OPTIMIS DENGAN MASA DEPAN ISLAM - Nukilan Siswa siri 40
Mengikuti perkembangan Islam di
media-media sosial. Kita melihat bahawa Islam seumpama produk yang semakin
diminati oleh masyarakat. Di mana-mana tempat masyarakat berbicara tentang
apakah jalan penyelesaian yang mampu dilakukan oleh Islam bagi menyelesaikan
kemelut permasalahan yang berlaku pada hari ini.
Kepimpinan yang telah dirosakkan oleh
ideologi-ideologi ciptaan manusia, hari ini agak segan menunjukkan sikap keras
menolak perlaksanaan undang-undang Islam. Tidak seperti 50 tahun dahulu. Ini
adalah kesan kejayaan dakwah para ulama terdahulu menerangkan batasan iman dan
kufur dengan penuh sabar. hingga sekular yang pekat menjadi cair.
Hari ini masyarakat Islam cukup
berminat menghantar anak anak mereka mengaji agama. Institusi pendidkan Islam
yang sedia ada seolah-olah tidak menang tangan. Maka institusi pendidikan Islam kini
tumbuh bagai cendawan selepas hujan demi memenuhi permintaan.
Dakwah telah menjadi budaya masyarakat. Masjid
dan surau pasti menyambut waktu maghrib dengan kuliah agama. Tidak cukup dengan
itu, pantang ada cuti pasti akan disusun kuliah subuh. Di pejabat-pejabat bahkan
di pusat beli belah kadang-kadang diisi dengan kuliah agama. Kos kuliah, program,
masjid dan sekolah dibiayai oleh orang ramai.
Penggiat hedonisme terpaksa ‘berunding’
dengan arus Islam. Mereka terpaksa menganjurkan acara dan bahan hiburan ala-ala
islamik demi meraikan kehidupan semasa masyarakat. Apabila berlakunya tragedi
yang berlaku ke atas umat Islam di negara luar, pasti akan diadakan forum
penerangan, kempen bahkan demonstrasi menunjukkan sensitiviti umat Islam yang
berkongsi jiwa dan prihatin.
Dalam kita membicarakan soal perancangan
serta kejayaan musuh ke atas kita, perlu juga dihitung kejayaan-kejayaan kita.
Rupa-rupanya Islam telah meraih pencapaian signifikan yang wajar disertakan
dengan keizzahan yang begitu tinggi.
Kita perlu berbaik sangka dengan Allah.
Optimis dengan kemenangan Islam. Cuma dengan contoh rekod-rekod ini, mustahil
musuh tidak berbuat apa-apa? Kewaspadaan adalah hikmah yang tercicir daripada
jatidiri umat hari ini.
Penderitaan yang dialami umat Islam hari
ini seperti wanita yang sedang sakit bersalin. Kesakitan yang melahirkan nyawa
baharu. Jika yang kita amati hari ini adalah fajar kazib sekalipun, akan
datang fajar sadiq tetap akan menyingsing, bergembiralah. Namun persoalan yang
sering dilontarkan, apakah kita sudah bekerja untuk melihat atau memperlihatkan
fajar sadiq tersebut.
Berimanlah dengan masa
depan Islam yang cerah.
“Memurnikan Pemikiran
Meribat kebersamaan”
Disediakan oleh :
Muhamad Nazif bin Shaari
Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017
Muhamad Nazif bin Shaari
Yang Dipertua
BKASM sesi 2016/2017
#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan