SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Isnin, Oktober 23, 2017

MAT 42 : MENERUSKAN LEGASI PIMPINAN MAHASISWA ISLAM


21 Oktober 2017, KAHERAH –  Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-42 yang telah diadakan di Asrama Rumah Selangor. Mesyuarat Agung Tahunan ini telah melibatkan seluruh ahli BKASM yang berada di Mesir sama ada di Kaherah mahupun di muhafazah dengan kehadiran ahli yang sangat memberangsangkan.

Antara objektif MAT kali ke-42 ini dilaksanakan adalah untuk menjadikan ahli mesyuarat dapat memanfaatkan mesyuarat sebagai wadah utama dalam menyuarakan pandangan, cadangan dan muhasabah demi kelangsungan BKASM dan memperkasakan kebersamaan antara ahli dan BKASM di samping menambah thaqafah melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Sebelum berlangsungnya MAT 42, beberapa aktiviti Ambang MAT berjaya dijalankan antaranya solat hajat, doa selamat, pembentangan kitab, tazkirah subuh khas serta medan kalam.

Ketika hari berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-42, majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran, ucapan daripada pengarah MAT kali ke-42, saudara Muhammad Nazim bin Mohd Sahaimi dan ucapan daripada Yang Dipertua BKASM, saudara Muhamad Nazif bin Shaari serta diakhiri dengan ucapan perasmian oleh saudara Mohd Azwan bin Abdull Aziz di Asrama Rumah Selangor.

Sejurus tamatnya majlis perasmian, seluruh ahli mesyuarat bergerak ke tempat mesyuarat mengikut tempat yang ditetapkan iaitu Musolla Darul Ehsan ditempatkan bagi ikhwah manakala akhawat di Sutuh Rumah Selangor.

Agenda besar mesyuarat yang telah dilaksanakan adalah pengesahan Minit mesyuarat kali ke-41 oleh Setiausaha Agung BKASM sesi 2016/2017, saudara Muhammad Auzaie bin Roslan disusuli dengan pembentangan laporan bagi peringkat Jabatan dan Lajnah BKASM, pembentangan usul dan muhasabah serta cadangan umum daripada ahli kepada BKASM yang mendapat respon yang sangat baik daripada ahli mesyuarat.

MAT 42 diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah anugerah khas iaitu Tunas Harapan, Aktivis BKASM, Ilmuwan Muda, Pengarah Program Mega serta Wakil AJKT BKASM sesi 2016/2017. Sebelum pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya BKASM 2017(SPR 2017), majlis diakhiri dengan ucapan penutupan daripada wakil penasihat dan Yang Dipertua BKASM, saudara Muhamad Nazif bin Shaari bagi menutup tirai bahtera BKASM sesi 2016/2017.

Seterusnya, masa yang dinantikan iaitu pengumuman AJKT BKASM bagi sesi 2017/2018 daripada SPR BKASM 2017 yang disampaikan oleh saudara Muhamad Waliuddin bin Analis. Seramai 9 orang calon AJKT ikhwah dan 8 orang AJKT akhawat serta Yang Dipertua menang tanpa bertanding.

Mesyuarat Agung Tahunan BKASM kali ke-42 telah diakhiri dengan ucapan sulung daripada saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi, Yang Dipertua BKASM sesi 2017/2018 beserta tayangan video dan lagu Bersama Bersatu.

Semoga semua ahli dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita serta mendapat manfaat dan diharapkan program seperti ini dapat meneruskan survival legasi pimpinan dan ahli seterusnya menjaga kelangsungan BKASM pada masa hadapan.


"Syura Peneraju Kepimpinan Islam"


MAT 42
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Sabtu, Oktober 14, 2017

BKASM MELEBAR SAYAP KEBAJIKAN MELALUI DANA MAHABBAH

Segala puji bagi Allah S.W.T yang menciptakan langit dan bumi serta yang memberi nikmat kepada seluruh makhluk sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W dan ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Allah berfirman di dalam al-Quran :

قال الله تعالى : وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان

Maksudnya : Saling bantu-membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan dan janganlah saling bantu-membantu dalam perkara kejahatan dan permusuhan.(Surah Al-Ma'idah : ayat 2)

BKASM merupakan satu identiti yang menaungi seluruh anak-anak Negeri Selangor di bumi Mesir ini di dalam memastikan kebajikan dan juga keperluan anak-anak Selangor terus terjamin dan dipelihara dengan baik. BKASM juga sentiasa berusaha menjayakan agenda kebajikan dan hak mahasiswa dan mahasiswi dalam menguruskan hal ehwal anak-anak Selangor di Perlembahan Nil ini agar kelangsungan kebajikan terus terjaga.

Sehubungan dengan itu, BKASM dengan melalui wasilah Unit Dana Mahabbah di bawah Jabatan Yang Dipertua BKASM sentiasa optimis menjaga serta membantu bagi ahli-ahli yang kurang berkemampuan khususnya daripada sudut kewangan. Perkara ini juga merupakan salah satu usaha dalam  menjayakan usul Mesyuarat Agung Tahunan BKASM kali ke-41 iaitu "Bersama meneruskan survival BKASM dalam menggerakkan agenda kebajikan anak-anak selangor di Mesir.

Pada sesi ini, Unit Dana Mahabbah di bawah Jabatan Yang Dipertua BKASM telah berjaya mengutip sebanyak LE 55 600 secara keseluruhan dan telah diagihkan kepada 189 orang sebagai penerima sumbangan dana mahabbah pada sesi ini. Perkara ini telah menujukkan satu respon yang positif dalam BKASM untuk terus menjayakan isu kebajikan pelajar-pelajar Selangor di Mesir terutamanya bagi pelajar yang tidak memperolehi sebarang tajaan dan sumbangan luar.

Akhir kalam, Kita BKASM mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu-individu mahupun agensi-agensi yang telah menyalurkan sumbangan bagi memudahkan urusan anak-anak Selangor di Mesir dan memastikan pengajian para mahasiswa dan mahasiswi di sini terus berjalan dengan baik. Semoga Allah membalas jasa dan bakti yang telah di berikan.

Siiru a'la barakatillah.

"Bersatu Berkabajikan Mengukuh Organisasi"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Yang Dipertua BKASM 2016/2017
Muhamad Nazif Bin Shaari

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ahad, Oktober 01, 2017

HIJRAH MENGEJAR REDANYA Nukilan Siswa Siri 44

Dalam kehidupan, ujian selalu ada menempa diri kita. Kadang kala ringan, namun selalunya terasa berat dan payah untuk dihadapi. Begitulah yang dihadapi oleh nabi kita, Muhammad S.A.W dalam peristiwa hijrahnya bersama para sahabat yang beriman. Hijrah dilakukan dengan meninggalkan segala harta dan keluarga semata-mata untuk merasai kehidupan Islam yang lebih baik. Sekian lama menetap dan membesar di bumi Mekah, namun apabila diwahyukan oleh Allah maka perintah itu cuba dilakukan dengan sebaiknya.

Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat bukan sekadar untuk melepaskan diri dari belenggu kezaliman tetapi apa yang lebih penting ialah cita-cita menegakkan tiang Islam perlu diteruskan. Hijrah ini juga bukan kerana mereka telah dibentangkan dengan mata kasar tentang masa depan mereka setelah berhijrah. Mereka tidak pernah tahu pun apakah pertolongan atau sebaliknya yang akan berlaku di Yathrib. Bahkan boleh jadi Islam tidak dapat bertapak dengan kukuh di sana dan terpaksa berhijah lagi. Namun atas dasar yakin akan janji Allah dan RasulNya, mereka meneruskan hijrah ini dengan berbekalkan keimanan dan ketakwaan.

Begitulah sirah yang berlaku pada Rasulullah dan para sahabat. Peristiwa hijrah ini membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam.  Kalau sebelumnya mereka diuji dengan kezaliman kafir Quraisy yang menentang Islam, namun hijrah kali ini telah menguji tahap kecintaan kepada Allah dan Rasul adalah lebih tinggi daripada kecintaan kepada tanah air, harta dan rumah tangga.

Fiman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan barang siapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Dan barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An-Nisa : ayat 100)

Maka ibrah yang boleh diambil dari kisah hijrah ini, kita selaku khalifah di bumi Allah ini seharusnya bersedia untuk berkorban demi Islam. Istilah ‘rugi’ kerana terpaksa menggadaikan harta ke jalan Allah atau meninggalkan segalanya kerana Allah tidak sepatutnya terdetik dalam hati kita. Sesungguhnya ganjaran Allah kepada mereka yang berpenat lelah untuk Islam adalah lebih besar dari segala-galanya. Maka itulah yang sepatutnya menjadi hadaf kehidupan kita. Mengejar syahid dan keredaanNya.

Semoga Allah pandu hati dan jiwa kita di atas jalanNya.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamBersatu

#BersatuBerbakti