SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Julai 27, 2017

PALESTIN BUMI JIHAD, BERTERUSAN HINGGA KE HARI KIAMAT - Nukilan Siswa siri 37


Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia, tidak hanya terletak pada bahu umat Islam Palestin sahaja, bahkan menjadi tanggungjawab dan kewajipan ke atas seluruh umat Islam di dunia. Salahuddin Al-Ayubi  yang dahulunya telah membebaskan Palestin bukanlah berasal dari rakyat Palestin dan juga bukanlah berketurunan Arab,  akan tetapi beliau memahami hak dan kewajipannya ke atas bumi Palestin daripada sudut agama.

Merujuk kepada satu fakta bahawasanya penduduk Yahudi di muka bumi adalah seramai 17 juta berbanding umat Islam yang berjumlah seramai 1.7 billion. Jadi, persoalannya di sini adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekeh oleh mereka sedemikian ?

Jawapannya, adalah kerana kealpaan umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan sensitiviti serta tanggungjawab kita terhadap Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Kelicikan Yahudi menggunakan senjatanya yang paling ampuh iaitu media massa dengan menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan menonjolkan sudut baik pandangan mereka dan akhirnya melalaikan umat Islam daripada terus cakna akan isu ini.

Pada waktu ini, Yahudi Zionis sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti mereka yang dinamakan  Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa. Mereka telah menjalankan aktiviti membina terowong yang bertujuan untuk melemahkan struktur binaan Masjid Al-Aqsa dan menyingkirkan umat Islam agar mereka berjaya membina kuil agama mereka di atasnya. Antara kejahatan lain yang dilakukan adalah mengubah ciri-ciri Islamik masjid tesebut kepada Judaism, dan baru-baru ini menghalang umat Islam Palestin daripada menunaikan solat di sana, bahkan cubaan untuk membakar dan mengebom masjid ini suatu ketika dahulu juga pernah dilakukan.

Daripada sini, kita sebagai umat Islam mestilah mempunyai pendirian yang teguh untuk membantu Masjid Al-Aqsa dan  memahami isu Al-Aqsa dengan mendalam serta mengetahui peranan kita sebagai seorang muslim.

Palestin adalah bumi jihad yang berterusan hingga ke hari kiamat, seperti yang telah dinyatakan dalam hadis nabi,

Maksudnya:  Daripada Abi Umaimah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: Sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang menegakkan kebenaran, mengasari musuh, dan musuh mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang dibuat dari belakang mereka. Mereka sentiasa begitu sehingga datangnya pertolongan Allah S.W.T. Sahabat bertanya: Di manakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: di Baitulmaqdis, dan sekeliling Baitulmaqdis.
Riwayat Imam Ahmad

Maka kita semua diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk berusaha sedaya upaya, membantu Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dan Palestin keseluruhannya, dan yakinlah pertolongan Allah akan datang. Semarakkan doa qunut nazilah buat saudara-saudara seislam yang di zalimi di sana. Semoga akan bebas Palestin dan seisinya suatu hari nanti.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:

Nur Farrah Ain Binti Zaidi
Timbalan Ketua Lajnah  Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Jumaat, Julai 21, 2017

KITA PENDOKONG AGAMA ALLAH - Nukilan Siswa siri 36


               Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. 
(Surah As-Saf : ayat 14)

          Pendokong agama Allah adalah orang yang membantu mempertahan, menegak dan meninggikan agamaNya. Jadilah seperti golongan Hawariun yang tetap setia kepada nabi Isa A.S  yang jumlah mereka yang sedikit. Allah S.W.T menjanjikan kemenangan kepada pendokong agamaNya seperti yang terkandung dalam surah di atas.

     Golongan Hawariun yang berjumlah 12 orang itu besungguh-sungguh mempertahankan agama Allah. Mereka menghadapi penindasan yang dahsyat daripada pemerintah ketika itu. Ada di antara mereka yang dibelah kepala dan jasad dengan gergaji dan pelbagai penyiksaan lagi. Dengan sebab itulah Rasulullah S.A.W memerintahkan orang yang beriman supaya mencontohi perjuangan golongan Hawariun.

      Jangan menyesal dengan apa yang telah kita azamkan. Ingatlah Allah  sentiasa memerhatikan kita tanpa kita sedarkan. Jangan takut dengan bayangan manusia yang ada tetapi takutlah dengan azab Allah bagi mereka yang lalai dan alpa sengan suruhanNya. Apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya.

       Kita sebagai golongan Islam, bukan sekadar mahu mencapai kemenangan tetapi perkara yang perlu difikirkan juga adalah apa yang ingin kita laksanakan selepas kita mencapai kemenangan itu. Adakah kita ingin melaksanakan Islam secara bersungguh-sungguh ataupun tidak? Kalau sesuatu kemenangan itu tidak diisi dengan Islam maka samalah seperti sistem jahiliah.

        Akhir kata  marilah kita bersama-sama perkukuhkan posisi, menyusun segala strategi demi memartabatkan Islam serta berdoalah dengan sang pencipta semoga dengan didikan ini menguatkan lagi hubungan kita terhadap tuhan pencipta alam serta terus istiqamah berbakti untuk Islam.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :                                                                                               

Muhamad Nasrul bin Jamal
Bendahari Kehormat
BKASM  sesi 2016/2017     


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti             

Jumaat, Julai 14, 2017

REALITI MANUSIA YANG BAIK - Nukilan Siswa siri 35



Maksudnya : Dan tidak ada lagi baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah(dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan (Surah An-Nisa`: ayat 125)

Sifir yang Allah letak bagi orang yang baik agamanya adalah apabila baiknya hamba itu hubungannya dengan Allah dan juga berbuat baik kepada manusia. Dua aspek ini perlu dititikberatkan dalam diri kita. Tubuh badan Rasulullah menjadi pedoman dan contoh bagi kita. Pengamatan terhadap diri Rasulullah, kita akan melihat baginda dari segenap aspek sebagai seorang manusia bertepatan dengan al-Quran.
Wujudnya golongan manusia yang berpendirian baiknya seseorang itu berdasarkan ibadatnya sahaja dan ada juga yang hanya memfokuskan baiknya apabila dia melakukan kebaikan kepada makhluk. Tanpa kita sedar kita yang beriman dengan Islam yang sepatutnya merujuk kepada al-Quran terlupa tentang KalamNya Yang Agung.

Terkadang manusia diperdayakan oleh segolongan yang menyerang daripada sudut segenap aspek tentang perkara yang berbentuk fantasi dan retorik. Tidak terkecuali juga orang-orang yang cerdik pandai hatta orang agamawan. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan kufur dan dusta) itu. ( Surah Al-`An`aam : ayat 112)

Apa yang disebut di dalam Al-quran, bertepatan dengan realiti semasa apabila media secara mengganasnya menyebar perkara-perkara yang menyeleweng hakikat apa yang berlaku di dunia ini. Islam terus menerus menjadi sasaran untuk disandarkan sebagai pengganas. Istilah di dalam Islam pula yang sepatutnya dipandang positif dijaja dengan mudahnya kepada rakyat supaya mereka memahaminya dengan negatif.

Perlulah kita kembali kepada al-Quran dengan kefahaman melalui ulama-ulama. Kesedaran terhadap kalam-kalam yang nampaknya baik perlu kita sama-sama hati-hati agar kita tidak tergolong orang terpedaya. Boleh jadi kalam itu luarannya nampak benar tetapi hakikatnya salah daripada sudut realiti. Kembalilah kita menjadi orang baik mengikut kaca mata Islam iaitu dengan rujukan yang sepatutnya bukan sekadar kalam manusia yang mungkin ada silap salahnya. 



“Memurnikan Pemikira Meribat Kebersamaan” 



Disediakan oleh :
Aiman Fitry bin Zulkifli
Timbalan Yang Dipertua I 

BKASM sesi 2016/2017 

Rabu, Julai 12, 2017

DE' GATHERING OF SELANGOR NEW STUDENTS (DIRGAHAYU '17) : MELANGKAH DENGAN CITA




8 JULAI 2017, KAHERAH - Urusetia Sambutan Mahasiswa/wi Baru di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah menganjurkan De' Gathering Of Selangor New Students 2017 (DIRGAHAYU'17) yang bertempat di Asrama Rumah Selangor dan kawasan sekitarnya.

Program ini bertujuan untuk membentuk kebersamaan dengan menerapkan ukhuwah islamiah dalam kalangan mereka. Seterusnya, menjadi salah satu medium asas dalam mempersiapkan jati diri di samping  menerapkan kefahaman Islam yang sebenar kepada mahasiswa/wi baru. 

Seramai 41 orang ikhwah dan 32 orang akhawat telah menyertai program ini. Program dimulakan dengan perasmian pembukaan majlis yang dirasmikan oleh saudari Aisyah binti Mhd Shukeri, Timbalan Yang Dipertua II BKASM sesi 2016/2017.

Program ini dijalankan sebanyak lima slot dan diselitkan dengan Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) iaitu:

GKB 1 : Ice Breaking
SLOT 1 : Ta'lim Mutaalim
GKB 2 : Pengurusan Masa
SLOT 2 : Teknik Muamalat di Mesir 
GKB 3 : Ukhuwah Game l
SLOT 3 : Sejarah Mesir & Al-Azhar 
SLOT 4 : Talkshow Mahasiswa
Ukhuwah Game ll : Explorace
SLOT 5 : Pengenalan BKASM dan AJKT BKASM sesi 2016/2017

Aktiviti Explorace diadakan bagi menguji fizikal dan mental peserta dan semuanya berjalan lancar serta majlis perasmian penutup dirasmikan oleh saudara Muhamad Nazif bin Shaari, Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017.

Semoga dengan terlaksananya program ini dapat meribat kebersamaan dan semangat dalam kalangan mahasiswa/wi baru dalam meneruskan pengajian di Perlembahan Nil ini.


"Meribat Ukhuwah Melestari Wehdah"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


DIRGAHAYU '17 
BKASM sesi 2016/2017 


#KITAPMRAM 
#BersamaBersatu 
#BersatuBerbakti



Jumaat, Julai 07, 2017

PENGARUH BUDAYA HEDONISME - Nukilan Siswa siri 34


Allah menyebut di dalam Quran mafhumnya:
Maksudnya : “Maka mengapa tidak ada daripada umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada(mengerjakan) kerosakan di muka bumi kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka,dan mereka adalah orang-orang yang berdosa”( surah Hud : ayat 116)

Berdasarkan mafhum ayat di atas dapat kita simpulkan bahawa kaum hedonisme secara teologis adalah kaum yang menzalimi budaya yang baik. Islam ingin mengangkat dan memposisikan kehidupan manusia agar selaras dengan prinsip individu, sosial, dan budaya sebagaimana telah diwahyukan Allah S.W.T serta mewujudkan budaya yang sarat dengan kemajuan dan keredaan Allah S.W.T.

Hedonisme merupakan pandangan hidup yang menganggap bahawa orang yang akan mencari kebahagiaan dengan sebanyak dan secepat mungkin. Hedonisme juga merupakan budaya yang ditawarkan oleh budaya barat untuk dikembangkan di negara-negara Islam yang mana budaya ini sangat mengutamakan kebebasan tanpa ada dasar dan sebab kenapa budaya ini dilakukan.
Antara kesan Budaya Hedonisme yang paling parah pada masa kini adalah kerosakan moral dan Akhlak para pemuda. Sepertimana dalam Firman Allah dalam yang bermaksud:
“orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka”.( Surah Al Baqarah : ayat 120 )

Budaya Hedonisme dalam kalangan pemuda boleh mencerminkan kegoyahan syariah dan akidah. Sekiranya remaja dan pemuda mampu untuk menilai dan memilih antara hak dan batil yang mudah terjerumus kepada kemaksiatan dengan mencari kebahagiaan duniawi semata-mata akibat daripada budaya Hedonisme dalam kalangan pemuda.

Seseorang itu akan mengetahui bahawa budaya Hedonisme sangat bertentangan dengan ajaran Islam apabila berbekalkan Ilmu dan Takwa kepada Allah S.W.T di dalam diri. Oleh yang demikian sebagai seorang muslim marilah kita berusaha untuk menjadi seorang yang kaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Sebagaimana disebut di dalam ayat Allah yang bermaksud:
“dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu(kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu,dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan Oleh:
Syaidatul Humaira’ binti Mohd Naim
Timbalan Bendahari Kehormat

BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti