASM menyambut baik Y.A.B Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali ke Mesir


4 Mei 2017, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah mengadakan Majlis Pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali, Dato' Menteri Besar Selangor bersama delegasi kerajaan negeri Selangor bersama Pelajar-pelajar Selangor yang bertempat di Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir, Kaherah.

Majlis Pertemuan yang bermula jam 10.00 pagi telah berjaya mengumpulkan kira-kira 800 orang pelajar Selangor yang terdiri dari pelajar Pengajian Islam dan Sains Kesihatan. Majlis yang berakhir pada jam 2.30 petang ini berjalan dengan lancar dan menerima komitmen yang baik daripada semua mahasiswa dan mahasiswi Selangor.

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali telah menyampaikan ucapan dengan harapan supaya semua pelajar dapat menumpukan perhatian dalam menuntut ilmu dan pendidikan untuk diaplikasikan di tanah air nanti. Di samping itu, Yang Amat Berhormat turut menyerahkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu pengurusan dan kelangsungan pendidikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor di Mesir.

Di kesempatan yang ada, Yang Amat Berhormat turut menziarahi penempatan asrama Selangor dan beramah mesra dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Pejabat Atase dan BKASM kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali.

BKASM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali di atas kesudian untuk bersama dalam majlis ini. Terima kasih juga buat semua anak-anak Selangor yang sudi hadir memeriahkan majlis. Semoga pertemuan ini dapat membantu kehidupan mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai sudut serta mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Selangor di perlembahan Nil.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh,

Setiausaha,
Sambutan Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Mei 05, 2017

BULAN SYA'BAN BULAN PERSEDIAAN Nukilan Siswa Siri ke 25

Waktu berjalan dengan begitu cepat, saat ini kita sudah menapaki hari-hari awal bulan Sya’ban. Bulan Sya’ban begitu sinonim dengan bulan persediaan umat Islam di seluruh tempat. Dimana kita bersedia menyambut bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan. Namun, bagamana persediaan kita? Setelah hampir setahun Ramadan meninggalkan kita. Nabi Muhammad S.A.W bersabda mafhumnya:
“ Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai daripadanya iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang “ (Riwayat Bukhari)

Jika kita soroti sirah perjuangan nabi, kita dapat lihat bagaimana nabi membuat persediaan-persediaan untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia. Rasulullah SAW dan para sahabat sejak awal telah menjadikan bulan sya’ban sebagai bulan persiapan menyambut Ramadhan dengan memperbanyak puasa sunnah. Secara khusus disebutkan dalam hadis tentang keutamaan bulan Sya’ban . Rasulullah bersabda dalam mafhumnya:

Nabi S.A.W  memberikan perhatian terhadap bulan Sya’ban tidak seperti perhatian beliau terhadap bulan-bulan yang lain. (Riwayat Nasa’i)

Persiapan yang selengkapnya perlu dititikberatkan bagi setiap individu yang digelar orang Islam. Ibaratnya kedatangan tetamu mulia, maka sebagai tuan rumah yang baik,  tentu shaja akan mempersiapkan sambutan yang terbaik. Kita semua kaum muslimin adalah tuan rumah yang akan mempersiapkan kedatangan Ramadhan, mulai dari bulan Sya’ban ini. Janganlah kita menjadi hamba kepada Ramadan sahaja akan tetapi jadilah hamba Allah yang sebenar.

Jadikanlah bulan Sya’ban sebagai satu jambatan yang kukuh untuk kita menjejaki bulan tarbiah iaitu bulan Ramadan. Semoga segala amalan kita diberkati oleh Allah S.W.T. Akhirnya, marilah kita bersama-sama menjadikan bulan Sya’ban ini sebagai bulan persiapan. Persiapan dari keimanan hingga keilmuan, kita kemaskan satu demi satu dalam diri kita. Semoga Allah S.W.T memberikan kemudahan dan keberkatan kepada kita.  Wallahu A’lam .


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan”

Disediakan oleh:

Mohd Azrollnaim bin Arshad
Timbalan Setiausaha Agung I
BKASM sesi 2016/2017

Selasa, Mei 02, 2017

IMTIHAN QABUL DAN KELAS INTENSIF : TITIK MULA SEMANGAT MENUNTUT ILMU


30 APRIL 2017, KAHERAH - Seramai 77 orang mahasiswa/wi telah menduki Imtihan Qabul (IQ) yang bertempat di Universiti al-Azhar, Hayyu Sadis. Mereka yang terdiri daripada 43 ikhwah dan 34 akhawat diuruskan oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016 melalui Unit Sambutan Mahasiswa Baru 2017 (USMB'17).

Kehadiran seawal 6.45 pagi menyaksikan mahasiswa dan mahasiswi diarahkan untuk memasuki dewan peperiksaan sebagai persediaan awal. Peperiksaan bermula seawal 7.30 pagi dan tamat pada 12.30 tengah hari.

Sebelum semua mahasiswa dan mahasiswi menghadapi imtihan qabul, Kelas Intensif telah dianjurkan oleh Lajnah Pendidikan BKASM sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tersebut pada 15 hingga 25 April. Kelas yang berpusat di Asrama Rumah Selangor ini bertujuan untuk memaksimumkan latihan berdasarkan 4 kemahiran yang akan diuji.

Seramai 127 orang pelajar telah menduduki peperiksaan percubaan sebelum kelas bermula iaitu pada 13 April 2017.

Kelas ini dijalankan mengikut pembahagian kelas :-
Kelas 1: Mendengar dan Bercakap
Kelas 2: Ilmu Nahu, Balaghah dan Penulisan
Kelas 3: Ilmu Sorof dan Pembacaan

Sebagai penilaian terakhir Kelas Intensif yang telah dijalankan, para pelajar yang terdiri dari ahli BKASM, BKAWM, BKPJM, KPT, BKKIMM, dan Negeri Sembilan telah menduduki peperiksaan percubaan kali yang kedua pada 26 April 2017 di samping merupakan persediaan terakhir untuk menghadapi imtihan qabul.


"Ilmu Dimartabat Mahasiswa Bermanfaat"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :
Setiausaha
Uusetia Sambutan Mahasiswa/wi Baru 2017
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti