SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Rabu, Ogos 30, 2017

KERANA PANJANGNYA JALAN DAKWAH - Nukilan Siswa siri 41


Allah S. W. T berfirman berkenaan doa Nabi Zakaria A.S. :

Maksudnya : “ Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepadaMu. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalanku”.(Surah Maryam : ayat 4-5)

Sesungguhnya dunia telah menyaksikan peralihan generasi dalam satu tempoh masa yang panjang. Bermula dari nabi yang pertama diutuskan iaitu Nabi Adam A.S sehinggalah ke hari ini setelah kewafatan Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Tugas mentadbir bumi dengan berpandukan syariat ilahi diteruskan dengan legasi kepimpinan khalifah bermula daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan diganti dengan khalifah-khalifah seterusnya. Hal ini bertitik tolak mengenai kesedaran perlunya kepada generasi pelapis yang akan membawa suara Islam dengan syumul demi memastikan Islam terus berlayar di persada alam. Allah telah memperkenankan doa Nabi Zakaria A.S dengan kelahiran seorang nabi penerus dakwah iaitu Nabi Yahya A.S :

Maksudnya : (Nabi Zakaria A.S diseru setelah dikabulkan doanya): ”Wahai Zakaria! Sesungguhnya kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorang pun yang senama dengannya.” (Surah Maryam : ayat 7)

Nabi Yahya A.S merupakan seorang nabi yang diutuskan kepada satu kaum yang dipimpin oleh raja bernama Herodus. Raja Herodus sangat mencintai anak saudaranya sendiri dan ingin menikahi wanita itu. Namun mengetahui akan kesalahan perkahwinan antara mereka, dia meminta agar Nabi Yahya A.S mengeluarkan fatwa bagi menghalalkan perkahwinan mereka.

Allah S. W. T berfirman :

Maksudnya : “Dan tidaklah patut bagi lelaki dan perempuan yang mukmin apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan lain bagi urusan mereka dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.”(Surah Al-Ahzab : ayat 36)

Walaupun ia merupakan arahan seorang raja yang berkuasa, namun Nabi Yahya A.S tetap teguh dalam mempertahankan syariat Allah lantas menolak permintaan raja Herodus. Nabi Yahya akhirnya dijatuhkan hukuman penjara dan dipenggal leher beliau dalam usahanya memastikan syariat Allah tetap utuh.

Permintaan Nabi Zakaria untuk diberi keturunan penerus dakwah Ilahi ini bukanlah permintaan yang kecil. Malah ia merupakan satu pandangan jauh seorang pendakwah dalam memastikan jaringan dakwah terus terpelihara dan tidak termakan dek perjalanan masa.

Oleh yang demikian, usaha-usaha melahirkan dan mengkualitikan barisan pelapis dakwah perlu diberi keutamaan seiring dengan panjangnya jalan dakwah ini dan pendeknya jangka hayat setiap individu manusia. Rantaian dakwah Islam perlu dibentuk dan dilahirkan agar survival kesatuan Islam tetap diteruskan agar kalimah Allah dapat ditinggikan semula.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh
Saaddah binti Abdul Rahim
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Jumaat, Ogos 25, 2017

CHILL '17 : SHARING THE MOMENTS

13 - 22 OGOS 2017, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 telah menganjurkan satu jaulah ke Matruh dan Siwa yang dinamakan Creating Happiest Memories in Life 2017 (CHILL '17). Objektif CHILL '17 adalah untuk mengeratkan ukhuwah islamiah dalam kalangan peserta dan meningkatkan tarbiah dan thaqafah peserta melalui aktiviti yang dijalankan.

CHILL '17 ini telah diadakan selama tiga hari dua malam iaitu pada 13,14 dan 15 Ogos 2017 bagi akhawat, manakala 20, 21 dan 22 Ogos 2017 bagi ikhwah. Antara tempat yang dilawati oleh peserta seperti Hamam Cleopatra, Pantai Ajiba, Pantai Abyadh , Suq Libya , Tasik Garam, Kolam Cleopatra, Kota Lama Siwa dan Jabal Mauta. Pelbagai aktiviti riadah dan pengisian rohani telah diadakan untuk para peserta.

Semoga melalui jaulah ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan peserta khususnya dan ahli BKASM secara amnya dan dapat menambahkan iman dan takwa di samping menjadi salah satu wasilah tarbiah kepada ahli.


"Sharing the Moments"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
CHILL '17
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Ogos 24, 2017

OPTIMIS DENGAN MASA DEPAN ISLAM - Nukilan Siswa siri 40

        Mengikuti perkembangan Islam di media-media sosial. Kita melihat bahawa Islam seumpama produk yang semakin diminati oleh masyarakat. Di mana-mana tempat masyarakat berbicara tentang apakah jalan penyelesaian yang mampu dilakukan oleh Islam bagi menyelesaikan kemelut permasalahan yang berlaku pada hari ini.

         Kepimpinan yang telah dirosakkan oleh ideologi-ideologi ciptaan manusia, hari ini agak segan menunjukkan sikap keras menolak perlaksanaan undang-undang Islam. Tidak seperti 50 tahun dahulu. Ini adalah kesan kejayaan dakwah para ulama terdahulu menerangkan batasan iman dan kufur dengan penuh sabar. hingga sekular yang pekat menjadi cair.

        Hari ini masyarakat Islam cukup berminat menghantar anak anak mereka mengaji agama. Institusi pendidkan Islam yang sedia ada seolah-olah tidak menang tangan. Maka institusi pendidikan Islam kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan demi memenuhi permintaan.

       Dakwah telah menjadi budaya masyarakat. Masjid dan surau pasti menyambut waktu maghrib dengan kuliah agama. Tidak cukup dengan itu, pantang ada cuti pasti akan disusun kuliah subuh. Di pejabat-pejabat bahkan di pusat beli belah kadang-kadang diisi dengan kuliah agama. Kos kuliah, program, masjid dan sekolah dibiayai oleh orang ramai.

       Penggiat hedonisme terpaksa ‘berunding’ dengan arus Islam. Mereka terpaksa menganjurkan acara dan bahan hiburan ala-ala islamik demi meraikan kehidupan semasa masyarakat. Apabila berlakunya tragedi yang berlaku ke atas umat Islam di negara luar, pasti akan diadakan forum penerangan, kempen bahkan demonstrasi menunjukkan sensitiviti umat Islam yang berkongsi jiwa dan prihatin.

       Dalam kita membicarakan soal perancangan serta kejayaan musuh ke atas kita, perlu juga dihitung kejayaan-kejayaan kita. Rupa-rupanya Islam telah meraih pencapaian signifikan yang wajar disertakan dengan keizzahan yang begitu tinggi.

      Kita perlu berbaik sangka dengan Allah. Optimis dengan kemenangan Islam. Cuma dengan contoh rekod-rekod ini, mustahil musuh tidak berbuat apa-apa? Kewaspadaan adalah hikmah yang tercicir daripada jatidiri umat hari ini.

     Penderitaan yang dialami umat Islam hari ini seperti wanita yang sedang sakit bersalin. Kesakitan yang melahirkan nyawa baharu. Jika yang kita amati hari ini adalah fajar kazib sekalipun, akan datang fajar sadiq tetap akan menyingsing, bergembiralah. Namun persoalan yang sering dilontarkan, apakah kita sudah bekerja untuk melihat atau memperlihatkan fajar sadiq tersebut.

Berimanlah dengan masa depan Islam yang cerah.

“Memurnikan Pemikiran Meribat kebersamaan”

Disediakan oleh :

Muhamad Nazif bin Shaari
Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Rabu, Ogos 23, 2017

KUNJUNG HORMAT BERSAMA Y.BHG SS. DATO' SETIA HJ. MOHD. TAMYES BIN ABD. WAHID : KEBAJIKAN TERUS DIUTAMAKAN

18 Ogos 2017, SELANGOR DARUL EHSAN - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan pertemuan bersama  Y.Bhg SS. Dato' Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid (Dato’ Mufti Selangor) bertarikh 18 Ogos bertempat di Bangunan Jabatan Mufti, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

        Pertemuan bersama Y.Bhg SS. Dato' Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid adalah pertemuan julung-julung kalinya diadakan bagi membina hubungan di antara BKASM dengan Jabatan Mufti pada sesi ini. Pertemuan ini diwakili oleh pimpinan BKASM iaitu saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi dan ditemani oleh saudara Muhammad hafiz bin Rasimi sebagai wakil Panel Zakat BKASM. Pertemuan ini lebih kepada membincangkan perkara berkaitan zakat kepada Asnaf fi Sabilillah dan beberapa perkara yang lain.

        Akhirnya, harapan daripada peringkat BKASM supaya pertemuan dan perbincangan ini dapat membuahkan hasil yang baik kepada anak-anak Selangor yang berada di Perlembahan Nil serta mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Isnin, Ogos 21, 2017

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI KELANGSUNGAN PROGRAM BERSAMA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI


 
11 Ogos 2017(Jumaat). Perjumpaan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri telah diadakan bertempat di Asrama Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Hayyu Sabiek Kaherah. Perbincangan  yang telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir (BKPJM)  adalah bertujuan  menyelaraskan beberapa program  mega secara bersama.  
 
Perbincangan ini bagi menekankan berkenaan kelangsungan kebersamaan Badan Kebajikan Anak Negeri dalam membawa  kebajikan kepada ahli disamping memperkukuhkan ukhuwah diantara mahasiswa/wi sebagaimana yang telah di bawa dalam resolusi Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri yang lepas.
 
Sebagaimana program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini, peringkat yang Dipertua telah bersetuju untuk melaksanakan beberapa program sama ada melibatkan semua negeri atau beberapa negeri sahaja. Ia adalah mengikut kepada kesesuaian dan manfaat yang boleh diberikan kepada ahli.  
 
Segala makluman berkenaan dengan program-program tersebut  akan dimaklumkan melalui media rasmi Badan Kebajikan Anak Negeri.
 
Semoga kerjasama yang dijalinkan ini akan memberi manfaat kepada semua ahli dalam  memahami makna sebenar kesatuan dan meletakkan semangat ukhuwah islamiah dalam setiap pelaksanaan  gerak kerja.
 



Tema - Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan




Kehadiran,
 
YDP KPT
( AMIR SYAHIR BIN ABDULL AZIZ )
 
YDP KPIPM
( KHAIRUL NAIM BIN ABD RAZAK )
 
YDP KPKM
( ABDUL KARIM BIN MAKHTAR )
 
YDP BKASM
( MUHAMAD NAZIF BIN SHAARI )
 
YDP BKMIP
( SYED MUHAMMAD HAZIMUDDIN BIN SEYD HAMID )
 
YDP BKPJM
( MUHAMMAD ARIF BIN HAMZAH )
 
YDP BKKIMM
( MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH )
 
YDP KPP
( MUHAMMAD YUSUF BIN MARZUKI )
 
YDP BKPPPM
( AHMAD FARIZ BIN MOHD ZAINI )
 
YDP BKAWM
( ABDUL WAFI BIN ALIAS )
 
TIDAK HADIR,
 
YDP MKKK
( MUHAMMAD SYAZWAN FAIZ BIN SHAHROM )


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Sabtu, Ogos 19, 2017

MUHADHARAH AMMAH : SIRI KEDUA - SAMBUNGAN BACAAN HADIS SOHIH AL-BUKHARI (KITAB AL-FITAN)



17 OGOS 2017, KAHERAH - Unit Thaqafah di bawah Jabatan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan Muhadharah Ammah siri kedua sambungan bacaan hadis sohih al-Bukhari oleh Al-Fadhil Syeikh Rif'at Fauzi bin Abdul Mutalib bertempat di Musolla Darul Ehsan, Hayyu Asyir. Antara objektif diadakan Muhadharah Ammah ini adalah untuk menambah thaqafah ahli dan memberi pendedahan kepada ahli tentang hadis sohih Al-Bukhari bab fitan.

Majlis bermula sejurus sahaja selesai solat maghrib dan solat sunat hajat. Selepas itu, sementara menunggu kehadiran syeikh ke tempat program, majlis mengisi masa tersebut dengan bacaan kitab hadis 40 akhir zaman, kemudian majlis diteruskan dengan muhadharah ammah sambungan bacaan hadis sohih al-Bukhari (kitab al-fitan) dan setelah berakhirnya bacaan hadis sedikit tausiah berkaitan dengan pengorbanan telah disampaikan oleh syeikh. Pada akhir majlis disediakan ruang sesi soal jawab buat para hadirin yang hadir.

Pengisian muhadharah ammah adalah berkisar mengenai hadis fitan yang berfokus tentang gambaran-gambaran yang berlaku waktu akhir zaman yang mana nama lainnya juga dikenali sebagai ilmu eskatalogi. Semoga dengan pendedahan awal ini, menjadi batu loncatan buat semua ahli bKASM untuk mendalami ilmu.


"Ilmu Dimartabat Mahasiswa Bermanfaat"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Timbalan Setiausaha
Unit Thaqafah
Jabatan Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#Bersamabersatu
#Bersatuberbakti

PERTEMUAN BERSAMA Y.B DATO’ DR. HAJI AHMAD YUNUS BIN HAIRI : KEBAJIKAN TUNJANG ORGANISASI


  16 Ogos 2017, SELANGOR DARUL EHSAN - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan pertemuan bersama Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) bertarikh 16 Ogos 2018 bertempat di Pejabat SUK, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

        Pertemuan bersama Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi diwakili oleh pimpinan BKASM saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi serta ditemani oleh saudara Mohd Azwan bin Abdull Aziz sebagai penasihat BKASM serta wakil BKASM yang lain. Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan beberapa perkara antaranya program berkaitan akademik serta kebajikan bagi anak-anak Selangor yang berada di Mesir.

        Di akhir pertemuan, Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus Bin Hairi menasihatkan kepada seluruh anak-anak Selangor yang berada di perlembahan Nil ini agar menuntut ilmu agama dengan sebaiknya agar dapat memberikan manfaat tersebut selepas pulang ke Tanah Air suatu hari nanti. Semoga pertemuan ini membuahkan hasil dan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

[ PERMOHONAN DANA MAHABBAH FASA 2 ]




Cara-cara permohonan :-
1. Muat turun borang di web BKASM
2. Isi maklumat dengan lengkap 
3. Scan dan email kepada pentadbiranbkasm@gmail.com

Tarikh tutup permohonan adalah pada 29 Ogos 2017.

"Ithar Dihayati Mahabbah Dirasai"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Unit Dana Mahabbah
Jabatan Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu


#BersatuBerbakti

Jumaat, Ogos 18, 2017

MENGIKUTI TARBIAH GENERASI SAHABAT Nukilan Siswa Siri 39

   yang bermaksud :Allah berfirman  
       Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran yang keras (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadah kepadaNya setiap masa.
(Surah Al-Fath : ayat 8-9)

        Rasulullah merupakan murabbi teragung yang wajib diikuti oleh semua umat manusia. Qudwah hasanah yang sentiasa menghiasi diri baginda menjadikan peribadinya sentiasa diikuti sepanjang zaman dalam setiap ruang lingkup kehidupan.

       Peribadi baginda yang soleh, menyebabkan baginda disayangi dan dipercayai oleh penduduk Mekah sehingga mereka menggelarnya sebagai al-Amin. Namun, bilamana Rasulullah S.A.W diamanahkan Allah untuk menjadi muslih dengan menangislah masyarakatnya ketika itu, menjadikan baginda dibenci dan dijauhi. Banyak tuduhan hina yang dilempar keatas baginda di antaranya adalah tuduhan gila dan ahli sihir. Allah menjawab secara jelas di dalam al-Quran:

      Maksudnya : Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (sepertimana yang kamu tuduh). (Surah At-Takwir : ayat 23)

      Bahkan Nabi Muhammad diutus demi menjalankan perintah dan syariat Allah :
      Maksudnya : Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama. Maka ikutilah syariat itu, dan janganlah engkau menuruti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah Al-Jathiyah : ayat 18)

        Maka tanggungjawab sebagai seorang utusan Allah inilah yang perlu digalas setiap umat baginda pada hari ini  sesedia mungkin demi memastikan agama Allah ditegakkan dan syariatNya mampu dilaksanakan.

        Nabi Muhammad S.A.W memulakan tanggungjawab ini dengan menyeru dan mengislamkan keluarga dan sahabat terdekat baginda dahulu. Kemudian ketika mana dakwah ini mula berkembang dan diterima ramai, maka Rasulullah memilih  rumah al Arqam bin Abi al Arqam untuk dijadikan pusat perkumpulan baginda dan para sahabat, bagi mendalami dan memahami Islam dengan lebih mendalam. Di dalam pertemuan ini, sejarah telah menyaksikan pengislaman ramai daripada kalangan sahabat Rasulullah antaranya Umar bin al-Khattab.

        Maksudnya : Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.(Surah At-Taubah : ayat 100)

       Antara faktor pemilihan rumah al Arqam sebagai pusat perkumpulan tarbiah adalah disebabkan :-

1.    Tidak ada sesiapa yang mengetahui berkenaan pengislaman al Arqam ketika itu.
2.    Kafir Quraisy tidak menjangka yang al Arqam akan mengikut Nabi Muhammad kerana beliau merupakan suku Bani Makhzum yang terkenal sebagai musuh kepada Bani Hasyim.
3.    Ketika al Arqam menerima Islam, umurnya baru mencecah 16 tahun. Dengan usianya yang semuda ini, kafir Quraisy tidak pernah menjangka rumahnya dijadikan pusat tarbiah Rasulullah dan para sahabat.
4.    Kedudukan rumah al Arqam yang terletak di bukit Sofa, menyebabkan  aktiviti mereka tidak begitu disedari oleh orang-orang Quraisy.


         Hasil tarbiah yang diberikan Rasulullah inilah yang menjadikan para sahabat generasi awal sebagai teras utama dan tulang belakang kepada perjuangan Islam. Mereka kekal istiqamah sehingga akhir hayat memperjuangkan Islam dan tidak terpengaruh dengan gerakan murtad yang dilakukan sebilangan umat Islam selepas kewafatan Rasulullah. Mereka juga yang berdiri teguh memperjuangkan Islam menentang kelompok-kelompok Islam yang menyeleweng dan kelompok-kelompok yang mengaku diri sebagai nabi.

        Generasi hari ini perlu mengenali sahabat-sahabat Rasulullah ini dan menjadikan mereka model ikutan yang terbaik sepanjang hidup. Merekalah qudwah jundiah taat, mereka juga qudwah qiadah rabbaniah di zaman mereka. Sehinggakan Rasulullah mengiktiraf kemuliaan mereka di dalam sabdanya  kepada Imran bin Husain R.A :-

      Maksudnya : Sebaik-sebaik  umatku  adalah mereka yang hidup di zamanku (iaitu sahabat). Kemudian mereka (iaitu tabi’in) yang hidup mengikuti (manhaj hidup) sahabatku, kemudian mereka (iaitu tabi’ tabi’in) yang hidup selepas tabi’in.(Riwayat Bukhari)

        Kerana itu, tarbiah merupakan elemen yang sangat penting dan perlu digerakkan  semaksima  mungkin di setiap peringkat bagi membina masyarakat yang rabbani dan amilin yang ikhlas dalam berjuang. Kita tidak boleh culas dalam melaksanakan usaha tarbiah kerana ianya keperluan amilin Islam sepanjang zaman. Dengan tarbiah, kita mampu melahirkan tunas-tunas Islam yang subur dan kukuh akarnya. Setiap zaman mempunyai  generasi yang ditarbiah dan tarbiah dilaksanakan melalui wasilah yang pelbagai antaranya usrah.


         Akhir kalam, kita mendambakan generasi amilin yang disifatkan oleh Allah Subahnahu Taala di dalam surah al Maidah ayat 54:

          Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman!, Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agama Allah (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mana Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas berprinsip terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Justeru, misi tarbiah yang kita laksanakan di setiap peringkat perlulah ditekankan beberapa target antaranya:

     Akidah yang sejahtera
2.    Fikrah islamiah yang syumul.
3.    Ibadah yang bebar
4.    5 sifat yang disebutkan Allah dalam surah Al-Maidah ini.



Disediakan oleh :

Mohd Nazim bin Bahnan
Ketua Unit Hisbah
BKASM sesi 2016/2017


“Memurnikan Pemikiran Meribat kebersamaan”


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

Khamis, Ogos 10, 2017

YAUM THAQAFI - BICARA PALESTIN : DARAH INSAN VS DARAH NYAMUK



7 Ogos 2017, KAHERAH – Unit Thaqafah di bawah Jabatan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan Yaum Thaqafi yang bertajuk "Bicara Palestin : Darah Insan vs Darah Nyamuk" bertempat di Musolla Darul Ehsan. Antara objektif diadakan Yaum Thaqafi ini adalah untuk menambahkan thaqafah ahli dan memberi pendedahan tentang isu semasa umat Islam kini.         

  Majlis bermula sejurus sahaja selepas solat maghrib dan diikuti dengan Solat Hajat Perdana bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam khususnya di bumi Palestin. Selepas itu, majlis diteruskan dengan slot Talkshow yang bertajuk "Bicara Palestin : Darah Insan vs Darah Nyamuk" yang dikendalikan oleh saudara Muhamad Hakim bin Mohd Nasir dan dua orang ahli panel yang cukup hebat iaitu saudara Dr. Nik Muhamad Al-Amin bin Nik Azman (Pengarah Mentor Council PERUBATAN sesi 2016/2017) dan saudari Sofia Alwani binti Ali (mantan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKASM sesi 2011/2012). 

Ahli panel membentangkan kertas kerja "Al-aqsa" berkenaan dengan sejarah bumi Palestin dan mengapa bumi Palestin menjadi rebutan orang ramai. Selain itu, tentang pergolakan di Asia Barat yang menjadi serangan Israel dan Amerika (Kristian Zionis) bagi mencapai tujuan menubuhkan Israel Raya. Banyak perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai untuk mencapai tujuan tersebut (penubuhan negara Israel). Di akhir perbahasan ini, ahli panel memberikan kesimpulan bahawa kita hendaklah berwaspada dengan musuh dan menjadikan al-Quran sebagai senjata utama dalam berhadapan dengan musuh.

Justeru, peringkat BKASM mengharapkan supaya ahli dapat menambahkan lagi thaqafah berkenaan isu-isu umat Islam sedunia. Semoga dengan perlaksanaan Yaum Thaqafi pada kali ini dapat memberi manfaat kepada seluruh ahli.


"Ilmu Dimartabat Mahasiswa Bermanfaat"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Unit Thaqafah
Jabatan Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Isnin, Ogos 07, 2017

KEMENANGAN ISLAM PASTI AKAN BERULANG - Nukilan Siswa Siri 38


“Demi sesungguhnya pada kisah Nabi-nabi itu terdapat pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.”(Yusuf: 111)

Ayat ini menceritakan mengenai sirah-sirah umat terdahulu untuk memberi didikan bagi mereka yang sentiasa mengambil pelajaran. Dari ayat ini juga jelas menerangkan bahawa kisah-kisah yang Allah sebutkan itu mempunyai pengajaran yang amat besar. Justeru, sebagai umat Islam kita perlu banyak mengkaji dan mempelajari sejarah agar dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita.

Umum mengetahui, antara sejarah yang menceritakan tentang kemenangan Islam adalah kemenangan yang dicapai umat Islam dalam pembukaan Kota Konstantinopel. Seorang pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Al-Fatih telah berjaya menakluki Konstantinopel kerana memiliki keyakinan yang tinggi terhadap Allah, kesungguhan yang kuat serta merupakan sebaik-baik pemimpin dan dibantu sebaik-baik tentera.

Demikian juga dengan janji Allah mengenai kemenangan Islam yang pasti akan berulang  seperti yang digariskan dalam al-Quran dan hadis. Sejarah pembukaan kota Mekah serta pengajaran dari kisah Al-Fatih ketika penaklukan Konstantinopel menjadi motivasi yang besar kepada umat Islam akan janji Allah bahawa syiar Islam akan tertegak.

Persoalannya, di manakah kita pada hari ini dalam usaha menegakkan agama Islam? Renungi dan muhasabah bersama. Adakah kita ingin menjadi golongan orang munafiq yang tidak yakin akan kemenangan Islam dan mempertikaikan kata-kata Rasulullah S.A.W ketika di dalam peperangan Khandaq?

Oleh itu, sekiranya kita merasakan ingin berpaling dan lari dari melakukan gerak kerja Islam, silakan! Hal ini kerana Allah akan hadirkan pengganti-pengganti yang lebih baik dalam membawa dan melakukan gerak kerja Islam.

“ Dan jika kamu berpaling (daripada beriman,bertaqwa dan menderma) ia akan mengantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu tidak akan berkeadaan seperti kamu”. (Muhammad: 38)


Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam melakukan gerak kerja Islam kerana “Islam tidak memerlukan kita akan tetapi kita yang memerlukan Islam” . Kita perlulah yakin bahawa kemenangan Islam itu pasti akan tiba suatu hari nanti.


“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan“

Disediakan oleh:

Nabil Rusyaidi bin Ramli
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti



Selasa, Ogos 01, 2017

ROADSHOW '17: TERUSKAN MEMBERI INSPIRASI


JULAI 2017, SELANGOR, MALAYSIA - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017
sekali lagipada kali ini turun ke medan demi melaksanakan Program Roadshow Baktisiswa Mesir yang saban tahun diadakan ketika ahli-ahlinya pulang ke tanah air Malaysia. Sasaran program terarah kepada 8 buah sekolah agama menengah sekitar Selangor.

Program yang diketuai oleh saudara Khairul Adha bin Hamdzani ini mempunyai objektifnya yang tersendiri. Salah satunya, meningkatkan motivasi pelajar untuk cemerlang dalam STAM, di samping memperkenalkan Al-Azhar sebagai universiti pilihan. Selain berkongsi kaedah penguasaan Bahasa Arab berdasarkan pengalaman di Mesir.

Didatangkan dengan konsep konsultansi, ia melibatkan Slot Maan Nanjah dan Slot Motivasi dengan jemputan pengisi yang bukan calang-calang yang terdiri daripada bekas pelajar sekolah yang terlibat. Bahkan yang lebih menarik dan produktif, kita memperanankan fasilitator daripada penuntut Universiti al-Azhar sendiri untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam Gerak Kerja Berkumpulan (GKB), memberi kelebihan pada program Roadshow kali ini.

Terdapat banyak pengisian yang diperoleh para pelajar, antaranya adalah penerangan tentang kaedah memahami teks, formula bahasa arab mudah, kelebihan memilih Mesir sebagai tempat pengajian dan pengalaman dalam menuntut ilmu di bumi yang dikenali sebagai ‘Ummu ad-Dunya’ ini. Turut diselitkan tentang adab sebagai penuntut ilmu dan peranan pelajar dalam slot motivasi yang dikongsikan bersama. Menariknya program ini juga memfokuskan pada Gerak Kerja Berkumpulan(GKB) iaitu modul ukhwah pada GKB 1, manakala pada GKB 2 menerangkan cara-cara menterjemah kitab dan perkongsian tentang BKASM dan Mesir.

Seterusnya, pameran mengenai BKASM dan Universiti al-Azhar juga disediakan bagi para pelajar untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mendalam. Perjalanan program juga diisi dengan ruangan jualan yang terdiri daripada minyak wangi, key-chain, stoking dan banyak lagi yang dibawa khas sebagai tanda kenang-kenangan dari bumi Mesir.
Pada dasarnya, sekolah yang mempunyai pelajar-pelajar calon Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) adalah menjadi sasaran. Sekolah-sekolah yang terlibat pada kali ini ialah :-

1. Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu (3/7/2017)
2. Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Bt.38 (4/7/2017)
3. Sekolah Agama Menengah Muhammadiah Batu Satu (5/7/2017)
4. Sekolah Agama Menengah Jeram (6/7/2017)
5. Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (25/7/2017)
6. Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (26/7/2017)
7. Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (27/7/2017)
8. Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin Kampong Jawa (28/7/2017)

Kedatangan kami juga disambut baik oleh pihak sekolah. Penghargaan buat BKASM juga diucapkan dalam slot perasmian bersama pihak sekolah. Mereka juga mengharapkan agar program ini dijalankan lagi pada tahun seterusnya supaya dapat meningkatkan semangat dan motivasi di dalam diri pelajar STAM untuk mencapai kejayaan seterusnya melanjutkan pengajian ke Mesir.

Akhir kata, pihak penganjur merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan Program Roadshow Baktisiswa Mesir pada tahun ini. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah, penaja, ahli-ahli BKASM serta pelajar-pelajar STAM yang membantu menjayakan program pada kali ini sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Semoga usaha kita bersama diredai dan diberkati Allah S.W.T serta mendapat ganjaran daripadaNya.

‘’Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan’’

Disediakan oleh :
Timbalan Setiausaha,
Roadshow Baktisiswa Mesir 2017
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti