SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, September 15, 2017

MUSLIMAH MUKMINAH Nukilan Siswa Siri 43


Dia wanita bangsawan yang berfikiran murni dan miliki kecerdasan yang tinggi. Takdir Allah menghendaki iman menyentuh lubuk hatinya yang paling dalam justeru bangkit menepis debu-debu jahiliyyah dan mengusung panji tauhid. Srikandi ini tercatat sebagai sahabat dalam kalangan wanita yang setia di sisi Rasulullah.

Safiyyah binti Abdul Mutalib merupakan bonda kepada Zubair bin al-‘Awwam . Bertitik tolak dari kewafatan suaminya, puteranya dibentuk dengan didikan rohani dan kekuatan fizikal yang tegas. sehingga ada yang mengatakan beliau memukul kerana kebencian. Maka dijawab Safiyyah dengan bersajak :

“Aku memukul supaya pintar,
Tangkas menghadapi musuh,
Pulang dengan kemenangan.”

Cahaya kebenaran yang teguh terpasak dalam jiwa menjadi sumber kekuatan untuk Safiyyah menghadapi segala tentangan semasa awal dakwah Islam disebarkan. Mengikut jejak langkah muslimin yang lain, Safiyyah menghadapkan wajahnya ke Madinah sebagai Muhajirin  meninggalkan segala lambakan kemewahan dan kebanggaan demi menyahut seruan hijrah.

Perang Uhud merakam seluruh perjalanan pertempuran dalam ingatannya kerana medan itu jadi saksi perjuangan anak saudaranya, Muhammad Rasulullah, saudaranya Hamzah Abdul Mutalib (Asadullah) malah anak kandungnya sendiri Zubair al-‘Awwam (Hawarriy Nabiyallah). Maka susuk tubuh yang menginjak usia enam puluh itu bertindak sebagai pengangkut air, memperbaiki busur dan menyediakan anak panah tidak menghalang sisi pandang matanya untuk menangkap kelibat kekasih Allah di medan tempur. Suatu ketika Rasulullah menjadi sasaran pihak musuh kerana kacau bilau barisan tentera Islam, Safiyyah bertindak merebut pedang salah seorang tentera muslim lalu menebas setiap musuh yang berada di sekeliling Nabi sehingga ke tengah medan. Siri peperangan berakhir dengan pemandangan yang menyayat hati kerana mayat saudaranya Hamzah diperlakukan dengan tragis.
Adapun dalam Perang Khandaq menukilkan kisah perang yang dijalin halus dengan tipu daya yang cerdik dan berani tentang Safiyyah. Seperti kebiasaaan Rasulullah menempatkan para wanita dan anak-anak di kediaman yang selamat dari gangguan pihak musuh dan kali ini di kediaman Hassan bin Tsabit tanpa kawalan tentera muslimin kerana semuanya dikerahkan menjaga Khandaq. Dalam pada itu Safiyyah terlihat ada kelibat yang mengintip di sekitar kawasan kediaman dan setelah dikenal pasti ianya dari Bani Quraizah yang telah bersekutu dengan Quraisy, lantas bertindak menyandang sebatang kayu kemudian memukul pengintip tersebut sehingga mati.

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
 (Surah Al-Anfal : Ayat 60)
Maksudnya : "Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan kuda yang menggentarkan musuh Allah,  musuh-musuhmu dan orang-orang selain mereka yang tidak kamu ketahui tetapi Allah mengetahui. Apa sahaja yang kamu infaqkan di jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi."
Kisah Safiyyah mengajar erti sabar dengan keimanan. Maka iman yang melahirkan ikhlas itu diuji Allah dengan segala kekuatan yang dimiliki. Mengerah akal fikiran dan fokus walau di posisi mana kita bergerak untuk menjaga dan memelihara pembangunan Islam. Mengambil peluang dan ruang untuk dimanfaatkan dengan kecerdasan dan ketangkasan yang dianugerahkan Allah. Tidak lain tidak bukan hanya demi Islam. Demi Lillah.
Semoga Allah pelihara semua para syuhada’.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :

Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Sabtu, September 09, 2017

SAEIDHA '17 : MEMAKNAKAN ERTI PENGORBANAN


30 Ogos-3 September 2017, KAHERAH - Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Merdeka 2017 (SAEIDHA’17) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah berlangsung dengan jayanya. Objektif SAEIDHA '17 adalah untuk menerapkan semangat pengorbanan serta meribat ukhuwah di samping meningkatkan thaqafah dalam kalangan ahli.

Program ini telah berlangsung selama 5 hari dan padat dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh SAEIDHA ’17.

Pada 30 Ogos 2017, Program Sambutan Aidiladha dan Merdeka 2017 (SAEIDHA’17) telah dimulakan dengan slot Ambang Raya iaitu Munajat Kemerdekaan dan Ambang SAEIDHA’17. Antara pengisian yang diadakan adalah Solat Hajat serta Talkshow yang bertajuk Merdeka Raya : Manifestasi Iman dan Pengorbanan. Slot ini telah disampaikan oleh dua orang panel iaitu, saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi, Fasilitator Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) dan saudari Siti Hajar binti Mohd Razali, Fasilitator Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) serta ditemani oleh seorang moderator, saudara Muhammad Faiz bin Othman, Ketua Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2016/2017. Slot ini diadakan dengan kerjasama BKAN Taakhi iaitu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM),Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP)dan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir(BKKIMM) diikuti dengan sesi fotografi bersama selepas selesainya Solat Isyak.

Pada hari kedua, 31 Ogos 2017, Majlis Perasmian SAEIDHA '17 dimulakan dengan nyanyian nasyid Asmaul Husna, seterusnya ucapan Pengarah SAEIDHA ’17 iaitu saudara Muhamad Nasrul bin Jamal dan diikuti ucapan Yang Dipertua BKASM, saudara Muhamad Nazif bin Shaari serta diteruskan lagi dengan ucapan perasmian daripada Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Mohd Yasser bin Abdul Ghani.

Pada 1 September 2017, program dimulakan dengan qiamullail seawal jam 3.00 pagi diikuti Solat Subuh secara berjemaah dan takbir raya serta Solat Sunat Aidiladha di Suq Sayyarat. Kemudian diadakan sesi fotografi secara beramai-ramai. Kemeriahan diteruskan lagi dengan ziarah
Asrama ke KORUS bagi mengeratkan tautan ukhuwah. Kemudian di sebelah malam, dijalankan pembentangan Fiqh Korban dan sembelihan bagi menambahkan thaqafah ahli berkaitan sembelihan.

Pada 2 September 2017, seawal jam 6.00 pagi, aktiviti penyembelihan haiwan korban dimulakan dengan sesi taklimat penerangan dan seterusnya  penyembelihan haiwan korban. Aktiviti diteruskan lagi dengan gotong-royong bersama ahli seperti melapah, memotong dan memasak untuk hidangan jamuan ringan. Pada waktu petang, daging korban yang telah dibungkus diagihkan kepada ahli asrama dan KORUS.

Pada 3 September 2017, telah diadakan praktikal sembelihan untuk peserta akhawat serta aktiviti rewang jamuan raya bersama ahli. Pada pukul 7.00 malam, aktiviti diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup yang dirasmikan oleh Penasihat BKASM, saudara Asraf bin Alias serta penyampaian hadiah bagi pertandingan yang dijalankan di bawah Lajnah Penempatan dan Perumahan dan Lajnah Ekonomi di samping santapan halwa telinga nyanyian nasyid daripada kumpulan Sufi’s Rhythm.

Harapan pihak pelaksana agar SAEIDHA '17 kali ini menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah islamiah dan juga jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM sama ada mahasiswa lama mahupun baru, seterusnya menjadikan BKASM sebagai wadah utama dalam menjaga setiap kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.
 

“Interpretasi Pengorbanan Semarak Perjuangan”
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
SAEIDHA '17
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, September 07, 2017

KEKUATAN ‘BIJAK’ YANG DISALAH GUNA Nukilan Siswa Siri 42

         Allah S.W.T mengurniakan akal fikiran kepada manusia untuk berfikir serta untuk mengolahkan idea-idea yang ada pada manusia ke dalam dunia realiti. Umat Islam diberikan ruang untuk berfikir daripada segenap aspek yang dipandu oleh al-Quran dan as-sunnah sejak dahulu lagi. Namun pada zaman yang penuh dengan teknologi ini, terdapat individu dan agensi-agensi menggunakan daya berfikir yang telah diberikan kepada mereka ke arah untuk menjatuhkan Islam dengan pelbagai cara.

        Antara agensi-agensi badan perisikan yang aktif dan mempunyai anggota-anggota yang mahir serta daya fikir yang tinggi sehingga ke hari ini ialah :-

        MOSSAD Intelligence Agency : Tujuan utama diciptakan adalah untuk mengawasi bangsa-bangsa dan organisasi arab di seluruh dunia daripada memberi ancaman kepada Israel. Tindakan-tindakannya membuat dunia tidak senang duduk. MOSSAD dibentuk oleh Perdana Menteri Israel David Ben Gurion dan pada awal pembentukannya, ia berkata bahawa tujuan MOSSAD adalah “untuk negara kita yang mempunyai ancaman daripada musuh. Kita harus belajar dengan baik cara untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling kita.”

          MOSSAD berpusat di Tel Aviv yang menjadi ibu negara Israel(Perampas tanah Palestin)yang tidak diiktiraf oleh Umat Islam sehingga ke hari ini. Anggota MOSSAD pada tahun 1980 mempunyai seramai 1500-2000 orang ketika itu dan Direktor MOSSAD masih dirahsiakan. Akan tetapi, selepas pada tahun 1996, pemerintah Israel telah mengumumkan pada  masyarakat umum bahawa Direktor MOSSAD ketika itu ialah Danny Yatom menggantikan Shabtai Shavit atas faktor-faktor tertentu.

          Misi-misi yang dilakukan oleh mereka bukan satu misi yang mudah. Mereka adalah jenis manusia yang menggunakan konsep “Matlamat menghalalkan cara”. Mereka sanggup berlakon di hadapan kita dan kita beranggapan mereka sebahagian daripada kita tanpa sedar.Selain itu,  mereka juga akan masuk ke seluruh negara yang mereka kehendaki dengan menggunakan pasport dan identiti yang palsu serta mereka adalah individu yang gemar duduk di dalam jabatan pertahanan sesebuah negara. Tidak ada istilah “gagal” dalam kamus kehidupan mereka. Sekiranya berjaya jawapannya hidup, jika gagal jawapannya mati.

Antara Direktor MOSSAD ialah :-

1) Reuven Shiloah (1949-1952)               7) Shabtai Shavit (1989-1996)     
2) Isser Harel (1953-1963)                        8) Danny Yatom (1996-1998)
3) Meir Amit (1963-1968)                         9) Efraim Halevy (1998-2002)
4) Zvi Zamir (1968-1973)                         10) Meir Dagan (2002-2011)
5) Yitzhak Hofi (1973-1982)                    11) Tamir Pardo (2011-Sekarang)
6) Nahum Admoni (1982-1989)

        Penceritaan yang dinukilkan ini bukanlah untuk menunjuk kehebatan dan kepahlawanan mereka. Bahkan mereka ini satu golongan yang Allah S.W.T telah memberikan nikmat pada zaman para nabi terdahulu akan tetapi mereka terus melakukan kerosakan, kemungkaran, dan maksiat di atas muka bumi ini sehingga kini. Hipotesis yang boleh dibuat adalah “Semakin kita semangat membawa panji-panji Islam, semakin kita perlu bersedia untuk diperhatikan oleh musuh-musuh Islam.”

          Kesimpulannya, Yakinlah wahai umat Islam!, kebijaksanaan yang mereka ada tetap tidak dapat mengalahkan kebijaksanaan yang ada pada umat Islam kerana  kita mengharapkan reda dan bantuan daripada Allah S.W.T dan mereka hanya penat, lelah dan bakal meninggalkan dunia ini dalam keadaan sia-sia seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud :-

          “Dan janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka(musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka ketahuilah mereka pun menderita kesakitan sebagaimana kamu rasakan, sedangkan kamu masih mengharapkan daripada Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha bijaksana.”(Surah An-Nisa : ayat 104)

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :
Muhammad Auzaie bin Roslan,
Setiausaha Agung,
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti