Jumaat, September 15, 2017

MUSLIMAH MUKMINAH Nukilan Siswa Siri 43


Dia wanita bangsawan yang berfikiran murni dan miliki kecerdasan yang tinggi. Takdir Allah menghendaki iman menyentuh lubuk hatinya yang paling dalam justeru bangkit menepis debu-debu jahiliyyah dan mengusung panji tauhid. Srikandi ini tercatat sebagai sahabat dalam kalangan wanita yang setia di sisi Rasulullah.

Safiyyah binti Abdul Mutalib merupakan bonda kepada Zubair bin al-‘Awwam . Bertitik tolak dari kewafatan suaminya, puteranya dibentuk dengan didikan rohani dan kekuatan fizikal yang tegas. sehingga ada yang mengatakan beliau memukul kerana kebencian. Maka dijawab Safiyyah dengan bersajak :

“Aku memukul supaya pintar,
Tangkas menghadapi musuh,
Pulang dengan kemenangan.”

Cahaya kebenaran yang teguh terpasak dalam jiwa menjadi sumber kekuatan untuk Safiyyah menghadapi segala tentangan semasa awal dakwah Islam disebarkan. Mengikut jejak langkah muslimin yang lain, Safiyyah menghadapkan wajahnya ke Madinah sebagai Muhajirin  meninggalkan segala lambakan kemewahan dan kebanggaan demi menyahut seruan hijrah.

Perang Uhud merakam seluruh perjalanan pertempuran dalam ingatannya kerana medan itu jadi saksi perjuangan anak saudaranya, Muhammad Rasulullah, saudaranya Hamzah Abdul Mutalib (Asadullah) malah anak kandungnya sendiri Zubair al-‘Awwam (Hawarriy Nabiyallah). Maka susuk tubuh yang menginjak usia enam puluh itu bertindak sebagai pengangkut air, memperbaiki busur dan menyediakan anak panah tidak menghalang sisi pandang matanya untuk menangkap kelibat kekasih Allah di medan tempur. Suatu ketika Rasulullah menjadi sasaran pihak musuh kerana kacau bilau barisan tentera Islam, Safiyyah bertindak merebut pedang salah seorang tentera muslim lalu menebas setiap musuh yang berada di sekeliling Nabi sehingga ke tengah medan. Siri peperangan berakhir dengan pemandangan yang menyayat hati kerana mayat saudaranya Hamzah diperlakukan dengan tragis.
Adapun dalam Perang Khandaq menukilkan kisah perang yang dijalin halus dengan tipu daya yang cerdik dan berani tentang Safiyyah. Seperti kebiasaaan Rasulullah menempatkan para wanita dan anak-anak di kediaman yang selamat dari gangguan pihak musuh dan kali ini di kediaman Hassan bin Tsabit tanpa kawalan tentera muslimin kerana semuanya dikerahkan menjaga Khandaq. Dalam pada itu Safiyyah terlihat ada kelibat yang mengintip di sekitar kawasan kediaman dan setelah dikenal pasti ianya dari Bani Quraizah yang telah bersekutu dengan Quraisy, lantas bertindak menyandang sebatang kayu kemudian memukul pengintip tersebut sehingga mati.

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
 (Surah Al-Anfal : Ayat 60)
Maksudnya : "Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan kuda yang menggentarkan musuh Allah,  musuh-musuhmu dan orang-orang selain mereka yang tidak kamu ketahui tetapi Allah mengetahui. Apa sahaja yang kamu infaqkan di jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi."
Kisah Safiyyah mengajar erti sabar dengan keimanan. Maka iman yang melahirkan ikhlas itu diuji Allah dengan segala kekuatan yang dimiliki. Mengerah akal fikiran dan fokus walau di posisi mana kita bergerak untuk menjaga dan memelihara pembangunan Islam. Mengambil peluang dan ruang untuk dimanfaatkan dengan kecerdasan dan ketangkasan yang dianugerahkan Allah. Tidak lain tidak bukan hanya demi Islam. Demi Lillah.
Semoga Allah pelihara semua para syuhada’.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :

Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


0 comments:

Catat Ulasan