Sabtu, September 09, 2017

SAEIDHA '17 : MEMAKNAKAN ERTI PENGORBANAN


30 Ogos-3 September 2017, KAHERAH - Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Merdeka 2017 (SAEIDHA’17) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah berlangsung dengan jayanya. Objektif SAEIDHA '17 adalah untuk menerapkan semangat pengorbanan serta meribat ukhuwah di samping meningkatkan thaqafah dalam kalangan ahli.

Program ini telah berlangsung selama 5 hari dan padat dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh SAEIDHA ’17.

Pada 30 Ogos 2017, Program Sambutan Aidiladha dan Merdeka 2017 (SAEIDHA’17) telah dimulakan dengan slot Ambang Raya iaitu Munajat Kemerdekaan dan Ambang SAEIDHA’17. Antara pengisian yang diadakan adalah Solat Hajat serta Talkshow yang bertajuk Merdeka Raya : Manifestasi Iman dan Pengorbanan. Slot ini telah disampaikan oleh dua orang panel iaitu, saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi, Fasilitator Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) dan saudari Siti Hajar binti Mohd Razali, Fasilitator Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) serta ditemani oleh seorang moderator, saudara Muhammad Faiz bin Othman, Ketua Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2016/2017. Slot ini diadakan dengan kerjasama BKAN Taakhi iaitu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM),Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP)dan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir(BKKIMM) diikuti dengan sesi fotografi bersama selepas selesainya Solat Isyak.

Pada hari kedua, 31 Ogos 2017, Majlis Perasmian SAEIDHA '17 dimulakan dengan nyanyian nasyid Asmaul Husna, seterusnya ucapan Pengarah SAEIDHA ’17 iaitu saudara Muhamad Nasrul bin Jamal dan diikuti ucapan Yang Dipertua BKASM, saudara Muhamad Nazif bin Shaari serta diteruskan lagi dengan ucapan perasmian daripada Atase Pendidikan Selangor Mesir, Ustaz Mohd Yasser bin Abdul Ghani.

Pada 1 September 2017, program dimulakan dengan qiamullail seawal jam 3.00 pagi diikuti Solat Subuh secara berjemaah dan takbir raya serta Solat Sunat Aidiladha di Suq Sayyarat. Kemudian diadakan sesi fotografi secara beramai-ramai. Kemeriahan diteruskan lagi dengan ziarah
Asrama ke KORUS bagi mengeratkan tautan ukhuwah. Kemudian di sebelah malam, dijalankan pembentangan Fiqh Korban dan sembelihan bagi menambahkan thaqafah ahli berkaitan sembelihan.

Pada 2 September 2017, seawal jam 6.00 pagi, aktiviti penyembelihan haiwan korban dimulakan dengan sesi taklimat penerangan dan seterusnya  penyembelihan haiwan korban. Aktiviti diteruskan lagi dengan gotong-royong bersama ahli seperti melapah, memotong dan memasak untuk hidangan jamuan ringan. Pada waktu petang, daging korban yang telah dibungkus diagihkan kepada ahli asrama dan KORUS.

Pada 3 September 2017, telah diadakan praktikal sembelihan untuk peserta akhawat serta aktiviti rewang jamuan raya bersama ahli. Pada pukul 7.00 malam, aktiviti diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup yang dirasmikan oleh Penasihat BKASM, saudara Asraf bin Alias serta penyampaian hadiah bagi pertandingan yang dijalankan di bawah Lajnah Penempatan dan Perumahan dan Lajnah Ekonomi di samping santapan halwa telinga nyanyian nasyid daripada kumpulan Sufi’s Rhythm.

Harapan pihak pelaksana agar SAEIDHA '17 kali ini menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah islamiah dan juga jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM sama ada mahasiswa lama mahupun baru, seterusnya menjadikan BKASM sebagai wadah utama dalam menjaga setiap kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.
 

“Interpretasi Pengorbanan Semarak Perjuangan”
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
SAEIDHA '17
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

0 comments:

Catat Ulasan