Khamis, Julai 27, 2017

PALESTIN BUMI JIHAD, BERTERUSAN HINGGA KE HARI KIAMAT - Nukilan Siswa siri 37


Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia, tidak hanya terletak pada bahu umat Islam Palestin sahaja, bahkan menjadi tanggungjawab dan kewajipan ke atas seluruh umat Islam di dunia. Salahuddin Al-Ayubi  yang dahulunya telah membebaskan Palestin bukanlah berasal dari rakyat Palestin dan juga bukanlah berketurunan Arab,  akan tetapi beliau memahami hak dan kewajipannya ke atas bumi Palestin daripada sudut agama.

Merujuk kepada satu fakta bahawasanya penduduk Yahudi di muka bumi adalah seramai 17 juta berbanding umat Islam yang berjumlah seramai 1.7 billion. Jadi, persoalannya di sini adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekeh oleh mereka sedemikian ?

Jawapannya, adalah kerana kealpaan umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan sensitiviti serta tanggungjawab kita terhadap Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Kelicikan Yahudi menggunakan senjatanya yang paling ampuh iaitu media massa dengan menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan menonjolkan sudut baik pandangan mereka dan akhirnya melalaikan umat Islam daripada terus cakna akan isu ini.

Pada waktu ini, Yahudi Zionis sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti mereka yang dinamakan  Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa. Mereka telah menjalankan aktiviti membina terowong yang bertujuan untuk melemahkan struktur binaan Masjid Al-Aqsa dan menyingkirkan umat Islam agar mereka berjaya membina kuil agama mereka di atasnya. Antara kejahatan lain yang dilakukan adalah mengubah ciri-ciri Islamik masjid tesebut kepada Judaism, dan baru-baru ini menghalang umat Islam Palestin daripada menunaikan solat di sana, bahkan cubaan untuk membakar dan mengebom masjid ini suatu ketika dahulu juga pernah dilakukan.

Daripada sini, kita sebagai umat Islam mestilah mempunyai pendirian yang teguh untuk membantu Masjid Al-Aqsa dan  memahami isu Al-Aqsa dengan mendalam serta mengetahui peranan kita sebagai seorang muslim.

Palestin adalah bumi jihad yang berterusan hingga ke hari kiamat, seperti yang telah dinyatakan dalam hadis nabi,

Maksudnya:  Daripada Abi Umaimah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: Sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang menegakkan kebenaran, mengasari musuh, dan musuh mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang dibuat dari belakang mereka. Mereka sentiasa begitu sehingga datangnya pertolongan Allah S.W.T. Sahabat bertanya: Di manakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: di Baitulmaqdis, dan sekeliling Baitulmaqdis.
Riwayat Imam Ahmad

Maka kita semua diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk berusaha sedaya upaya, membantu Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dan Palestin keseluruhannya, dan yakinlah pertolongan Allah akan datang. Semarakkan doa qunut nazilah buat saudara-saudara seislam yang di zalimi di sana. Semoga akan bebas Palestin dan seisinya suatu hari nanti.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:

Nur Farrah Ain Binti Zaidi
Timbalan Ketua Lajnah  Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan